412

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6

TAREKAT SUFI SUATU KEPERLUAN ZAMAN: SOROTAN PANDANGAN BADIUZZAMAN SAID AL-NURSI

Syed Hadzrullathfi Syed Omar1 & Nurul Aarifah Musa2 1Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan 2Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia.

[email protected]

Abstrak

Tarekat dalam golongan sufi merujuk kepada suatu bentuk penghayatan khusus yang dipraktis oleh para , iaitu orang-orang yang benar hati mereka untuk menuju kepada jalan keredhaan Allah SWT, dengan cara merentasi pelbagai perubahan sifat hati (al- manazil) serta menghiasi diri dengan pelbagai tingkat keyakinan (maqamat al-yaqin). Justeru tidak sunyi dari setiap generasi umat Islam, para tokoh yang tampil mengetengahkan kepentingan penglibatan Muslim dalam pendidikan kesufian bagi mencapai matlamat tarekat sebagaimana dinyatakan dalam definisi tentangnya. Artikel ini ingin menyoroti pandangan yang digariskan al-Nursi dalam aspek keperluan tarekat sufi dalam kehidupan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, seterusnya mengenal pasti kepentingan institusi tersebut dalam memurnikan akidah Muslim. Kajian kualitatif ini dilaksanakan berasaskan analisis kandungan dengan meneliti aspek kesufian dalam pelbagai karya al-Nursi khususnya Risalah al-Nur. Kajian mendapati kesufian pada kacamata al-Nursi merupakan perjalanan mengenali Tuhan dan mencari keyakinan kebenaran akidah dengan memahami al-Quran dan melaksanakan al-Sunnah. Keperluan Muslim mengamalkan tarekat menurut beliau ibarat perlunya seseorang memakan buah sebagai zat tambahan pelengkap pemakanan; tauhid itu gizi utama manakala tarekat sufi itu pula merupakan suplemen kerohanian. Tarekat sufi menurut beliau didapati berfungsi memurnikan akidah Muslim yang banyak terdedah dengan fitnah. Kajian menyimpulkan bahawa tarekat sufi mempunyai peranan yang besar sebagai institusi yang memberi didikan tambahan dan memandu amalan pelengkap kerohanian Muslim pada era perkembangan teknologi dan pasca moden ini. Tarekat sufi yang juga dilihat sentiasa mengutamakan penerapan nilai tauhid mampu membendung pelbagai masalah yang berlaku dalam masyarakat Muslim dalam zaman pergolakan akidah dan pemikiran kini.

Kata Kunci: Tarekat sufi; Badiuzzaman Said al-Nursi; keperluan zaman; suplemen kerohanian; pemurnian akidah.

1. PENDAHULUAN Tarekat merupakan salah satu institusi pemantapan spiritual Muslim yang selalunya dinisbahkan kepada golongan sufi, iaitu golongan yang berusaha secara bersungguh-sungguh memperelok keadaan hati dan menelusuri setiap langkah kebaikan bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT melalui didikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Menyoroti kajian literatur, kebanyakannya menjelaskan kedudukan dan kepentingan tarekat (Abdul Manam 2009, 44-45; Ali Jumaah 2009, 111) serta menukilkan pujian dan saranan ulama terhadap ajarannya (Abd al-Fatah 1427H, 12-16; Abd al-͑Aziz 2011, 85-87). Tidak kurang juga penulisan yang mengupas tujuan utama dan matlamat perjalanan tarekat kesufian yang membuktikan keutamaan beramal dan melibatkan diri dalam tarekat, iaitu bagi

413

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6 membentuk peribadi mulia dan memperoleh keyakinan beriman serta kecintaan Allah SWT (Ahmad Zarruq 1985, 19-20; Rathomy 1981, 201; Abdullah 1992, 2; Zainal 1993, 68; Aziz 1996, 68; Anah & Ahmad Umar 2013, 2&7). Fenomena tarekat yang menghadapi kemerosotan kepercayaan masyarakat Malaysia kini perlu diberi perhatian dan dicari jalan pemurniannya (Mohd Murtadza 2008; Rizhan el-Rodi 2013). Meneliti definisi dan hakikat kesufian, (al-Qushairi [m.1073M] 1989, 12; al- Ghazali [m.1111M] t.t, 29; Ahmad Zarruq [m.1493M] 1985, 19; Ali Jumaah 2009, 110), tarekat sufi dapat difahami sebagai madrasah penyucian hati dari segala keburukan dan menghiasinya dengan kasih Allah SWT dan para utusan-Nya sehingga tiada yang didamba melainkan kembali kepada-Nya bersama keredhaan- Nya, dibimbing seorang guru utama, iaitu penasihat yang disifatkan sebagai al-kāmil (sempurna) dari aspek ma ͑rifah dan ketakwaannya kepada Allah SWT (Syed Hadzrullathfi 2011, 126). Sumber utama penghayatan didikannya adalah berpandukan al-Quran dan al-Sunnah di samping pengukuhan perlaksanaan syariat Islam. Mengenal pasti aspek aplikasi, al-Qushairi bukan sahaja menekankan keutamaan seseorang Muslim menelusuri jalan tarbiah tarekat, malah mengutarakan kepentingan ahli agama dalam menyebarkan dan menyeru manusia kepadanya (al- Qushairi 1989,12). Artikel ini cuba menilai aspek keperluan tarekat sufi menurut pandangan seorang tokoh yang dikenali dalam dunia ilmiah sebagai seorang yang menyerlah dalam segenap aspek ilmu, iaitu Said bin Mirza al-Nursi (1877-1960M) yang digelar Badiuzzaman. Kajian ini juga cuba mengenalpasti peranan institusi ini dalam pemantapan akidah Muslim memandangkan tokoh ini dilihat amat mengambil berat isu akidah dan kepercayaan umat Islam pada zamannya. Sebagai seorang pengamal tarekat, beliau meletakkan keperluan bertarekat dalam kategori perlu (necessary) dalam menjalankan perintah syariat dan mengikuti al-Sunnah, makala sunat (supererogatory) menelusuri jalan sufi bagi penyucian hati. Beliau meletakkan pengukuhan akidah tauhid sebagai kewajipan (obligatory) (al-Nursi 2007, The Letters: 20). Bagi mendapatkan pencerahan berkaitan perkara ini, metode analisis kandungan dilaksanakan dengan meneliti aspek kesufian dan akidah dalam pelbagai karya al- Nursi khususnya Risalah al-Nur yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Sehubungan dengan itu, artikel ini akan menilai pandangan beliau berdasarkan timbangan ilmiah menerusi hujah-hujah yang wajar. Sebagai pendahuluan memahami pandangan tokoh, pengenalan ringkas beliau sewajarnya dinyatakan. Badiuzzaman Said al-Nursi berbangsa Kurdish, dilahirkan pada tahun 1877M di Kampung Nurs, Hizan di Negara Turki. Menyoroti ketokohan beliau, para ilmuan yang sempat sezaman beliau mengakui keunggulan ilmu dan peribadi beliau dalam pelbagai aspek (Abd al-Razzāq 2013, 137; Abdul Latip 2014, xi-xv). Di samping aktif mencari ilmu pengetahuan agama, bahasa dan ilmu moden, beliau juga turut melibatkan diri dalam perjalanan kesufian dengan menghadiri markas Tarekat Naqshabandiyah. Salah seorang guru utama tarekat tersebut, iaitu ͑Abd al-Rahman Tagī mengesan kelebihan beliau dan meminta pelajar yang senior agar menjaganya. Walaupun berada dalam suasana tarbiah Tarekat Naqshabandiyah, al-Nursi lebih cenderung kepada ajaran Syeikh Abd al-Qadir al-Jailani (m.1166M) (Zeki 2008, 396). Perjalanan kesufian beliau bukanlah semata-mata membersihkan diri daripada kotoran kehendak dunia, malah bagi mengambil iktibar daripada kefahaman al-Quran

414

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6 dan mencapai keyakinan iman (͑Abd al-Razzāq 2013, 141). Beliau amat menitikberatkan keserasian sains dan agama, berpandangan bahawa akal haruslah mendapat pencerahan sains dan hati diterangi agama. Beliau meninggalkan karya penulisan yang melebihi 5000 helaian yang terkenal sebagai Risalah al-Nur (al-Nursi 2006, iii).

2. PENCERAHAN KESUFIAN AL-NURSI Beliau menjelaskan kesufian sebagai suatu jalan kerohanian bertujuan mengenali Allah SWT dan mencapai keyakinan beriman dan memahami al-Quran, penghujung bagi tarekat yang dinaungi pewaris Rasulullah SAW adalah bagi mencapai kedudukan insan sempurna (al-insān al-kāmil) (al-Nursi 2007a, 426). Sebagai mengambarkan potensi hati dan minda manusia, beliau mengibaratkan hati sebagai sebiji benih bagi pokok pengetahuan dan kebenaran, yang mana juga terkandung padanya peta ribuan dunia, hanya dengan mengulang-ulang sebutan nama Allah SWT ( Allah) dalam pengamalan tarekat dan berusaha mencari keyakinan iman akan membuahkan hasil dan menumbuhkan benih tersebut (al-Nursi 2007a, 426). Tujuan tarekat menurut beliau ialah untuk dhikr Allah dan muhasabah, melalui keduanya manusia akan memperoleh kedamaian dan kelebihan di dunia dan akhirat. Setiap masalah dan kedukaan pasti hilang dengan sentiasa merasai kebersamaan dengan Allah SWT (al-Nursi 2007a, 427). Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun ada segelintir pengikut kesufian ini agak terpesong, bukanlah wajar menghukum tarekat itu salah seluruhnya, bahkan kebaikan dalam mengikuti tarekat yang bertepatan sunnah adalah lebih besar berbanding buruknya, buktinya akidah dan kepercayaan mereka tetap utuh walaupun pada saat-saat genting (al-Nursi 2007a, 428). Beliau juga menjelaskan bahawa perjalanan kesufian adalah tidak menentu, sentiasa berubah-ubah keadaan dan sifatnya. Al-Nursi mengkategorikan golongan sufi kepada dua golongan, iaitu satu golongan mencapai tujuan tarekat dengan usaha tekun mencari dan mujahadah terlebih dahulu, manakala segolongan lain memperoleh kurnia penyaksian dan perkenalan Tuhan dahulu kemudian baru mendapatkan dalil-dalil, keduanya memerlukan bimbingan guru yang benar (al-Nursi 2007a, 429; al-Nursi 2005, 508). Beliau turut menyentuh isu wahdah al-wujūd, iaitu konsep kesufian paling penting tetapi amat berisiko. Beliau menjelaskan konsep ini bermaksud benar-benar melihat segalanya adalah daripada Allah SWT dan lupus pandangan mereka daripada makhluk, mendapati Allah SWT dalam segala ciptaan-Nya. Risikonya tertuju kepada golongan yang mencintai dunia, mereka cenderung untuk kekal di dunia maka terpesong daripada doktrin ini, bahkan sehingga menafikan Allah SWT dengan nama dunia. Oleh itu, langkah penjagaan yang diutarakan oleh beliau adalah dengan sentiasa kembali merujuk kepada prinsip ilmiah, undang-undang saintifik dan peraturan akidah daripada al-Quran dan al-Sunnah (al-Nursi 2007a, 431-432).

3. KEUTAMAAN TAREKAT MENCAPAI KEBENARAN SYARIAT Al-Nursi menegaskan bahawa para sufi membuktikan pengutusan Ilahi dan tarekat mempersaksikan syariat, mereka juga mengambarkan kesempurnaan Islam (al-Nursi 2007a, 427). Menurut beliau, kesufian yang paling indah dan lurus (benar) ialah yang bertepatan al-Sunnah dan paling teguh mematuhi syariat Islam, asas

415

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6 utamanya ialah ikhlas, manakala mengenali Allah SWT dengan penuh kasih pada- Nya adalah langkah paling utama. Beliau menggambarkan dunia ini sebagai tempat mencari pengetahuan dan khidmat, bukan upah dan ganjaran, ahli sufi sentiasa mengalu-alukan keperitan dan ujian hidup dengan sentiasa mengucapkan ‘Alhamdu li Allah’ dalam setiap keadaan (al-Nursi 2007a, 433-434). Semua jalan tarekat pada pandangan al-Nursi adalah bagi mencapai kebenaran syariat dan semua hasilnya adalah termasuk dalam pengesahan syariat, kesufian adalah disiplin yang membolehkan manusia mempraktikkan syariat dengan cara terbaik dan asas terpenting tarekat ialah mengikuti al-Sunnah. Beliau menjelaskan bahawa kesufian yang berada di luar ruang lingkup syariat terbahagi kepada dua, satunya mereka yang terlalu asyik dengan Allah SWT, mereka meninggalkan tuntutan syariat tanpa sengaja, manakala kedua; mereka yang mengabaikan syariat, maka terjatuhlah ke lembah kehinaan (al-Nursi 2007a, 434-437).

4. TAREKAT KEROHANIAN AL-NURSI Al-Nursi menjelaskan bahawa jalan yang beliau lalui berbeza daripada tarekat lain yang mengutamakan penyucian dan penggilapan zahir batin pengamal, tidak seperti tarekat yang cenderung mengamalkan dhikr Allah dalam hati, berlainan juga daripada golongan yang membaca bacaan umum bagi penyucian hati. Namun, jalan kerohanian beliau berasaskan empat langkah yang diceduk daripada al-Quran, iaitu pertama; daripada firman Allah SWT maksudnya: “Maka janganlah kamu memuji- muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa)”. (Surah al-Najm 53: 32). Al- Nursi menjelaskan bahawa langkah ini mengelakkan sālik berbangga-bangga dan mendakwa diri (al-Nursi 2007a, 441&443). Kedua; firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka”. (Surah al-Ḥashr 59: 19). Menurut beliau, langkah ini disempurnakan dengan menjalankan setiap tanggungjawab, bersedia dengan kematian diri dan melupakan ganjaran yang bakal diperoleh (al-Nursi 2007a, 442). Ketiga; firman Allah SWT maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri”. (Surah al-Nisā’ 4: 79). Beliau menegaskan pengukuhan langkah ini adalah dengan cara mengakui kelemahan diri dan mengajar pengamal berserah dan bersyukur kepada Allah SWT (al-Nursi 2007a, 442). Keempat; firman Allah SWT bermaksud: “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Allah”. (Surah al-Qaṣaṣ 28: 88). Langkah ini pada pandangan beliau mendidik pengamal menghormati makhluk lain dengan sentiasa meletakkan penyaksian Allah SWT dalam ciptaan-Nya. Penyucian dengan menelusuri jalan ini adalah dengan melihat bahawa kewujudan manusia terletak pada pengakuan bahawa kebinasaan mereka adalah sesuatu yang pasti (al-Nursi 2007a, 442).

5. PENEMUAN KEYAKINAN TAUHID DAN PEMANTAPAN PERIBADI MENERUSI TAREKAT Melalui perjalanan kerohanian, beliau memperoleh keyakinan bahawa diri sendiri bukanlah milik sendiri, bahkan segalanya adalah kepunyaan Allah SWT. Beliau juga meyakini kebenaran bahawa mati itu pasti, tiada Tuhan selain Allah SWT dan diri

416

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6 manusia adalah penanda aras mengenali sifat-sifat Allah SWT (Zeki 2008, 396), iaitu kelemahan dan kekurangan manusia sebagai makhluk membuktikan keagungan dan kebesaran Allah SWT (al-Nursi 2007b, 87-91). Menerusi perjalanan kesufian yang benar, beliau berpandangan bahawa seseorang akan mencapai beberapa tahap keyakinan iman dan beroleh kelebihan bagi yang mencapai maqam mushāhadah (penyaksian keagungan Allah SWT) (al- Nursi 2007a, 439). Al-Nursi menukilkan kata-kata Imam Rabbani Syeikh Ahmad Sirhindi (m.1624M): “Hentian terakhir semua tarekat (perjalanan kerohanian) ialah bagi mendapatkan sepenuh keyakinan dalam beriman.” (al-Nursi 2007a, 29). Hati setiap manusia menurut beliau mempunyai ruang untuk menerima manifestasi ketuhanan bergantung kepada kadar kemampuan penerimaannya, ketekunannya dalam tarbiah tarekat dan keupayaannya menanggung keagungan asmā’ wa sifāt Allah (al-Nursi 2005, 580). Beliau menjelaskan bahawa secara batinnya, kedudukan paling tinggi dalam kesufian adalah perjalanan daripada makhluk kepada Khāliq, manakala dari segi zahirnya adalah perjalanan daripada Khāliq kepada makhluk (iaitu mereka memberi didikan kepada manusia lain setelah menerima panduan daripada Allah SWT) dan mereka adalah golongan yang sangat hampir dengan Allah SWT (al-Nursi 2005, 581). Pada pandangan al-Nursi, kesufian membolehkan hati pengamalnya memainkan peranan optimum dalam menggerakkan anggota jasad dan mencapai peribadi terbaik. Tarekat juga membolehkan para pengamalnya bersama para sufi dan justeru mendapat percikan kebaikan mereka di dunia dan akhirat. Menurut beliau, melalui pengenalan dan kebersamaan dengan Allah SWT, para pengamal terhindar daripada sebarang kedukaan dan kesunyian, mereka juga cenderung melakukan setiap perintah agama tanpa merasa terpaksa, ketaatan dilaksanakan dengan sepenuh ikhlas dan selamat daripada keegoan dan kerosakan dalaman jiwa (al-Nursi 2007a, 439). Al-Nursi menjelaskan bahawa golongan sufi sentiasa menyerahkan segalanya kepada urus tadbir Allah SWT, mereka merasa selamat dan tenang dengan merasai kehadiran Allah pada setiap ketika di samping mampu mengubah rutin seharian sebagai ibadah kepada Allah SWT. Oleh itu, tarekat pada pandangan beliau merupakan jalan kelahiran manusia sempurna, menjadi cermin yang memantulkan asmā’ wa sifāt Allah SWT, mereka terbang dengan sayap iman dan amal mencapai kebahagian di dunia (al-Nursi 2007a, 440).

6. TAREKAT SUFI KEPERLUAN SEPANJANG ZAMAN Bersumberkan didikan kerohanian yang digariskan Imam Rabbani, iaitu salah seorang tokoh sufi Tarekat Naqshabandiyah, Al-Nursi menggariskan keperluan melibatkan diri dalam institusi tarekat kepada harus dan sunat. Harus sebagai keperluan, iaitu bagi menggalakkan dan menunaikan kewajipan agama serta mendirikan al-Sunnah. Manakala sunat menelusuri jalan terekat bagi menyucikan diri daripada penyakit-penyakit kerohanian. Menurut beliau, kewajipan paling utama ialah melaksanakan keyakinan iman tanpa sebarang perantara. Beliau menggambarkan keperluan tarekat sebagai buah dalam pemakanan, manakala akidah tauhid adalah ruji bagi pemakanan kerohanian, seseorang boleh hidup tanpa buah, tetapi tidak tanpa roti (makanan asas). Beliau juga menjelaskan bahawa seseorang tidak dapat masuk syurga tanpa iman, namun ramai layak ke syurga walaupun tanpa tarekat (al- Nursi 2007a, 30).

417

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6

Al-Nursi dilihat lebih mengutamakan peneguhan akidah berbanding amalan penyucian hati melalui tarekat, namun tidak bercanggah dengan keutamaan tarekat menurut tokoh sufi terdahulu. Al-Ghazali (menurut Abd al-͑Aziz 2011, 85) dan al- Qusahiri mewajibkan seseorang beramal dengan tarekat bagi penyucian hati dan melindunginya daripada kerosakan jiwa yang merupakan syirik khafi kerana setiap manusia tidak terlepas daripada aib jiwanya (al-Qushairi 1989, 12). Perbezaan hukum mengamalkan tarekat antara mereka hanyalah secara literal, apa yang ingin disampaikan oleh al-Nursi dan tokoh sufi lain adalah kepentingan pemantapan iman dalam jiwa Muslim. Al-Nursi kurang mengutamakan tuntutan tarekat bagi menonjolkan kepentingan pemantapan akidah Islam, namun beliau sering mengetengahkan keutamaan pengukuhan tauhid menerusi amalan dan tarbiah tarekat sufi, bahkan mencapai hakikat iman menurut beliau adalah hasil daripada penghayatan perjalanan kesufian. Sehubungan itu, bagi pembentukan generasi muwahhid yang patuh dengan syariat Islam sepanjang zaman, institusi tarekat sufi yang tulen memainkan peranan besar.

KESIMPULAN Tarekat sufi melalui kaca mata al-Nursi adalah perjalanan mencari kebenaran akidah dengan penghayatan al-Quran dan perlaksanaan al-Sunnah. Al-Nursi menggariskan keperluan melibatkan diri dalam institusi tarekat kepada harus dan sunat, manakala kewajipan utama Muslim adalah pengukuhan akidah tauhid. Kesufian mengajar manusia menghormati setiap makhluk dan menyaksikan Allah SWT pada setiap ciptaan-Nya. Sufi yang sebenar menjadi cermin pantulan keagungan asmā’ wa sifāt Allah, mereka sentiasa mencari kebenaran tauhid dengan pelaksanaan syariat Islam sesempurna mungkin. Tarekat Sufi yang paling utama pada pandangan al-Nursi adalah yang bertepatan dengan al-Sunnah dan paling teguh mengamalkan syariat Islam. Amalan dan didikan tarekat sentiasa mengutamakan pemurnian tauhid, menjauhi dan mencegah kesyirikan zahir mahupun batin.

RUJUKAN Abd al-'Aziz Sukarnawadi. (2011). al-Rudud al-Marḍiyah 'ala Munkiri al-Sādah al- Ṣūfiyah. Kaherah: Matba ͑ah Ibad͑ al-Rahman. Abd al-Fatah Ibn Salih. (1427H). Masā’il fi al-Tasawuf. Yaman: (t.p.). Abd al-Razzaq al-Ghaul. (2013, Januari Vol. 7). Badi͑ al-zaman said al-Nursi wa al- Tasawuf. al-Nur li al-Dirasah al-Hadhariyah wa al-Fikriyah, ms. 137-146. Abdul Latip Talib. (2014). Badiuzzaman Said Nursi. (Cetakan ke-6), Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd. Abdullah Muhammad Zin. (1992). Tariqat Tasauf dalam Kehidupan Masyarakat Islam di Malaysia Kini: Permasalahan dan Cabaran. Seminar Sufi Peringkat Kebangsaan ke-8. Terengganu: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Abdul Manam Mohamad. (2009, Jil. 2). Beberapa Asas Ajaran Tasawuf Tuan Hj. Ishaq bin Muhammad Arif. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, ms. 41- 53.

418

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century e-ISBN: 978-967-13705-0-6

Ahmad Zarruq, (Tahqiq: Abd al-Halim Mahmud) (1985). Hikam Ibn 'Ata Allah: Sharh Shaykh Zarruq. Kaherah: Dar al-Sha'b. al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad. (t.t). Raudhah al-Ṭālibīn wa 'Umdah al-Sālikīn. Beirut: Dar al-Nahdhah al-hadithah. Ali Jumaah, (Terjemah: Abu al-Baqir al-Dusuqi) (2009). al-Bayān al-Qawīm li Tashīh Ba'd al-Mafāhim (Keterangan yang Jitu untuk Memperbetulkan Beberapa Fahaman yang Keliru). Kelantan: al-Baqir Enterprise. al-Nursi, Badiuzzaman Said (Terjemah: Huseyin Akarsu) (2005). The Words: The Reconstruction of Islamic Belief and Thought. New Jersey: The Light Inc. al-Nursi, Badiuzzaman Said (Terjemah: Ali Unal) (2006). Belief and Worship. New Jersey: The Light Inc. al-Nursi, Badiuzzaman Said (Terjemah: Huseyin Akarsu) (2007a). The Letters: Epistles on Islamic Thought, Belief and Life. New Jersey: The Light Inc. al-Nursi, Badiuzzaman Said (Terjemah: Huseyin Akarsu) (2007b). al-Mathnawi al- Nuri: Seedbed of The Light. New Jersey: The Light Inc. al-Qushairi, Abu al-Qasim; (Tahqiq: Abd al-Halim Mahmud & Mahmud al-Sharif) (1989). al-Risalah al-Qushairiyyah. Kaherah: Dar al-Sha'b. Anah Nurhasanah & Ahmad Umar Sholeh. (2013). Pendekatan dan Metodologi Kajian Ilmu Tasawuf dan Tarekat. Jakarta: Institut Perguruan Tinggi Ilmu al- Quran. Aziz bin Ismail. (1996). Pengajian Tasawuf Menurut al-Quran dan al-Sunnah. Tesis Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Moh Abdai Rathomy. (1981). Tiga Searangkai Sendi Agama: Tauhid, Fiqah, Tasauf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad. (2008, Mei 28). Fenomena Tasawuf dan Peranannya dalam Era Masa Kini. akses Januari 1, 2014, daripada Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan: http://www.muftins.gov.my Rizhan el-Rodi. (2013, September 3). Persepsi dan Penilaian Terhadap Tarekat Sufi & Tasawuf: Antara Cabaran dan Solusi. Akses Oktober 1, 2014, daripada Alam Ilmi: http://hanputra.blogspot.com (Kertas kerja sempena Muzakarah Ijtima’ Tarekat Sufi (MITAS) 2013, 15 September 2013). Rizhan el-Rodi. (2013, Disember 6). Enakmen Tarekat Tasawwuf: Satu Penjelasan. Akses Ogos 29, 2015, daripada al-asyirah as-sufiyyah: http://asyirasufiyya.blogspot.com (Kertas kerja sempena Seminar Tasawwuf Negeri Sembilan 2007, 22 Disember 2007). Syed Hadzrullathfi Syed Omar (2011, Keluaran Khas). Dimensi Baru dalam Amalan Rabitah Tokoh Sufi Kontemporari Malaysia. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, ms. 125-134. Zainal Ariffin Abbas. (1993). Ilmu Tasauf. Kelantan: Pustaka Aman Press. Zeki Saritoprak. (2008). Bediuzzaman Said Nursi. Dalam Andrew Rippin, The Islamic World (ms. 396-402). Oxon, UK: Routledge; Francis & Taylor Group.