SIARAN MEDIA 3 Disember 2019 Untuk Siaran Segera

PROGRAM BEST EXPORTERS CAPAI PENINGKATAN HASIL EKSPORT RM141.4 JUTA

KUALA LUMPUR : 3 Disember 2019 – Sebanyak RM141.4 juta hasil eksport tambahan telah berjaya diraih oleh 73 buah syarikat melalui Program Best Exporters (BEP) hasil kerjasama tiga buah agensi iaitu SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE).

YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri MED berkata, “Langkah SME Bank bersama-sama TERAJU dan MATRADE menganjurkan Program BEP ini adalah tepat pada masanya, terutama bagi meningkatkan jumlah sumbangan PKS terhadap eksport negara. Sebagai menyokong kelangsungan program BEP pada masa hadapan dan juga memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat, Kementerian Pembangunan Usahawan akan memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta dalam program BEP2.0 mulai tahun 2020.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Sebagai sebuah peneraju utama Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) bagi sektor PKS, SME Bank juga telah meluluskan pembiayaan baharu bernilai RM87.8 juta kepada 13 buah syarikat yang terlibat dalam program BEP ini. Pembiayaan yang disediakan adalah untuk kegunaan modal kerja dan pembelian aset.”

Aria menambah, “Daripada 73 buah syarikat yang menyertai BEP, 43 buah syarikat adalah daripada sektor pembuatan dan 30 buah syarikat daripada sektor perkhidmatan. Bagi memantapkan lagi kapasiti dan keupayaan peserta, anak syarikat kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut menyediakan latihan pembangunan kapasiti mengikut modul yang bersesuaian. Selain CEDAR, INSKEN dan COOPMATRADE turut dilantik sebagai penyedia perkhidmatan pembangunan kapasiti bagi program ini.”

...lagi

Muka surat 2/3: Program Best Exporters Capai Peningkatan Hasil Eksportrm141.4 Juta

Megat Mohd Yatim Megat Hamid, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) berkata, “Dalam memberi ruang dan peluang kepada komuniti usahawan Bumiputera Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan di bawah BEP dan setiap syarikat yang mengikuti program ini telah diperuntukkan geran berjumlah RM200,000 bagi menyokong aktiviti-aktiviti pengeksportan mereka. Selain daripada BEP, TERAJU telah lama menjalinkan kerjasama bersama SME Bank melalui 3 program sebelum ini iaitu Dana TERAS, Bumiputera Equity Financing Program (BASE) dan Subordinated Financing Program (SFP) dalam meningkatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera dalam pengembangan perniagaan.”

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Sharimahton Mat Saleh menyatakan, kerjasama antara agensi melalui program seperti BEP adalah penting dalam memastikan adanya peningkatan dalam sumbangan eksport di kalangan PKS Malaysia. “Sebagai agensi promosi eksport Malaysia, MATRADE telah menyalurkan informasi risikan pasaran tentang peluang-peluang eksport kepada PKS dalam program ini. Selain itu, dengan adanya 46 buah pejabat MATRADE di bandar-bandar komersil utama di seluruh dunia, MATRADE juga membantu menyelaras misi perdagangan untuk disertai syarikat- syarikat yang terlibat selain memadankan mereka dengan pengimport dari seluruh benua,” Sharimahton berkata.

Majlis telah dihadiri oleh YB. Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan disaksikan YB. Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Md. Radzi, Ketua Setiausaha MED.

-Tamat-

...lagi Muka surat 3/3: Program Best Exporters Capai Peningkatan Hasil Eksportrm141.4 Juta

Mengenai SME Bank Sebagai peneraju Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang menawarkan perkhidmatan kepada sektor PKS, kami beroperasi sebagai sebuah pusat setempat yang menawarkan kemudahan pembiayaan dan program pembangunan perniagaan untuk para usahawan.

Seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, SME Bank bermatlamat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui inisiatif-inisiatif yang berimpak tinggi seperti penggunaan teknologi digital dan Revolusi Perindustrian (IR 4.0). Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.smebank.com.my

Mengenai TERAJU TERAJU, Unit Peneraju Agenda Bumiputera ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Jabatan Perdana Menteri sebagai unit strategik yang berperanan untuk menerajui, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Kini, TERAJU merupakan agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipacu berdasarkan lima teras di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) – iaitu, memperkukuhkan modal insan, menggalakkan pekerjaan dan pendapatan bernilai tinggi, meningkatkan saham Bumiputera dan nilai ekuiti korporat, memperkukuh keusahawanan, serta meningkatkan pemilikan aset bukan kewangan.

Selain daripada sudut ekonomi, TERAJU juga berperanan dalam aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya, hidup dalam persekitaran yang selesa dan dinamik, serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dengan penerapan aspek sosial melalui Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).

Mengenai MATRADE

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditubuhkan pada 1 Mac 1993 sebagai cabang promosi perdagangan luar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI). Fungsinya adalah: - Untuk menggalakkan, membantu dan membangunkan perdagangan luar Malaysia dengan penekanan khusus terhadap eksport produk dan perkhidmatan perkilangan dan separa perkilangan; - Merumuskan dan melaksanakan strategi pemasaran eksport dan aktiviti promosi perdagangan untuk mempromosikan eksport Malaysia; - Untuk menjalankan perisikan komersil dan penyelidikan pasaran dan mewujudkan pangkalan data maklumat menyeluruh untuk peningkatan dan pembangunan perdagangan Malaysia; - Mengadakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran pemasaran antarabangsa pengeksport Malaysia; - Meningkatkan dan melindungi pelaburan perdagangan antarabangsa Malaysia di luar negara; dan -Untuk mempromosikan, memudahkan dan membantu dalam bidang-bidang perkhidmatan yang berkaitan dengan perdagangan.

Dikeluarkan oleh: SME Bank TERAJU MATRADE Abdul Latiff Puteh Siti Zubaidah Zakaria Zuhaila Sedek, Ketua, Komunikasi Korporat, Pengurus, Komunikasi Korporat Ketua, No. HP: 019-911 2826 No. HP: 019-9662717 Unit Komunikasi Korporat, No. Tel:+03-2615 2954 No. Tel:+03-7839 8000 MATRADE, Faks: +03-2698 1659 Faks: +03-7839 8100 No. Tel: 03 – 6207 7609 E-mel: [email protected] E-mel: [email protected] No. HP: 017-601 9217 Level 18, Menara SME Bank Aras 5, Menara Surian Emel: :[email protected] Jalan Sultan Ismail No. 1 Jalan PJU 7/3 Menara MATRADE, Jalan Sultan 50250 Mutiara Damansara Haji Ahmad Shah, 50480 Kuala 47810 Petaling Jaya, Lumpur, MALAYSIA