MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 11 BIL. 1 JANUARI 2018 PERGINYA CENDEKIA PERMATA TINTA NEGARA: SASTERAWAN NEGARA PROFESOR EMERITUS DATUK SHAHNON AHMAD Rahimah A. Hamid
[email protected] Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. PENDAHULUAN Pada pagi Selasa, 26 Disember 2017, cendekiawan terbilang yang diumpamakan bagai permata tinta negara, iaitu Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad pada usia 84 tahun telah kembali ke rahmatullah, akibat penyakit pneumonia pada pukul 7.30 pagi di Hospital KPJ Kajang. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi selepas disolatkan di Surau Madani yang letaknya tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut. Shahnon meninggalkan isterinya, Datin Wan Fatimah Wan Salleh, 82, berserta tiga orang anak, 14 orang cucu dan tiga orang cicit. MENGENANG SHAHNON Apabila mengenangkan Shahnon, pelbagai kisah masa lalu semasa menjadi pelajarnya pada tahun 1991-1999 muncul kembali dalam ingatan. Shahnon yang lebih mesra dan lebih suka dipanggil “cikgu” selalu berkata kepada “kami”, pelajar Penulisan Kreatif yang dididiknya tentang siapakah antara beliau dengan isterinya yang begitu dikasihinya, Datin Wan Fatimah (yang lebih senang dipanggil “Mak Wan”), akan dijemput terlebih dahulu oleh Ilahi. Ada kerisauan yang disampaikan oleh Shahnon pada waktu itu kepada kami kalau-kalau Mak Wan yang pergi dahulu kerana semua anaknya telah mempunyai hala tuju hidup masing-masing. Kerisauan Shahnon itu sebenarnya lumrah dirasai oleh semua pasangan yang berusia. Shahnon juga ada menyebut, pengalaman menjaga ibunya, 138 Book 7/2/18 Jurnal Melayu NSK.indb 138 2/7/18 11:16 AM [BELASUNGKAWA] Hajah Kalsom Haji Mohd. Saman sehingga akhir hayat di rumahnya (Changkat 1, Minden Height) amat memberikan kesan kepada jiwanya tentang kerapuhan usia dan kematian.