SIDANG DEWAN NEGERI : 258,951.88 HEKTAR KAWASAN TADAHAN AIR DI PAHANG

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Jumlah kawasan yang telah diwartakan sebagai Kawasan Tadahan Air di Negeri Pahang adalah seluas 258,951.88 hektar iaitu kira- kira 7.2 peratus daripada keluasan tanah negeri.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji berkata, bagi Kawasan Tadahan Air di Dewan Negeri (DN) Tanah pula adalah melibatkan Hutan Simpan Gunung Ais iaitu seluas 15,515 hektar.

"Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memikirkan dan mengambil berat hutan simpan di Pahang sebab itu kita ingin pertahankan kawasan hutan yang sehingga kini berkeluasan 57 peratus daripada keluasan tanah negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) mengenai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan daripada YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad, beliau berkata, untuk tujuan itu juga, dalam Belanjawan 2021 Negeri Pahang pihaknya ada mengumumkan untuk mewartakan Lubuk Yu di Maran sebagai kawasan Taman Negeri.

"Insya-Allah akan ada tempat-tempat lain yang kita akan wartawakan tetapi untuk melaksanakan ia akan mengambil masa.

"Tetapi usaha untuk tingkatkan tadahan air ini akan terus ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa," katanya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim (LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KILANG MEMPROSES DURIAN RPDP- PKPP TIDAK TERTAKLUK PENYEDIAAN EIA

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Kilang memperoses durian Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn. Bhd. (RPDP-PKPP) di kawasan Tras, Raub tidak tertakluk kepada keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, YB. Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, ini kerana penyediaan laporan EIA hanya melibatkan projek pembangunan yang membabitkan kawasan tanah lebih 20 hektar.

"Projek itu tidak tertakluk kepada keperluan EIA mengikut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kepada Kesan Alam Sekeliling) 2015 kerana kawasan yang terlibat hanya 10.52 hektar (26 ekar) manakala untuk pembinaan kilang seluas 4.04 hektar (10 ekar).

"Malah cerun di kilang berkenaan pula hanya 30 darjah. Justeru untuk pembinaan kilang berkenaan adalah tidak memerlukan Laporan EIA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tras, YB. Encik Chow Yu Hui (DAP) mengenai keperluan laporan EIA untuk pembinaan kilang memproses durian RPDP-PKPP pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan daripada ADN Tras, beliau berkata, tiada isu pembayaran pampasan kepada mana-mana pekebun durian kerana kilang berkenaan dibina di atas tanah kerajaan.

"Soal kita kena bayar pampasan atau sebaliknya tidak timbul kerana kita bina kilang ini di atas tanah kerajaan. Jadi tidak ada isu sebenarnya," jelasnya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

(LIPUTAN BERGAMBAR)

PAHANG AKAN ADAKAN HARI MENDAKI PAHANG 23 JANUARI INI

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang akan mengadakan Hari Mendaki Pahang (PHD) pada 23 Januari ini sebagai langkah mempromosikan tempat menarik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, hari mendaki ini akan dijadikan acara tahunan pelancongan selepas ini.

"Kita (Kerajaan Negeri) mahu promosikan aktiviti mendaki kerana kita di Pahang ada banyak tempat menarik. Pada peringkat permulaan, pada 23 Januari nanti, kita akan melakukan aktiviti pendakian secara serentak di bukit-bukit yang dipilih di semua daerah di negeri ini.

"Kita rancang akan buat siaran langsung melalui Facebook atau saluran yang akan dikenal pasti kelak,” katanya dalam satu sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Asia Brotherhood Centre dan Tourism Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memilih aktiviti mendaki ini sebagai satu cara mempromosikan pelancongan di negeri ini berdasarkan beberapa faktor.

"Pertama, aktiviti mendaki ini satu aktiviti lasak yang tidak mahal jika dibandingkan dengan aktiviti sukan lain seperti berbasikal. Pendaki hanya perlukan kasut yang bersesuaian dan pakaian mendaki yang lengkap.

"Kedua, kita memfokuskan orang dari luar Pahang, atau dari kawasan yang dipilih untuk mendaki itu untuk menginap di kawasan tersebut kerana kebiasaannya orang mula mendaki pada awal pagi.

"Jadi ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan di kawasan tersebut dan kawasan yang dilalui untuk sampai ke kawasan mendaki tersebut," katanya.

Beliau juga turut berharap untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai hab pendakian di negara ini selepas ini.

Menurut beliau lagi, berdasarkan kajian berkaitan Pelancongan Domestik di Fasa 2, sebanyak 30.4 peratus respondan memilih Pahang sebagai destinasi percutian mereka. -PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

(LIPUTAN BERGAMBAR)

PAHANG TANDATANGANI MOU BERSAMA ASIA BROTHERHOOD CENTRE BAGI PROMOSI PELANCONGAN

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Pahang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Asia Brotherhood Centre (ABC) bagi mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, negeri ini merupakan negeri pertama menjalin kerjasama dengan ABC selepas Thailand dan Indonesia.

"Melalui perjanjian ini, ABC bersetuju untuk membantu mempromosikan produk- produk pelancongan di Negeri Pahang dan antara lainnya ABC akan mengemukakan permohonan rasmi untuk mereka menjadikan beberapa tempat di negeri Pahang ini sebagai hentian (pit stop)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Asia Brotherhood Centre dan Tourism Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Pihak Tourism Pahang diwakili oleh Pengurus Besarnya, YH. Dato’ Ishak Mokhtar manakala Asia Brotherhood Centre diwakili Pengerusinya, YBhg. Dato’ Seri Azmi Razil Razak dan turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, YBhg. Dato’ Haji Idros Yahya.

Beliau berkata, laluan ini akan melibatkan laluan-laluan kampung di mana ia secara tidak langsung ABC ini bertindak sebagai rakan kongsi dapat mempromosikan industri pelancongan setempat.

"Hentian ini akan disenaraikan oleh Malaysia Local Route (MLR) iaitu sebuah jaringan laluan dan platform baharu yang mempromosikan tarikan pelancongan melalui beberapa cabang seperti industri desa, produk kraftangan, restoran, rumah tamu, chalet, kebudayaan dan kesenian dan banyak lagi di kawasan laluan mereka.

"Contohnya di Temerloh kita promosikan ikan patin, Maran (kuih tradisional), Rompin (udang galah dan Taman Negeri Rompin), Raub (durian Musang King), Kuantan (bandar) dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi ABC, YBhg. Dato’ Seri Azmi Razil Razak berkata pihak ABC akan mengadakan Sempadan Ride Pahang pada 25 sehingga 27 Disember ini.

"Saya anggarkan minima 65 motosikal akan mengelilingi semua daerah di Pahang yang diadakan selama tiga hari dua malam dan kalau tiada apa-apa halangan, kawasan Titik Tengah Semenanjung di Temerloh akan menjadi tempat permulaan program ini," katanya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

(LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN NEGERI WUJUD DATA KEMISKINAN NEGERI PAHANG

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang sedang dalam proses untuk mengemaskini dan menyatukan data-data kemiskinan yang ada dalam beberapa senarai seperti sistem e-Kasih dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, proses ini sedang berlangsung dan beberapa mesyuarat teknikal telah diadakan.

"Insya-Allah kita jangka dalam tahun 2021 kita dapat kemaskini dan satukan data- data ini. Ia akan dikenali sebagai Data Kemiskinan Negeri Pahang.

"Dengan adanya data ini nanti akan memudahkan Kerajaan Pahang untuk menyalurkan bantuan kepada penerima yang betul-betul layak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong (DAP) pada sesi pertanyaan- pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza berkata, sehingga 16 Oktober lalu, seramai 50,737 peserta e-Kasih Negeri Pahang menerima bantuan.

"Daripada jumlah itu, kaum Melayu adalah seramai 44,033 orang, kaum Cina (2,527 orang), kaum India (3,332) dan lain-lain seramai 875 penerima," katanya.

Katanya lagi, jenis-jenis bantuan pula adalah bantuan am, bantuan kanak-kanak, bantuan pesakit terlantar, bantuan anak pelihara, elaun pekerjaan cacat dan bantuan OKU tidak bekerja. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

(LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: 85,929 PREMIS DIPERIKSA SEJAK PKP DILAKSANAKAN

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Pihak berkuasa telah melakukan sebanyak 85,929 pemeriksaan ke atas premis-premis di negeri ini bagi memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,668 kesalahan ditemui dan 713 bilangan kompaun telah dikeluarkan.

"Pihak berkuasa juga telah mengarahkan 60 premis ditutup kerana melanggar SOP yang ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemayan, YB. Dato' Mohd Fadil Osman (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

YB. Dato' Sri Norolazali menjelaskan, pelanggaran SOP PKP dan arahan kuarantin merupakan kesalahan yang boleh dikompaun bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan- Kesalahan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Saman atau kompaun merupakan salah satu tindakan penguatkuasaan yang telah digazetkan di bawah peraturan dan akta tersebut.

"Tindakan ini sendiri dapat memberikan pengajaran dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat kerana nilai kompaun yang dikenakan adalah tinggi iaitu RM1,000 dan tiada pengurangan dibenarkan," katanya.

Katanya lagi, selain kompaun, tindakan undang-undang lain adalah penutupan premis sekurang-kurangnya tiga hari boleh dikenakan ke atas semua premis yang tidak mematuhi SOP.

"Tindakan ini juga boleh memberikan pengajaran kerana menyebabkan kerugian kepada pemilik premis. Tindakan pendakwaan di mahkamah akan dilaksanakan di mana nilai denda yang lebih tinggi," katanya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim (LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: 185,385 PELAJAR DAPAT MANFAAT GERAN PENDIDIKAN

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Seramai 185,385 pelajar telah mendapat manfaat daripada Geran Pendidikan kepada anak-anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang disalurkan oleh Yayasan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pemberian bermula di peringkat sijil sehingga ke peringkat kedoktoran (PhD) dan sehingga kini membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM93.8 juta.

"Tawaran yang melibatkan peringkat sijil hingga Ijazah Sarjana Muda dikenali sebagai Geran Pra Siswazah manakala peringkat Sarjana dan Kedoktoran dikenali sebagai Geran Pasca Siswazah.

"Bagi Geran Pasca Siswazah akan menerima RM1,000 manakala Geran Pra Siswazah menerima RM500. Penerima hanya boleh memohon sekali sahaja bagi setiap kategori," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Hajah Samsiah Haji Arshad (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, pemberian Geran Bantuan Pelajar ke IPT ini adalah inisiatif dan rasa terima kasih Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang kepada anak-anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi yang diluluskan.

"Antara syarat ialah pemohon, ibu atau bapa dilahirkan di negeri Pahang atau sekiranya pemohon serta ibu bapa tidak dilahirkan di negeri ini, pemohon hendaklah bermastautin di Pahang lebih dari 10 tahun.

"Bagi pemohon yang ibu bapanya bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak memohon," jelasnya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

(LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: 135,052 MUAT TURUN APLIKASI PAHANGGO

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Aplikasi PahangGo yang telah dibangunkan oleh Pahang Go Sdn. Bhd. sejak Oktober 2019 merupakan antara inisiatif Kerajaan Pahang bagi memudahkan rakyat membuat urusan pembayaran bil, pembayaran cukai, parkir dan pelbagai lagi yang membabitkan dengan urusan kerajaan secara digital.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga 12 November 2020, setelah beroperasi hampir 13 bulan, jumlah muat turun aplikasi PahangGo adalah sebanyak 135,052 dengan peningkatan kira-kira 7,000 muat turun setiap bulan.

Beliau berkata, jumlah pengguna aktif pula kira-kira 70,000 orang dengan purata transaksi yang telah dilakukan melalui perkhidmatan aplikasi PahangGo ialah sebanyak 90,000 transaksi sebulan dengan jumlah nilainya mencecah RM 800,000 sebulan.

"Pihak PahangGo juga sentiasa menerima maklum balas melalui media sosial untuk menambah baik aplikasi berkenaan. Sehingga kini kira-kira 2,000 maklum balas yang merangkumi aduan, pandangan dan cadangan diterima pihak PahangGo," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, aplikasi PahangGo juga dibangunkan sepenuhnya oleh kakitangan dalam syarikat PahangGo Sdn. Bhd. yang menerima modal permulaan sebanyak RM1 juta.

"Tiada sebarang suntikan modal daripada Kerajaan Pahang yang digunakan oleh PahangGo Sdn. Bhd.," katanya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

(LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG SEDIA HADAPI BENCANA BANJIR

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dilanda bencana banjir dengan persiapan awal yang telah dilakukan sejak bulan lalu.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 98 tan bekalan barangan telah dihantar ke 118 pangkalan hadapan seluruh negeri bermula dengan Pulau Tioman pada 28 hingga 30 Oktober lalu.

"Saya gembira kerana persiapan awal telah dilakukan dengan penghantaran bekalan makanan dan sehingga kini, sebanyak 98 tan bekalan tersebut telah dihantar. Jika hendak dianalogikan, beratnya ialah bersamaan kira-kira 33 buah trak askar, setiap satunya seberat tiga tan!

"Bekalan tersebut akan diagih-agihkan ke 647 buah Pusat Pemindahan Sementara yang boleh memuatkan sehingga kira-kira 153,020 mangsa banjir dalam satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penangguhan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata semua yang terlibat juga perlu mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

"Saya amat berharap, semua pihak dapat akur kepada SOP ini agar jangan nanti dengan berlakunya banjir dan berlakunya pemindahan ke pusat-pusat pemindahan tersebut, wabak pandemik COVID-19 semakin menjadi-jadi pula," katanya.

Mengakhiri ucapan sesi penangguhan Sidang Dewan Negeri kali ini, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy menyampaikan penghargaan kepada Yang Berhormat, Tuan Yang Dipertua dan Yang Berhormat, Tuan Timbalan Yang Dipertua serta semua pihak kerana berjaya mengemudi dan melancarkan perjalanan persidangan selama lima hari bermula Isnin lalu.

"Penghargaan turut diberikan kepada penjawat awam negeri, pasukan-pasukan keselamatan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM), petugas Jabatan Kesihatan, petugas belakang tabir, petugas-petugas kebersihan seperti ‘kakak-kakak cleaner’, juga kepada penyedia dan pengendali-pengendali makan dan minum.

"Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada para wartawan, sama ada dalam kalangan mereka daripada entiti berita media sosial milik Kerajaan Negeri, mahupun daripada arus perdana," katanya. -PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Fairus Mohd & Fansurina Abdullah Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi

(LIPUTAN BERGAMBAR)

DEWAN NEGERI PAHANG LULUS CADANGAN WUJUDKAN LIMA AHLI DEWAN NEGERI SECARA LANTIKAN

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Dewan Negeri Pahang meluluskan cadangan untuk mewujudkan Ahli-ahli Dewan Negeri (Dilantik) tanpa melalui proses pilihanraya, bagi menduduki dan menyertai Dewan Negeri sebagai Ahli Yang Berhormat.

Cadangan berkenaan dibawa oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerusi Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020.

Berdasarkan cadangan itu, jumlah yang dicadangkan tidak lebih lima orang, menjadikan keseluruhan Ahli Dewan Negeri tidak lebih 47 orang, termasuk 42 Ahli Dewan Negeri sedia ada, yang dipilih menerusi proses pilihanraya.

“Pindaan yang dicadang bagi pelantikan ini bukanlah sesuatu luar biasa atau ‘abnormal’. Sebelum ini kerajaan Sabah dan Terengganu telah melaksanakannya dan ia dapat menjadi daya saling melengkapi dan bukan pertindihan, kepada perkhidmatan Ahli Dewan Negeri sedia ada.

“Pelantikan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) dipercayai akan dapat meluaskan perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat jelata, terutamanya dalam situasi politik dan sosio-ekonomi yang mencabar akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang belum pasti kesudahannya,” katanya.

Dalam pada itu, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy berkata Ahli Dewan Negeri (Dilantik) tentunya akan dibuat dalam kalangan mereka yang berkaliber dan berkemahiran tertentu.

“Mereka akan dapat berganding bahu bersama Ahli Dewan Negeri sedia ada untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.

“Pelantikan tambahan melibatkan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) ini juga mampu mengurangkan kadar atau ‘ratio’ secara keseluruhan seorang Ahli Dewan Negeri kepada jumlah penduduk yang diwakilinya,” katanya.

Cadang berkenaan mendapat tentangan daripada Ahli Dewan Negeri pembangkang yang kemudiannya bertindak keluar dewan selepas ia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri yang lain termasuklah Ahli Dewan Negeri daripada PAS.- PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh: Fairus Mohd & Fansurina Abdullah Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim & Mahathir Ali

(LIPUTAN BERGAMBAR)

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KEDUDUKAN KEWANGAN SEMAKIN KUKUH

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020 : Kedudukan kewangan negeri Pahang yang kukuh membolehkan kerajaan negeri mengumumkan belanjawan 2019 bernilai RM703.8 juta dan merekodkan kejayaan pencapaian sehingga 120 peratus.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kutipan hasil sebenar sehingga akhir 2019 mempunyai lebihan sebanyak RM143.5 juta bersamaan dengan 20 peratus.

Manakala, Belanjawan Negeri 2020 pula bernilai RM744.02 juta yang dibentang pada 18 November 2019 juga dijangka bakal melepasi paras 100 peratus menjelang 31 Disember 2020.

“Dengan ini, tentu lebih banyak yang dapat Kerajaan Negeri lakukan termasuk memulangkannya semula kepada rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang baru diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Pada Sidang Dewan Negeri kali ini juga, seramai 14 ahli daripada parti (BN) dan lapan ahli daripada PAS telah bersetuju membuat potongan 10 peratus daripada elaun selama tiga bulan bermula November 2020 hingga Januari 2021.

“Ini menunjukkan keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat ketika negeri melalui tempoh yang sukar akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum reda di peringkat negara ketika ini,” katanya.

Menyentuh isu pengurusan hutan, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini kira-kira 1.55 juta hektar dan angka ini kekal stabil kerana kerajaan mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan agar kawasan hutan tetap terpelihara.

“Daripada 1.55 juta hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) tersebut, seluas 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dijalankan pembalakan manakala bakinya seluas 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan yang tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab tertentu termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menjelaskan tentang peruntukan RM92.5 juta melibatkan enam projek iaitu bekalan air Raub sebanyak RM12 juta, bekalan Air Kuantan Fasa 3 sebanyak RM10.5 juta, bekalan Air Karak sebanyak RM10 juta, bekalan Air Lipis sebanyak RM8 juta, bekalan Air Nenasi sebanyak RM5 juta dan projek pemindahan Air Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan sebanyak RM47 juta.

Beliau turut menyentuh isu hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat bernilai RM1 billion yang akan dilupuskan susulan langkah penstrukturan semula air di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri juga tidak perlu menyuntik modal kepada Pengurusan Air Pahang Bhd. (PAIP) bagi Perbelanjaan Modal (CAPEX) baharu, memandangkan PAIP boleh memohon pinjaman baharu terus kepada Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB),” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan mempercepatkan kerja pembangunan di kawasan Taman Industri Minyak dan Gas dan Maritim Tanjung Agas, Pekan.

Beliau mengakui, hampir kesemua prasarana asas telah lengkap di kawasan seluas 1,710 hektar itu.

PKNP dan syarikat pemaju TGA Solutions Sdn. Bhd. kini sedang memuktamadkan terma dan syarat bersama beberapa pelabur asing sebelum pembangunan semula dapat dimulakan.

Berhubung Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, beliau berkata, ia akan berfungsi sebagai pemantau kepada pelaksanaan strategi jangka pendek dan panjang seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat.

“Kajian Pelan Pembangunan ini akan dirangka oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan pihak perunding yang dilantik dengan mengambil kira tiga aspek utama iaitu pelaburan, infrastruktur, pembangunan modal insan.

Beliau turut mengulas cadangan untuk mewujudkan semula Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) dan Jengka atau LKWJ yang telah dibubarkan pada 1997 dan gesaan terhadap Kerajaan Pusat mengenai royalti minyak sebanyak RM100 juta yang dijanjikan kepada Pahang.

Selain itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM752,700 kepada 15,054 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai pesediaan menghadapi peperiksaan tersebut tahun hadapan. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo

Oleh : Fansurina Abdullah dan Fairus Mohd Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

(LIPUTAN BERGAMBAR)