UCAPAN PERASMIAN KSU WCE (SEKSYEN 9 & 10).Pdf
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
UCAPAN PERASMIAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KERJA RAYA PEMBUKAAN JAJARAN SEKSYEN 9 & 10 DARI PERSIMPANGAN KG. LEKIR KE PERSIMPANGAN BERUAS DI LEBUHRAYA PESISIRAN PANTAI BARAT (WCE) PADA 23 SEPTEMBER 2019 SALUTASI Yang Berusaha Saudara/Saudari Pengacara Majlis Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu, Menteri Besar Perak; Yang Berbahagia Dato’ Sr. Aziz Bin Abdullah, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia; Yang Berbahagia Datuk Ir. Hamzah Hassan, Pengerusi West Coast Expressway Holdings Berhad; Yang Berbahagia Dato’ Neoh Soon Hiong, Pengarah Urusan West Coast Expressway Holdings Berhad; Ketua – ketua pengarah, wakil-wakil agensi kerajaan, syarikat-syarikat Konsesi; Rakan-rakan media; Hadirin yang saya hormati sekalian. PENDAHULUAN 1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita diberikan kesejahteraan dan kesempatan untuk bersama-sama berkumpul pada majlis yang penuh bermakna pada hari ini. 2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan West Cost Expressway di atas kesudian menjemput saya hadir ke Majlis Pembukaan bagi jajaran Seksyen 9 dan 10 dari Persimpangan Kampung Lekir ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Sepertimana sedia maklum, Seksyen 8 iaitu dari Hutan Melintang ke Teluk Intan juga telah dibuka kepada pengguna pada 31 Mei 2019 yang lalu. AKSESIBILITI Hadirin yang dihormati, 3. Pembinaan dan pembukaan rangkaian-rangkaian lebuh raya di negara ini merupakan satu keperluan dan elemen penting untuk menggerakkan nadi pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara. Pembinaan jajaran lebuh raya yang moden, kemas dan efisien mampu memberikan kesan berganda terhadap pelbagai program pembangunan hartanah, perindustrian dan juga perbandaran. 4. Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaru yang menghubungkan antara negeri Selangor dan negeri Perak yang melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Sabak Bernam di Selangor dan seterusnya, melibatkan pembinaan di kawasan Teluk Intan, Seri Manjung, Beruas dan Taiping di negeri Perak. 5. Pembukaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) secara keseluruhannya kelak, sudah pastinya dapat memudahkan akses ke kawasan pantai barat yang menghubungkan utara dan selatan semenanjung Malaysia. Menerusi pembukaan lebuh raya ini juga, secara tidak langsung dapat membantu dalam penyuraian trafik malah menyediakan sambungan menghubungkan kawasan baharu dengan lebuh raya - lebuh raya utama sedia ada seperti lebuh raya PLUS, LATAR, SKVE, KESAS, dan NKVE khusus bagi memenuhi keperluan pengguna-pengguna lebuh raya. PENJIMATAN MASA PERJALANAN 6. Objektif utama pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) adalah untuk menjimatkan masa dan memendekkan perjalanan serta melancarkan aliran trafik di kawasan - kawasan sekitar. Menerusi pembukaan Seksyen 9 dan 10 dengan kos pembinaan bagi jajaran ini sebanyak RM917 juta, sejauh 45 kilometer ini, dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan selama 30 minit bagi perjalanan dari Kg Lekir ke Beruas dan sebaliknya. 7. Sejak pembukaan Seksyen 8 daripada Hutan Melintang ke Teluk Intan, lebih 600 ribu kenderaan telah menggunakan laluan tersebut. Laluan tersebut telah menjadi laluan pintasan kepada penduduk di sekitar Sabak Bernam, Selangor; Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan di Perak. Jajaran tersebut juga dapat memendekkan masa perjalanan dengan anggaran 11 minit berbanding penggunaan laluan Jalan Persekutuan FT005 dan turut memiliki kemudahan awam seperti surau dan bilik air bersebelahan Plaza Tol Hutan Melintang dan Plaza Tol Teluk Intan. 8. Laluan Jalan Persekutuan FT005 iaitu dari Teluk Intan ke Kampung Lekir di Perak dan dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang di Selangor juga sedang dinaiktaraf oleh Kerajaan bagi membolehkan lebuh raya ini dapat digunakan dengan selesa apabila siap sepenuhnya kelak. IMPAK INDUSTRI LEBUHRAYA KEPADA EKONOMI NEGARA, PERINDUSTRIAN DAN PEMBANGUNAN SETEMPAT Hadirin yang dihormati sekalian, 9. Untuk makluman anda semua, Teras Strategik Ketujuh RMK-11, memberi tumpuan kepada pengukuhan infrastruktur dalam menyokong pengembangan ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada membina sistem pengangkutan berasaskan keperluan bersepadu dan lancar dalam meningkatkan perhubungan dan mobiliti rakyat. 10. Infrastruktur yang baik adalah asas kemasukan sosial, pengembangan ekonomi dan pertumbuhan, sekali gus memerlukan kementerian secara proaktif membangunkan projek infrastruktur bagi memacu aktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara khususnya 11. Sememangnya, pembangunan industri lebuh raya memberi peranan besar membantu pembangunan sesebuah negara. Kita dapat melihat bagaimana kawasan yang dahulunya kurang membangun kini telah bertukar menjadi bandar-bandar besar dengan pusat aktiviti ekonomi yang turut berkembang. Kita ambil contoh bagaimana domino efek dari pembangunan Lebuhraya Utara-Selatan dapat meningkatkan kegiatan ekonomi setempat seperti Tanjung Malim, Ipoh, Nilai, Senawang Melaka, Pagoh yang memberi impak besar kepada pembangunan dan perkembangan ekonomi seterusnya membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di kawasan-kawasan tersebut. 12. Menerusi pembukaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) saya berharap akan wujud lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat di hentian rehat dan rawat dan membantu dalam meningkatkan industri pemasaran produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS). KESELESAAN / KEBAIKAN PENGGUNA Hadirin sekalian, 13. Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan hentian rehat dan rawat yang dibina di semua Plaza tol di sepanjang lebuh raya dan lengkap dengan fasiliti tandas, surau, wakaf dan parkir untuk kemudahan pengguna lebuh raya. Selain itu, pembinaan Lebuhraya ini juga mengambilkira ciri- ciri keselamatan dimana hampir keseluruhan laluan lebuh raya ini mempunyai profil yang lebih rata secara tidak langsung memberikan pemanduan lebih selesa serta dapat menjimatkan kos bahan api. Laluan sebegini juga sangat sesuai bagi kenderaan- kenderaan berat yang tidak perlu lagi mendaki bukit. KEPERLUAN BAGI PENYURAIAN TRAFIK Hadirin yang dihormati, 14. Keadaan trafik semasa yang semakin meningkat dan menyebabkan kesesakan terutamanya di musim perayaan sering berlaku di jajaran lebuh raya yang sedia ada. Pembukaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ini amat dinantikan oleh pengguna – pengguna lebuh raya sebagai laluan alternatif terbaru yang lebih strategik dan efektif. 15. Lebuh raya ini apabila siap sepenuhnya kelak akan menjadi sistem penyuraian trafik dan menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) terutama ketika musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang menuju ke utara Semenanjung dan sebaliknya. PENUTUP 16. Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan lebuh raya ini, antaranya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, West Coast Expressway Holdings Berhad, juru-juru perunding dan tidak ketinggalan kontraktor-kontraktor yang terlibat sehingga berjaya menyiapkan Seksyen 9 dan Seksyen 10 ini. Tidak lupa juga kepada Kerajaan Negeri Perak dalam membantu mempermudahkan urusan serta kerjasama yang telah diberikan. 17. Segala perit, jerih dan kepayahan untuk melaksanakan projek ini amat bermakna apabila jajaran ini dapat dibuka kepada pengguna pada hari ni. Saya berharap Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan menjadi infrastruktur kebanggaan rakyat di negara ini apabila beroperasi sepenuhnya kelak. Pada masa yang sama saya berharap West Coast Expressway Holdings Berhad, menyiapkan pembinaan di seksyen-seksyen yang lain dengan segera bagi melengkapkan keseluruhan jajaran lebuhraya ini. 18. Untuk makluman semua, jajaran Seksyen 9 dan 10 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) ini akan dibuka kepada pengguna jalan raya bermula jam 10.00 malam ini. 19. Akhir kata saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua. Dengan lafaz saya rasmikan pembukaan bagi jajaran Seksyen 9 dan 10 dari Persimpangan Kampung Lekir ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. .