PENGARUH PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL DALAM FAHAMAN ANTI HADIS

Kamal Azmi Abd Rahman1

1 Kamal Azmi Abd. Rahman, Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Usuluddin, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. ([email protected])

Abstrak

Isu mengenai Anti Hadis di bermula pada tahun 1986 ekoran daripada penulisan kontroversi bertajuk Hadis Satu Penilaian Semula oleh Kassim Ahmad. Di dalam buku tersebut, beliau cuba mengupas masalah perpecahan ummah. Menurut beliau, keimanan kepada Hadis sebagai sumber rujukan selepas al-Quran telah menjadi faktor utama perpecahan ummah tersebut. Oleh yang demikian, golongan Anti Hadis menyarankan supaya umat Islam merujuk kepada al-Quran sahaja sebagai panduan hidup. Artikel ini akan membahaskan tentang fahaman Anti Hadis dan hubungannya dengan pemikiran Islam liberal. Kajian ini berbentuk kualitatif – analisis kandungan yang akan menjelaskan tentang pemikiran Anti Hadis melalui penulisan Kassim Ahmad. Kajian mendapati bahawa Anti- Hadis meneruskan gagasan-gagasan idea yang dibawa oleh kumpulan Islam Liberal seperti mengkritik ulama dan pemahaman Islam semasa, dasar keterbukaan kepada semua fahaman dan ideologi serta mentafsir nas secara historis dan hermeneutik.

Kata Kunci: Anti Hadis, Kassim Ahmad dan Islam Liberal

1. Pengenalan Islam liberal adalah sebuah ideologi yang semakin berkembang dalam kehidupan masyarakat Islam kini. Gerakan Islam Liberal mengambil landskap Renaissance di Barat sebagai asas kepada semangat pembebasan yang mereka inginkan. Jika John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Adam Smith dan lain-lain tokoh liberal di Barat telah berjaya membentuk satu kehidupan baru dalam kehidupan masyarakat Barat dengan idea-idea pemebebasan, sekular dan individualistik, maka umat Islam juga mampu membangunkan masyarakat mereka dengan cara tersebut. Walaupun tidak seratus peratus sama, namun mereka bersetuju dengan kerangka pemikir Barat tersebut yang menuntut usaha pembaharuan dalam memahami agama dan nas dalam kehidupan moden. Dari segi idea dan pemikiran, Islam Liberal mungkin telah bermula lebih lama namun istilah “Islam Liberal” mula dipromosikan oleh Leonard Binder pada tahun 1988 menerusi penulisannya yang bertajuk Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies dan diikuti oleh Charles Kurzman dalam penulisannya, Liberal Islam: A Source-Book yang diterbitkan pada tahun 1998. Kedua-dua buku ini menjadi rujukan utama bagi pendukung fahaman Islam Liberal di seluruh dunia. Antara nama-nama tokoh yang mendukung ideologi 1 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

ini ialah Ahmad Khan, Fazlur Rahman, Abdullah Ahmad Naim, Hasan Hanafi, Muhammad Arkoun, Abdul Karim Soroush, Fatima Mernisi, Aminah Wadud, Nawal Sa’adawi, Rifa’at Hassan, ‘Ali, ‘Abd al-Raziq, Farid Esack, Nurcholis Madjid, Harun Nasution, Ahmad Wahib, Lutfi As-Syaukanie, Ulil Abshar, Djohan Efendi dan lain-lain lagi. Di Malaysia, gerakan Islam Liberal mempunyai jaringan dengan gerakan modernisme pada zaman pra dan pasca kemerdekaan. Idea-idea ini boleh didapati dalam gerakan kaum muda yang terinspirasi oleh penulisan tokoh modernis Timur Tengah iaitu Jamaluddin al- Afghānī, Muḥammad ʿAbduh dan Rashīd Riḍā. Antara tokoh tersebut ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Syeikh Muhammad Salim al-Kalali dan Syed Syeikh al-Hadi. Idea-idea baru yang diekembangkan oleh tokoh-tokoh ini kebanyakannya mengambil inspirasi falsafah Barat dan bertujuan untuk mengharmonikan Islam dan Barat dalam kerangka yang maju dan moden. Dalam konteks kontemporari, antara tokoh-tokoh yang mempromosikan ideologi Islam Liberal di Malaysia ialah Syed Akbar Ali, Zainah Anwar, Astora Jabat dan lain-lain. Sementara dalam bentuk pertubuhan pula ialah Musawah, Jemaah al-Quran Malaysia, Sisters In Islam (SIS), Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Faith Commision (IFC), Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organisation (WAO) All Women’s Action Society (AWAM) dan The Joint Action Group for Gender Equality (JAG). Islam Liberal dikritik kerana mempromosikan idea-idea baru yang bertentangan dengan tradisi Islam. Walaupun begitu, mereka tetap meyakini bahawa gagasan idea perubahan tersebut adalah satu keperluan dalam kehidupan baru dan ia adalah satu langkah yang mesti diambil dalam usaha untuk mengekalkan mesej kesejagatan yang dibawa oleh Islam. Dengan berpegang kepada slogan pembukaan pintu ijtihad serta ke arah kefahaman Islam yang terbuka dan progresif, umat Islam tidak boleh terkebalakang berbanding Barat. Dalam keghairahan kumpulan Islam Liberal berusaha untuk memperbaiki kehidupan masyarakat Islam dari segenap aspek, idea-idea meraka telah menimbulkan keslahfahaman dalam urusan beragama seperti menganjurkan pentafsiran Islam secara pluralis, mempertikai shariat Allah dan hukum-hukum fiqah dengan hujah rasional serta menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama (Mazlan Ibrahim etl. 2013). Terdapat perbezaan gerakan Islam Liberal di Malaysia dengan gerakannya di negara- negara lain seperti di Indonesia kerana di Malaysia ia tidak dizahirkan melalui penggunaan istilah ‘Islam Liberal’. Mereka walau bagaimanpun tetap meniru kebanyakkan idea-idea yang

2 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

dibwakan oleh tokoh-tokoh liberal luar negara. Contohnya gerakan Sister In Islam (SIS) yang mendepankan idea feminisme yang menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan urusan agama seperti isu penguatkuasaan undang-undang Islam. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mengenal Islam Liberal melalui metode dan ideanya walaupun namanya berbeza. Berdasarkan kepada metode dan matlamat idea tersebut, kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti beberapa bentuk pemikiran Islam Liberal yang terdapat dalam gerakan Anti Hadis. Dalam membahaskan tentang perbahasan Anti Hadis, kajian akan merujuk kepada penulisan tokoh pemikir Anti Hadis terkenal iaitu Kassim Ahmad.

2. Pemikiran Anti-Hadis Dalam Penulisan Kassim Ahmad Kassim Ahmad (9 September 1933 – 10 Oktober 2017) merupakan seorang pemikir, penulis, penyair dan juga bekas pensyarah. Beliau dilahirkan di Bukit Pinang, Kota Setar, pada tahun 1933 dan berketurunan Pattani dari Selatan Thailand. Kassim Ahmad telah mendapatkan pendidikan yang sempurna. Beliau mula mendapat pendidikan rendah di sebuah sekolah kebangsaan di Bandar Baharu sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid di peringkat menengah. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1950 an. Di Singapura, beliau telah menyiapkan penulisan tesis yang mana telah mencabar kedudukan popular sebagai seorang hero dalam tradisi masyarakat Melayu. Hang Tuah merupakan seorang lagenda pahlawan Melayu di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut beliau, Hang Tuah bukanlah hero sebenar, sebaliknya watak Hang Jebat yang sepatutnya diangkat sebagai hero walaupun dia dikenali dengan watak antagonis dalam hikayat tersebut. Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana, Kassim Ahmad meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam sains politik pada tahun 1976. Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau bekerja sebagai penyelidik di , yang mana bidang kepakarannya adalah berkenaan dengan literatur Hang Tuah. Beliau kemudian telah berkelana ke London untuk mengajar Bahasa Melayu di School of Oriental and Afirican Studies selama 4 tahun. Oleh kerana minatnya yang mendalam dalam politik di Malaysia, beliau telah menolak tawaran jawatan tetap di SOAS dan mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Sekembalinya ke Malaysia, beliau mengajar di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Perkhidmatannya sebagai

3 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

guru akhirnya ditamatkan kerana didapati menyebarkan pamphlet sosialisme kepada pelajar.

Minatnya dalam arena politik boleh dilihat melalui penglibatan beliau yang aktif dalam Kelab Sosialis di zaman universiti pada era 1950-an. Ia merupakan gerakan sayap kiri mahasiswa di Malaysia dan Singapura. Beliau sempat mengepalai satu badan politik bersama dengan Syed Hussin Ali bermula pada 1965 hingga 1980 sebelum menyertai UMNO. Kassim Ahmad telah melalui banyak liku semasa penglibatannya dalam bidang politik antaranya ialah beliau pernah ditangkap di bawah akta ISA selama 5 tahun bermula pada tahun 1976 disebabkan sokongannya terhadap gerakan Sosialis-Komunis di Malaysia. Kassim Ahmad telah dibebaskan pada 30 Julai 1981 apabila menjadi Perdana Menteri. Pemikiran kontroversi Kassim Ahmad diteruskan lagi melului sebuah penulisan bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula pada tahun 1984. Penulisan ini menjelaskan dokongan beliau terhadap pemikiran Anti Hadis kerana mempersoalkan peranan dan kedudukan hadis sebagai sumber utama dalam Islam. Bagi Kassim Ahmad (2014: 411), Hadis menjadi punca perpecahan umat Islam dan membawa kepada penyelewengan kefahaman agama apatah lagi dalam keadaan al-Quran ditinggalkan. Beliau mengkritik amalan masyarakat Melayu yang melagukan al-Quran manakala Hadis pula dijadikan sebagai pegangan utama sama seperti al-Quran. Beliau menyarankan supaya umat Islam merujuk kepada al-Quran sahaja sebagai panduan hidup. Oleh kerana itu juga, buku tulisan Kassim Ahmad telah disenaraihitamkan oleh kerajaan pada tahun 1986. Kassim Ahmad (2014: 231) walau bagaimanapun menafikan beliau mendukung pemikiran Anti Hadis. Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa beliau mengikuti jejak langkah Rashid Khalifa yang menolak hadis. Beliau menyatakan pendiriannya yang tidak menolak hadis secara total dan cogan kata ‘ikut Quran’ tidak bermaksud penolakan hadis (Kassim Ahmad 2014: 457). Walau bagaimanapun, penulisan beliau jelas menunjukkan kecenderungan beliau terhadap pemikiran Anti Hadis. Apatah lagi Kassim Ahmad juga telah meletakkan kedudukan Hadis sama seperti ilmu-ilmu lain yang tidak absolut dan boleh dicabar (Kassim Ahmad 2014: 458) sedangkan Hadis merupakan sumber terpenting dalam Islam selepas al-Quran.

4 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

3. Dukungan Anti-Hadis Terhadap Pemikiran Islam Liberal Terdapat dua bentuk pemikiran Islam Liberal yang telah dikenalpasti terkandung di dalam wacana penulisan Anti Hadis terutamanya di dalam karya-karya Kassim Ahmad. Dua bentuk pemikiran tersebut ialah;

3.1 Kritikan Terhadap Ulama’ dan Pemahaman Islam Semasa Kemunduran umat Islam adalah salah satu daripada elemen perbahasan yang menjadi perhatian utama golongan Anti Hadis. Faktor yang menyebabkan kehidupan umat Islam ‘gagal’, mundur dan tidak maju ialah pemahaman yang salah tentang Islam. Oleh yang demikian, golongan Anti Hadis sentiasa mengkritik pemahaman dan pengamalan agama Islam pada masa kini. Islam yang sampai di tanah Melayu pada abad ke 13/14 telah mengalami perubahan besar dan hilang keasliannya berikutan kejatuhan emapayar Islam di kota Baghdad kepada kaum gusar. Kesalahfahaman ini juga menyebabkan kegagalan kumpulan modernis untuk mentajdid agama yang bermula di tangan al-Afghānī dan ʿAbduh walaupun sudah lebih 100 tahun. Oleh itu, seperti Islam Liberal, golongan Anti Hadis menganjurkan kehidupan masyarakat yang lebih terbuka. Mereka bersetuju dan mempromosikan fahaman sekularisme. Bagi mereka sekularisme adalah ideologi yang diperlukan dalam urus tadbir yang lebih baik bagi kehidupan moden yang penuh dengan cabaran. Ini termasuk dalam menguruskan kepelbagaian agama dan masyarakat baru. Kassim Ahmad (2014: 379) dalam hal ini merujuk kepada Piagam Madinah dengan menyatakan bahawa negara tidak boleh beragama sebaliknya diurus tadbir oleh penganut-penganutnya. Menurut Kassim Ahmad (2014: 378) lagi, kehidupan dunia atau sekular yang ditadbir oleh undang-undang kebaikan itu dibenarkan dan dikehendaki oleh Islam. Baginnya (2014: 379), politik harus sekular dan dipisahkakn daripada agama; Politik bermoral ini sekularisme yang dianjurkan dalam al-Quran melalui ajaran ayat 67:22 dan melalui Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad untuk mentadbirkan negara kota (Madinah) dan negara bangsa (Arabia) yang berbilang bangsa dan agama. Perhatikan inilah negara bangsa yang pertama dalam sejarah.

Golongan Anti Hadis lantang mengkritik golongan ulama’ kerana memberikan tafsiran agama yang salah dan tertutup. Menurut Kassim Ahmad pemahaman Islam yang

5 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

diberikan oleh ulama dan agamawan pada masa kini telah menyempitkan agama dan dipenuhi dengan unsur taqlid. Oleh itu, di samping mengkritik kehujahan yang terdapat di dalam Hadis, Kassim Ahmad (2014: 489) juga menyatakan bahawa ulama’ telah gagal memberikan mesej universal Quran dan maksud sejahtera yang ada pada kata nama Islam sehingga Islam dilebel oleh Barat sebagai teroris dan ekstremis. Pemahaman yang sempit tersebut menyebabkan kehidupan umat Islam dengan golongan bukan Islam menjadi tidak harmoni lagi. Beliau telah mengambil dua isu yang berlaku di Malaysia sebagai contoh iaitu isu melaungkan azan sehingga menyakiti masyarakat bukan Islam dan perebutan nama Allah antara Islam dan bukan Islam di Malaysia. Kasssim Ahmad (2014: 297) juga menolak perlaksanaan hukum Hudud kerana bercanggah dengan Quran dan Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia pada zaman moden. Baginya Hukum Hudud adalah undang-undang mengikut pemahaman ahli-ahli undang-undang zaman dahulu. Oleh yang demikian, umat Islam pada era sekarang perlu mengkut ajaran daripada Tuhan yang sahih serta selaras dengan kehendak satu tamadun humanis dan universal yang baru. Penolakan ini juga disandarkan kepada hujjah bahawa pelaksanaan hukum Islam pada saat ini hanya akan memberi kesan negatif kerana pelaksanaannya dianggap sangat bertentangan dengan hak-hak asasi manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Sepertimana Islam Liberal yang menyokong kebebasan beragama secara mutlak, Kassim Ahmad (2014: 490) juga menggunakan nas “taida paksaan dalam agama” bagi mengharuskan semua kepercayaan diamalkan di dalam negara moden. Baginya, dalam konteks Malaysia, negara harus membenarkan kaum Shiah untuk mempromosikan dan mengamalkan kepercayaan mereka dan sesiapa pun yang melanggar undang-undang tidak kira Sunni atau syiah mesti dihukum selayaknya. Suasana pemahaman Islam yang salah telah menyebabkan umat Islam mundur. Keadaan ini adalah berpunca daripada kedudukan eksklusif para ulama dan agamawan. Kassim Ahmad (2014: 411) menyamakan status ulama’ yang eksklusif dalam Islam dengan kedudukan paderi dalam ajaran Kristian, Yahudi dan Hindu. Baginya, status istimewa ini hendakalah dihapuskan dan semua orang berhak untuk mentafsir dan memahami agama. Kassim Ahmad (2014: 57) turut mengkritik ulama dan tradisi pendidikan Islam: Kita diajar melagukan al-Quran, bukan membaca dan mengkajinya, oleh ulama’ kita sendiri. Kita dilarang memabca dan mengkaji al-Quran tanpa guru, kononnya kerana susah. Dari manakah datangnya semua ini?

6 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

Kritikan terhadap ulama dan pemahaman Islam semasa mempunyai persamaan dengan pendirian golongan Islam Liberal yang menolak autoriti agama. Menurut Khalif Muammar (2006), pendukung fahaman Islam Liberal juga menolak autoriti agama dan menganut fahaman kebebasan untuk berijtihad oleh mana-mana individu mengenai apa jua bentuk permasalahan agama. Bagi mereka, kebenaran adalah bersifat relatif dan tidak boleh didakwa oleh mana-mana pihak. Penolakan terhadap autoriti agama bagi penganut fahaman Islam Liberal ini adalah penting agar kebebasan berpendapat atau ijtihad dapat dilaksanakan. Atas dasar kebebasan berpendapat dan berijtihad inilah maka Islam Liberal banyak merujuk kepada karya-karya Orientalis yang telah menyokong kuat idea-idea ijtihad yang bebas tanpa sekatan. Seperti golongan Anti Hadis, golongan Islam Liberal juga mendesak agar al-Quran di tafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama-ulama terdahulu yang menurut mereka telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang yang serba canggih ini. Mereka juga berpandangan bahawa dalam mentafsir al-Quran, tidak perlu terikat dengan disiplin-disiplin ilmu yang berkaitan seperti Asbāb al-Nuzūl, Nasikh wa al-Mansūkh, tafsiran Rasulullah SAW, para sahabat dan sebagainya. Bagi Kassim Ahmad (2014: 233) pemahaman nas Quran adalah berbeza-beza dari satu generasi ke generasi yang lain. Pemahaman kandungan al-Quran yang sebenar dan penyingkiran sikap taklid kepada ulama’ merupakan dua syarat yang diperlukan untuk menebus semula martabat Islam dan martabat umat Islam menjelang abad ke-21. Menurutnya, umat Islam tidak akan boleh kembali kepada ajaran-ajaran al-Quran yang sebenar kecuali mereka sedar bahawa selama ini terdapat ahli-ahli tafsir klasik yang dianggap kudus boleh dan telah pun membuat beberapa kesilapan yang telah menyebabkan kita menajdi daif dan mundur. Oleh kerana itu, umat Islam digesa agar kembali semula kepada Quran, memahami dan mentafisr Quran secara langsung tanpa berpandukan kepada tafsir- tafsir turath Islami. Menurut Kassim Ahmad (2014: 110), umat Islam perlu diajak balik terus kepada ajaran-ajaran Quran tanpa perantaraan ulama yang telah bertanggungajawb menghadang umat Islam daripada Wahyu Tuhan yang sebenar dalam al-Quran. Ini sangat sesuai dengan ajaran Islam yang sebenar. Menurut Muhamad Razak Idris (2006), fahaman Islam Liberal juga sering dikaitkan dengan idea dan gerakan modenisme. Modenisme adalah idea untuk membebaskan masyarakat daripada kongkongan adat resam dan tradisi yang sempit yang dianggap sebagai

7 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

penghalang kepada budaya kemajuan dan kebebasan. Idea-idea pembaharuan Anti Hadis menepati ideologi modenimse dalam falsafah Islam Liberal. Oleh itu, sama ada Islam Liberal mahupun Anti Hadis, kedua-duanya menuntut agar pintu ijtihad dibuka. Menurut Kassim Ahmad (2014: 109), bagi mendepani cabaran semasa terutama dalam bentuk pemikiran, ekonomi dan kehidupan, pintu ijtihad hendaklah dibuka semula. Pembukaan pintu ijtihad dapat mencegah daripada budaya taklid. Umat Islam haruslah membebaskan diri mereka daripada sikap taksub kepada tafsiran ulama’ klasik dan mentafsir semula Quran agar bersesuaian dengan konteks (Kassim Ahmad 2014: 110). Menurutnya (2014: 110), umat Islam perlu diajak untuk terus kembali kepada ajaran-ajaran Quran, tanpa perantaaraan ulama’ yang telah bertanggunjawab menghalang umat Islam daripada Wahyu Tuhan yang sebenar di dalam Quran. Sikap orang awam yang melihat ulama’ sebagai pembela agama dan rakyat harus dibuang daripada mereka (Kassim Ahmad 2014: 111). Kesimpulan daripada apa yang telah dinyatakan sebelum ini, boleh dilihat daripada petikan penulisan Kassim Ahmad (2014: 411) sendiri: Dalam penyelidikan saya, apa yang dipanggil Hadis atau Sunnah itulah punca utama penyelewengan umat Islam. Al-Quran dibuat buku nyanyian; Hadis dibuat buku pegangan! Selepas itu, umat Islam mewujudkan suatu kasta paderi (disebut ulama) yang tiada dalam ajaran Islam yang asal untuk mentafsirkan agama bagi mereka, seperti orang Kristian, Yahudi dan Hindu.

3. 2 Mentafsir Nas Secara Historis dan Hermeneutik Menurut Kassim Ahmad (2014: 296), Islam itu tertakluk kepada dua jenis iaitu Islam yang terikat dalam sejarah atau Islam yang bebas, menyeluruh, humanis dan universal. Islam sejarah perlu bergerak ikut peredaran zaman, tetapi Islam yang yang humanis dan universal perlu diberi bentuk yang sesuai dengan zaman kita sekrang. Oleh yang demikian, setiap nas agama perlu kepada pentafsiran yang baru. Ini seperti mana sikap yang diambil oleh golongan Islam Liberal yang bersikap kritikal terhadap nas dan tafsirannya. Mereka menganjurkan tafsir Quran secara historis, kontekstual yang dipanggil dengan kaedah hermeneutika yang mana merupakan kaedah pentafsiran kitab suci dalam tradisi agam Kritsian di Barat dalam memahami Bible. Kassim Ahmad menegaskan bahawa tafsiran Quran mestilah logikal dan bukan khurafat sepertimana prinsip kaedah tafsir saintifk yang terkandung di dalam bukunya

8 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

bertajuk Hadis: A Revolution (1996: USA). Menurut Kassim Ahmad (2014: 425) al-Quran hendaklah difahami dengan kaedah tafsir sintifik dan jika tidak, umat Islam tidak dapat memahaminya dengan betul. Baginya (2104: 55) juga, al-Quran perlu dibuktikan secara logik bersandarkan ilmu sains; Al-Quran mendesak kepercayaan kerana logik dan keselarasan dengan sainsnya, kerana pada peringkat perkembangan dunia sekarang, bermula dengan Nabi Muhammad SAW, manusia tidak boleh menerima sesuatu tanpa bukti positif sains.

Oleh kerana itu, Kassim Ahmad (2014 425-436) menjelaskan kaedah sainitifik dalam memahami istilah kiasan dan metafora dalam al-Quran berkaitan dengan Dunia, Kiamat, Akhirat, Syurga dan Neraka. Menurutnya, semua istilah tersebut adalah metafora dan perlu kepada tafsiran saintifik yang menepati akal (2014: 430): Hanya dengan pemahaman yang demikian terhadap Kiamat dan Akhirat, dapat kita lihat makna dan kelogikan kehidupan manusia di dunia. Tentu kebanyakan kita tidak berminat atau sanggup memikir dan mengakji soalan ini. Kita beriman saja kepada ayat-ayat ini. Kita korbankan kehidupan bahagia di dunia untuk mendapatkan kehidupan bahagia di dunia untuk mendapatkan bahagia di akhirat melalui pengaruh ajaran mistik yang tidak diajar di dalam Quran. Al-Quran menganjurkan satu kehidupan yang aktif, bebas, dinamik dan revolusioner (contoh kehidupan Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim), sedangkan mistisme menganjurkan pelarian dari dunia.

Oleh kerana Hadis juga adalah produk zaman, golongan anti hadis seperti Kassim Ahmad meragui kedudukan hadis sebagai sumber yang absolut dalam agama. Aliran Islam Liberal juga berpendapat bahawa Hadis hanya relevan untuk masyarakat Arab zaman Baginda SAW dan ketinggalan untuk dipraktikkan pada zaman kini. Status Hadis yang telah disepakati seperti di Bukhari dan Muslim juga masih boleh dicabar. Menurut Kassim Ahmad (2014: 233), terdapat 40%-60% hadis-hadis yang telah dikumpulkan oleh Bukhari dan Muslim bercanggah dengan ajaran Quran. Selain itu, beliau (2014: 458) juga meletakkan kedudukan hadis sama seperti cabang-cabang ilmu lain seperti sains dan falsafah:

9 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

Ini bermakna Hadis pun kita kena baca juga, tetapi baca dengan kritis. Begitu juga kita kena baca kitab Taurat, dan kitab-kitab agama lain. Begiitu juga kita kena baca sains, sejarah dan falsafah.

Menurut Kassim Ahmad (2014: 233) juga umat Islam perlu menapis semula hadis-hadis sahih yang telah dikumpulkan kerana terdapat percanggahan dengan makna Quran; Sebaliknya Hadis adalah sekumpulan laporan (yang telah dikumpul dan ditapis oleh cerdik pandai Islam yang dulu) tentang perbuatan dan perkataan Nabi. Taraf laporan tidak boleh lari dari taraf ‘benar’ atau ‘salah’ dan harus ditapis melalui satu sistem penapisan ayng ketat dan saintifik.

Manhaj Islam Liberal dalam meragukan hadis dibahaskan secara mendalam oleh pemikiran Anti Hadis. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Hafiz Firdaus Abdullah (2007) bahawa aliran Islam Liberal memiliki beberapa manhaj terhadap hadis-hadis Rasulullah SAW, sekalipun yang termuat di dalam kitab Ṣaḥīḥ al-Bukhārī dan Ṣaḥīḥ Muslim antaranya: 1. Hadis-hadis tersebut tidak berasal daripada Rasulullah SAW melainkan hanya ciptaan orang-orang yang ingin menjaga dan memanfaatkan kepentingan diri mereka. 2. Hadis-hadis yang benar hanyalah yang bersifat mutawātir manakala hadis aḥād bersifat samar-samar dan tidak menjadi tuntutan ke atas umat untuk berpegang kepadanya. 3. Hadis-hadis yang mutawatir sekalipun, kebenarannya hanya dalam konteks kehidupan masyarakat Arab pada zaman Rasulullah SAW. Ia tidak lagi releven untuk zaman kini kecuali sebagai kajian sejarah peradaban pada zaman Baginda SAW. 4. Hadis-hadis tentang azab kubur, suasana hari akhirat (Padang Mahsyar, Titian Sirat, Pengadilan dsbgnya), Isra’ dan Mikraj, Dajjal, Penurunan Nabi Isa, fitnah-fitnah akhir zaman dan sebagainya hanyalah cerita rekaan para perawi hadis untuk memberi pengaruh kepada orang ramai pada zaman mereka. Sekalipun hadis-hadis ini tercatit di dalam kitab-kitab hadis sahih, pada hakikatnya ia hanyalah cerita-cerita tahayul semata-mata. 5. Kesilapan paling besar yang dilakukan oleh para imam hadis adalah mereka hanya memberi tumpuan kepada para perawi hadis dan tidak kepada matan hadis. Seandainya mereka memerhati dan memberi kritik ke atas matan hadis, nescaya

10 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

cerita-cerita tahayul sepertimana di atas tidak akan mereka masukkan dalam kitab- kitab mereka.

Kritikan Terhadap Golongan Anti Hadis Sepertimana Islam Liberal, pemikiran Anti Hadis banyak dipengaruhi oleh penulisan Barat tentang Islam. Walaupun terdapat beberapa keadaan golongan Islam Liberal dan Anti Hadis mengkritik Barat, mereka sebenarnya berusaha untuk mengharmonikan ideologi Barat dengan Islam. Dalam hal ini, mereka mengambil pendekatan untuk mentafsir agama sesuai dengan semangat kemodenan. Kaedah hermeneutika dalam mentafsir Quran juga adalah pinjaman daripada kaedah mentafsir Bible. Jika dilihat sejarah penulisan tentang pemikiran untuk meragukan hadis, ia telah bermula di Barat oleh orientalis. Orientalis seperti Aloys Sprenger, William Muir, Ignaz Goldziher, Snouck Hurgronje dan lain-lain telah melakukan kajian terhadap hadis bagi tujuan untuk meragui keabsahannya. Aloys Sprenger merupakan sarjana Barat pertama yang menulis tentang sikap skeptikalnya terhadap Hadis melalui penulisannya Life of Mohammad (1851). Dari segi pendidikan, beliau mempunyai latar belakang akademik dalam bidang perubatan dan sains semulajadi serta mengajar tentang bahasa timur di universiti. Penulisan bercorak skeptikal terhadap Hadis ini diteruskan lagi oleh William Muir yang merupakan seorang orientalis dan pegawai pentadbir penjajah di dalam karyanya Life of Mohamet (1861). Kemuncak penulisan orientalis mengenai Nabi Muhammad SAW dan Hadis telah dicapai melalui karya Ignaz Goldziher, seorang orientalis Hungry melalui karyanya yang bertajuk Muhammedanische Studien (1890). Selain itu, Snouck Hurgronje juga menulis tentang Hadis Nabi SAW di dalam karyanya yang bertajuk Revre Coloniale Internationale. Kumpulan Anti Hadis dan Kassim Ahmad telah menjadikan faktor kemunduran umat Islam sebagai faktor untuk penolakan Hadis adalah tidak tepat malahan bercanggahan dengan fakta yang sebenar. Oleh itu. beliau seharusnya mengambil semangat pembaharuan Islam seperti mana yang dinukilkan oleh Muhammad Asad (2016: 75); Sunnah adalah jalan untuk memahami kebangkitan Islam lebih daripada empat belas abad lalu; dan mengapa ia tidak harus menjadi kunci untuk memahami keterbelakangan kita hari ini? Ketaatan kepada Sunnah sama ertinya dengan kewujudan dan kemajuan Islam. Pengabaian Sunnah sama ertinya dengan pembusukan dan pereputan Islam. Sunah adalah kerangka besi daripada Rumah

11 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

Islam; dan jika anda menghapuskan kerangkank suatu bangunan, adakah anda bisa hairan jika ia roboh seperti rumah kertas?

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abū Dāud menyatakan tentang perpecahan umat Islam kepada 73 kumpulan turut menjelaskan bahawa aliran yang terselamat atau benar ialah aliran ahli sunnah wa al-jamāʿah. Aliran ini adalah aliran yang mengikut Sunnah Nabi SAW. Jika Anti Hadis berpegang dengan autoriti al-Quran, mereka juga harus mengakui bahawa jalan untuk memahami nas Quran adalah Sunnah. Muhammad Asad (2016: 79) menyatakan bahawa al-Quran adalah kalām Tuhan yang sempurna maka secara logiknya, ia tidak pernah dimaksudkan untuk digunakan secara bebas dari bimbingan peribadi Nabi SAW melalui sunnahnya. Muhammad Asad (2016: 79) juga mengkritk slogan golongan Anti Hadis yang mengajak umat Islam kembali kepada Quran sahaja; Akal kita memberitahu kita bahawa tidak mungkin ada pentafsir yang lebih baik bagi ajaran al-Quran daripada Baginda yang melaluinya Quran diwahyukan kepada umat manusia. Sloga yang sering kita dengar pada masa ini, “Mari kita kembali kepada al- Quran, tetapi jangan kita menjadi pengikut yang membuta tuli kepada Sunnah,” hanya memperlihatkan kejahilan tentang Islam. Mereka mengatakan itu mirip seorang lelaki yang ingin memasuki istana tetapi tidak mahu menggunakan kunci yang asal yang hanya itu saja yang sesuai untuk membuka pintu.

Apa sahaja kaedah yang telah diusahakan untuk meragukan hadis akan menemui jalan sia-sia seperti kata Asad (2016: 80-81) kerana ia tidak akan mampu mengemukakannya secara saintifik sebaliknya dalam bentuk emosional. Ini kerana pengumpul hadis yang awal iaitu Bukhārī dan Muslim telah menggunakan kaedah yang terbaik secara manusiawi untuk menetapkan kesahihan terhadap setiap hadis berdasarkan kepada ujian sangat ketat dan ianya jauh lebih ketat daripada apa yang pernah digunakan oleh ahli sejarah Eropah terhadap sebarang dokumen sejarah. Buktinya cabang sejarah ilmu hadis berhasil menegakkan jalur yang bersambung serta biografi tentang semua peribadi perawi hadis. Usaha golongan Anti Hadis yang cuba menimbulkan kekeliruan dengan menolak hadis ahad - hanya menerima hadis mutawatir juga tidak akan berhasil kerana majoriti hukum Islam bersumberkan hadis ahad. Oleh yang demikian peringatan tentang bahaya bidaah dalam urusan agama selain daripada menambah perkara-perkara baru dalam urusan ibadah ialah mencipta aliran

12 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

pemikiran baru bagi “membetulkan” Islam, mendepankan dalil akal di atas dalil wahyu, mentakwil nas kepada maksud yang dikehendaki oleh hawa nafsu dan menjadikan Islam pengikut kepada suasana. Seharusnya, Mulsim menjadikan Islam yang berdiri di atas landasan Wahyu seagai pemimpin kepada suasana. Oleh itu, samada golongan Anti Hadis mahupun Islam Liberal telah mencipta doktrin baru tentang Islam yang jauh berbeza daripada apa yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jamāʿah. Jika Liberal merujuk kepada semangat pembebasan dan keadilan, Islam sememangnya sebuah agama yang liberal. Ia membebaskan manusia daripada belenggu penyembahan sesama makhluk, bahkan juga membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia. Islam juga memiliki dasar yang terbuka terhadap peradaban manusia selagi mana ia tidak melibatkan syirik yang menyekutukan Allah, perbuatan yang menyalahi Syariat dan kepercayaan kurafat yang merendahkan kedudukan manusia sehingga ke taraf kebinatangan. Oleh yang demikian, Islam tidak perlu lagi disifatkan dengan perkataan liberal kerana Islam sememangnya sudah liberal, membebaskan manusia daripada belenggu kejumudan. Semangat Islam Liberal sebenarnya membawa agenda keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang telah disandarkan kepada Syariat Islam yang asli lagi tulen. Akhir sekali, Imam al-Shafiʿī telah mengkritik mereka yang mengingkari Sunnah sebagai hujjah dalam Islam sejak ribuan tahun dahulu lagi; 1. Allah telah mewajibkan kita untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan menyuruh kita mematuhi perintah dan menjauhi larangannya. 2. Tidak ada cara lain bagi kita untuk mentaati perintah Allah tersebut kecuali dengan mengamalkan apa yang datang dari Rasulullah SAW dengan lapang dada dan bersih hati dari keinginan untuk menolaknya, serta menerima segala perintah dan hukum hukumnya. 3. Seorang Muslim memerlukan sunnah Rasulullah SAW untuk menjelaskan isi Al- Quran.

4. Kesimpulan Gerakan Anti Hadis merupakan gerakan yang menyebarkan ideologi Islam Liberal. Seperti mana Islam Liberal, golongan ini cuba mengambil pendekatan neutral dalam hal akademik sepertimana metode yang digunkan oleh orientalis dalam mengkaji Islam. Mereka mengambil

13 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

jalan untuk meragukan semua turath Islam dan terutamanya Hadis. Walaupun tokoh-tokoh pemikiran Anti Hadis seperti Kassim Ahmad telah mengkritik Liberalisme Barat, pengaruh Barat tersebut masih kuat dalam hujah-hujah yang mereka utarakan dalam memahami agama. Biogarafi tokoh Anti Hadis iaitu Kassim Ahmad jelas menunjukkan latar belakang pendidikan beliau dalam bidang bahasa, pengalaman dalam bidang akademik di Barat, keterujaan beliau dalam bidang politik, dan pengaruh pemikiran sosialis dalam penulisan beliau menjadi asas pembentukan kefahaman agama beliau. Seperti mana muktazilah, golongan pemikir falsafah era pertengahan, kumpulan Muslim modernis, golongan Islam Liberal, Kassim Ahmad dan Anti Hadis juga mempunyai matlamat untuk mempertahankakn mesej sejagat Islam dan mengembalikakn kegemilangan Islam. Namun demikian, keghairahan mereka mendepankan hujjah akal menyebabkan beberapa prinsip asas Islam telah diletakkan di belakang. Oleh itu, mereka senada dengan golongan Islam Liberal dalam mengkritik ulama’ dan pemahaman Islam semasa serta mengambil pendekatan hermeneutik dalam memahami nas. Selepas lebih 30 tahun penulisan Hadis: Satu Penilaian Semula, pelbagai kajian dan penyelidikan serta dialog telah dilakukan oleh penyelidik dan organisasi mengenai pemikiran Kassim Ahmad, namun pemikiran ini masih lagi didokong oleh pengikut-pengikutnya dan menjadi sandaran hujjah dalam wacana-wacana Liberalisme.

Rujukan Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Jahabersa: Johor Bahru. Kassim Ahmad. 2014. Jalan Yang Lurus. Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur. Khalif Muammar. 2012. Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan. Jurnal Hadhari, 4(1), 23-48. Khalif Muammar. 2013. Islam dan Pluralisme Agama. Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS): Kuala Lumput. M. Arkoun. (terj.) Hidayatullah. 2000. Pembedahan Pemikiran Islam. Bandung, Indonesia: Penerbit Pustaka. Mazlan Ibrahim, Latifah Abdul Majid, Jaffary Awang, Muhd Najib Abdul Kadir, Fadlan Mohd Othman. 2013. Pengajian Islam Di Ipt Malaysia Dalam Menangani Islam Liberal. Jurnal Hadhari. 5 (1). 37 – 53. Mohd Farid Mohd Shahran. 2013. Akidah dan Pemikiran Islam: Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad (PNMB).

14 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)

Muhammad Asad. 2016. (terj.) Islam di Persimpangan Jalan. Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front.

15 E-Proceeding of the 2nd INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978- 967-0850-45-0). 15th November 2017, International Islamic University College Selangor, Bandar Seri Putra, MALAYSIA. Organized by Hadith Research Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)