NO. SOALAN : 37

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA, PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2019)

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : YB. TUAN [ KAMPAR ]

TARIKH : 20 MAC 2019

SOALAN

YB. Tuan Su Keong Siong [ Kampar ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mewartakan Tapak Pertempuran Kampar (Battle of Kampar) seluas 6.474 hektar di Green Ridge, Kampar sebagai tapak warisan Taman Peringatan Perang (War Memorial Park) demi menjaga dan melindungi tapak warisan yang masih mempunyai artifak perang dan penuh bersejarah.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian ini melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) bercadang untuk mewartakan Tapak Pertempuran Kampar (Battle of Kampar) sebagai tapak warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] untuk melindungi dan mengekalkan tapak bersejarah tersebut. Untuk tujuan ini, JWN memohon kerjasama Pihak Berkuasa Negeri supaya memberi keizinan termasuk menyelesaikan isu tanah, sebelum proses pewartaan dapat dilaksanakan.

Sekian, terima kasih. SOALAN NO: 38

DEWAN RAKYAT PEMBERITAHUAN PERTANYAAN MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2019)

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : TUAN OSCAR LING CHAI YEW [SIBU]

TARIKH : 20 MAC 2019

SOALAN : 38

Tuan Oscar Ling Chai Yew [Sibu] minta PERDANA MENTERI menyatakan pencapaian dan kejayaan pelantikan duta khas ke China serta bila akan memansuhkan keperluan visa melawat China.

1

JAWAPAN: YB TUAN MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kerajaan telah melantik YB sebagai Duta Khas kerajaan ke China bagi tempoh dua tahun daripada 25 Julai 2018 sehingga 24 Julai 2020. Antara tanggungjawab dan peranan Duta Khas kerajaan ke China adalah seperti berikut:

(i) Mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi utama dan strategik kepada China melalui peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala;

(ii) Memberikan tumpuan khusus kepada isu berkaitan pelaksanaan projek pembangunan secara bersama antara Malaysia dan China;

(iii) Memberikan khidmat nasihat dan cadangan kepada pihak Kerajaan berkenaan kaedah-kaedah yang praktikal untuk meningkatkan kadar pelaburan langsung asing (FDI) dari China;

(iv) Menganjurkan program secara bersama dengan Kementerian, jabatan dan agensi berkaitan untuk promosi perdagangan dan pelaburan di China; dan

(v) Bekerjasama dengan pihak sektor swasta di Malaysia dan China mengenai hal-hal berkaitan dengan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Dalam tempoh 6 bulan sejak pelantikan beliau, YB Duta Khas telah mengadakan beberapa kunjungan hormat dan pertemuan bersama pemimpin serta pegawai kanan kerajaan China bagi mempromosi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. Secara ringkasnya, YB Duta Khas telah:

(i) Mengadakan empat (4) kunjungan hormat masing-masing ke atas Gabenor bagi Wilayah Guangxi dan Guangdong, Ketua Dewan Negeri Wilayah Hubei dan Pengerusi China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT); 2

(ii) Menerima sejumlah lapan (8) kunjungan hormat daripada pegawai kanan dan organisasi perdagangan China;

(iii) Menerima enam (6) kunjungan hormat daripada organisasi perdagangan tempatan di Malaysia dalam merangka strategi usaha promosi perdagangan di antara Malaysia dan China.

Dalam rangka promosi kepada bakal usahawan yang berpotensi dari China, YB Duta Khas telah menyampaikan ucaptama dalam enam (6) buah forum perniagaan utama di Malaysia dan China yang menyentuh berkenaan ciri-ciri menarik Malaysia sebagai destinasi utama untuk FDI.

Dalam usaha untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas berkenaan dasar perdagangan negara kepada bakal pelabur dari China, YB Duta Khas turut melancarkan buku Panduan Undang-Undang Komersial dan Percukaian Malaysia pada 30 Ogos 2018. Buku tersebut diterbitkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia – China (MCBC) di mana YB Duta Khas merupakan Pengerusi kepada MCBC.

YB Duta Khas turut mengemukakan enam (6) cadangan baru kepada pihak Kerajaan Malaysia untuk dimasukkan ke dalam Cadangan Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dan China.

Dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih menarik dan mesra pelabur, YB Duta Khas juga telah melancarkan Pusat Perkhidmatan Sistem Undang-Undang Malaysia bersama-sama pihak Construction Bank of China dan firma guaman HHQ untuk menawarkan perkhidmatan percuma kepada bakal pelabur dari China.

YB Duta Khas turut mengetuai delegasi pelabur dan usahawan Malaysia dalam lawatan ke Taman Perindustrian China Malaysia di Qinzhou (CMQIP) yang merupakan bandar berkembar kepada Taman Perindustrian Malaysia China di Kuantan (MCKIP). YB Duta Khas bersama Gabenor Wilayah Guangzhi telah bersetuju untuk mempromosi CMQIP dan MCKIP dalam usaha untuk menarik pelabur serta usahawan kedua-dua negara untuk membuat pelaburan di taman perindustrian tersebut. YB Duta Khas sebagai Pengerusi MCBC bersama-sama tiga bank tempatan China (Bank of China, ICBC dan Construction Bank of China) telah menganjurkan majlis makan tengahari sempena Tahun Baru Cina dan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia – China pada 18 Februari 2019 di . Majlis tersebut telah berjaya menghimpunkan sejumlah 640 pelabur serta usahawan dari kedua-dua negara (250 pelabur adalah pelabur 3 dan usahawan China). Ini membuktikan jalinan serta hubungan kukuh antara pelabur-pelabur dari Malaysia dan China dilihat mampu untuk meningkatkan potensi serta perkembangan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara.

Dalam sektor ekonomi, bagi tahun 2018, China kekal sebagai rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 10 tahun berturut-turut sejak tahun 2009. Malaysia juga kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar buat China di kalangan negara-negara ASEAN.

Pada tahun 2018, jumlah dagangan dua hala di antara Malaysia dan China telah mencecah RM313.81 billion, yang merupakan kenaikan sebanyak 8.1% berbanding tahun 2017. Pada tahun tersebut juga, nilai eksport di antara kedua-dua negara telah meningkat sebanyak 10.3% kepada RM138.88 billion manakala nilai import turut meningkat sebanyak 6.4% kepada RM174.93 billion berbanding tahun 2017.

Semua perkembangan ini jelas membuktikan bahawa YB Duta Khas telah memainkan peranan penting dalam membantu memajukan hubungan perdagangan dan pelaburan di antara Malaysia dan China.

Selain itu, bagi perkara berkaitan memansuhkan keperluan visa melawat China, untuk makluman, penetapan fi visa oleh sesebuah negara adalah secara unilateral dan hal ini adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Malaysia. Merujuk kepada pertanyaan tersebut, penetapan keperluan visa ke China adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan negara China.

Sekian, terima kasih.

4