Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Ketiga
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak PENYATA RASMI PARLIMEN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT KETIGA Bil. 50 Rabu 9 Disember 2020 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2021 Jawatankuasa:- Jadual:- Kepala B.42 (Halaman 22) Kepala B.43 (Halaman 92) USUL-USUL: Usul Anggaran Pembangunan 2021 Jawatankuasa:- Kepala P.42 (Halaman 22) Kepala P.43 (Halaman 92) Meminda Jadual Di Bawah P.M. 66(9) – Mengurangkan RM8,627,200 Daripada Peruntukan Kepala B.43 (Halaman 95) Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 100) DR. 9.12.2020 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT KETIGA Rabu, 9 Disember 2020 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Dato’ Sri (Dr.) Richard Riot anak Jaem [Serian] minta Menteri Luar Negeri menyatakan status terkini bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara dan apakah usaha/langkah kementerian untuk membantu mereka. Timbalan Menteri Luar Negeri [Dato’ Kamarudin Jaffar]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum, salam sejahtera. Terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Serian kerana telah menanya soalan berkaitan dengan jumlah warga Malaysia yang ditahan di luar negara dan peranan Kementerian Luar Negeri untuk berkhidmat kepada mereka ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, daripada maklumat yang kita peroleh daripada perwakilan-perwakilan Malaysia di seluruh dunia, pada hari ini terdapat 2,742 orang warganegara Malaysia sedang ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara berperanan untuk menghulurkan bantuan konsular selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai hubungan konsular 1963. Bantuan konsular yang termaktub di bawah akta ini termasuk memaklumkan penahanan mereka kepada pihak keluarga atau waris serta memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan tahanan sentiasa terpelihara. Perwakilan Malaysia juga boleh membantu mengemukakan senarai firma guaman tempatan untuk dilantik oleh tahanan atau waris sekiranya diperlukan. Setelah tahanan selesai menjalani hukuman mereka, perwakilan Malaysia akan menguruskan proses dokumentasi termasuk mengeluarkan sijil perakuan cemas sekiranya diperlukan sebagai dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke Malaysia. Perwakilan Malaysia juga akan membantu dalam memastikan semua urusan berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan diselesaikan dengan lancar bagi membolehkan bekas tahanan tersebut pulang ke Malaysia dengan selamat. DR. 9.12.2020 2 Kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan setiap warganegara Malaysia di luar negara dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, perwakilan Malaysia perlu menghormati proses perundangan tempatan dan tidak boleh mencampuri hal ehwal perundangan sesebuah negara. Seseorang individu yang ditahan di negara asing perlu bersedia untuk melalui proses perundangan di negara tersebut. Kementerian Luar Negeri sentiasa menasihatkan warga Malaysia yang berada atau akan mengadakan perjalanan ke luar negara untuk sentiasa berwaspada serta memahami peraturan dan undang-undang negara berkenaan bagi mengelakkan mereka terjebak dalam perkara yang tidak diingini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dato’ Sri (Dr.) Richard Riot anak Jaem [Serian]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Daripada bilangan sejumlah 2,742 orang rakyat Malaysia yang dipenjarakan di seluruh dunia, saya ingin tahu apakah jenis-jenis kesalahan yang dilakukan? Kedua, berapakah dari jumlah atau bilangan 2,742 ini yang dipenjarakan seumur hidup dan juga dihukum gantung sehingga mati? Sekian, terima kasih. Dato’ Kamarudin Jaffar: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Serian. Maklumat yang saya ada berkaitan dengan jenis kesalahan yang dilakukan oleh rakyat kita sehingga membawa kepada penahanan mereka ialah yang utamanya: (i) kesalahan dadah yang melibatkan lebih daripada separuh jumlah 2,742 itu iaitu 1,434 orang; (ii) kes-kes penipuan berjumlah 406 orang; (iii) kes kad kredit palsu yang melibatkan 132 warga kita; (iv) kesalahan Kastam yang melibatkan 89 orang; dan, (v) kesalahan Imigresen yang melibatkan 66 orang. Jadi itu yang utamanya. Berkaitan dengan hukuman-hukuman mati atau hukuman penjara sepanjang tahun, setakat maklumat yang ada dengan saya, kita tidak ada statistik tersebut. Akan tetapi dalam jangkaan dan perkiraan saya mungkin kesemua ini hanya melibatkan hukuman yang berbentuk penjara dalam jumlah masa yang tertentu. Kalau ada maklumat lebihan, nanti saya akan sampaikan secara direct kepada Yang Berhormat Serian. 2. Tuan Ma'mun bin Sulaiman [Kalabakan] minta Menteri Kesihatan menyatakan tahap kesiapsiagaan dan tindakan-tindakan yang telah diambil dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan penanganan perawatan pesakit-pesakit yang semakin meruncing di Sabah. Adakah kelengkapan peralatan perubatan dan ubat- ubatan di pusat-pusat kesihatan seperti hospital dan juga bilangan kakitangan kesihatan mencukupi dalam menghadapi krisis wabak COVID-19 di seluruh Sabah. DR. 9.12.2020 3 Timbalan Menteri Kesihatan II [Datuk Aaron Ago Dagang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil pelbagai tindakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi membendung penularan aktif COVID-19 terutamanya di negeri Sabah seperti melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). ■1010 Ini adalah untuk memastikan koordinasi bagi aktiviti pengesanan kes dan kawalan pencegahan COVID-19 dapat dijalankan secara sistematik dan berkesan. Begitu juga kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti berikut, khususnya di Sabah: (i) mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes dan kontak secara aktif di lapangan bagi memastikan kesemua yang terlibat disaring dan diasingkan daripada komuniti; (ii) menjalankan aktiviti nyah kuman dan nyah cemar dan juga mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan pelbagai agensi; (iii) penggunaan aplikasi MySejahtera, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan sebagainya; (iv) memberi pendidikan kesihatan kepada masyarakat termasuklah nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan melalui pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan tempatan dan lain-lain; (v) mempertingkatkan komunikasi risiko termasuk maklumat situasi terkini COVID-19 melalui kenyataan akhbar dan sidang media oleh Menteri Kanan Pertahanan dan juga Ketua Pengarah Kesihatan; (vi) meningkatkan kapasiti dan mobilisasi tenaga sumber manusia, perubatan dan kesihatan awam. Sehingga 6 Disember 2020, sejumlah 2,023 petugas kesihatan telah dimobilisasikan untuk membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan. Petugas kesihatan yang dimobilisasikan adalah daripada seluruh negara termasuk daripada kawasan pedalaman negeri Sabah; dan (vii) aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambahbaikkan bagi membolehkan keputusan ujian dapat diperolehi dengan lebih cepat. DR. 9.12.2020 4 Pelbagai usaha untuk meningkatkan kapasiti-kapasiti hospital dan mobilisasi aset serta sumber manusia dilakukan. Usaha-usaha ini dilaksanakan bagi memastikan sistem rawatan kesihatan di negeri Sabah terus mampan dalam membendung penularan COVID-19. Kemudahan kesihatan dibahagikan kepada dua, iaitu pelan tindakan pengurusan bagi pesakit COVID-19 dan juga pesakit bukan COVID-19. Bagi pesakit COVID-19, Kementerian Kesihatan telah meningkatkan kapasiti katil di hospital COVID-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), katil ICU, ventilator, kapasiti ujian makmal dan sebagainya, termasuk sumber manusia juga semua dipertingkatkan. Pada masa kini sehingga 7 Disember 2020, Sabah mempunyai sebanyak lapan hospital COVID-19 dan 36 PKRC ataupun katil hospital untuk kuarantin di seluruh negeri Sabah dan jumlah katil telah banyak meningkat daripada 410 kepada 7,031 buah katil. Sekarang tahap penggunaan adalah cuma 30 peratus. Katil ICU juga ditambahkan daripada- kalau dahulu 60 buah katil pada bulan September 2020, sekarang sudah meningkat kepada 130 buah katil ICU. Bagi menampung peningkatan penggunaan katil ICU di Sabah... Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Yang Berhormat Timbalan Menteri, ringkaskan jawapan. Ringkaskan sedikit. Datuk Aaron Ago Dagang: Ya, okey. Juga kita meningkatkan jumlah ventilator di Sabah dan sekarang penggunaan ventilator daripada 193 cuma 32 peratus. Kapasiti ujian makmal juga dipertingkatkan. Sekarang di Sabah kita dapat membuat ujian dalam lingkungan 2,600 dalam empat ataupun lima buah hospital telah pun dilengkapkan dengan makmal. Sekian, jawapan saya setakat ini. Terima kasih. Tuan Ma’mun bin Sulaiman [Kalabakan]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapannya yang menyeluruh. Seperti yang kita tahu, setakat kelmarin kes kumulatif ialah 31,057, yang aktif sebanyak 4,438 dan yang sudah meninggal dunia seramai 24 orang. Jadi, menjadi kerisauan kepada kami di Sabah bila tiba-tiba rentas negeri dan rentas daerah pun dibenarkan. Adakah KKM bersetuju dengan langkah-langkah yang diambil? Ini seolah-olah kita disuruh untuk hidup dengan COVID-19, menjalankan ekonomi dan menjaga kesihatan? Jadi soalan saya di sini, adakah bentuk kerjasama antara KKM