Dewan Rakyat Parlimen Ketiga Belas Penggal Pertama Mesyuarat Ketiga
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KETIGA Bil. 26 Selasa 22 Oktober 2013 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 (Halaman 26) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 25) Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 146) DR.22.10.2013 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KETIGA Selasa, 22 Oktober 2013 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat ] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah strategi khusus Kementerian dalam memupuk minat dan membudayakan para pelajar di dalam bidang rekaan, inovasi, penciptaan dalam sains dan teknologi. Timbalan Menteri Pendidikan [Datuk Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin]: Selamat pagi, salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, terdapat dua penyertaan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat berkaitan usaha memupuk minat dan budaya para pelajar dalam bidang rekaan, inovasi, penciptaan dalam sains dan teknologi. Pertanyaan tersebut ialah Yang Berhormat Kota Tinggi pada hari ini dan Yang Berhormat Sarikei pada 27 november 2013. Oleh sebab perkara yang dibangkitkan saling berkaitan, izinkan saya menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut secara serentak. Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Ismail bin Mohamed Said]: Ya, sila. Datuk Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin: Tuan Yang di-Pertua, pendidikan merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negara. Pendidikan juga adalah pencetus kreativiti dan penjana inovasi untuk melahirkan insan yang holistik seperti yang dihasratkan dalam falsafah pendidikan kebangsaan. Justeru, bagi memastikan matlamat ini berjaya, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Bermula dari peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat menengah atas, peningkatan kepada berfikir secara kreatif dan inovasi secara merentas kurikulum telah pun diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Usaha ini adalah untuk memastikan murid mampu menguasai kemahiran berfikir dalam setiap disiplin ilmu berjaya mengaplikasikan ilmu pengetahuan, berinovasi tinggi dan berupaya mencipta sesuatu produk. Justeru, di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bermula pada tahun 2013-2025, penekanan tersebut teras diberi perhatian dan dijadikan sebagai salah satu inisiatif penting melalui anjakan pertama. Tumpuan adalah untuk memperkukuhkan penguasaan DR.22.10.2013 2 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul serta ditambah dengan elemen kreativiti, inovasi dan keusahawanan melalui KSSR yang sedang dilaksanakan dalam gelombang satu. Manakala dalam gelombang dua dan tiga iaitu daripada tahun 2016-2025 pula elemen yang sama diterapkan dalam KSSM yang akan mulai dilaksanakan pada tahun 2017. Sebagai usaha menambah baik sistem pentafsiran, elemen dan nisbah soalan yang menguji tahap Kemahiran Berfikir Asas Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah berusaha untuk meningkatkan nisbah murid dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui dasar 60/40 sains teknikal dan sastera. Sehingga ini dasar tersebut telah berjaya membawa 5% murid lulus menengah rendah memilih untuk mengikuti aliran sains dan usaha ini akan terus dipertingkatkan sehingga mencapai tahap yang ditetapkan. Untuk makluman Dewan yang mulia, keupayaan untuk melihat keberhasilan modal insan dalam bidang rekaan, inovasi dan penciptaan sebenarnya telah pun dapat dicapai melalui pencapaian aktiviti-aktiviti kokurikulum. Pelajar yang mewakili negara sama ada di peringkat sekolah ataupun institusi pengajian tinggi telah berjaya merangkul pelbagai kejayaan yang cemerlang. Sebagai contoh, antara kejayaan pada tahun ini sahaja di peringkat sekolah, murid kita dari SM Sains Tuanku Syed Putra, Perlis memenangi special award from United Airlines Foundation in 64 , dengan izin Intell International Science and Engineering Fair Phoenix, USA dengan izin. SMK Iskandar Syah Jasin, Melaka telah memenangi johan dalam National University Singapore, Brain Camp Singapore dengan izin. Sekolah Sultan Alam Syah memenangi pingat emas dalam Malaysian International Young Inventors Olympiad dengan izin dan SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah memenangi tempat pertama dalam pertandingan 21st International Environmental Project Olympiad dengan izin di Turki. ■ 1010 Justeru, bagi meneruskan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia akan menyusun semula aktiviti kokurikulum sedia ada di semua peringkat supaya lebih komprehensif dan bersesuaian dengan gelombang baru teknologi dan inovasi terkini. Di peringkat pengajian tinggi pula, antara kejayaan yang dicapai adalah dalam pertandingan Robot Soccer World Cup, dengan izin, pada tahun 2013. Pasukan dari IPT dan politeknik tempatan telah berjaya mendapat tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa. Di samping itu, IPTA seperti USM, UKM, UNITEN dan UTM telah berjaya mempromosikan produk potensi untuk dikomersialkan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Untuk makluman, UTM sahaja sehingga kini, sebanyak 653 pengiktirafan kebangsaan dan 258 pengiktirafan antarabangsa telah diterima oleh penyelidik UTM dalam penghasilan reka cipta dan inovasi, dan lebih 2,000 hasil R&D dilindungi harta intelek. Tuan Yang di-Pertua, titik tolak daripada kejayaan-kejayaan yang saya nyatakan tadi, maka Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara juga telah memberi penekanan terhadap aspek DR.22.10.2013 3 inovasi dan kreativiti melalui projek agenda kritikal terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Budaya penerokaan baru dalam kalangan ahli akademik dan pelajar telah menjadi fokus utama sebagai usaha untuk memperkayakan khazanah ilmu dan pengkomersialan produk dari aktiviti berkenaan. Selain daripada itu, jaringan kerjasama dan kolaborasi antara universiti, industri termasuklah syarikat kepentingan kerajaan (GLC), dengan izin, dan kerajaan juga diwujudkan bagi melahirkan graduan yang kreatif, inovatif dan mempunyai nilai kebolehpasaran. Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Ini berhujahkah? Datuk Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin: Tuan Yang di-Pertua, membangunkan modal insan yang produktif, berinovatif, kreatif, berkemahiran tinggi dan berilmu pengetahuan merupakan fokus utama dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi berasaskan pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia yakin dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan ini, hasrat murni tersebut mampu dicapai. Sekian, terima kasih. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi]: Terima kasih. Minat dan pembudayaan bidang rekaan, inovasi dan penciptaan dalam sains dan teknologi boleh dipupuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri peneraju yang membina ekonomi masa depan. Pembinaan keupayaan ini juga dapat diterjemahkan kepada kerjaya berprestij tinggi dan juga harta... Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: [Menyampuk] Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi]: Sabarlah. Sabarlah. Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Soalan, soalan. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi]: Sabarlah, jangan kacau. ...Dan harta intelek sebagai aset negara masa depan. Jadi soalan saya. Ini sampai soalan. Sabarlah, pagi-pagi sudah tidak sabar... Seorang Ahli: Mukadimah, mukadimah. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi]: [Ketawa] Terima kasih. Apakah usaha-usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang lebih spesifik sehingga membolehkan penyertaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi mencapai tahap 60% seperti yang dihasratkan. Apakah kementerian juga akan mewujudkan insentif dan kerangka tambahan baru yang bersifat interaktif agar penglibatan amali secara berkala atau berterusan, ataupun continuous interactive practical engagement, dengan izin, boleh diwujudkan, supaya pembudayaan ini dapat dikuatkan lagi. Terima kasih. Datuk Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin: Terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang berkaitan dengan apakah langkah yang spesifik yang sudah diambil untuk membolehkan penyertaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi mencapai 60% sebagai mana yang dihasratkan. DR.22.10.2013 4 Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, satu jawatankuasa mengkaji dasar 60-40 aliran sains teknikal-sastera yang terdiri daripada tokoh dan pakar dalam berbagai- bagai bidang telah ditubuhkan pada 9 Februari 2012. Salah satu peranan jawatankuasa tersebut adalah untuk mengenal pasti nilai tambah yang boleh menyumbang kepada peningkatan minat dan penyertaan murid dalam bidang pendidikan sains dan matematik. Antara strategi dasar sains teknikal–sastera, 60-40 yang sedang dilaksanakan adalah seperti berikut. (i) sebanyak 40% murid lepasan PMR disalurkan ke aliran sains secara automatik oleh Lembaga Peperiksaan dan memberi keutamaan untuk murid aliran sains, dan aliran sains dan teknologi mendapat tempat di IPT; (ii) semua pengajaran dan pembelajaran mesti menggunakan pendekatan pembelajaran inquiry dan memasukkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT); (iii) strategi kedua ada berkaitan dengan untuk mewujudkan peperiksaan berpusat amali sains peringkat