'DESTINASI ANDA INSPIRASI KAMI' ASPIRASI RAPID BUS KUALA LUMPUR, 8 September
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
SIARAN MEDIA Untuk Siaran Segera ‘DESTINASI ANDA INSPIRASI KAMI’ ASPIRASI RAPID BUS KUALA LUMPUR, 8 September - Rapid Bus Sdn Bhd - anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengendalikan perkhidmatan bas - telah melancarkan slogan baru, ‘Destinasi Anda Inspirasi Kami’ sebagai satu falsafah kerja di kalangan kakitangannya ketika berinteraksi dengan pelanggan, rakan sekerja dan orang awam. Majlis pelancaran secara dalam talian, yang diadakan pada 3 September lepas, menyaksikan hasil penyertaan yang dimenangi oleh Kapten Bas Mohd Rahmat Abd Hamid dari Rapid Kuantan diperkenalkan kepada semua kakitangan Rapid Bus. “Inspirasi untuk mencipta slogan ini datang apabila saya melihat seorang penumpang yang agak berusia pergi ke hospital untuk menjenguk anaknya. Senyuman yang terlakar di bibirnya setelah berjumpa anaknya yang telah sembuh membuatkan saya sedar tentang peranan penting kakitangan dan khidmat Rapid Bus. Ianya bukan sahaja untuk menyediakan perkhidmatan awam dan membawa penumpang menuju ke destinasi yang ingin ditujui sahaja. “Kami juga menghubungkan mereka dengan orang-orang yang tersayang, pergi ke sekolah mahupun ke tempat kerja, mendapatkan perkhidmatan penting seperti bantuan perubatan atau makanan untuk menyara keluarga dan pelbagai lagi. Melihat para penumpang tiba ke destinasi yang ditujui dengan selamat memberikan saya inspirasi untuk menjadi lebih baik dalam pekerjaan saya; kerana sekarang saya faham tentang peranan saya dalam membantu para penumpang kita untuk bergerak,” kata Mohd Rahmat ketika menerangkan penciptaan slogan ‘Destinasi Anda, Inspirasi Kami’. Majlis pelancaran slogan baru berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Rapid Bus, Dato’ Seri Haji Mustafar Ali; dan turut disertai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah dan Encik Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus. “Tanggungjawab kita bukan sahaja untuk memastikan pelanggan tiba ke destinasi yang ingin ditujui dengan selamat, tetapi kita juga perlu menyediakan suasana yang selesa dan membina hubungan yang baik dengan para pelanggan,” kata Dato’ Seri Mustafar ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan. “Kita mahu memperkukuhkan lagi kedudukan jenama; dan pengamatan slogan ini adalah satu strategi untuk menjadikan perkhidmatan kita menjadi pilihan di kalangan komuniti. Apabila kita di Rapid Bus sediakan perkhidmatan yang bagus kepada para penumpang, pasti mereka akan mengingati bahawa kita adalah lebih daripada sekadar satu mod pengangkutan atau kenderaan sahaja bagi mereka,” tambah beliau. Selain Rapid Kuantan di bandar Kuantan, Rapid Bus turut menyediakan perkhidmatan bas Rapid KL untuk warga kota Kuala Lumpur dan Selangor; dan Rapid Penang untuk perkhidmatan di Pulau Pinang dan Seberang Prai serta perkhidmatan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway di Bandar Sunway. Anak syarikat Prasarana itu turut mengendalikan perkhidmatan bas perantara Jom Naik MRT serta misi-misi khas seperti menyokong program imunisasi menentang wabak Covid-19 termasuk menjadi pusat pemberian vaksin bergerak dan memindahkan mangsa banjir semasa musim air bah di Pahang. Dalam ucapannya, Muhammad Yazurin berharap slogan terbaru ini mampu menyuntik lebih banyak nilai murni dan komitmen di kalangan staf bagi menyediakan perkhidmatan yang sebaik mungkin untuk pelanggan. Katanya lagi, kakitangan Rapid Bus harus mempunyai keinginan untuk melakukan lebih banyak dari apa yang mereka patut lakukan. Beliau gembira untuk melihat inisiatif-inisiatif baik telah diketengahkan secara meluas khususnya di media sosial dan mendapat maklum balas yang positif dari orang awam. Katanya, antara tindakan-tindakan bakti oleh Kapten-kapten Bas adalah membantu penunggang motosikal ketika banjir, membantu warga emas kurang upaya penglihatan untuk melintas jalan dan memulangkan barang kepunyaan penumpang yang tertinggal dalam bas. “Dengan sokongan daripada Divisyen Modal Insan di peringkat Kumpulan Prasarana, program untuk meningkatkan lagi pengalaman kakitangan dengan pelanggan secara bersepadu sedang dilaksanakan. Ia merangkumi latihan secara menyeluruh dari segi etika, pengurusan tekanan dan perkhidmatan pelanggan yang baik, program pertukaran kerja ‘Sehari Dalam Kehidupan’ bagi membolehkan kakitangan dari pelbagai peringkat untuk merasai pengalaman berbeza, meningkatkan sikap empati dan saling mempelajari antara satu sama lain; serta program pelanggan misteri atau ‘mystery shopper’untuk memastikan staf Rapid Bus secara konsisten memberikan apa yang telah dijanjikan oleh perkhidmatan kami,” tambah Yazurin. TAMAT Dikeluarkan oleh Rapid Bus Sdn Bhd. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Ketua Komunikasi Bas, Tengku Azrawati Tengku Arshad di talian 017-372 8486 atau emel kepada [email protected] .