Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Kedua Mesyuarat Ketiga
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak PENYATA RASMI PARLIMEN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Bil. 59 Rabu 20 November 2019 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH P.M. 18(1): ■ Kecaman Terhadap Serangan Udara Tentera Zionis Israel Ke Atas Semenanjung Gaza (Halaman 31) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2020 Jawatankuasa:- Jadual:- Maksud B.24 (Halaman 34) Maksud B.30 (Halaman 100) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 33) Anggaran Pembangunan 2020 Jawatankuasa:- Maksud P.24 (Halaman 34) Maksud P.30 (Halaman 100) DR. 20.11.2019 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Rabu, 20 November 2019 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] ______________________________________________________________ JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohamad [Lipis]: Tuan Yang di-Pertua, peraturan mesyuarat. Tuan Yang di-Pertua: Ya? Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohamad [Lipis]: Saya tengok kuorum tidak cukup, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua: Kira semula. Ada 26 orang ya? Ya, hanya 24 orang? Sepatutnya 25 orang? Ada 24 orang kah atau 25 orang? Seorang Ahli: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Ada 24 orang. Tuan Yang di-Pertua: Kalau 24 orang. Kena bunyikan loceng lagilah. [Loceng dibunyikan] Tuan Mohd Shahar bin Abdullah [Paya Besar]: Masuk seorang lagi. Masuk, masuk. Tuan Yang di-Pertua: Cukup? Tuan Mohd Shahar bin Abdullah [Paya Besar]: Nasib kita tolong enam orang. Nasib Yang Berhormat Tanjong Piai tolong. Goodlah Yang Berhormat Tanjong Piai. Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Tanjong Piai? [Ketawa] Sudah, cukup? Lebih satu, 27 orang. Seorang Ahli: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] ...28 orang. Tuan Yang di-Pertua: Baik, jadi kita mula sekali lagi. Silakan Datuk Dr. Hasan bin Bahrom, Yang Berhormat Tampin dan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. 1. Datuk Dr. Hasan bin Bahrom [Tampin] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah usaha-usaha kementerian dalam mempromosikan budaya masyarakat Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai fokus utama di peringkat antarabangsa dan juga bertujuan mengelakkan hegemoni budaya asing di negara ini. DR. 20.11.2019 2 Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya [Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Tampin. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya memulakan untuk menjawab, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya di atas kemenangan 2-0 ke atas Indonesia pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia semalam. [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Tourism Malaysia (TM) sentiasa memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dengan menonjolkan produk-produk pelancongan yang menarik termasuklah elemen budaya pelbagai kaum di Malaysia. Melalui penyertaan TM di pameran pelancongan antarabangsa, budaya pelbagai kaum akan dipertontonkan melalui gerak tari dan pakaian tradisional semasa persembahan kepada pelawat yang datang ke pameran tersebut yang terdiri daripada buyers, dengan izin, media dan consumer. Selain daripada persembahan kebudayaan, turut dipromosikan adalah penghasilan kraf seperti demonstrasi pembuatan batik dan seni lukisan inai. TM turut menganjurkan promosi khusus makanan dan kebudayaan, food and cultural promotion dengan izin, dengan kerjasama daripada hotel-hotel serta restoran terpilih di luar negara. Penulis-penulis dari majalah kulinari serta krew TV turut dijemput agar dapat memberikan publisiti yang meluas mengenai keunikan Malaysia sebagai destinasi kulinari dan kebudayaan. Tuan Yang di-Pertua, bagi meningkatkan lagi promosi budaya pelbagai kaum dan etnik di peringkat antarabangsa, TM juga menjemput penulis, wartawan serta wakil media sosial antarabangsa untuk menyertai lawatan suai kenal ke inap desa ataupun homestay. Penulis, wartawan serta bloggers, akan mengalami sendiri pengalaman unik tinggal bersama masyarakat tempatan serta mempelajari sedikit sebanyak budaya tempatan termasuklah budaya etnik Sabah dan Sarawak. Bloggers dan influencers dengan izin, akan mempromosikan pengalaman mereka ini melalui pelbagai platform media sosial. Kementerian melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) juga turut mempromosikan budaya pelbagai kaum melalui pelaksanaan Festival Seni Hidup (Living Arts Cultural Festival) bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan keunikan warisan seni budaya dalam menyemarakkan seni budaya yang kurang diketengahkan dan hampir pupus bagi menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan. Program ini telah pun berlangsung pada 15 November sehingga 17 November 2019 baru-baru ini bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur dengan penglibatan 18 buah kumpulan daripada enam buah negara yang memperkenalkan keunikan, kesenian negara masing-masing. Semasa festival inilah kesenian daripada Malaysia seperti Dondang Sayang, Gendang Melayu Sarawak, Main Puteri, Dabus, Anak Ombang dan Trinei turut dipersembahkan. Selain itu JKKN juga diberikan tanggungjawab bagi menyediakan persembahan kesenian dan program- program antarabangsa di mana Malaysia berperanan selaku tuan rumah seperti ASEAN Summit pada tahun 2015 dan ASEAN Day pada tahun 2019. Dalam program berkenaan JKKN telah pun mengangkat kesenian tempatan melalui persembahan dan kebudayaan seperti tarian pelbagai kaum kepada peserta luar negara. Antara DR. 20.11.2019 3 usaha kementerian bagi mengelakkan hegemoni asing adalah melalui penggubalan Dasar Kebudayaan Negara. Dasar ini telah dirangka secara menyeluruh dengan memberikan penekanan kepada usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan serta perlindungan khazanah warisan bangsa dan pengukuhan jati diri rakyat. ■1010 JKKN turut melaksanakan program perantisan yang bertujuan untuk melahirkan kumpulan pelapis yang mampu menguasai aspek kesenian, tradisional mengikut identiti negeri. Contohnya Seni Mek Mulung dan hadrah di Kedah, Tarian Etnik Bisaya dan Muzik Tradisional Kulintangan serta Gendang Burdah di Sarawak. Program Bimbingan Seni Budaya juga merupakan usaha JKKN membimbing generasi muda seawal usia kanak-kanak untuk mengenali, menghargai dan menyemarakkan seni budaya warisan masyarakat. Program yang dilaksanakan ini merupakan usaha untuk memupuk dan memperkukuhkan jati diri supaya generasi muda lebih menghargai kesenian warisan berbanding kesenian luar. Kementerian akan terus mempromosikan budaya pelbagai kaum sebagai salah satu produk pelancongan penting untuk menggalakkan kedatangan pelancongan asing ke Malaysia. Kerjasama rapat dengan agensi pelancongan serta media dan luar negara akan terus ditingkatkan bagi mempromosikan cultural tourism di peringkat antarabangsa sebagai satu daya tarikan untuk menggalakkan mereka memilih Malaysia sebagai destinasi percutian sempena kempen Visit Malaysia 2020. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Datuk Dr. Hasan bin Bahrom [Tampin]: Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih atas jawapan yang begitu lengkap dan komprehensif daripada Timbalan Menteri. Tahun 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia. Kita berharap nilai kemalaysiaan menjadi teras kepada pesta tersebut. Soalnya sejauh mana penglibatan masyarakat tempatan dan ia diberi ruang untuk mempromosi nilai-nilai budaya mereka, penglibatan pemegang taruh seperti artis, ahli akademik dan juga bentuk kerjasama antara kementerian dengan kerajaan negeri swasta dan NGO dalam memastikan semua pihak terlibat dan menyumbang sama di dalam perkembangan nilai budaya masyarakat tempatan. Terima kasih. Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik: Terima kasih Yang Berhormat Tampin atas soalan tambahan tersebut. Sememangnya dalam Visit Malaysia 2020 kita telah pun menggariskan beberapa program yang bercirikan kebudayaan dan kesenian Malaysia. Kita telah pun memasukkan dalam event antaranya ialah Calendar of Event 2020. Kita memperkenalkan budaya dan kesenian Malaysia di peringkat ini. Salah satu saya boleh sebut beberapa program yang kita telah pun rancang untuk tahun hadapan yang berasaskan ataupun berlandaskan kebudayaan. Antaranya ialah East Coast Craft Textiles Fair 2020 di Kota Sultan Ismail Petra yang kita akan utarakan pembuatan dan penjualan songket serta batik di samping makanan tradisional yang akan berlangsung pada 23 Januari hingga 2 Februari tahun hadapan. Kemudian kita ada Festival Cingay di Johor Bahru 25 Februari, 31 Mac kita ada Pesta Kalimaran di Murut Cultural Centre Tenom Sabah dan saya boleh teruskan lagi. Saya boleh bagi jawapan bertulis kepada Yang Berhormat mengenai acara-acara kebudayaan yang bercirikan DR. 20.11.2019 4 kebudayaan yang akan kita lakukan pada tahun hadapan sempena Visit Malaysia 2020. Kita sentiasa bekerjasama dengan pemegang taruh, kita bekerjasama dengan para-para ahli akademik serta NGO-NGO yang mempromosikan kesenian dan kebudayaan masing-masing. Jadi, kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahu mempromosikan kebudayaan dan kesenian di negara kita. Terima kasih. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mutakhir ini kalau kita lihat Yang Berhormat Timbalan Menteri generasi muda yang lahir pascamerdeka telah dianggap sebagai golongan kurang prihatin terhadap warisan, adat dan budaya tempatan. Mereka juga telah didakwa terperangkap dalam arus modenisasi yang dibawa gelombang globalisasi dan kesan ledakan teknologi maklumat. Jadi