Dewan Rakyat Parlimen Kedua Belas Penggal Kedua Mesyuarat Ketiga
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEDUA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Bil. 63 Isnin 7 Disember 2009 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2010 Jawatankuasa:- Jadual :- Maksud B.32 (Halaman 27) Maksud B.41 (Halaman 96) USUL-USUL: Usul Anggaran Pembangunan 2010 Jawatankuasa:- Maksud P.32 (Halaman 27) Maksud P.41 (Halaman 96) Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 26) Meminda Jadual di bawah P.M. 66(9) – Memotong RM10 Gaji Menteri Pelajaran (Halaman 96) DR. 7.12.2009 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT Isnin, 7 Disember 2009 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat ] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan: (a) berapakah nilai rampasan dadah dari Januari hingga Jun 2009; dan (b) apakah Pelan Tindakan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah oleh kementerian dan berapa jumlah peruntukan yang disediakan. Timbalan Menteri Dalam Negeri I [Datuk Wira Abu Seman Yusop]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat dari Jempol. Untuk makluman Yang Berhormat, secara keseluruhannya, dalam tempoh Januari hingga Jun 2009, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas 22 jenis dadah dan racun di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Akta Racun 1952. Rampasan terbesar melibatkan dadah jenis syabu seberat 1052.03 kilogram yang bernilai sebanyak RM263,007,500.00. Secara keseluruhannya, nilai rampasan dalam tempoh tersebut berjumlah RM306,135,663.70. Tuan Yang di-Pertua, sehubungan dengan Pelan Tindakan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah oleh kementerian ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah merangka Pelan Strategik Pendidikan Pencegahan yang memberi penekanan kepada empat sasaran iaitu: (i) institusi keluarga bebas dadah; (ii) institusi pendidikan bebas dadah; (iii) tempat kerja bebas dadah; dan (iv) komuniti bebas dadah. Tuan Yang di-Pertua, di antara program-program yang dilaksanakan kepada 4 kumpulan sasaran tersebut ialah penerangan, ceramah, pameran, seminar, kem motivasi, kursus keibubapaan, latihan meningkatkan jati diri dan lain-lain lagi. Program-program ini dijalankan melalui Kerjasama Rakan Pintar dengan agensi atau jabatan di sektor awam dan Kerjasama Rakan Strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan alumni bekas-bekas penagih - PENDAMAI, PENGASIH dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM). DR. 7.12.2009 2 Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan jumlah peruntukan yang disediakan bagi melaksanakan Pelan Tindakan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah, AADK telah memperuntukkan sebanyak RM93,100,500.00 bagi tahun 2009. Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Masalah ‘keldai’ dadah ini adalah merupakan masalah memperalatkan wanita Malaysia untuk menjadi pengedar dadah seluruh dunia. Mereka dijanjikan dengan kemewahan yang amat luar biasa, pakej pelancongan dan wang ringgit yang banyak. Ini semua bermula daripada dalam negara kita. Apakah usaha kerajaan untuk mempertingkatkan lagi sempadan negara supaya tidak dibolosi oleh pengedar-pengedar dadah, termasuk juga menggunakan sindiket anak watan negara Malaysia yang diperalatkan untuk mengedar dadah? Datuk Wira Abu Seman Yusop: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berkaitan dengan traffickers ataupun pengedar-pengedar dadah yang memasuki di dalam negara kita, pihak AADK dan juga pihak Narkotik Polis Diraja Malaysia selalu mengadakan operasi untuk mengenal pasti dan menangkap pengedar-pengedar dadah ini. Sehubungan dengan ‘keldai-keldai’ yang digunakan, terutamanya di kalangan wanita, pihak AADK dan juga Narkotik Polis selalu mengadakan ceramah-ceramah penerangan, terutamanya kepada pelajar-pelajar di institusi-institusi pendidikan dan juga di tempat-tempat umum berkaitan dengan modus operandi yang telah diguna pakai oleh pengedar-pengedar dadah ini. Apa yang kita lihat daripada data yang ada, nampak penurunan daripada ‘keldai-keldai’ yang membawa dadah di luar negara di kalangan masyarakat kita, terutamanya wanita, kita lihat ada penurunan iaitu kalau melihat daripada tahun 2006, sebanyak 14 orang ‘keldai’ yang telah ditangkap dan meningkat pada tahun 2007 kepada 54 dan pada tahun 2008 telah menurun kepada 45 orang. Pada tahun 2009 sehingga November tahun ini dapat dilihat bahawa penurunan begitu ketara kepada 21 orang sahaja. Terima kasih. ■1010 Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, kita melihat daripada isu dadah yang kita semua tahu di antara musuh nombor satu negara, tetapi yang kita dengar yang ditangkap adalah pengedar. Kita amat jarang dengar pembekal dadah ini ditangkap. Jadi, saya ingin penjelasan daripada pihak kementerian berapakah kes pembekal dadah ini telah ditangkap? Sejauh mana penguatkuasaan di kawasan sempadan yang kita tahu di antara tempat yang paling banyak berlakunya penyeludupan dadah? Jadi, sejauh manakah usaha yang telah dibuat oleh kerajaan dan apakah pemantauan yang dibuat terhadap pengedar-pengedar dadah yang menggunakan kanak-kanak sebagai pengedar? Minta penjelasan. Datuk Wira Abu Seman Yusop: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Sebelum ada pembekal mesti ada pengedarannya, iaitu yang membekalkan kepada orang yang membekalkan DR. 7.12.2009 3 dadah ini. Oleh kerana itulah kita lihat banyak kejayaan yang telah dibuat oleh Narcotic Police dalam menangkap pengedar-pengedar dadah ini yang mana saya telah nyatakan dalam Dewan yang mulia ini dalam sesi ini. Berkaitan dengan kemasukan pengedar-pengedar dadah ini memang pihak Narkotik, Polis Diraja Malaysia sentiasa membuat operasi tentang penangkapan ke atas pengedar- pengedar dadah ini. Sebagaimana yang kita maklum bahawa berkaitan dengan dadah ini negara kita ini merupakan berhampiran dengan tiga segi emas di mana pengeluaran dadah ini berlaku. Memandangkan kawasan kita sama ada di laut atau sempadan darat yang begitu luas, maka kita tidak boleh menafikan bahawa ada juga terdapat pengedar-pengedar dadah ini yang bolos daripada pengawalan kita. Terima kasih. [Soalan No.2 - Y.B. Tuan R. Sivarasa (Subang) tidak hadir] [Soalan No.3 - Y.B. Datuk Wira Ahmad Hamzah (Jasin) tidak hadir] Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, soalan nombor dua dan nombor tiga tidak dapat saya kemukakan untuk dijawab secara lisan memandangkan Ahli Yang Berhormat Subang sekarang ini berada di mahkamah dan saya telah memberi kebenaran. Yang Berhormat Jasin, bagi soalan nombor tiga pula sekarang ini beliau berada di Indonesia atas tugas-tugas rasmi juga di atas kebenaran saya. 4. Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan mengenai pinjaman TEKUN: (a) berapakah bayaran yang perlu dilakukan untuk mendapatkan borang tersebut dan adakah bayaran pemprosesan dikenakan untuk setiap permohonan; dan (b) seberapa jauhkah efektifnya sistem TEKUN ini. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II [Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim]: Tuan Yang di-Pertua, TEKUN Nasional ditubuhkan pada 9 November 1998 yang melaksanakan Program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Program ini diwujudkan bagi membantu usahawan kecil yang ingin memula dan meningkatkan perniagaan melalui pembiayaan perniagaan dan khidmat sokongan. (a) Pembiayaan TEKUN disediakan secara mudah tanpa cagaran dan penjamin, dan pemohon hanya perlu memohon terus kepada Pegawai TEKUN di Pejabat TEKUN kawasan. Borang permohonan boleh diperolehi secara percuma. Permohonan yang berjaya atau lulus dikenakan yuran proses, iaitu sebanyak RM30 bagi pembiayaan yang diluluskan kurang daripada RM10,000, RM50 bagi pembiayaan di antara DR. 7.12.2009 4 RM10,000 sehingga RM30,000 dan RM100 bagi pembiayaan melebihi RM30,000 sehingga RM50,000. Bayaran proses ini akan ditolak daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan kepada usahawan. Sekiranya permohonan tidak diluluskan pemohon tidak dikenakan sebarang caj. Bagi menjawab soalan, (b) Program TEKUN adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada usahawan kecil untuk memula dan memajukan perniagaan tanpa memerlukan cagaran dan penjamin. Selain daripada pembiayaan TEKUN Nasional turut menyediakan peluang-peluang perniagaan, peluang mejana pendapatan, khidmat bimbingan dan sokongan serta jaringan usahawan. Kerajaan mendapati sistem pembiayaan TEKUN yang dilaksanakan adalah efektif, di mana sehingga 31 September 2009 TEKUN Nasional berjaya mengeluarkan 188,708 pembiayaan bernilai RM1.385 bilion kepada 150,988 usahawan di seluruh negara. Daripada keseluruhan pembiayaan ini 31,716 usahawan telah mendapat pembiayaan ulangan berjumlah RM433.84 juta dan TEKUN Nasional tidak mengehadkan jumlah kali pinjaman yang boleh diluluskan kepada seseorang usahawan sehingga terdapat usahawan TEKUN yang telah menerima enam kali pinjaman. Sistem pembiayaan yang diamalkan oleh TEKUN juga didapati efektif kerana proses permohonan dan kutipan bayaran balik yang mudah. Usahawan hanya perlu memohon di Pejabat TEKUN kawasan dan apabila diluluskan kaedah bayaran balik bayaran adalah fleksibel di mana usahawan boleh melunaskan bayaran balik apabila staf TEKUN datang membuat kutipan di premis perniagaan mereka atau mereka boleh membayar di Pejabat TEKUN melalui bank yang dilantik atau melalui cek tarikh tertunda ( post-dated cheque ). Selain daripada itu, syarat-syarat permohonan adalah mudah dan senang dipenuhi oleh usahawan dan pengalaman dalam perniagaan bukanlah merupakan