UCAPAN ALUAN

YBHG. DATO’ SRI MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN BULAN KEBAJIKAN NEGARA 2017

1 OKTOBER 2017 (AHAD)

PUSAT LATIHAN PERINDUSTRIAN DAN PEMULIHAN BANGI

1

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Keluarga Bahagia.

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama hadir ke Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017.

2. Ingin saya rakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Dr. , Timbalan Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017. Kehadiran YAB Dato’ Sri pada hari ini membuktikan komitmen tinggi Kerajaan terhadap kebajikan rakyat sebagai salah satu teras dalam membangunkan Negara. Terima kasih YAB Dato’ Sri.

3. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada rakan- rakan strategik korporat yang hadir pada hari ini iaitu KFC Holdings, Nestle dan juga Prudential Assurance Malaysia Berhad yang sentiasa memberikan pelbagai bentuk sumbangan kepada kumpulan sasar Kementerian iaitu kanak-kanak, Orang Kurang Upaya, warga emas dan juga mangsa-mangsa bencana.

LATAR BELAKANG PENGANJURAN BKN 2017

YAB Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,

2

4. Bulan Kebajikan Negara 2017 merupakan satu program inisiatif KWPKM julung kali diadakan dan akan menjadi acara tahunan untuk mengiktiraf amalan dan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat terutama kepada mereka yang memerlukan. Kementerian mengambil inisiatif penganjuran Bulan Kebajikan Negara 2017 ini berdasarkan kepada ketetapan yang terkandung di dalam dokumen Nasional Negara iaitu :

i. Dasar Kebajikan Masyarakat Negara yang menggariskan Kebajikan Tanggungjawab Bersama dengan membina dan memupuk semangat tolong-menolong dan bantu- membantu untuk mengukuhkan budaya ikram;

ii. Rancangan Malaysia Ke-11, iaitu Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Masyarakat yang Saksama.

iii. Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam iaitu Merakyatkan Penyampaian Perkhidmatan.

5. Kementerian telah memutuskan agar sambutan khusus bagi golongan sasar Jabatan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya, kanak-kanak dan warga emas yang diraikan secara berasingan sebelum ini digabungkan di dalam satu majlis dan dirayakan secara serentak dalam satu bulan yang dinamakan sebagai Bulan Kebajikan Negara.

6. Untuk julung kalinya, Kementerian menganjurkan program Kebajikan berskala besar selama Satu Bulan bagi mengiktiraf kumpulan sasar dan pada masa yang sama memberikan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan. Ian

3

Ia selari dengan slogan “merakyatkan perkhidmatan awam” dan juga hashtag Deliver! Deliver! Deliver! yang telah dilaungkan oleh YAB Perdana Menteri semasa perhimpunan penjawat awam pada awal tahun ini.

PENGANJURAN BKN 2017

YAB Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,

7. Penganjuran Bulan Kebajikan Negara 2017 adalah selaras dengan pendekatan inklusiviti di mana semua masyarakat tidak akan dipinggirkan dan ia merupakan komitmen dan inisiatif Kerajaan yang berteraskan Rancangan Malaysia Ke-11 dan Sustainable Development Goal (SDG) atau Agenda 2030.

8. “Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat” telah dipilih sebagai tema penganjuran Bulan Kebajikan Negara 2017 kali.

9. Majlis Prapelancaran Bulan Kebajikan Negara 2017 telah diadakan pada 10 September 2017 yang lalu di Beaufort, yang mana mulai tarikh tersebut, setiap negeri turut mengadakan sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 di peringkat negeri masing-masing dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang menzahirkan tanggungjawab kebajikan secara inklusif melibatkan setiap lapisan masyarakat.

KERJASAMA MULTISEKTORAL

YAB Dato’ Sri serta para hadirin sekalian

4

10. Sambutan ini merupakan salah satu platform untuk menjalinkan kerjasama multisektoral selaras dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melalui penggemblengan tenaga dan penyertaan pelbagai pihak iaitu agensi-agensi Kerajaan, pihak korporat, NGO, pemimpin- pemimpin masyarakat dan komuniti setempat untuk bersama- sama mencurahkan khidmat bakti dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

11. Besar harapan saya supaya seluruh komponen masyarakat dan komuniti Malaysia mengambil peluang dalam Bulan Kebajikan Negara ini untuk memupuk elemen kebajikan, kesukarelawanan, kebersamaan dan kerukunan antara kita agar selari dengan nilai-nilai murni yang terus disemarakkan dengan kesedaran bahawa kebajikan adalah tanggungjawab bersama.

PENUTUP

12. Akhir kata, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan kebajikan yang terbaik kepada seluruh masyarakat yang memerlukan. Semoga setiap usaha murni yang kita lakukan akan sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah subhanahuwataala.

Sekian. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

5