SUNTIKAN VAKSIN FASA 2 AKAN CUBA DISELESAIKAN SELEWATNYA AWAL MEI

KUANTAN, 19 APRIL 2021 : Kerajaan akan cuba menyelesaikan Program Imunisasi Covid-19 bagi penerima Fasa 2 melibatkan 360,000 penerima di seluruh Pahang selewatnya minggu pertama Mei ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata suntikan Fasa 2 yang khusus bagi rakyat berisiko tinggi seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas telah dimulakan hari ini.

“Alhamdulillah suntikan pada hari ini yang merupakan hari pertama bagi Fasa 2 sudah melebihi sasaran kita. Kita jangka seramai 1,820 orang akan menerima suntikan untuk dos pertama pada hari ini sepertimana janji temu yang telah diberi menerusi Aplikasi MySejahtera.

“Namun pada hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Wisma Belia, Indera Mahkota, sahaja, seramai 649 orang dijangka menerima suntikan vaksin untuk dos pertama namun setakat petang ini, dalam 660 individu 60 tahun ke atas telah menerima suntikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksinasi di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah; dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata jumlah tersebut merupakan satu perkembangan yang baik dan sihat dalam penerimaan suntikan imunisasi oleh rakyat di negeri ini.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menerima sebanyak 9,360 dos vaksin menerusi shipment kelapan yang daripadanya, 8,087 dos telah diagihkan ke kesemua lima PPV bagi janji temu ditetapkan bermula hari ini sehingga 25 April.

“Pemberian untuk dos kedua telah ditetapkan bermula 10 hingga 12 Mei, serta 17 dan 18 Mei. Manakala shipment kesembilan dijangka tiba bermula 21 hingga 23 April ini sebanyak 8,190 dos,” katanya.

Menurut beliau lagi, selain PPV Wisma Belia, terdapat empat lagi PPV yang terlibat dengan penerimaan suntikan vaksin pada hari ini.

“Selain 649 orang penerima di PPV Wisma Belia ini, penerima-penerima lain ialah di empat PPV iaitu Dewan Tun Razak, seramai 488 orang, dan Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, (299 orang).

“Manakala di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuala Rompin seramai 294 orang dan di Dewan Majlis Perbandaran adalah seramai 90 orang,” katanya. - PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #UKOMP

Oleh : Ain Nadhirah Basha

Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

(LIPUTAN BERGAMBAR)