Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Pertama Mesyuarat Kedua
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak PENYATA RASMI PARLIMEN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA Bil. 38 Isnin 19 November 2018 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG DIBAWA KE DALAM MESYUARAT (Halaman 24) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2019 (Halaman 25) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 25) Usul Anggaran Pembangunan 2019 (Halaman 25) DR.19.11.2018 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA Isnin, 19 November 2018 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Tuan Wong Tack [Bentong] minta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli menyatakan keluasan kawasan untuk projek penanaman semula hutan besar-besaran yang akan dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre. Adakah ini bermakna sistem pengurusan hutan secara mampan yang diguna pakai selama ini telah mengakibatkan kemerosotan hutan asli. Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli [Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji]: Terima kasih, Yang Berhormat Bentong. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, pihak kementerian belum lagi membuat keputusan berkenaan dengan cadangan penanaman semula yang dikemukakan oleh Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC). Berkaitan dengan cadangan penanaman semula ini, hal ini bukan bermakna kemerosotan hutan asli telah berlaku. Program penanaman semula ini adalah bertujuan untuk memulihkan hutan tersorot dengan izin, degraded forest seperti di kawasan diteroka, kawasan terbakar, kawasan ribut dan kawasan bekas lombong. Untuk makluman Yang Berhormat Bentong, hutan simpan kekal kita sekarang adalah bertambah dan bukannya berkurang. Sehingga 31 Disember 2017, keluasan hutan simpan kekal di Semenanjung adalah 4,811,226 hektar iaitu kira-kira 36.42 peratus dari keluasan tanah di Semenanjung Malaysia. Ini merupakan peningkatan sebanyak 23,968 hektar yakni 0.5 peratus dari jumlah keluasan hutan simpan kekal bagi tahun 2008. Ini menunjukkan bahawa pengurusan hutan secara berkekalan yang diamalkan di Semenanjung pada masa ini tidak mengakibatkan kemerosotan hutan. Kemerosotan hutan yang berlaku adalah disebabkan oleh penukaran guna tanah, dengan izin, land use conversion. Terima kasih kepada Yang Berhormat Bentong, sememangnya Yang Berhormat Bentong merupakan pencinta alam semula jadi. Namun, sebagaimana sedia maklum, pentadbiran di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti mana Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, pihak kementerian telah membuat semula semakan Akta Perhutanan Negara 1984 yakni Akta 313 untuk menambah baik pentadbiran pengurusan pembangunan dan pemuliharaan DR.19.11.2018 2 hutan. Salah satu tujuannya adalah untuk mengukuhkan kerjasama Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan Akta 313 tersebut. Terima kasih. Tuan Wong Tack [Bentong]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya tahu perkara menguruskan hutan amat complicated sikit kerana melibatkan state and Federal. Selain itu, ia juga melibatkan ministry yang lain. Saya mahu bertanya, apakah pandangan Yang Berhormat Timbalan Menteri jika saya cadangkan satu tri-ministry advisory council melibatkan Ministry MESTECC, your ministry dan Yang Berhormat Puan Teresa Kok Suh Sim ministry, is that possible? Dengan izin, terima kasih. Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji: Terima kasih, Yang Berhormat Bentong. Sememangnya kerajaan baharu Pakatan Harapan, kita mengalu-alukan cadangan yang baik. Insya-Allah kalau cadangan yang baik, kita akan pertimbangkan. Terima kasih. Dato’ Sri Hasan bin Arifin [Rompin]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Apakah pandangan Menteri selagi Akta Perhutanan Negara dan Kanun Tanah Negara tidak dipinda? Sebenarnya, laporan hutan ini adalah indah khabar dari rupa. Tidak seperti apa yang sebenarnya berlaku di keadaan yang sebenarnya selagi dua akta ini tidak dipinda iaitu Akta Perhutanan Negara dan Akta Tanah Negara untuk menyesuaikan diri dengan matlamat untuk hutan ini diurus dengan sempurna dan baik? Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji: Terima kasih, Yang Berhormat Rompin. Saya setuju apa yang Yang Berhormat Rompin kemukakan. Insya-Allah pada tahun hadapan, RUU Perhutanan akan kita bawa ke Parlimen iaitu dengan menambah baik. Saya harap kerajaan negeri dapat memberikan sokongan selepas RUU ini diluluskan. Ini di mana kita mohon sedikit kuasa daripada Persekutuan ke atas perhutanan. ■1010 Seperti mana saya maklumkan tadi, kuasa mutlak setakat ini di bawah kerajaan negeri mengikut Perlembagaan 74(2) Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan. Mana-mana yang baik kami akan masukkan. Terima kasih. Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, saya ingin mendapat penjelasan, mungkin secara bertulis sebab ini perlukan data yang agak detail iaitu jumlah keluasan hutan tanam semula dan pecahan mengikut negeri, serta jenis kayu yang ditanam semula. Berapakah jumlah hutan simpan yang dikeluarkan ataupun yang dibenarkan yang diberi lesen untuk pembalakan daripada tahun 2000 hingga tahun 2018? Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab. Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji: Kalau hendak detail memang insya-Allah saya akan bagi secara bertulis, tetapi kalau secara umum boleh saya nyatakan di sini sahajalah. Pada tahun 2017, hutan simpan kekal berjumlah 259,217; manakala hutan tanah kerajaan berjumlah 585,109; rizab hutan liar berjumlah 4,884. Jumlah lebih kurang dalam lima juta lebih, jadi untuk yang secara detail-nya saya akan bagi secara bertulis, terima kasih. DR.19.11.2018 3 2. Dato' Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Pembangunan Usahawan menyatakan hala tuju dan bentuk bantuan yang disediakan bagi usahawan-usahawan tempatan dalam mengharungi era ekonomi digital pada Revolusi Industri 4.0. Menteri Pembangunan Usahawan [Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof]: Terima kasih Yang Berhormat Larut. Tuan Yang di-Pertua sebagai sebuah negara yang bergantung kepada pasaran global dan terus menyasar untuk menjadi negara pengeluar, Malaysia perlu meningkatkan rantaian nilai dan menjadi pangkalan perkilangan berkualiti tinggi, menerusi penggunaan teknologi agar negara agar lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. Industri 4.0 akan mendorong syarikat-syarikat tempatan untuk menggunakan automasi, inovasi dan teknologi tinggi terkini dalam proses pembuatan masing-masing. Ia seterusnya akan membolehkan syarikat-syarikat PKS untuk meningkatkan kecekapan produktiviti dan pulangan pelaburan serta daya saing industri tempatan. Terdapat beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyokong serta membantu PKS tempatan mempersiapkan diri ke arah Industri 4.0. Antara inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dengan izin ataupun MED yang dikelolakan melalui agensi di bawahnya adalah seperti berikut, pertama Program Business Accelerator oleh SME Corp. Malaysia bagi memenuhi keperluan PKS untuk menggunakan teknologi Industri 4.0. Antara elemen pembiayaan yang layak dipertimbangkan adalah pembelian lesen perisian, pembelian perisian dan peralatan dan automasi mesin serta robotik yang berkaitan. Insentif ini berbentuk geran bersamaan 50 peratus hingga RM400,000, di bawah skim ini PKS juga boleh mendapat bantuan pinjaman mudah sehingga RM1 juta pada kadar faedah empat peratus dengan margin pembiayaan sehingga 90 peratus dan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun. Kedua, kerjasama antara SME Corp. dengan Penang Skills Development Centre (PSDC) bagi memperkukuhkan local system integrates untuk mewujudkan ekosistem bagi menggalakkan penggunaan teknologi 4.0 di kalangan PKS. Ketiga, kita menggalakkan koperasi-koperasi yang akan terus diperkasakan supaya lebih berdaya maju dan berdaya saing dalam persekitaran teknologi 4.0. Ini termasuk usaha bagi membantu meluaskan peluang perniagaan koperasi mengukuhkan lagi perhubungan industri dan penyelidikan yang berterusan. Terima kasih. Dato' Seri Hamzah bin Zainudin [Larut]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri sahabat saya yang menjawab soalan saya tadi. Daripada apa Yang Berhormat sebut tadi kebanyakannya adalah untuk kita membantu dari segi bantuan mendapatkan akses kepada teknologi-teknologi yang ada. Manakala teknologi seperti cloud computing, artificial intelligent dan sudah tentulah seperti Internet of Thing sudah menjadi sesuatu keperluan keseluruhan dalam perniagaan atau dalam kata lain ia merupakan digital transformation ini merupakan sesuatu yang terkesan dalam seluruh business environment pada hari ini. Apakah kita sudah bersedia dalam semua teknologi-teknologi tersebut, atau kita masih lagi dalam peringkat penyelidikan untuk menentukan kegunaannya dalam negara kita? Terima kasih. DR.19.11.2018 4 Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof: Terima kasih Yang Berhormat Larut, tepat soalan itu. Dari segi adakah kita sudah ataupun sedang bersiap sedia. Kalau kita lihat belanjawan yang diumumkan baru-baru ini, untuk kita transform-kan kepada industri menurut penggunaan digitalization tadi, kita ada peruntukan RM3 bilion, untuk merancakkan industri untuk menerap teknologi pintar merangkumi robotik dan kejuruteraan buatan (artificial intelligence) yang disebutkan tadi, kita ada RM3 bilion. Kementerian sedang rancangkan