Jurnal Melayu (8) 2011: 153 - 172

KAJIAN BUDAYA POLITIK MELAYU DALAM PILIHAN RAYA KECIL HULU , SELANGOR MALAY POLITICAL CULTURE STUDIES ON BY ELECTION IN HULU SELANGOR, SELANGOR

JUNAIDI AWANG BESAR MOHD FUAD MAT JALI MOHD FAIDZ MOHD ZAIN

ABSTRAK

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Allahyarham Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 25 Mac 2010. Sehubungan itu, adalah tujuan makalah ini untuk menganalisis budaya politik Melayu dengan merujuk kepada keputusan PRK Hulu Selangor yang diadakan pada 25 April 2010. Sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) di Hulu Selangor dari PRU 1955 hingga PRU 2004 menunjukkan kawasan ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun akibat tsunami politik pada PRU 2008 menyebabkan BN tewas kepada PKR di kawasan tersebut. Namun demikian pada PRK 2010 menyaksikan BN berjaya menguasai semula kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 1725 undi. Berdasarkan soal selidik dan pemerhatian pra pilihan raya, dari segi kriteria pemilihan calon, 81.7 peratus responden menyatakan mereka memilih calon yang mesra rakyat. Hasil kajian juga mendapati 43.10 peratus responden menyatakan akan mengundi BN berbanding 34 peratus PKR. Dapatan kajian tersebut selaras dengan keputusan sebenar pilihan raya yang memihak kepada BN sebanyak 1725 undi majoriti. Perbandingan pola pengundian dan majoriti yang diperolehi calon/parti yang bertanding berdasarkan keputusan PRU 2004 hingga PRK 2010 mengikut daerah mengundi yang majoritinya pengundi Melayu menunjukkan kesemuanya berpihak kepada BN. Secara keseluruhannya politik Melayu berperanan penting dalam kemenangan BN di Hulu Selangor dan faktor sokongan pengundi Melayu juga mempengaruhi pola pengundian bagi etnik Melayu berdasarkan kepada lima ciri budaya politik Melayu iaitu Sultan/Raja, Islam, Bahasa Melayu, ekonomi dan universal (politik baru).

Kata kunci: Pilihan Raya, Melayu, budaya politik, politik Melayu, isu

ABSTRACT

By-election of Hulu Selangor Parliament constituency held following the death of the late Zainal Abidin Ahmad of Parti Keadilan Rakyat (PKR) on 25 March 2010. Accordingly, the purpose of this paper is to analyze the Malay political culture with respect to the results of PRK Hulu Selangor held on 25 April 2010. History of General Elections in Hulu Selangor from 1955 until the general election 2004 general election showed that this region is the stronghold of Barisan Nasional (BN), but the ‘political tsunami’ in 2008 general election resulted that BN is losing to PKR. However, in 2010 by-election saw that BN captured the Hulu Selangor parliamentary seat with a majority of 1725 votes. Based on questionnaires and pre-election observation, in terms of selection candidate criteria, 81.7 percent of respondents said they chose a people-friendly candidates. The study also found that 43.10 percent of the respondents would vote for BN than 34 percent of PKR. The findings are consistent with the actual results of the election in favor of the BN by 1725 a majority vote. Comparison of voting patterns and the majority of voting obtained by the candidates / parties contesting in the general election results from 2004 to 2010 by election in voting district of majority Malay voters area showed all in favor of the BN. Generally, Malay politics is an important role in the BN’s victory in the Hulu Selangor and Malay

154 voters factor also influence the voting patterns of ethnic Malays on the five characteristics of the political culture of the Malay Sultanate, Islam, Malay language, economics, and universal (new politics).

Keywords: Elections, Malay, political culture, politics, Malay, issue

Pengenalan

Masyarakat Melayu merupakan aktor yang sangat penting dalam politik . Dengan kehadiran UMNO pada 1946 ia telah mencetuskan evolusi baru dalam politik di Malaysia sehinggakan parti ini menjadi tunjang kepada negara dalam mencapai kemerdekaan. Setiap kali pilihan raya peranan pengundi Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon. Pilihan raya merupakan satu ruang kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka memilih kerajaan yang mereka percayai boleh memerintah serta mampu memenuhi kehendak rakyat (Mohd Fo’ad, 1999). Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac 2010. Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan mesyuarat pada 2 April 2010 memutuskan untuk mengadakan pilihan raya kecil di Hulu Selangor. Tarikh penamaan calon ialah pada hari Sabtu 17 April 2010, manakala hari pembuangan undi ialah pada hari Ahad 25 April 2010. Dalam pilihan raya ini, dikatakan agak unik dalam melihat survival politik Melayu. Justeru persoalan yang akan disingkap dalam makalah ini ialah sejauhmanakah peranan budaya politik Melayu memainkan peranan penting dalam melihat bagaimana membantu kemenangan calon dari Barisan Nasional P.Kamalanathan. Perbincangan mengenai perkara ini menarik memandangkan kawasan majoritinya pengundi Melayu memilih calon daripada keturunan India. Turut dirungkai tinjauan persepsi pengundi terhadap kriteria

155 pemilihan calon dan parti; isu yang dibincangkan serta politik semasa ketika pra pilihan raya di Hulu Selangor. Bagaimana pula dengan kerelevanan politik Melayu yang menjadi pemangkin kepada kejayaan BN merampas kembali kerusi Parlimen yang selama ini (PRU 1955- 2004) menjadi kubu kuat mereka.

Konsep Melayu

Menurut Abdul Rahman Embong (2000), terdapat tiga pendekatan konsep Melayu. Pertama konsep Melayu yang menggunakan kesamaan bahasa dan budaya seperti yang terkandung dalam pengantar Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Menurut Abdul Rahman Embong, Melayu secara fizikalnya berkulit ciku masak (sawo matang) yang terdiri daripada pelbagai suku bangsa yang mendiami alam Melayu yang juga dikenali Nusantara. Dari segi linguistiknya Melayu bertutur dalam bahasa asasnya iaitu bahasa Melayu-Polinesia. Melayu dipecahkan kepada ratusan suku bangsa dan etnik yang mempunyai perbezaan dari lokasi, dialek dan cara hidup. Pada hari ini, Melayu menjadi sebahagian besar penduduk Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina manakala di Singapura, Selatan Thailand, Vietnam, Myanmar, Sri Lanka, dan Afrika Selatan menjadi kumpulan minoriti (Abdul Rahman Embong 2000). Pendekatan kedua yang menerangkan konsep Melayu ini ialah berasaskan kepada penggunaan nama Melayu itu sendiri. Menurut Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, nama Melayu dikatakan berasal dari nama Sungai Melayu di Bukit Siguntang, Palembang Sumantera. Untuk takrifan pendekatan ini, Melayu tidak termaksud mereka daripada etnik Jawa, Banjar, Acheh dan kelompok-kelompok yang sama dengan budayanya. Ini bermaksud dalam pendekatan ini hanya Melayu di Palembang sahaja. Manakala pendekatan ketiga pula dalam mentakrifkan konsep Melayu ialah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu Fasal 160 yang mentarifkan Melayu adalah seseorang

156 yang beragama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan i) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura ; atau ii) ia adalah keterunan seseorang tersebut (Perlembagaan Persekutuan 2007). Bagi istilah Bumiputera pula, definisi khusus mengikut perlembagaan diterima pakai setelah kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam gagasan Malaysia pada tahun 1963. Sebelum istilah Bumiputera ini dimasukkan dalam perlembagaan, pengertian perkataan Bumiputera diterima umum sebagai anak watan atau pribumi yang menjadi penduduk asal negara ini (Syed Husin Ali 1979). Sementara itu Syed Husin Ali (1979), pengertian Melayu dapat dilihat melalui dua sudut iaitu sudut sosiobudaya dan juga perlembagaan. Dari sudut sosiobudaya orang Melayu bukan sahaja terdapat di Semenanjung tetapi juga di tempat lain seperti kepulauan Filipina dan Indonesia yang disebut Nusantara. Walaupun bertutur dalam dialek dan loghat yang berbeza serta berbeza agama, para sarjana beranggapan mereka ini daripada rumpun yang sama. Ini dapat dibuktikan dengan seorang tokoh nasionalis Filipina Jose Rizal dengan ungkapan ‘the pride of the Malay race’ walaupun beliau tidak beragama Islam (Wan Hashim Wan Teh, 1996). Ikatan kekuatan Melayu ini dipisahkan oleh penjajah barat di rantau ini. Dengan British di Malaya dan Brunei, Belanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina. Jadi kewujudan Melayu adalah berasaskan negara, iaitu Melayu Malaysia, Melayu Indonesia dan Melayu Brunei (Syed Husin Ali 1979,10). Manakala dari sudut perlembagaan adalah sama dengan pendekatan yang ketiga seperti yang dikemukakan oleh Abdul Rahman Embong (2000) yang telah dinyatakan oleh penulis tadi.

157 Konsep Budaya Politik

Budaya Politik adalah suatu perlakuan, tingkah laku, penglibatan, persepsi, kepercayaan, jangkaan dan harapan anggota masyarakat di dalam lingkungan politik masyarakatnya (Ahmad Nidzamuddin 2002). Menurut Almond & Powel (1966), mencirikan budaya politik kepada tiga bentuk iatu budaya politik parokial, subjek dan partisipan. Budaya politik parokial ini wujud di kalangan masyarakat yang tidak ambil tahu tentang urusan politik. Mereka hanya mengutamakan urusan keluarga dan urusan peribadi mereka sahaja. Budaya politik subjek pula, merujuk kepada mereka yang menerima output daripada sebelah pihak sahaja tanpa mempersoalkan apa, bagaimana dan mengapa. Mereka ini terdiri daripada ahli parti dan penyokong parti yang setia kepada pemimpin yang boleh dianggap taat melulu, mendengar dan mempercayai hanya sebelah pihak. Budaya politik partisipan pula, merujuk kepada masyarakat yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Mereka ini boleh diketogerikan kepada masyarakat sivil. Budaya politik juga mengandungi satu kepercayaan yang boleh digambarkan dan nilai yang boleh menjelaskan situasi tindakan politik (Pye &Verba 1965: 513). Dalam memperkatakan budaya politik Melayu, beberapa asas yang dikaitkan dengan budaya politik Melayu iaitu Raja-raja Melayu, Islam, Bahasa Melayu, ekonomi dan universal (politik baru). Dalam makalah ini akan diperjelaskan kesemua ciri-ciri budaya politik Melayu ini dalam mempengaruhi undi dan kempen dalam Pilihan Raya Kecil ini kepada BN khususnya di kawasan yang majoritinya Melayu.

Data dan Kawasan Kajian

Seramai 1000 responden (pengundi) dengan 350 responden dipilih daripada DUN Kuala Kubu Baru, 350 responden daripada DUN

158 dan Hulu Bernam 300 responden. Mereka telah dipilih untuk disoal selidik yang bertujuan untuk memperolehi pendapat mereka terhadap latarbelakang demografi, pemilihan calon dan parti yang mereka kehendaki; dan menanyakan parti mana menjadi pilihan mereka pada hari mengundi kelak. Satu set soal selidik telah digunakan untuk mendapatkan data primer. Pemerhatian dan tinjauan juga dilakukan di kawasan kajian untuk melihat perubahan landskap budaya politik, keadaan fizikal ruang atau kawasan yang relevan. Data dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis melalui perisian statistik berkomputer Statistical Package Social Science (SPSS) untuk melihat data analisis deskriptif frekuensi (peratusan) dan ujian crosstab/taburan silang. Hulu Selangor merupakan salah sebuah daerah yang terletak di timur laut negeri Selangor. Persempadanan, lingkungan serta keluasan kawasan Hulu Selangor dari segi pentadbiran Pejabat Tanah dan Daerah serta bahagian pilihan raya adalah sama. Dari sudut geografi, Hulu Selangor terletak di utara Lembah dengan keluasan 174,047 hektar, hampir sama keluasan dengan negeri Melaka. Jumlah penduduknya lebih kurang 184,800 orang (2006) atau 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Negeri Selangor dan kini semakin meningkat sejajar dengan pembangunan semasa. Hulu Selangor juga merupakan daerah yang terbesar di antara sembilan buah daerah di Negeri Selangor. Ia bersempadan dengan Perak di utara dan Pahang di sebelah timur. Hulu Selangor mempunyai 13 mukim iaitu Ampang Pechah, Batang Kali, Buloh Telor, Kalumpang, Kerling, Kuala Kalumpang, Pertak, Rasa, , Sungai Gumut, Sungai Tinggi, Hulu Bernam dan Hulu Yam. Jika dilihat kepada sirkulasi ruang, kawasan Hulu Selangor sebahagian besarnya merangkumi hutan belantara di bahagian timur (Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali), kawasan estet perladangan tanaman kelapa sawit yang dihuni kaum India (Ladang Changkat Asa, Ladang 15, Ladang SKC, Ladang Nigel Gardner), Tanah Rancangan Kemajuan

159 Persekutuan yang ditanami kelapa sawit yang dihuni kaum Melayu (FELDA Sungai Dusun, FELDA Gedangsa, FELDA Sungai Buaya), kawasan ladang getah yang didiami kaum Melayu (Sungai Selisek, Gesir), perkampungan Melayu tradisional (Kampung Padang, Hulu Kali), perkampungan baru Cina (Kampung Baru Kuala Kubu Baru, Kampung Baru Batang Kali, Kampung Baru Rasa), taman-taman perumahan (Taman Bukit Teratai, Taman Bunga Raya) dan pekan (Rasa, Batang Kali, Kalumpang, Hulu Yam). Geografi pilihan raya adalah kajian aspek ruangan organisasi manusia dan keputusan pilihan raya. Subjek kajian yang utama adalah manusia dan interaksinya dengan proses pengundian termasuk keputusan pilihan raya (Amer Saifude Ghazali 2009: 1). Dari segi geografi pilihan raya pula, parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi yang berdaftar dengan SPR majoritinya adalah pengundi Melayu dengan 53.9 peratus, diikuti dengan pengundi Cina 26.7 peratus, India 19 peratus dan lain-lain 0.4 peratus. Dalam parlimen Hulu Selangor ini mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batang Kali, Kuala Kubu Baru dan Hulu Bernam. Manakala jumlah daerah mengundi di Parlimen Hulu Selangor ini adalah sebanyak 48 daerah mengundi. Ini merangkumi 1 peti undi untuk pengundi pos, 15 daerah mengundi untuk DUN Hulu Bernam, 14 daerah mengundi di DUN Kuala Kubu Baharu manakala bagi DUN Batang Kali pula sebanyak 17 daerah mengundi.

Sejarah Pilihan Raya Kawasan Parlimen Hulu Selangor

Sejarah membuktikan bahagian pilihan raya Parlimen Hulu Selangor ini merupakan kubu kuat PERIKATAN/BN selepas merdeka. Namun pada pilihan raya umum 2008, Hulu Selangor jatuh kepada pihak pembangkang/Pakatan Rakyat iaitu PKR. Dalam kesepakatan Perikatan/BN, kerusi ini pada mulanya adalah kuota bagi MCA dari 1959 hingga 1982. Bermula pada pilihan raya umum 1986

160 hingga sekarang, kuota bagi kerusi ini deserahkan kepada MIC. Yang menariknya, walaupun jumlah pengundi di Hulu Selangor ini majoritinya Melayu, namun sejak pilihan raya umum yang berlangsung selepas merdeka, UMNO tidak pernah bertanding di di sini. Bagi pihak Pakatan Pembangkang pula, pada tahun 1999 kerusi ini diberi kepada Parti KeADILan Nasional (PKN, kini sebagai Parti Keadilan Rakyat/PKR), manakala pada tahun 2004 kepada PAS dan kemudiannya pada tahun 2008 yang lalu kepada PKR. Jadual dibawah menunjukkan ahli Parlimen Hulu Selangor dari 1959 hingga sebelum pilihan raya kecil 2010:

JADUAL 1 Senarai Ahli Parlimen Hulu Selangor Dari Tahun 1959 Hingga Sebelum Pilihan Raya Kecil 2010 TAHUN NAMA WAKIL RAKYAT PARTI 1959 Ong Yoke Lin PERIKATAN/MCA 1964 Khaw Khai Boh PERIKATAN/MCA 1969 Khaw Khai Boh PERIKATAN/MCA 1974 Micheal Chen Wing Sum BN/MCA 1978 Micheal Chen Wing Sum BN/MCA 1982 Lee Kim Sai BN/MCA 1986 S. Subramanian BN/MIC 1990 G. Palanivel BN/MIC 1995 G. Palanivel BN/MIC 1999 G. Palanivel BN/MIC 2004 G. Palanivel BN/MIC 2008 Zainal Abidin Ahmad PKR Sumber: Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya 1959 hingga 2008

Pemilihan Calon dan Parti

Secara dominannya, pengundi di Hulu Selangor mahukan calon bersifat jujur, amanah dan mesra rakyat untuk menjadi wakil rakyat

161 di kawasan mereka. Calon yang kerap turun padang, berminat untuk mengetahui masalah pengundi, bijak membuat keputusan, bertindak dengan cekap dan kreatif dan mempunyai hubungan yang baik dengan agensi kerajaan dan NGO menjadi pilihan pengundi. Pertimbangan kepada calon yang berpendidikan tinggi, ideologi dan sebangsa turut menjadi pilihan responden. Ini menunjukkan pengundi di Hulu Selangor mementingkan pemilihan pemimpin yang dapat memenuhi aspirasi dan kehendak mereka (Lihat Jadual 2).

JADUAL 2 Pertimbangan responden dalam pemilihan calon PERKARA PERATUS PERKARA PERATUS Berpendidikan Mesra rakyat 81.7 34.0 tinggi (berijazah) Latar belakang Jujur dan amanah 79.7 25.7 agama Karisma/ketokohan 74.0 Sebangsa 23.3 Bersih dari rasuah 59.0 Tempatan 13.7 Mementingkan 53.0 Calon muda 12.0 perpaduan Sumber: Soal Selidik, April 2010.

Berdasarkan analisis kriteria parti yang disokong pula, dapat diketahui bahawa kebanyakan responden di Hulu Selangor memilih parti politik yang memperjuangkan isu pembangunan dan kemiskinan. Justeru parti politik yang bertanding haruslah meletakkan calon yang bakal dipertandingkan di kawasan ini memiliki pengetahuan yang luas dalam merangka dan melaksanakan rancangan pembangunan serta mempunyai plan alternatif dalam mengatasi masalah kemiskinan di kawasan tersebut agar masyarakat tempatan terus memberi sokongan kepada calon yang bersesuaian dalam pilihan raya kecil tersebut (Lihat Jadual 3).

162 JADUAL 3 Ciri-ciri parti politik yang disokong

PERKARA PERATUS Yang memperjuangkan isu pembangunan dan 75.3 kemiskinan Yang memperjuangkan isu kemanusiaan 75.0 (ketelusan, rasuah, hak asasi) Yang memperjuangkan agama dan bangsa 75.0 Yang memupuk perpaduan kaum 57.3 Yang dapat menunaikan manifesto 55.3 Yang mempunyai calon yang berwibawa, bersih dan 54.3 berpendidikan tinggi Yang mempunyai trek rekod yang baik 41.3 Yang memperjuangkan alam sekitar 8.3 Sumber: Soal Selidik, April 2010.

Isu

Motif kempen diadakan ialah untuk menyampaikan mesej supaya pengundi dapat melihat sendiri sama ada melalui media atau pun secara terus dan mewujudkan kepercayaan kepada pengundi. Isi kempen yang hendak disampaikan dikawal oleh calon atau parti dan dihebahkan supaya mereka dinilai sebaik mungkin. Strategi kempen moden dilakukan melalui saluran media berbayar atau tidak berbayar untuk memastikan penonjolan calon yang terbaik. Di Malaysia dalam sesuatu kempen pilihan raya isu yang terpenting dibincangkan ialah politik pembangunan. Rakyat Malaysia telah diajar untuk menilai pembangunan dan modenisasi dan mereka hanya mempercayai parti pemerintah (BN) yang mampu menyediakan pembangunan di bandar atau pun di luar bandar secara berterusan. Ini bermakna kempen calon pembangkang kurang berkesan dan dipercayai boleh membawa perubahan di sesuatu kawasan.

163 Situasi tersebut juga wujud di kawasan kajian, pembangunan (50.3 peratus) menjadi isu utama perbincangan. Isu ini amat perlu diambil perhatian oleh calon yang bertanding kerana kawasan Hulu Selangor terletak di kawasan pedalaman negeri Selangor dan masih memerlukan perhatian pihak berkuasa. Isu pekerjaan (37.7 peratus) dan pemulihan ekonomi (32.0 peratus) dialami oleh semua pihak dan melibatkan kesan berantai iaitu daripada kenaikan harga bahan api, tambang kenderaan, hartanah hinggalah harga barangan (Lihat Jadual 4). Kesannya amat dirasai bagi golongan yang berpendapatan rendah sama ada di kampung atau di bandar.

JADUAL 4 Isu yang selalu dibincangkan

PERKARA PERATUS PERKARA PERATUS Isu rasuah/politik Isu pembangunan 50.3 14.3 wang Isu kestabilan Isu pekerjaan 37.7 13.7 dan perpaduan Pemulihan ekonomi 32.0 Isu tanah 5.3

Isu kepimpinan 27.7 Isu alam sekitar 1.0 Isu petempatan/ 17.0 perumahan Sumber: Soal Selidik, April 2010.

Politik Semasa

Dari segi pandangan responden mengenai isu politik semasa, majoriti responden masih menyokong kepimpinan Kerajaan Persekutuan dengan lebih 79.1 peratus menyatakan mereka bersetuju dengan

164 gagasan Perdana Menteri seperti “1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memantapkan perpaduan/ integrasi nasional dan memperkukuhkan daya ekonomi negara serta mempercekapkan keberkesanan sistem penyampaian pentadbiran awam melalui pelaksanaan KPI. Disamping itu Gagasan 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri terus cuba difahami dan dihayati oleh segenap masyarakat di Hulu Selangor. Dapatlah difahami bahawa dasar dan kepimpinan di peringkat nasional dan negeri diterima dengan baik oleh pengundi di kawasan ini. Hasil daripada kajian pra hari mengundi jelas menunjukkan bahawa calon BN lebih popular untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor. Ia berdasarkan 43.10 peratus responden menyatakan akan mengundi BN melebihi 34.00 peratus PKR dan 22.90 peratus menyatakan tidak pasti. Dalam pilihan raya kecil ini, calon BN/MIC P. Kamalanathan menang dengan memperolehi 24,997 undi menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim (23,272 undi) dengan majoriti 1,725 undi. Justeru, dapat kajian pra pilihan raya (9-21 April 2010) selaras dengan keputusan sebenar pada 25 April 2010 yang memihak kepada BN.

Budaya Politik Melayu dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 2010

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat lima asas yang dikaitkan dengan budaya politik Melayu. Oleh itu dalam makalah ini akan menumpukan kepada kesemua daerah/peti undi majoriti pengundi Melayu (lebih 80 peratus). Berdasarkan persempadanan yang dilakukan oleh SPR terdapat 13 daerah/peti undi majoriti Melayu (lebih 80 peratus). Berikut adalah kawasan/daerah mengundi yang majoritinya Melayu (lebih 80 peratus) yang dimenangi oleh BN:

165 JADUAL 4 Perbandingan Undi yang Diperolehi dan Majoriti di Kawasan Daerah/Peti Undi Majoriti Pengundi Melayu Parlimen Hulu Selangor antara Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, PRU 2008 dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) 2010 JUMLAH UNDI JUMLAH UNDI MAJORITI NO. KOD BN PKR (BN) BIL DAERAH PRU PRU PRU PRK PRU PRK PRU PRU PRK MENGUNDI 2004 2004 2008 2010 2008 2010 2004 2008 2010 (PAS) 1 094/05/03 FELDA 904 865 957 562 679 553 342 186 404 Gedangsa 2 094/05/04 Sungai 484 307 384 317 213 186 167 94 198 Selisik 3 094/05/05 Kampung 249 246 462 112 151 205 137 95 257 Gesir 4 094/05/06 FELDA 1022 987 1115 671 646 571 351 341 544 Sungai Dusun 5 094/05/07 FELDA Desa 896 943 1062 556 532 490 340 411 572 Maju 6 094/05/08 FELDA 274 328 324 90 105 125 184 223 199 Selatan 7 094/05/12 Kampung 328 313 473 254 268 282 74 45 191 Gumut 8 094/06/03 Ampang 691 623 781 358 622 573 333 1 208 Pechah 9 094/06/06 Kampung Air 721 636 700 321 437 404 400 199 296 Jernih 10 094/07/01 393 423 523 360 361 301 33 62 222 Bukit Rasa

166 JUMLAH UNDI JUMLAH UNDI MAJORITI NO. KOD BN PKR (BN) BIL DAERAH PRU PRU PRU PRK PRU PRK PRU PRU PRK MENGUNDI 2004 2004 2008 2010 2008 2010 2004 2008 2010 (PAS) 11 094/07/02 754 901 1274 521 900 819 233 1 455 Batang Kali 12 094/07/04 Kampung 571 487 572 328 447 397 243 40 175 Padang 13 094/07/11 FELDA 880 698 1013 630 565 366 250 133 647 Sungai Buaya Sumber: Helaian Mata/Score Sheet Keputusan Pilihan Raya P094 Hulu Selangor 2004, 2008 dan 2010, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Berdasarkan keputusan di atas menunjukkan kawasan- kawasan daerah mengundi majoriti pengundi Melayu di Rancangan Tanah Persekutuan/FELDA dan kampung-kampung tradisional Melayu kesemuanya dimenangi calon BN antara PRU 2004 hingga PRK 2010. Perbandingan dapat dilihat dengan peningkatan undi BN antara PRU 2008 dengan PRK 2010. BN mendapat undi yang memberangsangkan di kawasan petempatan FELDA yang berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pusat/BN. Peranan budaya politik Melayu melalui ciri ekonomi dapat dilihat dalam kempen pilihan raya BN telah berjanji projek Perumahan Warga FELDA untuk Gugusan Sungai Dusun, Hulu Selangor diumumkan oleh Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohd Najib. Tun Hj. Abdul Razak. Ini merupakan keperluan dan permintaan generasi baru yang tinggal di dalam rancangan yang memerlukan rumah kediaman. 250 perumahan baru (RM32 juta di tanah seluas 14 hektar) untuk generasi kedua FELDA di FELDA Soeharto/Sungai Dusun turut dilancarkan. Harga seunit ialah RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah

167 kos sederhana rendah. Kerajaan akan membiayai kos infrastruktur berjumlah RM20,000 seunit yang terdiri daripada kos sistem kumbahan, perparitan, jalan, tiang lampu, tempat rekreasi. Selain itu, Yayasan Kelana Ehsan (YKE) dilancarkan di FELDA Sungai Tengi dengan tujuan menyalurkan pelbagai bantuan dan peruntukan kepada penduduk di Selangor khususnya masyarakat FELDA. Ini menunjukkan ciri ekonomi dalam budaya politik Melayu telah memainkan peranan penting dalam membantu calon BN memperoleh undi daripada pengundi Melayu. Ciri ini mula meresapi dalam budaya politik Melayu selepas peristiwa 13 Mei 1969 (Atory 1994: 38-41). Di mana orang Melayu mula menyedari tanpa kuasa ekonomi dan wang ringgit, politik tidak boleh dikuasai. Selain daripada kawasan FELDA, undi Melayu di kawasan perkampungan Melayu juga berpihak kepada BN berdasarkan kepada tindakan pihak Pakatan Rakyat yang membelakangkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak menggunakan masjid untuk berkempen dan menjadikannya gelanggang untuk berpolitik. Baginda bertitah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menguatkuasakan peruntukan Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 iaitu mengajar tanpa tauliah. Tetapi titah baginda dipertikai oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menggunakan masjid untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil di Hulu Selangor ini. Dengan tindakan beliau tersebut, menyebabkan kebanyakan pengundi Melayu tidak puas hati kepada sikap pemimpin Pakatan Rakyat kerana dalam budaya politik Melayu, orang Melayu menganggap sesiapa yang menderhaka kepada Sultan merupakan suatu kesalahan yang besar. Ini kerana perbuatan itu akan mendatangkan ‘tulah’ kepada setiap penderhaka, iaitu sesuatu bentuk pembalasan daripada kuasa ghaib akibat kemungkaran raja yang diderhakainya (Haron Daud 1993: 89- 102). Selain itu, melalui konsep daulat dan derhaka, pantang Melayu menderhaka kepada sultan dan Raja-raja Melayu (Atory 1994: 40-

168 42). Ini juga telah membantu kejayaan BN dalam mendapat sokongan daripada pengundi Melayu. Selain itu, budaya politik Melayu bercirikan Islam juga memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan BN di Hulu Selangor. Perkara yang akan diperkatakan ialah isu yang dimainkan oleh penulis-penulis blog yang memperkatakan moral calon PKR. Semua sudah mengetahui calon PKR ini merupakan seorang Melayu dan beragama Islam dan berasal daripada negeri Kelantan. Perkara yang dimainkan oleh mereka adalah menyatakan calon PKR ini merupakan seorang ‘kaki botol’ dan juga seorang yang gemar berjudi. Ini diakui oleh calon PKR itu sendiri dengan menyatakan beliau mempunyai kuda lumba yang diberi nama ‘Kelantan’. Tetapi menurut calon PKR itu, itu semua merupakan cerita lama dan pada hari ini beliau menyatakan telah insaf dan telah bertaubat dengan kesalahan mereka itu. Faktor imej calon PKR ini juga telah membantu kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil ini khususnya melalui undi daripada pengundi Melayu. Ternyata pengundi Melayu memilih calon BN walaupun calonnya bukan beragama Islam. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa peti undi kampung Melayu tradisional memilih calon BN disebabkan moral calon PKR yang beragama Islam. Oleh itu, walaupun calon itu Melayu dan beragama Islam, tetapi moral dan amalan serta cara hidup tidak sebagai muslim, pengundi lebih rela memilih calon bukan beragama Islam. Budaya politik Melayu bercirikan Bahasa Melayu juga memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan BN di Hulu Selangor. Ini dapat dibuktikan dengan peribadi calon BN itu sendiri. Beliau berketurunan India dan beragama Hindu. Tetapi fasih berbahasa Melayu. Ini boleh dijadikan faktor kepada kemenangan serta faktor penyebab orang Melayu memilih calon BN P. Kamalanathan sebagai wakil rakyat mereka di Hulu Selangor ini. Bagi budaya politik bersifat universal ia dapat dilihat melalui dasar Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak mengenai gagasan

169 ‘1 Malaysia’. Walaupun gagasan ini memberi banyak keuntungan kepada masyarakat bukan Melayu, tetapi ia memberi keadilan dan ketelusan kepada seluruh masyarakat Malaysia tanpa meminggirkan hak keistimewaan orang Melayu. Budaya politik bersifat universal ini muncul selepas era reformasi 1998, di mana keadilan dan ketelusan pihak kerajaan sering diperkatakan. Oleh itu, dasar Perdana Menteri ini, dilihat keterbukaan pihak kerajaan dalam memenangi beberapa isu rasuah dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa pengundi Melayu menentukan kemenangan sesuatu calon pada pilihan raya kecil ini. Budaya politik Melayu juga mempengaruhi pola pengundian mengikut daerah/peti undi kawasan majoriti pengundi Melayu dan faktor kemenangan calon BN di Hulu Selangor. Isu moral calon PKR dan keceluparan pemimpin PAS ketika mengeluarkan kenyataan semasa kempen PRK Hulu Selangor memberi faedah kepada BN kerana budaya politik Melayu tidak mengingkari dan menderhaka kepada Sultan. Selain itu, melalui ciri agama Islam pula menunjukkan calon PKR yang mempunyai masalah moral yang lampau seperti yang digambarkan oleh media alternatif juga memberi kelebihan kepada BN kerana dalam budaya politik Melayu Islam menjadi asas dalam pembentukan budaya politik Melayu.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. 2000. Negara bangsa proses dan perbahasan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Ahmad Atory Hussain. 1994. Budaya Politik Melayu. Dewan Budaya. Mei. 38-41

170 Ahmad Nidzamuddin Sulaiman. 2002. Budaya Politik dalam Masyarakat Majmuk di Malaysia dlm Abdul Monir Yaacob dan Suzalie Mohamad (pnyt.), Etika dan budaya berpolitik dari perspektif islam, Kuala Lumpur: Insitut Kefahaman Islam Malaysia Almond & Powell. 1960. Comparative politics: a development approach. Boston: Little Brown Amer Saifude Ghazali. 2009. Geografi pilihan raya Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Haron Daud.1987. Konsep Raja dan Kerajaan daripada Perspektif Historiografi Melayu,Akademika 31. 3-14. Helaian Mata/Score Sheet Keputusan Pilihan Raya Kecil P094 Hulu Selangor 2010. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Mohd Fo’ad Sakdan.1999. Pengetahuan asas politik Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Perlembagaan Persekutuan. 2007. Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn. Bhd. Pemerhatian di Lapangan (Kawasan Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali). April 2010. Pye & Verba 1965. Political culture and political development. New Jersey: Princeton University Press. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1959. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1964. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1969. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1974. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1978. Kuala Lumpur, Malaysia.

171 Jurnal Melayu (8) 2011: 173 - 188

Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1982. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1986. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1990. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1995. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 1999. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 2004. Kuala Lumpur, Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, Laporan Pilihan Raya Umum 2008. Kuala Lumpur, Malaysia. Syed Husin Ali 1979. Orang Melayu: masalah dan masa depannya. Kuala Lumpur:Adabi Wan Hashim Wan Teh 1996. Pembentukan Ras Melayu Sebagai Kabilah Dunia. Pemikir. Bil 3. 38-48.

172