TEKS UCAPAN MAJLIS PELANCARAN KEMPEN MENANAM 26 JUTA POKOK

OLEH

Y.B DATO SRI MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

PADA

22 APRIL 2010 PRESINT 5, PICC, PUTRAJAYA

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis

YB Senator Dato’ Raja Nong Chik bin Raja Zainal Abidin Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Y.Bhg. Dato’ Zoal Azha bin Yusof Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Y.Bhg. Dato’ Haji Ahmad Phesal bin Haji Talib Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

Y.Bhg. Dato’ Razani Ujang Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung

Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman Presiden Perbadanan Putrajaya

Tan Sri-Tan Sri/Datuk-Datuk/Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu marilah kita bersyukur kerana kita dapat sama-sama hadir di Majlis Pelancaran Kempen Menanam 26 Juta Pokok pada pagi ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Senator Dato’ Raja Nong Chik bin Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman, Presiden Perbadanan Putrajaya di atas kesudian membenarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menggunakan tapak yang sangat strategik di Presint 5 ini bagi melaksanakan pelancaran Kempen Menanam 26 Juta Pokok dengan tema“Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok”.

2. Saya juga amat berbesar hati dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh semua Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut melancarkan kempen ini secara serentak di seluruh negara pada pagi ini. Sokongan seumpama ini boleh saya terjemahkan sebagai menggambarkan semangat 1Malaysia rakyat di negara ini yang cintakan kehijauan bumi dan kesejahteraan alam sekitar.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian,

3. Ingin saya maklumkan di sini bahawa pelancaran Kempen Menanam 26 Juta Pokok di Putrajaya ini adalah selari dengan “Program Penghijauan Putrajaya” yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Program sebegini merupakan sebahagian daripada hasrat Kerajaan untuk mewujudkan suasana persekitaran semula jadi yang segar; memberi kesedaran bahawa menghijaukan dan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab semua pihak; serta memupuk minat menanam pokok dan mencintai alam sekitar bagi rakyat Malaysia.

2

4. Dalam hubungan ini, NRE telah merancang program jangka pendek dan jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui program penanaman pokok bagi tempoh 5 tahun akan datang. Usaha penanaman pokok ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan seperti yang dinyatakan semasa Persidangan Rio pada tahun 1992. Pada masa ini, jumlah keluasan kawasan berhutan adalah 56.4% dan jika termasuk kawasan- kawasan tanaman pertanian negara, ianya meliputi 75% daripada keluasan tanah negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian,

5. Pada majlis pelancaran kempen pada hari ini, sejumlah 16,200 pokok akan ditanam di seluruh negara di mana 500 pokok akan ditanam di tapak pelancaran ini. Manakala selebihnya akan ditanam di tapakpelancaran di Alor Star, Kedah; Kangar, Perlis; UiTM Seri Iskandar, ; Bachok, Kelantan; Kemaman, Terengganu; Pulau Melaka, Melaka; Seremban, ; Kulai, Johor; Temerloh, Pahang; Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Hulu Selangor; Kota Kinabalu, Sabah dan Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Hari pelancaran ini merupakan langkah pertama NRE di dalam melaksanakan Kempen Menanam 26 Juta Pokok.Jenis-jenis pokok yang akan ditanam di seluruh negara pada pagi ini meliputi pelbagai jenis dan kategori flora seperti cengal, cempaka, keruing, balau, kalumpang dan lain- lain ke arah mempelbagaikan biodiversiti di Putrajaya ini.

6. Kempen menanam pokok akan diteruskan dalam tempoh 5 tahun iaitu dari 2010 hingga 2014 bagi mencapai sasaran 26 juta pokok. Bagi tujuan ini, penanaman pokok seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat dan dipantau pelaksanaannya secara berterusan oleh jabatan/agensi yang bertanggungjawab di bawah NRE sehingga mencapai 26 juta pokok menjelang tahun 2014. Dianggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan terosot, kawasan hutan yang telah dibalak dan kawasan pesisiran pantai negara akan ditanam di bawah kempen ini menjelang 2014. Di samping kempen ini, Kerajaan juga akan berusaha 3 untuk memperluaskan kawasan berhutan di seluruh negara kepada 60%. Adalah diharapkan dengan usaha-usaha yang dilaksanakan ini, matlamat Kerajaan untuk memperluaskan kawasan berhutan daripada 56.4% pada masa ini kepada 60% daripada keluasan tanah negara akan dapat direalisasikan. Ini bermakna, kita perlu melipatgandakan usaha untuk menambah seluas 1.0 juta hektar kawasan berhutan bagi mencapai sasaran 60% kawasan berhutan negara tersebut.

7. Kempen yang akan dilancarkan pada hari ini adalah untuk melengkapkan pelbagai program penanaman pokok yang telah dilaksanakan sebelum ini. Suka saya maklumkan bahawa Jabatan Lanskap Negara telah melaksanakan “Kempen 20 Juta Pokok” bagi tempoh 1997 hingga 2020. Perasmian kempen tersebut disempurnakan oleh Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997. Sehingga tahun 2009, sebanyak 17 juta pokok telah ditanam di seluruh negara di bawah kempen tersebut. Selain itu, program-program di bawah kempen tersebut merangkumi “One Birth, One Tree” dengan Kementerian Kesihatan, “Pokok Untuk Kehidupan” dengan syarikat-syarikat perumahan; dan “Program Penghijauan Negara” dengan sekolah-sekolah.

8. Tidak dinafikan bahawa kesejahteraan rakyat melalui persekitaran yang selamat dan bersih merupakan salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan melalui slogan ”Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Justeru itu, kempen yang akan dilancarkan pada hari ini merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.

9. Perubahan iklim yang berlaku di serata dunia di mana bahangnya juga dirasai oleh rakyat Malaysia sejak akhir-akhir ini telah membawa kepada kejadian kemarau dan banjir yang lebih kerap, perubahan cuaca, kenaikan paras air laut, kekerapan serangan penyakit berunsurkan vektor serta telah menjejaskan pengeluaran sektor pertanian.Pada penghujung kempen ini, iaitu pada tahun 2014, adalah diunjurkan sejumlah 200,000 tan karbon dioksida telah diserap. Angka ini akan dapat ditingkatkan sekiranya aktiviti menanam pokok diteruskan di seluruh negara. Justeru itu, tindakan yang lebih efektif pada hemat saya, ialah memupuk

4 kesedaran untuk menghijaukan kembali dan memulihara bumi tercinta ini di segenap lapisan masyarakat.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian,

10. Hari ini, iaitu 22 April 2010 juga merupakan Hari Bumi Sedunia yang disambut di seluruh dunia. Malaysia tidak mahu ketinggalan untuk menyertai masyarakat dunia dalam menjalankan program-program yang memberikan fokus dan penyelesaian kepada isu perubahan iklim. Ingin saya mengingatkan bahawa sudah tiba masanya kita meletakkan kepentingan alam sekitar sebagai agenda utama dalam kehidupan dan aktiviti seharian kita seperti penjimatan tenaga elektrik dan air serta sama-sama berusaha untuk menyelamatkan bumi daripada terus terancam. Setiap lapisan masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu tenaga dengan penuh jiwa dan raga untuk memulihara dan melindungi alam sekitar. Aktiviti- aktiviti meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar dan menyayangi bumi perlu dipertingkatkan di peringkat sekolah, institut pengajian tinggi dan juga di kalangan masyarakat awam.Dalam hubungan ini, Kerajaan menyeru komitmen yang tinggi melalui sokongan yang padu dan kerjasama erat yang berterusan daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGOs) untuk bersama Kerajaan mempergiatkan usaha-usaha murni ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian,

11. Pada hari ini juga, kita turut melancarkan sambutan di peringkat Kebangsaan tahun 2010 yang telah diisytiharkan sebagai Tahun Biodiversiti Antarabangsa (International Year of Biodiversity). Tahun 2010 telah dipilih sebagai Tahun Biodiversiti Sedunia di mana pemimpin- pemimpin dunia telah bersetuju untuk mengurangkan kehilangan biodiversiti menjelang 2010 semasa Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) berkaitan Alam Sekitar pada tahun 2002. Sambutan Tahun Biodiversiti Antarabangsa di peringkat kebangsaan ini adalah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan biodiversiti dan tanggungjawab untuk mengurus serta memulihara biodiversiti dengan sebaik-baiknya. Justeru itu, saya mengajak setiap lapisan masyarakat, NGOs dan pihak swasta untuk berganding bahu bersama-sama Kerajaan di dalam melibatgandakan usaha kita untuk mengurangkan kehilangan biodiversiti di Malaysia.

5

12. Sebagai salah satu daripada 12 buah negara mega biodiversiti di dunia, saya merasakan adalah amat wajar untuk negara kita mengadakan aktiviti-aktiviti berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan biodiversiti bagi menyokong sambutan Tahun Biodiversiti Antarabangsa 2010 ini.Bertepatan dengan tema “Biodiversiti ialah kehidupan, biodiversiti ialah kehidupan kita”,Kerajaan sedang melaksanakan usaha-usaha memulihara kepelbagaian biologi dan pada masa yang sama juga meningkatkan penggunaan sumber-sumber asli negara secara berkekalan. Sejajar dengan usaha untuk melengkapi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Kerajaan sedang berusaha untuk menerapkan Visi Bersama mengenai Biodiversiti (Common Vision on Biodiversity)yang mengutamakan keperluan untuk mengarusperdanakan biodiversiti dalam perancangan dan pembangunan negara.

13. Dalam mencapai hasrat tersebut, NRE telah merancang pelbagai aktiviti dan sebahagiannya sedang dan telah pun dilaksanakan bersempena SambutanTahun Biodiversiti Antarabangsa ini. Saya ingin menyeru supaya komuniti tempatan seperti masyarakat orang asli dan juga para pelajar turut melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan. Saya berharap melalui program dan aktiviti yang telah dirancang, kita akan dapat menerapkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat negara ini. Sejajar dengan usaha ini, pihak swasta perlu tampil ke hadapan untuk memenuhi Corporate Social Responsibility (CSR) mereka dalam bersama-sama memulihara khazanah biodiversiti kita yang tidak ternilai.

14. Kerajaan memandang serius terhadap Laporan Second Global Biodiversity Outlook 2006, yang telah menyatakan bahawa dunia tidak akan mencapai sasaran mengurangkan kehilangan biodiversiti malah trend kehilangan biodiversiti tersebut semakin meningkat. Antara lain, laporan ini mengutarakan bahawa hampir 35% tanah lembap dunia telah dimusnahkan dalam masa dua dekad yang lepas. Bilangan spesies juga semakin berkurangan dan hampir 30% diancam kepupusan. Misalnya di Malaysia dalam tahun 70an kita mempunyai 3,000 ekor harimau dan sekarang angka ini telah menurun ke hanya 450 hingga 500 ekor harimau yang

6 terdapat di hutan belantara kita. Ke arah memastikan kehilangan biodiversiti ditangani dengan berkesan di Malaysia, Kerajaan sedang mengambil tindakan pemuliharaan biodiversiti negara secara terancang.

15. Sebagai contoh, dua jenis mamalia besar seperti gajah dan harimau belang masih boleh hidup bebas di habitat asal mereka serta dilindungi di bawah perundangan negara. Negara kita juga turut diiktiraf sebagai salah satu Tiger Range Countries daripada tiga belas buah negara di dunia yang masih mempunyai harimau belang yang hidup liar di habitat asal. Sebagai membuktikan komitmen negara dalam menangani kehilangan fauna ini di Malaysia, “Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Belang Kebangsaan” telah diwujudkan. Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang lebih komprehensifdan mempunyai peruntukan-peruntukan pencegahan yang lebih tegasbagi memastikan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liarakan dibentangkan di Parlimen untuk menjaga khazanah negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian,

16. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur yang terdiri daripada Kementerian-kementerian, jabatan- jabatan serta agensi-agensi di peringkat Kebangsaan dan negeri di atas usaha menjayakan majlis kita pada pagi ini secara serentak di seluruh negara. Sesungguhnya saya berharap agar perjuangan menghijaukan bumi kita ini tidak akan terhenti demi manfaat generasi akan datang.

17. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Menanam 26 Juta Pokok dengan tema “Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok” serta Sambutan “Tahun Biodiversiti Antabangsa 2010”.

Sekian, terima kasih.

7