Dewan Negara Parlimen Ketiga Belas Penggal Kedua Mesyuarat Pertama
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum semak DEWAN NEGARA PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT PERTAMA Bil. 9 Isnin 5 Mei 2014 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Halaman 29) USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 61) DN 5.5.2014 1 MALAYSIA DEWAN NEGARA PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT PERTAMA Isnin, 5 Mei 2014 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat ] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Dato' Adam bin Abdul Hamid minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan, adakah Malaysia menyasarkan program makanan cukup untuk negara dengan tumpuan hasil berkualiti dan halal. Sila terangkan secara terperinci. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman]: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat yang bertanyakan soalan berkaitan dengan bekalan makanan dalam negara kita. Sukacita saya melaporkan iaitu pada masa ini sebenarnya kita tidak menghadapi sebarang masalah berhubung dengan bekalan makanan yang mencukupi bagi negara kita terutamanya bekalan barang makanan yang utama seperti beras. Pada waktu ini kita mengeluarkan cukup pengeluaran beras iaitu sebanyak 100.7 metrik tan pada tahun 2013 dan manakala penggunaan ialah sebanyak 2.3 juta, kekurangan sebanyak lebih kurang 600,000 metrik tan yang mana ditampung oleh pengimportan oleh BERNAS iaitu lebih kurang 30% daripada keperluan negara. Walau bagaimanapun, kita mempunyai sasaran untuk mencapai pengeluaran yang dipanggil self-sufficiency level (SSL) di mana kita akan mengeluarkan 100% daripada keperluan negara. Bagi tujuan tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil beberapa langkah tertentu untuk menambah pengeluaran beras melalui jelapang padi yang baru dibuka seperti di Batang Lupar, Kota Belud, Pekan, serta Rompin. Mengikut jangkaannya, dengan pembukaan jelapang padi yang baru ini kita akan dapat meningkatkan pengeluaran hasil beras sebanyak 250,000 metrik tan lagi setahun. Namun begitu kekurangan sebanyak lebih kurang 400,000 atau 350,000 metrik tan lagi akan diusahakan melalui program-program lain seperti peningkatan produktiviti setiap hektar bagi kawasan sawah padi. Pada masa ini kawasan sawah padi kita secara puratanya ialah sebanyak lebih kurang 6 metrik tan satu hektar dan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kita mempunyai DN 5.5.2014 2 hala tuju untuk meningkatkan pengeluaran ataupun produktiviti ini kepada 10 metrik tan satu hektar. Untuk tujuan ini, kita memperkenalkan good agricultural practice ataupun amalan pertanian baik kepada petani-petani yang mana pada masa ini sedang giat dijalankan, menjadikan petani lebih berdisiplin dan berdaya maju dan dengan itu dia akan meningkatkan produktiviti per hektar sebagaimana yang disasarkan. Jadi, dengan peningkatan produktiviti, dengan pembukaan jelapang padi yang baru dan juga dengan variety padi yang baru, yang diusahakan melalui research and development, dengan izin oleh pihak MARDI, kita mengeluarkan variety yang baru dari semasa ke semasa. Ini sudah tentunya kita berasa yakin dan percaya menjelang tahun 2020 kita akan mencapai pengeluaran berasa 100% daripada keperluan negara. Selain daripada itu, berhubung kait dengan bekalan makanan ikan umpamanya, kita juga pada masa ini mengeluarkan pengeluaran yang cukup untuk keperluan ini. Pada masa ini pengeluaran sebanyak 1.4 juta metrik tan setahun dan penggunaan kita pun lebih kurang 1.4 juta metrik tan juga setahun. Walau bagaimanapun, daripada jumlah pengeluaran itu, kita juga mengeksport sebahagian daripada ikan-ikan yang kita hasilkan. Ada juga import yang kita lakukan bagi tujuan-tujuan tertentu. Angka eksport kita lebih kurang 300,000 metrik tan manakala import sebanyak 620,000 metrik tan. Walau bagaimanapun, ia tidak mengganggu atau menimbulkan masalah dari segi bekalan makanan ikan bagi penggunaan penduduk negara kita. ■1010 Itu bahan makanan yang kedua utama. Selain daripada itu, bekalan makanan yang utama juga ialah berkaitan dengan daging. Daging lembu dan kerbau, kita mengalami kekurangan yang agak besar sekali. Kalau mengikut statistiknya, pengeluaran daging lembu dan kerbau ialah 54,000 metrik tan, manakala penggunaannya sebanyak 177,000 metrik tan. There is a very wide gap, dengan izin, di sini. Defisit atau kekurangan sebanyak 122,000 metrik tan pada tahun 2013 umpamanya. Jadi bagi tujuan ini, pihak kerajaan sebenarnya sebelum ini mempunyai rancangan yang besar untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu dan kerbau ini. Semua kita tahu. Walau bagaimanapun, projek tersebut, oleh sebab yang tertentu, menghadapi masalah. Kita sedang mengusahakan langkah- langkah dan pendekatan yang baru dengan menggalakkan penternak-penternak untuk menggunakan feedlot yang telah dibina oleh kementerian. Kita ada kalau tidak silap saya sebanyak 60 feedlot yang telah dibina di seluruh negara yang mana kita mengalu-alukan sesiapa juga daripada rakyat kita yang berminat dan boleh mengusahakan penternakan di feedlot-feedlot ini supaya kita dapat menghasilkan hasil ternakan lebih banyak lagi. Itu satu daripada langkah yang diambil untuk mengatasi masalah dari segi bekalan daging lembu dan kerbau yang saya sebut tadi defisitnya sebanyak 122,000 metrik tan setahun. Namun begitu Tuan Yang di-Pertua, daging ayam dan itik tidak menjadi masalah. Kita mengeluarkan sebanyak 1.4 juta metrik tan pada tahun sudah dan penggunaan hanya sebanyak 1.1 juta metrik tan. Maknanya, ada kelebihan dan ada juga yang dieksport disebabkan oleh kelebihan yang kita keluarkan itu. Dari segi angka, kita lihat surplus ataupun kelebihan sebanyak 300,000 metrik tan DN 5.5.2014 3 pada tahun 2013 dan sebahagiannya telah kita eksportkan. Berhubung dengan sayur-sayuran, kita juga mempunyai pengeluaran yang mencukupi kerana kita ada 70 buah taman kekal pengeluaran makanan seluruh Malaysia. Luas kawasannya sebanyak 3,415 hektar dan luas yang berhasil ialah sebanyak 1,463 hektar. Keluaran sebanyak 11.4 juta metrik tan dan nilai pengeluaran sebanyak 15 juta. Ini meliputi sayur- sayuran dan buah-buahan. Jadi, dari segi sayur-sayuran dan buah-buahan, kita tidak ada menghadapi masalah. Cuma ada sayur-sayuran seperti kubis, bawang, cili dan sebagainya yang tanah di dalam negara kita ini tidak begitu sesuai untuk ditanam dengan jenis-jenis sayuran yang sedemikian. Jadi, dengan sebab itu kita terpaksa mengimport dari luar negara seperti daripada Sumatera, India dan sebagainya. Ini jenis-jenis tanaman atau makanan. Walau bagaimanapun, hendak kita usahakan kesesuaian tanah atau soil suitability nya tidak boleh kita peroleh dan tidak boleh dilakukan. Jadi Tuan Yang di-Pertua, dari segi bekalan makanan yang cukup, kita ada secukupnya dan tidak ada krisis dari segi bekalan makanan di dalam negara kita. Dari segi kualiti, kita juga menjaga kualiti bahan-bahan makanan kita. Beras seperti Yang Berhormat semua faham dan maklum, tidak ada masalah dari segi kualiti. Manakala, dari segi ikan kita menjaganya dengan adanya peraturan- peraturan, penggunaan insulated box, kotak-kotak yang ber insulation di mana temperature di dalam kotak-kotak itu menjamin bahawa ikan-ikan yang disimpan di dalam kotak yang diangkut dari pangkalan ikan ke pasar-pasar semua terjaga, memastikan bahawa ikan-ikan itu berada di dalam keadaan yang baik dan juga tidak terjejas dengan bakteria oleh kerana penggunaan ais yang digunakan dengan menggunakan air-air bersih. Air- tap water, dengan izin, bukan seperti dahulu di mana peraturan ini tidak diperkenalkan. Air sembarangan yang digunakan untuk ais-ais diambil daripada merata tempat menimbulkan masalah penyakit yang berpunca daripada bakteria air yang tidak bersih itu. Akan tetapi pada masa ini, masalah itu tidak timbul lagi. Begitu juga di bot-bot ataupun kapal- kapal penangkapan vessel ikan juga. Kita mempunyai peraturan menjaga kebersihan bot-bot ini... Timbalan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, saya fikir cukuplah. Cukup terperinci jawapan itu, Yang Berhormat. Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman: Jadi, tidak payah jawab lagilah? Timbalan Yang di-Pertua: Tidak payah jawab soalan yang pertama ini. Cukuplah. Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman: Cukup ya? Okey, terima kasih. Timbalan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Soalan tambahan, Yang Berhormat Dato’ Adam. Dato’ Adam bin Abdul Hamid: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak memberi tumpuan kepada daging lembu dan daging kambing. Oleh kerana memang kita ketahui kekurangan bekalan dan kita mengimportnya. Dalam masa yang sama, Malaysia sepatutnya mengambil kesempatan di mana makanan halal memang Malaysia diyakini. Soalan saya, kita banyak ladang kelapa sawit sama ada di bawah FELDA mahupun di bawah syarikat swasta dan perseorangan. Sesuai sangat sebenarnya lembu dipelihara di bawah ladang kelapa sawit. Adakah kementerian mempunyai satu strategi jangka pertengahan dan jangka panjang untuk dapat menggunakan peluang DN 5.5.2014 4 ini supaya dia memberi manfaat bukan sahaja kepada ekonomi negara kita tetapi juga ekonomi rakyat tempatan. Terima kasih. Timbalan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jawapan, saya ada. Timbalan Yang di-Pertua: Tidak ada jawapan, Yang Berhormat Timbalan Menteri?