Peranan Tumbuhan Di Dalam Budaya Masyarakat Tempatan: Status Kajian Etnobotani Masa Kini Di Malaysia
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Sains Malaysiana (in press) Peranan Tumbuhan Di Dalam Budaya Masyarakat Tempatan: Status Kajian Etnobotani Masa Kini Di Malaysia K. Mat-Salleh, G. Kusalah & A. Latiff Pusat Pengajian Sains Sekitaran & Sumber Alam Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia ABSTRAK Dengan kepelbagaian biologi yang mengkagumkan, ekosistem hutan Malaysia telah menghasilkan banyak spesies yang telah dimenafaatkan oleh masyrakat tempatan. Walau bagaimanapun dengan proses pemodenan, pengetahuan mengenai tumbuhan liar yang boleh dimakan, tumbuhan ubatan, tumbuhan aromatik, tumbuhan beracun, dan tumbuhan yang mempunyai hubungan dengan kebudayaan semakin dilupakan. Tumbuhan ini adalah khazanah negara yang mungkin diperlukan dimasa depan sebagai sumber genetik dan sumber industri farmakologi. Pengetahuan etnobotani masyarakat Malaysia memang telah dikaji dengan mendalam sejak awal 1900an lagi di mana keseluruhan pengetahuan ini telah dikumpul oleh Gimlett dan Burkill (1930) dan kemudiannya sebagai sebuah kamus sumber asli Semenanjung Malaysia beberapa tahun kemudian oleh Burkill (1935). Kamus ini telah menyenaraikan kesemua lebih kurang 1200 spesies tumbuhan yang digunakan oleh masyarakat setempat. Selepas penerbitan kamus Burkill, tiada banyak kajian dan pengumpulan maklumat baru telah dijalankan di Semenanjung. Kamus tersebut yang menjadi piawai de facto maklumat etnobotani rantau ini kemudian diulang cetak pada tahun 1966. Dengan penubuhan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan di Malaysia pada pertengahan tahun 1970an, banyak kajian telah diatur oleh penyeldik tempatan. Makalah ini disusun untuk menilai kembali kajian-kajian etnobotani di Malaysia dan menyenarai kesemua penerbitan yang sedemikian. Ini akan dapat membantu kita sebagai rujukan kajian yang telah dijalankan dan untuk membantu menentukan kumpulan-kumpulan etnik atau aspek-aspek etnobotani yang belum dikaji dengan mendalam. Sebanyak 148 penerbitan dan laporan teknik (seperti thesis, disertasi dan laporan ilmiah ijazah akademik) telah dikesan dan dianalisis skop kajian etnobotani yang dijalankan. Dari kajian kepustakaan ini, adalah jelas sekali bahawa kebanyakan penyelidikan etnobotani Malaysia tertumpu di Semenanjung Malaysia dan banyak lagi kajian perlu dijalankan di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 61 % dari keseluruhan penerbitan adalah berkaitan dengan kaum asli Semenanjung Malaysia, berbanding dengan masing-masing hanya 20 % dan 19 % dari kajian tersebut tertumpu di Sabah dan Sarawak. Daripada analisis tersebut juga menunjukkan masyarakat Melayu telah dikaji dengan mendalam. Sebanyak 32 kajian khusus kepada mayarakat Melayu telah diterbitkan. Selain dari masyarakat Melayu, etnobotani masyarakat Iban di Sarawak, Kadazan/Dusun di Sabah, dan Temuan di Semenanjung Malaysia juga telah dikaji dengan mendalam. Masyarakat-masyarakat lain seperti Banjar, Kaum Hulu, Idahan, Jah Het, Kedayan, Kelabit, Kenyah, Penan, Selako, Semai, Senoi dan Suku Sungai walaupun sudah dikaji tetapi diwakili dengan hanya satu penerbitan sahaja. Masih banyak lagi kajian yang perlu dijalankan ke atas masyarakat tempatan di Semenanjung Malaysia, terutama masyarakat orang asli, dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak. Daripada penulisan etnobotani yang telah dikumpul dan dilaporkan, kurang dari 30% dari penulisan tersebut yang telah diterbitkan di dalam jurnal yang telah disemak oleh rakan sepakaran. Ini dapat memberikan penjelasan kenapa hasil-hasil penerbitan tersebut agak susah untuk dirujuk. Lebih dari 60 % dari penulisan ini adalah di dalam bentuk samada tesis akademik, laporan teknikal, laporan penyelidikan atau prosiding bengkel atau simposium (Rajah 2). Penulisan yang sedemikian adalah sukar untuk diperolehi atau dirujuk terutama kepada penyelidik yang berada di luar Lembah Kelang. PENDAHULUAN 0DW6DOOHK.XVDODK&/DWLII Hutan hujan tropika Malaysia adalah merupakan salah satu ekosistem biologi yang paling kompleks di dunia. Ia adalah pusaka semulajadi yang unik yang telah terevolusi sejak beberapa juta tahun dahulu dan sangat kaya serta mempunyai pelbagai tumbuhan dan haiwan. Dengan pelbagai jenis ekosistem hutan seperti hutan dipterokarp campuran, hutan dipterokarp bukit, hutan paya bakau, hutan paya gambut, hutan kerangas/kerapah dan hutan pergunungan. Menurut Latiff (1981), Semenanjung Malaysia dikurniakan dengan lebih kurang 6,743 spesies dari 1,392 genus dan 197 famili angiosperma; 83 spesies dari 5 genus dan 5 famili genus gimnosperna; dan lebih kurang 491 spesies dikelaskan di bawah 98 genus dan 18 famili paku-pakis dan kerabatnya. Kiew (1984) pula menyatakan sebanyak 157 famili, 1152 genus dan lebih 9,000 spesies keseluruhan tumbuhan berbiji terdapat di Borneo dimana dipercayai lebih separuh daripadanya adalah tumbuhan endemik Pada tahun 1990, 61.4% daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia adalah diliputi hutan. Jadual 1 menunjukkan bahawa pada masa tersebut 47.0% daripada jumlah tanah berhutan masih terdapat di Semenanjung Malaysia, dan Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 60.9% dan 76.4%. Jumlah ini telah berkurangan menjadi hanya 57.5% pada tahun 1997 dimana Semenanjung Malaysia kehilangan hampir 30% kawasan berhutan menjadi kira-kira mempunyai kurang dari 6 juta ha kawasan berhutan atau 17.8% (Jadual 2). Hal yang sama boleh dilihat untuk Sabah dan Sarawak. Keadaan yang sama dapat dilihat dinegara-negara lain dirantau ini dimana hanya sejumlah kecil sahaja kawasan hutan yang benar-benar terjamin dimana ia dilindungi di dalam kategori hutan terkawal (Jadual 3). Dengan pembangunan yang pesat dan pembalakan yang tidak terkawal akibat tekanan ekonomi dan politik, kawasan-kawan hutan ini mungkin tidak akan dapat bertahan lama. Dengan kehilangan kawasan hutan yang banyak secara mendadak, banyak sumber genetik tumbuhan yang terdapat di dalam hutan kita juga akan pupus. Tumbuhan yang unik yang terdapat di dalam hutan kita mungkin mempunyai nilai pemakan, sumber terapi, ubatan atau bahan farmakologi yang penting yang masih belum kita ketahui. Ditambah dengan penghijrahan, pemodenan dan kematian pengamal perubatan tradisi dan golongan tua yang berpengalaman, pengetahuan mengenai tumbuhan dan khasiatnya yang diwarisi turun temurun juga akan terkubur dan akhir hilang tanpa diketahui oleh generasi masa kini. Kaum etnik Malaysia memang terkenal dengan amalan menggunakan tumbuhan dalam kehidupan seharian mereka. Sumber ini diperolehi dari alam sekitar melalui beberapa cara. Lina (1993) misalnya, melaporkan bahawa di dalam masyarakat kaum Semai, 97 spesies tumbuhan digunakan dari habitat asli (20 spesies dari ladang pertanian pindah, 54 spesies dari hutan sekunder dan 23 spesies dari hutan primer), 62 spesies dijumpai dalam habitat masa kini (kawasan rumah 43, kebun rumah 19 dan kebun getah 1, 70 spesies ditanam, 10 spesies separuh domestikat (ditanam) dan 888 spesies tidak ditanam iaitu hidup liar. SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KAJIAN ETNOBOTANI DI MALAYSIA Stone (1984) telah menjelaskan bahawa sains botani di Semenanjung Tanah Melayu telah mula berkembang dengan kedatangan Portugis pada tahun 1511, Belanda mulai tahun 1642 dan akhirnya Inggeris pada awal abad ke 19. Kedatangan kuasa imperial ke Malaya tertutamanya ahli botani Inggeris telah menambahkan pengetahuan mengenai flora, vegetasi, taksonomi, sistematik dan etnobotani di kawasan ini. Rekod awal tentang etnobotani terutamanya mengenai tumbuhan ubatan adalah kitab yang diterbitkan oleh Munshi Ismai pada tahun 1886 yang kemudiannya telah diterjemahkan kedalam bahasa Ingeris dan diterbitkan sebagai “The Medical Book of Malayan Medicine” oleh Gimlett dan Burkill (1930). Terdahulu dari itu, Ridley (1894, 1906) telah memberikan huraian yang ringkas mengenai kegunaan dan tatacara penggunaan beberapa spesies tumbuh-tumbuhan ubatan di 0DW6DOOHK.XVDODK&/DWLII Semenanjung Tanah Melayu yang telah dikumpulkan oleh beliau. Maklumat-maklumat tersebut kemudian disusun semula dan ditambah dengan maklumat yang lebih terkini dari spesimen herbarium oleh Burkill & Haniff (1930) di mana mereka telah menyenaraikan sebanyak 696 spesies dari 113 famili yang didakwa oleh orang tempatan boleh mentgubati pelbagai penyakit. Beberapa tahun kemudian I.H. Burkill, yang pada masa itu merupakan Pengarah, Taman Botani Singapura mengambil inisiatif untuk menerbitkan kamus sumber ekonomi Semenanjung Tanah Melayu yang menjadi sumber rujukan yang terkenal sehingga sekarang. Kamus dua jilid yang diterbitkan pada tahun 1935 ini menyenaraikan kesemua lebih kurang 1200 spesies tumbuhan yang digunakan oleh masyarakat setempat. Selepas penerbitan kamus Burkill, tiada banyak kajian dan pengumpulan maklumat baru telah dijalankan di Semenanjung. Kamus tersebut yang menjadi piawai de facto maklumat etnobotani rantau ini kemudian diulang cetak pada tahun 1966. Dengan penubuhan Jabatan Botani, Universiti Kebangsaan Malaysia pada pertengahan tahun 1970an, banyak kajian telah diatur oleh penyeldik tempatan terutama kumpulan penyelidikan yang diketuai Prof. A. Latiff. Pada awal; tahun 1980an, satu kumpulan multi-disiplin yang dipanggil Kumpulan Penyelidikan Ubatan Tradisional (KUBATRA) telah ditubuhkan sebagai satu forum penyelidik berintergrasi di UKM. Ramai pelajar UKM telah membuat kajian etnobotani dengan pelbagai pendekatan. Di antaranya ialah Hussin (1981) yang mengkaji kegunaan ubatan dari famili Menispermaceae dan Mat-Salleh (1982) yang menilai kegunaan anggota famili Simaroubaceae. Mereka juga membuat banyak penyelidikan ke masyarakat tempatan (Hazidah 1987, Sabariah 1987, Noriyah 1990, Azmah 1990), masyarakat Cina (Goh 1986) dan India (Nadar 1987, Arumugam 1988). Universiti-universiti