Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Pertama Mesyuarat Pertama
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak PENYATA RASMI PARLIMEN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PERTAMA Bil. 11 Rabu 1 Ogos 2018 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 34) Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong - Dato’ Johari bin Abdul (Sungai Petani) (Halaman 35) DR 1.8.2018 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PERTAMA Rabu, 1 Ogos 2018 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Puan Maria Chin binti Abdullah [Petaling Jaya] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan, sejauh manakah usaha kerajaan untuk membuat penambahbaikan undang-undang sedia ada dan juga memperkenalkan undang-undang baru seperti undang-undang mengenai kesaksamaan gender dan undang-undang gangguan seksual supaya lebih berkesan dalam melindungi wanita dan kanak-kanak. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [Puan Hannah Yeoh]: Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus bagi menangani isu gangguan seksual. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa peruntukan undang-undang atau pun kod amalan dan garis panduan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam membendung gangguan seksual iaitu Kanun Keseksaan [Akta 574], pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265], kod amalan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja dan garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam. Namun begitu, peruntukan undang-undang yang sedia ada perlu ditambah baik agar usaha kerajaan dalam membendung gangguan seksual adalah lebih berkesan. Ini kerana peruntukan di bawah Kanun Keseksaan lebih bersifat umum dan beban pembuktian di dalam kes-kes yang dirujuk perlu dibuktikan melampaui keraguan munasabah, beyond reasonable doubt, dengan izin. Kod amalan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja pula hanya terpakai di sektor swasta dan pemakaiannya adalah tidak wajib serta hanya meliputi gangguan seksual yang berlaku antara dua pihak iaitu antara pegawai, penyelia DR 1.8.2018 2 dengan pekerja di bawah seliaannya sahaja. Walaupun mekanisme pelaporan dan tindakan yang boleh diambil ke atas pelaku adalah jelas dan teratur seperti yang digariskan dalam garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam, ramai penjawat awam terutamanya yang baharu berkhidmat dalam sektor awam kurang peka akan hak mereka sekiranya terlibat dengan situasi diganggu secara seksual. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan satu akta khusus untuk menangani isu gangguan seksual. Sebagai langkah pertama, sesi konsultasi telah diadakan oleh kementerian dengan kerjasama National Council of Women's Organizations pada 3 Februari tahun ini bagi membincangkan kandungan untuk dimasukkan ke dalam akta tersebut. Sesi ini melibatkan badan bukan kerajaan seperti All Women's Action Society, Association of Women Lawyers, Pertubuhan Kesedaran Komuniti Selangor, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights, dan Young Women Making Change. Selain itu, kementerian akan melakukan satu kajian untuk meneliti keperluan mewujudkan akta khusus ini dengan mendapatkan maklum balas masyarakat, data serta kaedah pembuktian dalam kes-kes yang terlibat, seterusnya membantu dalam merangka dasar dan strategi menangani isu gangguan seksual. Permohonan peruntukan untuk menjalankan kajian ini telah pun dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 3 Mac tahun ini, dan masih dalam pertimbangan EPU. Dalam isu kesaksamaan gender, kerajaan turut mengambil serius mengenai isu kesaksamaan gender. Pada masa ini, kementerian sedang giat mengadakan sesi konsultasi bagi membincangkan kerangka dan kandungan yang akan dikemukakan kepada Attorney-General's Chambers untuk digubal menjadi satu akta kesaksamaan gender. Bagi mencapai tujuan tersebut, kementerian telah mengadakan satu mesyuarat pada 29 Mac tahun ini juga bersama Kementerian Luar Negeri, Joint Action Group (JAG) for Gender Equality, NCWO dan AGC bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan untuk mewujudkan satu akta khusus bagi menangani isu kesaksamaan gender. Pada 30 dan 31 Mei tahun ini juga, satu sesi perkongsian bertajuk, “Gender equality legislation” bersama Professor Sandra Fredman dari University of Oxford telah diadakan untuk memberi pendedahan tentang konsep kesaksamaan gender dalam konteks perundangan. Sesi ini dibuat dua hari berturut-turut dengan kerjasama antara kementerian, JAG dan Women's Aid Organisation. Sesi ini turut dihadiri oleh pihak DR 1.8.2018 3 Kementerian Tenaga Manusia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Parlimen Malaysia, AGC, dan jabatan lain di bawah kementerian. Seterusnya, kementerian akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama JAKIM, AGC, badan-badan keagamaan dan kerajaan-kerajaan negeri pada bulan Ogos ini bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak pemegang taruh mengenai cadangan penggubalan akta khusus bagi menangani isu kesaksamaan gender. Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua. Puan Maria Chin binti Abdullah [Petaling Jaya]: Saya ada soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat. Saya merujuk kepada laporan dalam The Star semalam, satu laporan tentang gangguan seksual terhadap doktor ortopedik dan dia juga ketua jabatan yang mana pegawai tertinggi daripada Kementerian Kesihatan menyoal mangsa gangguan seksual dengan cara yang tidak sensitif dan tanpa peka gender. Soalan saya ialah, bolehkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan latihan peka gender, bukan hanya untuk pegawai-pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi untuk semua kementerian. ■1010 Puan Hannah Yeoh: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya menjawab soalan tersebut, saya rasa ada baiknya kita melihatkan definisi gangguan seksual kerana saya percaya ramai Yang Berhormat di sini juga kurang faham ataupun tidak tahu definisi sebenar. Gangguan seksual membawa maksud perlakuan desakan berunsur seks yang sengaja ke atas individu yang tidak mengehendaki atau meminta. Ia meliputi sentuhan, cubit-cubitan, komen mengenai rupa badan seseorang, bersiulan, pujuk rayu yang berterusan untuk keluar bersama atau untuk hubungan intim ataupun pemaparan gambar lucah. Gangguan seksual juga boleh berbentuk ugutan seperti pernyataan yang mengenakan syarat berbentuk seksual atas keadaan di tempat kerja, sama ada penentuan gaji dan kenaikan pangkat. Gangguan seksual merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi ke atas sesetengah individu. Saya sangat setuju dengan apa yang telah diketengahkan oleh Yang Berhormat tadi mengenai kes yang sedang hangat dipersoalkan di dalam media sekarang dan saya berasa isu kesaksamaan gender dan jenayah gangguan seksual tidak boleh ditangani semata-mata dengan menggunakan akta ataupun perundangan yang khusus. Apa yang lebih penting ialah didikan dan kempen kesedaran berpanjangan dalam kalangan DR 1.8.2018 4 anggota masyarakat mengenai peranan dan keperluan yang berbeza antara wanita dan lelaki serta kes kesan diskriminasi dan perlakuan gangguan seksual terhadap mangsa tanpa mengira kedudukan dan tahap pendidikan. Dalam kes seperti ini saya rasa kita kena mulakan dengan semua ketua jabatan kementerian masing-masing, gender sensitization course kerana ini sangat penting kerana selagi kita tidak memahami gangguan seksual dan proses dan kita bertanya mangsa untuk dapatkan laporan polis. Sebenarnya garis panduan sedia ada untuk perkhidmatan awam, kita tidak perlukan laporan polis untuk memulakan siasatan. Jadi saya sendiri terkejut mendengar berita tersebut dan saya haraplah semua kementerian boleh memandang serius kompelin-kompelin daripada pegawai kerajaan mengenai gangguan seksual. Paling penting kita mesti menghadapi masalah tersebut dan not in the denial state. If we keep brushing it under the carpet, dan kita tidak akan melihat masalah ini. Masalah ini akan terus berlaku. Itu saja. Dato’ Sri Reezal Merican bin Naina Merican [Kepala Batas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri atas jawapan tadi. Saya cuma hendak sentuh berkaitan dengan kesaksamaan gender equality sebab kita adalah sebuah negara yang telah menandatangani Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW). Walaupun itu dianggap sebagai work in progress, bukan finished product yet, tapi kita dilaporkan antara 25 negara yang tidak memberi hak kepada wanita to grant citizenship kepada anak yang dilahirkan di luar negara. Ini sememangnya telah memberi kesukaran kepada beberapa perkara yang membabitkan di kalangan wanita yang berkahwin di luar dan melalui perceraian dan sebagainya. So soalan saya, apakah kementerian ada usaha untuk berbincang dengan KDN terutamanya, untuk melihat kerana kita adalah antara designatory ataupun negara yang menjadi party to CEDAW. Terima kasih. Puan Hannah Yeoh: Terima kasih, Yang Berhormat. Saya sangat setuju dengan apa yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Kepala Batas tadi dan kementerian ini telah pun memulakan perbincangan dengan NGO. Minggu lepas saya telah berjumpa dengan mereka di kawasan Parlimen, dan kami akan mengadakan mesyuarat bersama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyampaikan mesej-mesej daripada aktivis dan Ahli-ahli Parlimen banyak menghadapi kes-kes