Dewan Negara Parlimen Keempat Belas Penggal Pertama Mesyuarat Kedua
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum semak DEWAN NEGARA PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA Bil. 20 Isnin 17 Disember 2018 K A N D U N G A N PEMSYHURAN TUAN YANG DI-PERTUA - Perutusan Daripada Dewan Rakyat (Halaman 1) URUSAN MESYUARAT (Halaman 2) JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 2) USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 30) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2019 (Halaman 31) DN 17.12.2018 1 MALAYSIA DEWAN NEGARA PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA Isnin, 17 Disember 2018 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] PEMSYHURAN TUAN YANG DI-PERTUA PERUTUSAN DARIPADA DEWAN RAKYAT Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu perutusan daripada Dewan Rakyat yang meminta Dewan Negara ini mempersetujukan rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Saya menjemput Setiausaha membacakan Perutusan itu sekarang. [Setiausaha membacakan Perutusan] “11 Disember 2018 Perutusan Daripada Dewan Rakyat Kepada Dewan Negara Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang yang berikut dan meminta Dewan Negara mempersetujukannya: 1. (DR. 25 / 2018) Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018; 2. (DR. 26 / 2018) Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018; 3. (DR. 27 / 2018) Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2018; DN 17.12.2018 2 4. (DR. 32 / 2018) Rang Undang-undang Maktab Kerjasama (Pemerbadanan) (Pindaan) 2018; dan 5. (DR. 34 / 2018) Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018. Yang Ikhlas, t.t YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT” Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Menteri. URUSAN MESYUARAT Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi [Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin]: Tuan Yang di-Pertua, mengikut Peraturan Mesyuarat 66(2), saya mohon memaklumkan supaya rang undang-undang yang tersebut di dalam perutusan itu dibacakan kali yang kedua dan ketiganya di Mesyuarat ini. Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Menteri, baiklah. Silakan. JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Tuan Khairul Azwan Harun minta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan, apakah resolusi yang telah dicapai pada Kongres Masa Depan Bumiputera, dan apakah pencapaian semasa yang telah dicapai kongres tersebut. Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi [Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 atau KBN 2018 yang telah diadakan pada 1 September 2018 yang lalu merupakan platform penting kepada kerajaan baharu untuk memperkasakan Agenda Ekonomi Bumiputera. Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan resolusi yang dicadangkan oleh kongres berdasarkan kepada kajian dan penelitian yang telah dan sedang diperhalusi. Kongres Ekonomi Bumiputera telah diadakan beberapa kali sebelum ini. Namun begitu, suasana dan cabaran semasa adalah berbeza dengan beberapa dekad yang lalu. Maka KBN 2018 dianjurkan untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan Bumiputera selaras dengan cabaran semasa. Kongres ini telah mendapat DN 17.12.2018 3 penyertaan yang amat menggalakkan bermula daripada sesi pra kongres. Seramai lebih 300 pakar rujuk bumiputera daripada pelbagai bidang telah menyumbang buah fikiran dan idea. Manakala seramai 2500 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak telah menyertai kongres tersebut. Peserta kongres telah mengambil bahagian aktif sepanjang kongres berlangsung. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam ucaptama perasmian telah melontarkan beberapa gagasan baharu untuk menggesa satu anjakan minda dalam kalangan bumiputera dan orang Melayu. Antaranya ialah agar mereka mempunyai ilmu dan kemahiran, memiliki nilai-nilai moral, integriti dan etika yang baik, bersedia untuk bersaing serta menolak rasuah. Kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tersebut jelas menunjukkan komitmen kerajaan baharu untuk menjadi sebuah kerajaan yang business friendly, dengan izin, dan mendukung usaha untuk memberdayakan ekonomi bumiputera dan orang Melayu. Pembentangan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pengarah Pusat Governan Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang menekankan soal nilai dan integriti telah menjadi teras utama dalam kongres ini dan mendapat sambutan yang cukup positif daripada peserta Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB). Ini menunjukkan satu pendekatan dan penerimaan yang berbeza di kalangan usahawan bumiputera. Peserta menerima baik saranan GIACC untuk memperkukuh sistem penyampaian dan penyertaan orang Melayu dan bumiputera serta mendukung tindakan tegas terhadap mereka yang mensabotaj ekonomi. Kongres ini telah menghasilkan 63 resolusi merangkumi empat bidang fokus iaitu nilai, moral dan etika, pendidikan dan modal insan, pemilikan dan penciptaan kekayaan serta keusahawanan dan perniagaan. Sebahagian daripada cadangan resolusi tersebut telah diambil kira dalam hala tuju strategi dan inisiatif Kajian Separuh Penggal RMK-11 (KSP RMKe-11). Antara cadangan resolusi yang telah dikemukakan adalah seperti berikut: (i) menjadikan Kongres Bumiputera Nasional sebagai platform untuk memantau pelaksanaan resolusi, menepati niat serta aspirasi komuniti bumiputera; (ii) menstrukturkan semula agensi sedia ada supaya lebih efektif dan efisien serta bebas daripada campur tangan politik; (iii) memperkasa agensi sedia ada untuk mengawal selia dan melibatkan diri dalam pembangunan tanah rizab Melayu dan tanah wakaf; (iv) menubuhkan jawatankuasa tindakan khusus yang melibatkan kementerian dan agensi untuk mengkaji dasar dan akta di peringkat Persekutuan dan negeri dan; DN 17.12.2018 4 ◼1010 (v) mewujudkan pangkalan data bersepadu atau integrated database, dengan izin, dan boleh diakses daripada pelbagai agensi sedia ada menuju ke arah inisiatif data raya atau big data. Kerajaan komited untuk memastikan agenda bumiputera agar terus kekal sebagai agenda nasional. Dalam hal ini, tonggak kedua dalam Dokumen KSP RMKe-11 telah memberi penekanan khusus kepada strategi memperkukuh KEB. Ini termasuk inisiatif untuk memperkukuh keberkesanan institusi dan program, memperkasa pendidikan dan modal insan, meningkatkan kawalan efektif dan kemampanan dalam pemilikan ekuiti korporat, meningkatkan pemilikan kekayaan serta membina KEB yang berdaya tahan dan mampan. Ahli Yang Berhormat boleh merujuk dalam Bab 11 di muka surat 11-13, Dokumen KSP RMKe-11 yang mencerakinkan strategi dan inisiatif secara terperinci. Sekian, terima kasih. Tuan Khairul Azwan bin Harun: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya hendak tanya pertama statistik dari segi pemilikan saham oleh bumiputera Melayu dan Peribumi Sabah dan Sarawak sama ada melalui individu ataupun agensi yang bertanggungjawab. Keduanya, mengenai tindakan affirmative ataupun affirmative action dalam pelaksanaan. Apakah ia masih menjadi asas pada setiap pelaksanaan hasil resolusi itu yang telah disebut oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, affirmative action masih wujud ataupun tidak. Dasar affirmative untuk membantu. Terima kasih. Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin: Terima kasih, Senator Khairul Azwan Harun. Berkaitan dengan jumlah pemilikan ekuiti korporat bumiputera ianya masih di bawah sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus yang daripada jumlah keseluruhan pemilikan ekuiti korporat. Tahap pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera berasaskan nilai tara atau par value pada tahun 2011 adalah 23.4 peratus. Kerajaan pada hari ini sedang mendalami isu berkaitan dengan pemilikan ekuiti bumiputera ini. Tentang affirmative action seperti mana yang disebut tadi, kita sedang melihat agenda bumiputera adalah salah satu agenda nasional dan affirmative action yang berkaitan dengan agenda bumiputera akan dilihat, dikaji dan didalami dan kerajaan sedang merangka satu pelan strategi dalam isu affirmative action bumiputera. Apa yang perlu ditekankan seperti mana saya sebut tadi antara inti pati utama Kongres Bumiputera, masa depan bumiputera dan negara adalah melahirkan bumiputera usahawan yang berkualiti yang tidak ada lagi sistem Alibabanya. Itu lah yang ditekankan oleh Tan Sri Abu Kassim DN 17.12.2018 5 dalam ucapannya dan itulah yang akan ditekankan dalam akta yang berkaitan dengan sabotaj ekonomi. Kita mahu melahirkan kumpulan usahawan bumiputera dan kumpulan bumiputera yang mampu bersaing dan bersaing sama sendiri dan pemilihan mereka adalah berdasarkan kepada merit. Affirmative action adalah berdasarkan merit di kalangan mereka, di kalangan bumiputera kita pilih bukan berdasarkan hubungan politik dan sebagainya. Ini kita menjangka kita dapat rasakan dapat mengurangkan kebocoran- leakages, penyelewengan dan sebagainya. Ianya akan diberikan pada kumpulan sasar yang mampu berdasarkan rekod yang ada. Sekian, terima kasih. Datuk Razali bin Idris: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya telah membuktikan bahawa Agenda Melayu Bumiputera disegerakan dengan adanya Kongres Bumiputera enam bulan selepas memerintah. Syabas kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ada beberapa Agenda Melayu Bumiputera yang tergagal oleh kerajaan terdahulu seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Ekonomi Nasional, Wawasan 2020 dan sebagainya. Jadi supaya tidak disalah tafsir oleh masyarakat ataupun rakyat jelata, hala tuju bumiputera sebenarnya untuk kestabilan negara. Jadi soalan saya Tuan Yang di-Pertua, bolehkah kerajaan sediakan bancian secara komprehensif mengenai pencapaian dan kekayaan