Dewan Rakyat Parlimen Ketiga Belas Penggal Kedua Mesyuarat Ketiga
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Bil. 49 Isnin 17 November 2014 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2015 Jawatankuasa:- Jadual:- Maksud B.24 (Halaman 27) Maksud B.31 (Halaman 75) Maksud B.27 (Halaman 131) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 26) Usul Anggaran Pembangunan 2015 Jawatankuasa:- Maksud P.24 (Halaman 27) Maksud P.31 (Halaman 75) Maksud P.27 (Halaman 131) DR.17.11.2014 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Isnin, 17 November 2014 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan apakah mekanisme dalam memastikan harga barang basah yang bukan tertakluk barang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan tidak dinaikkan oleh peniaga sewenang-wenangnya. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan [Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah]: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kota Tinggi. Menjawab kepada soalan Yang Berhormat Kota Tinggi, kawalan harga barangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kawalan harga barang basah terhadap barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur- sayuran hanya dibuat pada masa pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Hari Raya Puasa, Deepavali dan juga Krismas. Skim ini merupakan satu kaedah untuk menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah akibat permintaan tinggi semasa musim perayaan. Di luar tempoh masa skim kawalan harga musim perayaan, untuk makluman Yang Berhormat, harga ditentukan melalui faktor permintaan dan juga penawaran di dalam pasaran. Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, mana-mana individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditentukan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000. Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga DR.17.11.2014 2 secara mendadak dan ketara. Peniaga yang gagal atau enggan memberi penjelasan terhadap kenaikan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang dan sehingga kini, 13 November 2014 sebanyak 90 notis telah dikeluarkan. Untuk makluman Yang Berhormat, pemantauan harga barang turut kita lakukan secara konsisten oleh pegawai pemantau harga yang telah dilantik oleh kementerian ini bermula pada April 2008 untuk membuat pemantauan ke atas pasar raya besar, pasar raya, pasar basah, pasar mini, kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan premis makanan, makanan siap masak di seluruh negara. Hasil pemantauan ini akan digunakan sebagai laporan trend harga barang dan tindakan penguatkuasaan. Selain itu kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan iaitu FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pertanian Malaysia bagi memastikan bekalan barang basah sentiasa mencukupi, stabil dan boleh diperoleh dengan harga yang berpatutan. Terima kasih. Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd. Harun Narrashid [Kota Tinggi]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tertarik tadi mengatakan supply dan demand (permintaan dan penawaran). Tadi kementerian sudah kuatkuasakan dari segi bukan sahaja kompaun, akan tetapi kali ini - khusus yang lebih besar. Jadi saya hendak tanya ada tanggapan mengatakan wujud kartel ataupun komponen tertentu yang menentukan harga. Jadi saya hendak minta apakah usaha-usaha kerajaan (kementerian) khusus untuk menangani gejala ini dan apakah hukuman yang diberi itu setimpal dengan kartel yang wujud ini. Terima kasih. Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah: Terima kasih Yang Berhormat soalan tambahan. Kementerian memang mengetahui bahawa wujudnya kartel-kartel ini untuk menentukan harga. Jadi sebab itu kementerian melalui agensi di bawah KPDNKK iaitu MyCC sentiasa memantau dan mengambil tindakan sekiranya didapati ada syarikat-syarikat ataupun kumpulan-kumpulan yang cuba mewujudkan satu kartel untuk menentukan harga. Jadi tindakan akan kita ambil. Contohnya baru-baru ini iaitu MAS dengan AirAsia dan MyCC telah ambil tindakan dan keputusan telah pun dibuat. Masing-masing didenda sebanyak RM10 juta. Itu seolah-olah wujudnya kartel untuk hendak menentukan harga tambang penerbangan. Begitu juga dengan barang-barang harian, memang kita mengetahui kadang-kadang ada wujud kartel-kartel ini untuk berpakat sesama mereka bagi menentukan harga kenaikan, menaikkan harga sewenang- wenang dan tindakan-tindakan kita ambil. ■1010 Untuk makluman Yang Berhormat, ada tindakan yang telah kita ambil dan sudah pun dikompaun dan sebagainya tetapi maklumat itu tidak ada pada saya dan kita akan bagi secara bertulis kepada Yang Berhormat. Terima kasih. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat Rantau Panjang. DR.17.11.2014 3 Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya ialah di antara punca kenaikan ketidakstabilan harga barang basah terutamanya di pasaran adalah kerana kebergantungan yang tinggi kita kepada import. Jadi apabila penurunan nilai ringgit menyebabkan harga barang yang diterima oleh peniaga dengan harga kos yang tinggi menyebabkan beban itu dilepas kepada pengguna. Ini di antara faktor utama. Jadi, macam mana kementerian melihat penurunan isu nilai ringgit ini mempengaruhi kestabilan harga di pasaran. Begitu juga saya ingin tahu berapa ramai sebenarnya kekuatan tenaga pemantau di seluruh negara untuk memastikan supaya tidak berlaku kenaikan yang tidak sewenang-wenangnya terutama apabila kerajaan akan melaksanakan GST pada awal tahun depan. Jadi sudah tentu cabaran ini akan lebih lagi yang akan dihadapi oleh kementerian. Jadi, sejauh mana kekuatan tenaga pemantau yang telah disediakan oleh kementerian untuk memastikan pengguna mendapat harga yang sepatutnya. Terima kasih. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Sebelum Menteri jawab, telah beberapa kali diingatkan ini sesi soal jawab lisan, terus kepada soalan, terutamanya soalan tidak boleh lebih daripada tiga dan tidak boleh digabungkan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk berbahas. Jadi Yang Berhormat Menteri jawab satu sahaja. Yang lain boleh jawab bertulis. Ya, sila. Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk jawapan pada soalan tambahan daripada Yang Berhormat Rantau Panjang. Untuk makluman Yang Berhormat kita ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menguruskan tindakan. Kita ada Ops. Macam-macam Ops kita sudah buat. Ops Harga dan pelbagai Ops yang kita buat. Untuk makluman Yang Berhormat juga, kita ada semua lebih 1,800 anggota penguat kuasa yang ada di seluruh negara yang telah kita gerakkan bagi mempertingkatkan pemeriksaan dan membuat pemantauan daripada apa Yang Berhormat sebut tadi. Tindakan ini kita ambil sekiranya ada di bawah Akta Kawalan Harga Antipencatutan kita akan gunakan. Untuk makluman Yang Berhormat juga bagi segi tindakan-tindakan yang telah kita ambil baru-baru ini, kita telah bawa mengambil tindakan di mahkamah iaitu jumlah pemeriksaan yang kita buat dan aduan mengikut pada musim-musim sama ada pada musim perayaan dan sebagainya sebanyak 46 mengikut kes. Kadang-kadang, selalunya kenaikan harga ini dinaikkan pada musim-musim perayaan. Jadi di luar dari musim perayaan bergantung kepada keadaan cuaca dan semasa. Jadi untuk musim-musim perayaan ini pada Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Kaamatan, Hari Raya Puasa dan sebagainya lebih daripada 766 jumlah kes. Jadi makna kata 1,800 pegawai ini menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memantau, memastikan supaya kawalan harga barang-barang ini ditepati dan juga mengikut apa yang telah disediakan oleh kerajaan. Terima kasih. DR.17.11.2014 4 [Soalan No. 2 – Y.B. Dato' Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali (Kuala Nerus) tidak hadir] 3. Puan Rubiah binti Haji Wang [Kota Samarahan] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah strategi Kementerian dalam membangunkan bakat pelajar dalam bidang sukan di peringkat sekolah rendah. Timbalan Menteri Pendidikan [Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan mulai tahun 2011 dengan penglibatan murid sejak dari peringkat sekolah rendah lagi. Melalui dasar ini, semua murid digalakkan untuk bersukan sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Bagi murid yang berpotensi dan telah dikenal pasti berbakat dalam bidang sukan adalah digalakkan untuk meningkatkan