UCAPAN YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI MENTERI KESIHATAN

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN “MAGNUM CARES 2010”

DI PUSAT HEMODIALISIS MAWAR, PADA 26 JANUARI 2009 JAM 3.30 PETANG

YB Senator Dato’ Dr. Yeow Chai Thiam, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA N.Sembilan Merangkap Pengerusi Pusat Hemodialisis Mawar.

YB Dato’ Siow Chen Pin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan .

Y.Bhg Tuan Mizan bin Haji Maulud, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.

Y.Bhg En. Tuen Foo Fat, General Manager , Magnum Corporation.

Pengerusi-Pengerusi Bahagian MCA Negeri Sembilan.

Pengurus-Pengurus, Rumah-Rumah Kebajikan Kerajaan dan NGO Negeri Sembilan.

Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat petang dan Salam 1 Malaysia.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Senator Dato’ Dr Yeow Chai Thiam, selaku Pengerusi Mawar Renal Medical Centre dan Pusat Hemodialisis Mawar, yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis yang meriah pada petang ini. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berusaha En. Tuen Foo Fat dan semua warga Magnum Corporation yang telah berusaha untuk menjayakan Program Magnum Cares ini.

2. Saya difahamkan program yang penuh bermakna ini dilaksanakan oleh Yayasan Magnum setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat setempat. Selain daripada sumbangan dan bantuan kewangan kepada badan-badan amal, pendidikan dan sukan, saya

1 difahamkan Magnum juga memberi ang-pow, hamper makanan dan barangan yang lain kepada golongan-golongan tertentu seperti orang tua, orang kurang upaya, anak yatim piatu, kanak-kanak istimewa serta pesakit-pesakit buah pinggang, khasnya semasa musim perayaan. Segala ini dilaksanakan dengan tujuan untuk melahirkan semangat penyayang di kalangan masyarakat kita. Ini merupakan suatu usaha yang amat murni dan terpuji. Tahniah dan syabas kepada Yayasan Magnum dan Magnum Corporation!

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

3. Menyentuh tentang pesakit kegagalan buah pinggang, musim perayaan Tahun Baru Cina ini merupakan satu kesempatan yang amat baik bagi kita menunjukkan empathy dan kasih sayang kepada mereka yang kurang bernasib baik ini. Mereka merupakan golongan pesakit yang terbesar yang mengalami kegagalan organ di Negara ini. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa saiz golongan ini yang sedang menjalani rawatan hemodialisis telah mencecah hampir 19,000 orang menjelang tahun 2008, berbanding cuma 836 orang pada tahun 1990.

4. Akibat daripada pelbagai jenis penyakit, buah pinggang mereka telah gagal berfungsi seperti biasa. Ekoran daripada itu, mereka terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sehingga 3 sessi seminggu, selama 4 jam setiap kali. Ini bukan sahaja membebankan mereka dari segi kewangan dan masa, malah kebanyakan mereka tidak dapat menikmati kualiti hidup yang baik. Cuba bayangkan kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka.

5. Menyedari tentang kesusahan yang dihadapi oleh mereka ini, maka Kerajaan kita yang amat berperihatin ini telah memperkenalkan pelbagai bantuan kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

6. Satu daripadanya ialah bantuan subsidi rawatan di pusat-pusat hemodialisis NGO seperti Pusat Hemodialisis Mawar ini, di mana setiap pesakit miskin diberi subsidi sebanyak RM 50 setiap kali menjalani rawatan hemodialisis. Semenjak subsidi ini diperkenalkan pada tahun 2001 sehingga bulan November 2009,

2

Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 145 juta bagi subsidi ini. Pada tahun lepas sahaja, sehingga bulan November, kami telah membelanjakan sebanyak RM 21.3 juta atas subsidi ini. Pada masa ini, lebih kurang 3,000 pesakit sedang menikmati subsidi ini di seluruh Negara.

7. Di samping subsidi rawatan, Kerajaan juga memberi bantuan kewangan kepada NGO yang ingin mendirikan pusat-pusat hemodialisis baru atau mengembangkan kemudahan haemodialisis di pusat-pusat yang sedia ada bagi memanfaatkan pesakit-pesakit miskin. Pada tahun yang lepas, sehingga bulan November 2009, Kerajaan telah memberi bantuan kepada 17 buah pusat hemodialisis NGO, dengan peruntukan sebanyak hampir RM 3.8 juta. Jumlah yang telah dibelanjakan semenjak skim ini diperkenalkan pada tahun 2002 adalah sebanyak RM 19.8 juta, kepada sejumlah 89 NGO.

8. Bantuan terkini yang diberi kepada pesakit kegagalan buah pinggang ialah bantuan suntikan erythropoietin, yang diperkenalkan pada bulan April 2009. Sehingga bulan November 2009, sebanyak hampir RM 5.7 juta telah dibelanjakan. Pesakit kegagalan buah pinggang kerap menghadapi masalah anaemia , iaitu kekurangan darah, dan ini menyebabkan mereka sentiasa berasa lemah dan tidak berdaya menjalankan aktiviti harian mereka. Suntikan erythropoietin ini akan membantu badan mereka membentuk darah atau haemoglobin yang diperlukan, supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Bantuan yang diberi oleh Kerajaan adalah sebanyak RM 30 setiap suntikan, sebanyak 3 suntikan seminggu bagi setiap pesakit.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

9. Tinjauan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa 57% kegagalan buah pinggang di Negara ini adalah akibat daripada penyakit kencing manis, manakala 7% lagi adalah akibat penyakit darah tinggi. Oleh itu, selain daripada menjalankan kegiatan amal bagi pesakit-pesakit buah pinggang, saya juga berharap badan-badan korporat seperti Magnum dan Pusat Hemodialisis Mawar akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan Kempen- kempen Cara Hidup Sihat bagi menyedarkan orang ramai tentang kepentingan

3 menjaga kesihatan mereka supaya penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang tidak menyerang mereka.

10. Saya juga berharap, dan menyeru kepada masyarakat umum, supaya mengurangkan penggunaan gula di dalam makanan dan minuman mereka, khasnya semasa musim perayaan ini. Kita perlu mengurangkan gula di dalam minuman dan makanan kita setiap hari, kerana penggunaan gula yang keterlaluan akan meningkatkan risiko kita mengidapi penyakit obesiti, kencing manis dan penyakit- penyakit kronik yang lain.

11. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Yayasan Magnum dan Pusat Hemodialisis Mawar yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis yang penuh bermakna ini. Semoga ia akan memanfaatkan semua rumah-rumah kebajikan dan NGO yang menerima sumbangan pada petang ini. Sekian, terima kasih.

4