Journal Design + Built Kajian Kecacatan Bangunan Masjid Lama Analisa Kajian Lapangan ke atas Kecacatan Pad a Bangunan Masjid Lama di Malaysia S. Johar1, A.G. Ahmad1, A.I. Che-Ani2, N.M. Tawil2, I.M.S Usman2 1 Sekolah Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia 2Jabatan Seni Bina,Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia
[email protected],
[email protected],
[email protected],
[email protected], ___________________________________________________________________________ ABSTRAK Kertas kerja ini membentangkan hasil analisis kajian lapangan terhadap kajian kecacatan dan kerosakan bangunan khususnya bangunan masjid lama yang diperbuat daripada kayu. Dalam amalan pemuliharaan, adalah penting untuk mengetahui jenis-jenis kecacatan dan kerosakan bangunan bagi memastikan kerja pembaikan yang diambil bersesuaian dengan kehendak dan keadaan bangunan. Dalam kajian ini, sebanyak 84 buah masjid lama dengan seni bina vernakular telah diselidiki keadaan bangunan dan masalah kecacatan serta kerosakannya. Hasil yang didapati, bangunan masjid lama ini masih berkeadaan baik walaupun sesetengahnya telah melalui transformasi penggunaan bahan baru bagi mengekalkan penggunaannya. Usaha pemuliharaan dengan menggalakkan penyelenggaraan yang berkesan amat perlu ditekankan bagi memastikan bangunan lama ini dapat terus digunakan di samping mengekalkan kesinambungan seni bina di negara ini. Kata kunci: Impak, pembinaan, bangunan, retak, pemeriksaan visual PENGENALAN Malaysia seperti negara-negara membangun yang lain kaya dengan kesan tinggalan sejarahnya. Keunikan seni bina bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek di Kuala Lumpur, Bangunan Stadthuys dan Masjid Tengkera di Melaka serta pelbagai lagi bangunan-bangunan bersejarah lain di seluruh negara menampakkan bahawa negara kita Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya (Ahmad, A.G 1997; Kamal, K.S 2007).