Ucaptama Santapan Malam Diraja
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Ucaptama Santapan Malam Diraja Beta ingin mengalu-alukan kedatangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Permaisuri Agong Tuanku Haminah ke negara Jepun sebagai Tetamu Negara. Beta amat berbesar hati dapat menjemput dan meluangkan masa bersama Baginda Berdua pada petang ini. Pertemuan kali pertama Beta dengan Tuanku ialah 42 tahun yang lepas ketika Beta membuat lawatan ke Malaysia sebagai Putera Mahkota bersama dengan Puteri Mahkota, mewakili Maharaja Hirohito. Lawatan tersebut adalah susulan dari lawatan yang telah dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dari Perlis sebagai Tetamu Negara pada tahun 1964. Pada waktu itu Yang di-Pertuan Agong sedang gering, Tuanku, ketika itu merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, menerima kehadiran Beta Berdua di Kuala Lumpur. Lawatan itu termasuk ke Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Johor telah membantu Beta Berdua untuk lebih memahami Malaysia, dan tidak dapat dilupakan kebaikan hati rakyatnya di mana jua Beta Berdua lawati. Lawatan kedua ke Malaysia ialah pada tahun 1991 sebagai Tetamu Negara selepas Beta menaiki takhta, dan sekali lagi Beta Berdua berpeluang untuk bertemu dengan Tuanku. Ketika lawatan itu, Beta Berdua dijadualkan untuk melawat negeri Perak, kampung halaman Yang di-Pertuan Agong ke-sembilan, Tuanku Azlan Muhibuddin Shah, namun Beta Berdua tidak berkesempatan melawat negeri itu akibat kesan kebakaran hutan di negara jiran. Setelah hampir 15 tahun ketika Beta Berdua menghadiri sambutan ulangtahun ke-60 Raja Thailand, Beta Berdua berkesempatan mengunjungi Perak. Beta Berdua bertemu dengan bekas Yang di-Pertuan Agong dan keluarga Baginda, dan juga ke Malay College di mana Beta Berdua sepatutnya berkunjung 15 tahun yang lepas. Beta Berdua sangat menghargainya kerana dapat bertemu dengan rakyat Perak yang terlibat dalam semua persediaan lawatan Beta Berdua ketika itu. Ketika peristiwa Gempa Bumi Besar Timur Jepun yang melanda pada 11 Mac 2011, Beta menerima ucapan takziah dan simpati dari Yang di-Pertuan Agong yang ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan kerajaan Malaysia telah menawarkan bekalan bantuan kepada penduduk yang terjejas. Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kemurahan hati yang diberikan oleh Malaysia. Hubungan dua hala di antara kedua-dua negara terus berkembang selepas penubuhan perhubungan diplomatik pada tahun 1957, dan persahabatan diperkukuhkan lagi dalam bentuk kerjasama pelbagai bidang. Beta berasa amat sukacita dengan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada tahun 1981, di mana ia telah membuka peluang kepada belia Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara disamping bertindak sebagai jambatan persahabatan di antara Jepun dan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong telah dilantik melalui sistem penggiliran di kalangan Raja-Raja Melayu yang mewakili sembilan negeri-negeri Melayu untuk lima tahun. Tuanku telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua dan ini merupakan yang pertama di dalam sejarah Malaysia. Beta amat berharap agar Tuanku yang senantiasa diingati dan dikasihi oleh rakyat Malaysia sebagai simbol kebudayaan Melayu, terus menjalankan peranan penting bersama dengan Permaisuri Agong. Dengan seikhlas hati Beta berharap kunjungan Baginda Berdua ke Jepun dapat mengukuhkan lagi keakraban yang terjalin di antara kedua-dua negara. Beta amat berharap kunjungan Baginda Berdua menjadi produktif dan Beta ingin mengucapkan selamat disamping mendoakan kesihatan Baginda Berdua serta kesejahteraan rakyat Malaysia. .