Selasa 17 Julai 2018 MALAYSIA MAJLIS MENGANGKAT SUMPAH AHLI DEWAN NEGARA PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PE
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Selasa 17 Julai 2018 MALAYSIA MAJLIS MENGANGKAT SUMPAH AHLI DEWAN NEGARA PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PERTAMA MMS 17.7.2018 1 MALAYSIA DEWAN NEGARA MAJLIS MENGANGKAT SUMPAH PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PERTAMA Selasa, 17 Julai 2018 Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.00 petang DOA [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] MENGANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLI DEWAN NEGARA Ahli Yang Berhormat yang tersebut di bawah ini telah mengangkat sumpah: LANTIKAN BARU 1. Yang Berhormat Senator Puan Asmak binti Husin; 2. Yang Berhormat Senator Dato’ Haji Husain bin Awang; 3. Yang Berhormat Senator Tuan Waytha Moorthy A/L Ponnusamy; 4. Yang Berhormat Senator Tuan Liew Chin Tong; 5. Yang Berhormat Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah bin Raja Ahmad; 6. Yang Berhormat Senator Tuan Haji Marzuki bin Yahya; 7. Yang Berhormat Senator Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin; dan 8. Yang Berhormat Senator Datuk Haji Ismail bin Ibrahim [Upacara Mengangkat Sumpah tamat] MMS 17.7.2018 2 PEMASYHURAN TUAN YANG DI-PERTUA MENGALU-ALUKAN PELANTIKAN SEBAGAI AHLI DEWAN NEGARA Tuan Yang di-Pertua: Salam sejahtera Ahli-ahli Yang Berhormat, saya Yang di- Pertua Dewan Negara merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia, dan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tidak lupa juga kepada Yang Berhormat, Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof atas pemilihan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan Yang Berhormat Dato’ Mohd Rashid Hasnon serta Yang Berhormat Tuan Tuan Nga Kor Ming atas pemilihan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Selamat menjalankan tugas selaras dengan aspirasi kerajaan. Dewan Negara akan menjunjung keluhuran perlembagaan demi kesejahteraan rakyat dan negara ini. Saya mengalu-alukan pemilihan dua orang Ahli mengikut Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Mereka ialah: (i) Yang Berhormat Senator Puan Asmak binti Husin yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan; dan (ii) Yang Berhormat Senator Dato’ Husin bin Awang dari Dewan Undangan Negeri Terengganu. Manakala enam orang Ahli pula dilantik mengikut Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, lantikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu: (i) Yang Berhormat Senator Tuan Waytha Moorthy A/L Ponnusamy; (ii) Yang Berhormat Senator Tuan Liew Chin Tong; (iii) Yang Berhormat Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah bin Raja Ahmad; (iv) Yang Berhormat Senator Tuan Haji Marzuki bin Yahya; (v) Yang Berhormat Senator Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin; dan (vi) Yang Berhormat Senator Datuk Haji Ismail bin Ibrahim Pemilihan dan pelantikan tersebut memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menabur khidmat bakti dan sumbangan kepada bangsa dan negara di peringkat badan legislatif yang tertinggi dalam negara ini. MMS 17.7.2018 3 Ahli-ahli Yang Berhormat, diharapkan akan menyumbangkan ke arah mempertingkatkan mutu perdebatan di Dewan yang mulia ini. Saya tidak ada sebarang kesangsian terhadap kesanggupan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk mematuhi ikrar taat setia Perlembagaan Negara, peraturan-peraturan mesyuarat serta prinsip-prinsip universal dalam piagam Rukun Negara yang menekankan antara lain keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keperibadian mulia yang menjiwai amalan Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, demokrasi merupakan konsep yang indah yang perlu dibina atas sifat keperibadian yang tinggi disertai dengan pemikiran yang terbuka serta rasional. Sifat yang mulia dan luhur haruslah dijadikan contoh teladan yang terpuji bukan saja dalam kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat, bahkan juga dalam kalangan khalayak ramai terutamanya generasi muda. Tidak kurang pentingnya saya percaya bahawa pematuhan Ahli-ahli Yang Berhormat kepada lunas-lunas keperibadian yang mulia dan berketerampilan akan membantu memperkasakan imej Parlimen sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa. Akhir sekali saya mendoakan agar Ahli-ahli Yang Berhormat akan sentiasa mendukung misi rakyat ke arah membina sebuah negara yang maju dan progresif dalam semua aspek pembangunan. Dengan kata-kata itu, maka selesailah Majlis Mengangkat Sumpah pada hari ini. [Dewan ditangguhkan pada pukul 2.19 petang] .