Memorandum Masalah Sumber Perikanan Dan Nelayan Pantai Di Malaysia
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
MEMORANDUM MASALAH SUMBER PERIKANAN DAN NELAYAN PANTAI DI MALAYSIA: CADANGAN DAN GESAAN Disediakan oleh SAHABAT ALAM MALAYSIA (SAM) PERSATUAN PENDIDIKAN DAN KEBAJIKAN JARINGAN NELAYAN PANTAI MALAYSIA (JARING) NOVEMBER 2017 MEMORANDUM MASALAH SUMBER PERIKANAN DAN NELAYAN PANTAI DI MALAYSIA: CADANGAN DAN GESAAN Pengenalan Industri perikanan merupakan industri yang berkembang maju di Malaysia. Namun di sebalik perkembangan pesatnya pelbagai isu dan masalah perikanan dan nelayan masih belum ditangani dengan serius dan berkesan. Antara isu yang boleh dilihat adalah seperti polisi, pembangunan dan pelaksanaan dasar, penguatkuasaan undang-undang serta kemerosotan ekosistem marin. Situasi ini menimbulkan kebimbangan kepada nelayan pantai. Oleh yang demikian, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) memandang serius isu ini dan merasakan adalah perlu untuk dibangkit dan diketengahkan supaya dapat diatasi bersama dengan baik. Rangka kerja dan penyelesaian yang menyeluruh harus dipertimbangkan dengan mengambil kira persoalan polisi dan dasar perikanan negara, perundangan, perancangan dan pembangunan perikanan yang mengambil kira aspek sosio-ekonomi nelayan dan ekosistem marin yang sihat, pengawalan, pemantauan dan penguatkuasaan serta kerjasama semua pihak dalam menangani isu-isu perikanan negara. Dasar Agro-Makanan 2011-2020 mensasarkan 50% daripada sumber perikanan negara adalah daripada akuakultur dan hanya 50% adalah dari tangkap liar (lampiran 1). Dasar ini perlu dikaji semula kerana SAM dan JARING percaya industri akuakultur yang tidak terkawal merupakan salah satu faktor yang merosakkan sumber perikanan. Dasar ini akan menggalakkan kawasan hutan paya bakau, pinggir pantai dan kawasan sungai dimusnahkan. Dalam usaha untuk memenuhi keperluan protein kepada masyarakat dan memastikan industri perikanan negara berkembang seiring dengan kelestarian sumber marin, SAM dan JARING menegaskan adalah perlu untuk semua pihak berganding bahu menjalankan usahasama yang bersepadu serta mencari kaedah terbaik untuk menguruskan sumber perikanan secara mapan. Memorandum yang disediakan oleh SAM dan JARING ini menggariskan beberapa isu dan persoalan tentang status industri perikanan di Malaysia. SAM juga menyenaraikan beberapa cadangan bagi memungkinkan cabaran dan persoalan berikut dapat ditangani dengan baik. Masalah Semasa Sektor Perikanan Malaysia 1. Eksploitasi berlebihan, pembaziran stok perikanan dan pendaratan ikan baja yang tinggi Walaupun pendaratan ikan di Semenanjung Malaysia dari tahun 1955-2015 (Lampiran 2) menunjukkan trend peningkatan yang ketara, namun demikian peningkatan ini tidak boleh dibanggakan kerana telah berlakunya pembaziran sumber perikanan. Melihat kepada situasi global pula, Food and Agriculture Organization of United Nations (FAO) menganggarkan 75% sumber perikanan laut telah dieksploitasi sepenuhnya, eksploitasi secara berlebihan, pupus dengan teruk atau dalam pemulihan. Manakala analisis global yang dibuat oleh penyelidik dari Kanada dan Amerika Syarikat menunjukkan 90% 1 sumber marin telah musnah dan perikanan global akan hilang menjelang 2048 jika masyarakat global tidak membuat sesuatu bagi melindungi sumber. Kajian menunjukkan penurunan populasi dan spesies-spesies yang terancam serta hampir pupus kebanyakan adalah spesies ikan yang mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran (Lampiran 3). Nelayan juga mendakwa bahawa hasil tangkapan mereka bagi spesies-spesies tertentu seperti ikan parang, siakap, semilang, kerapu, pari dan lain-lain juga semakin berkurangan (Lampiran 4). SAM dan JARING telah mendapat aduan daripada nelayan tempatan, kini lebih 50 spesies ikan sama ada sudah pupus atau hampir pupus. Spesies ikan yang popular, terutama ikan yang berharga, ditangkap dengan sewenang-wenangnya menyebabkan bilangannya jatuh secara mendadak. Pembaziran dalam pendaratan ikan dapat dikenal pasti dengan peningkatan enam kali ganda pendaratan ikan baja dari keseluruhan pendaratan ikan dalam tempoh 45 tahun. Ikan baja ialah anak-anak ikan yang terlalu kecil dan tidak mempunyai nilai perdagangan; ia hanya digunakan sebagai makanan ternakan atau pun dibuat baja dagangan. Pada tahun 1955 pendaratan ikan baja hanya 5% daripada jumlah pendaratan dan pada tahun 2010 telah meningkat kepada 31.6% daripada jumlah pendaratan. Pada tahun 2015, pendaratan ikan baja menurun kepada 17.16% daripada jumlah pendaratan keseluruhan. Malangnya, penurunan peratusan ikan baja tidak menggambarkan penurunan kuantiti ikan baja yang ditangkap berbanding 10-20 tahun lepas. Realitinya kuantiti pendaratan ikan baja sebenarnya melebihi dari data rasmi yang direkodkan kerana sebahagiannya tidak diisytiharkan. Pada tahun 2015, pukat tunda telah mendaratkan sekurang-kurangnya 210 000 tan metrik ikan baja atau hampir 32% jumlah pendaratan pukat tunda. Dianggarkan sekurang- kurangnya ikan baja yang didaratkan sepanjang tempoh lima tahun dari tahun 2011 hingga 2015 adalah melebihi 1,000,000 (1 juta) tan metrik di Malaysia. Pukat tunda juga telah menyumbang lebih 84% keseluruhan tangkapan ikan baja (Lampiran 5). Pada tahun 2015 pukat tunda telah memusnahkan 2,520,000,000 kilogram (2,520,000 tan metrik) ikan komersial saiz dewasa dengan nilai RM20,160,000,000 atau RM20.16 billion jika ikan ini dibiarkan membesar sehingga saiz matang Kajian SAM dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menunjukkan 1 kilogram ikan baja bersamaan sekurang-kurangnya 92 ekor anak-anak ikan komersial. Sekiranya ikan ini dibiarkan dewasa dan mencapai saiz matang dianggarkan 1 kilogram anak-anak ikan ini akan menjadi sekurang-kurangnya 12 kilogram ikan saiz dewasa. Berdasarkan kiraan ini, dianggarkan tangkapan ikan baja bagi tahun 2015 telah memusnahkan 2,520,000,000 kilogram (2,520,000 tan metrik) ikan saiz dewasa dengan nilai RM20.16 billion. Berdasarkan anggaran ini (Lampiran 6), jumlah ini adalah lebih dari mencukupi untuk memenuhi permintaan protein Negara dan meningkatkan sosio-ekonomi nelayan di Malaysia jika isu pukat tunda dan ikan baja dapat diatasi dengan baik. 2 2. Penggunaan alat tangkap yang memusnahkan ekosistem dan sumber perikanan serta pencerobohan kawasan tangkap nelayan pantai Pukat tunda – Pukat Apollo – Pukat Rawa Sorong – Bot Pengorek Retak Seribu Teknologi moden telah diperkenalkan sejak tahun 1960-an untuk meningkatkan hasil pengeluaran ikan negara. Perkembangan yang paling ketara ialah penggunaan pukat tunda yang dianggap sebagai peralatan tercanggih mengikut ukuran semasa. Penggunaan pukat ini adalah tidak terkawal, sekali gus telah menambahkan pendaratan ikan baja dengan banyaknya (Lampiran 7). Selain itu pukat tunda yang memusnahkan permukaan dasar laut telah merosakkan kawasan pembiakan dan pembesaran ikan di perairan laut pantai. Penangkapan ikan menggunakan pukat tunda masih dibenarkan di Malaysia. Akta Perikanan 1985 (Akta 317) hanya melarang nelayan pukat tunda daripada menangkap ikan di Zon A, iaitu 5 atau 8 batu nautika dari pantai yang dikhususkan kepada nelayan kecil. Bagaimanapun, zon ini juga sering diceroboh oleh nelayan pukat tunda akibat penguatkuasaan yang lemah. Ini menyebabkan kepupusan sumber-sumber perikanan negara dan mengancam mata pencarian nelayan pantai. Kegiatan nelayan pukat tunda semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan permintaan ikan baja untuk projek akuakultur. Penggunaan utama ikan baja adalah untuk projek akuakultur pesisir pantai, memandangkan hampir 90% penternakan ikan di Malaysia membabitkan pemberian ikan baja sebagai makanan. Dalam pemerhatian SAM dan JARING, pencerobohan bot pukat tunda masih bergiat aktif di beberapa perairan dari Kuala Perlis, Kuala Kedah, Kuala Sanglang, Yan, Tanjung Dawai, Kuala Muda hingga ke perairan Pulau Pinang, Kuala Kurau, Tanjung Piandang, Kuala Sepetang, Sungai Besar, Kuala Selangor, Kuantan, Kemaman dan sehingga menyusuri sepanjang perairan sehingga ke Pontian, Kukup di Johor. Kaedah penangkapan menggunakan pukat tunda yang memusnahkan dasar lautan telah menguasai kawasan sepanjang pesisir perairan Malaysia. Ia diburukkan lagi apabila pukat tunda ini diubahsuai menjadi Pukat Apollo, Pukat Buaya, Pukat Harimau dan sebagainya Kerajaan telah mengiktiraf bahawa terdapat kekurangan/kepupusan spesis ikan di pesisir pantai, namun dalam waktu yang sama masih mengeluarkan permit/lesen penggunaan bot pukat tunda. Tindakan ini hanya memburukkan lagi keadaan selain tidak melindungi hak dan mata pencarian nelayan pantai. Jika keadaan ini berterusan, berkemungkinan besar Malaysia akan kehilangan sumber perikanan dalam tempoh yang lebih singkat Beberapa negara seperti Hong Kong, Venezuela, Palau, Belize, Jepun dan Indonesia telah mengharamkan sama sekali penggunaan pukat tunda dalam perairan mereka. Pukat Kenka 2 bot (Pukat Apollo) Pukat Apollo merupakan pukat yang telah diubahsuai dengan menggunakan lesen daripada pukat Kenka. Pukat ini banyak beroperasi di sekitar Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Pulau Pinang. Walaupun beroperasi secara haram, Pukat Apollo ini dilihat seperti ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang. Penggunaan pukat ini memberi kesan kerosakan yang besar kepada ekosistem marin dan laut. 3 Sejarah pengeluaran lesen ini bermula pada tahun 1970an dan rentetan sejarahnya meliputi pembatalan lesen ini pada awal tahun 1980an sepanjang tempoh lesen dibatalkan rayuan demi rayuan kami terima dari pemegang lesen berkenaan, justeru itu Jabatan Perikanan atas sifat prihatin kepada mereka ini sebagai nelayan telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan