UCAPAN ALUAN YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI MENTERI KESIHATAN

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KLINIK 1 MALAYSIA KERINCHI LEMBAH PANTAI, PADA 7 JANUARI 2010

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

YB Datuk binti Haji Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia.

Y. Bhg Dato' Sri Dr. Hj Mohd Nasir Bin Mohd Ashraf, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

Y. Bhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ismail Merican, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Yang Berusaha Dr. Ismail bin Abu Taat, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Datuk-Datuk, Datin-Datin,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian.

Selamat pagi dan Salam 1 Malaysia

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kerana sudi hadir ke Majlis Pelancaran Klinik 1 Malaysia ini. Dalam jadual tugasnya yang amat sibuk, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri masih dapat meluangkan masa untuk hadir ke majlis pada hari ini. Saya mewakili warga Kementerian Kesihatan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat.

2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta semua

1 Pengarah Kesihatan Negeri dan semua pihak yang terlibat di seluruh negara atas komitment untuk menjayakan program Klinik 1 Malaysia ini.

Hadirin sekalian,

3. Penubuhan Klinik 1 Malaysia merupakan cetusan idea Yang Amat Berhormat Dato’ Sri sendiri. Ini menunjukkan betapa prihatinnya Perdana Menteri kita terhadap keperluan rakyat di Malaysia, sesuai dengan pendekatan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ .

4. Semasa pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober 2009 yang lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tujuan penubuhan 50 Klinik 1 Malaysia di seluruh Negara.

5. Sehingga kini, sebanyak 50 Klinik 1 Malaysia telah dibangunkan di seluruh Negara. Terdapat lima (5) buah Klinik 1 Malaysia di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor masing-masing. Manakala terdapat empat buah di negeri Perak, Sabah dan Sarawak; dan 3 buah di Negeri Sembilan, Melaka, , Terengganu dan Kelantan masing-masing. Juga terdapat 2 buah Klinik 1 Malaysia di Kedah dan sebuah di .

6. Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memberikan tumpuan khusus dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada rakyat. Keputusan Kerajaan untuk membina Klinik 1 Malaysia adalah selaras dengan tekad Kementerian Kesihatan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar. Dengan ini diharapkan pengwujudan Klinik 1 Malaysia akan menjadi satu lagi kejayaan Kementerian Kesihatan ke arah memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat, tanpa mengira tempat dan kedudukan.

7. Klinik ini terbuka khusus untuk penduduk di kawasan berdekatan. Ia beroperasi dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari bekerja. Klinik 1 Malaysia ini akan dikendalikan oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan, seorang Jururawat Terlatih dan seorang Pembantu Perawatan Kesihatan, dengan 2 syif.

2

8. Skop-skop perkhidmatan ini termasuk: • Perkhidmatan rawatan ringan seperti demam, batuk, demam selsema dan penyakit-penyakit ringan yang lain; • Rawatan susulan pesakit kronik yang stabil dan terkawal seperti kes diabetes, darah tinggi dan asthma; • Prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka, membuka jahitan dan lain-lain; • Perkhidmatan ujian makmal ringkas; • Membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi; • Menstabilkan pesakit sebelum dirujuk ke hospital berdekatan bagi kes kecemasan; dan • Memberi khidmat nasihat serta promosi kesihatan kepada pesakit.

9. Bagi kes-kes yang di luar bidang skop Penolong Pegawai Perubatan, ianya akan dirujuk ke Klinik Kesihatan atau hospital. Manakala bagi rawatan kecemasan, penduduk di sini adalah digalakkan terus ke klinik kesihatan atau hospital terdekat.

10. Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan di Klinik 1 Malaysia berkualiti dan mengikut prosedur operasi, ianya akan diselia oleh Pegawai Perubatan dari klinik kesihatan berdekatan yang telah dipertanggungjawabkan secara berjadual.

11. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana telah memberi kebenaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menggunakan satu ruang di tingkat bawah kuarters kakitangan DBKL secara percuma untuk dijadikan Klinik 1 Malaysia.

12. Akhir kata, saya mewakili seluruh warga Kementerian Kesihatan sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, di atas kesudian beliau meluangkan masa untuk hadir bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Klinik 1 Malaysia pada hari ini.

3 13. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak termasuk anggota Kementerian Kesihatan yang telah menjayakan majlis kita pada hari ini.

Sekian. Terima kasih.

4