KENYATAAN MEDIA

YB DR. XAVIER JAYAKUMAR MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI

PROJEK PEMBANGUNAN LEMBANGAN SUNGAI BERSEPADU SUNGAI LINGGI FASA 4

31 MAC 2019 ______

1. Negara kita tidak terkecuali berdepan dengan bencana alam seperti banjir. Kerajaan memandang serius terhadap masalah ini kerana ia boleh menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar serta kehilangan nyawa. Justeru itu, saya telah membuat lawatan kerja pada hari ini bagi meninjau Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi Fasa 4 bertempat di Pejabat Tapak Projek PLSB Sungai Linggi Fasa 4, Eco Park, . Tujuan lawatan kerja saya ini adalah untuk melihat sendiri pelaksanaan projek PLSB Sungai Linggi Fasa 4. Turut bersama-sama saya dalam lawatan ini ialah YBhg Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha, Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan Yang Berbahagia Ir. Haji Abdullah Bin Isnin, Ketua Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

2. Bersempena dengan lawatan ini juga, saya telah mendengar taklimat khusus berkaitan dengan perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi Fasa 4 yang telah disampaikan oleh Ir. Rozman bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan.

3. Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi Fasa 4 telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM70 juta. Projek ini dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di sekitar Rantau, Negeri Sembilan. 1

4. Projek ini telah mula dilaksanakan pada 13 April 2018. Ia melibatkan komponen kerja seperti kerja mendalam dan melebarkan sungai, pembentukan tebing sungai, pemasangan struktur kawalan hakisan tebing, pembinaan sistem perparitan, pembinaan jalan senggara sungai, pembinaan alur limpah sisi ‘Side Spillway’ di muka sauk Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), penandaan rizab sungai dan pengalihan utiliti.

5. Dijangkakan projek ini akan dapat disiapkan pada bulan April 2021. Projek PLSB Sungai Linggi Fasa 4 yang bernilai RM62.834 Juta ini dijangka akan dapat memberi manfaat perlindungan kepada lebih 3,600 orang penduduk di kawasan tersebut dan sekitarnya daripada kesan kejadian banjir. Di samping itu, ia juga turut dapat menyelamatkan infrastruktur dan harta benda awam di sepanjang tebing sungai berkenaan.

6. Adalah diharapkan dengan terlaksananya projek PLSB Sungai Linggi Fasa 4, masalah banjir sepertimana yang berlaku pada tahun 1999, 2000, 2011, 2012 dan 2016 yang melibatkan kawasan di Pekan Linggi, Pekan Rantau Kg Mantau, dan Kg. dapat diatasi ke tahap yang minima.

YB DR. XAVIER JAYAKUMAR Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

2