KUBUR LAMA TANJUNG KERAMAT,

1.0 PENGENALAN

Sejak zaman purba, setiap masyarakat mempunyai tempat perkuburan untuk kaumnya yang tersendiri. Ini adalah penting kerana ia melambangkan tingkat tamadun masyarakat itu termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan penguburan jenazah dan rupa bentuk kubur. Bagi masyarakat yang beragama Islam, aspek kubur dan perkuburan adalah penting meliputi hukum pembinaan struktur kubur, penziarahan, perbuatan serta amalan pada sesebuah kubur atau kawasan perkuburan. Kubur yang telah lama sememangnya mempunyai sejarah, cerita dan keistimewaan termasuk keunikannya mengikut peredaran zaman dan world view masyarakatnya. Aspek tapak perkuburan sangat penting kerana ia turut melambangkan imej masyarakat pada satu-satu zaman selain menjadi bukti material bagi pensejarahan berkenaan seseorang tokoh, golongan, agama atau kepercayaan mahupun kewujudan masyarakat itu sendiri termasuklah peristiwa yang pernah berlaku. Adakalanya kubur lama terbiar begitu sahaja dan terdapat juga kubur yang terus terpelihara meski telah berdekad atau berkurun lamanya.

Di Labuan, terdapat sebuah perkuburan lama yang dipanggil Perkuburan Islam Tanjung Keramat.

Gambar 1.1 - Illustrasi pemandangan sebahagian Pulau Labuan pada awal penyerahan kepada British

Lokasinya terletak sedikit ke arah timur pulau Labuan dan kedudukannya berada di atas tebing tinggi di pinggir laut serta agak berada di hujung sebuah tanjung serta terpencil daripada tempat – tempat awam. Namun demikian akses untuk ke tempat ini agak mudah.

Perkuburan ini berkeluasan 2.708 hektar dan lokasinya kira-kira 4.5 km dari pusat bandar Labuan. Tanah perkuburan ini terbahagi kepada dua lot iaitu tapak kubur lama dan tapak kubur baharu. Tapak kubur lama yang mengandungi 60-70 buah kubur dipisahkan oleh sebatang anak sungai dan terletak di hujung kawasan perkuburan manakala tapak kubur baharu berhampiran kawasan pondok rehat dan parkir kereta mempunyai lebih daripada 200 buah kubur. Sebuah jambatan konkrit kecil dibina merentasi anak sungai sebagai laluan ke tapak kubur lama tersebut. Untuk sampai ke lokasi ini, pengunjung perlu terlebih dahulu melalui Jalan Jumidar Buyong atau Jalan Tanjung Purun dan melalui Jalan Tanjung Batu. Kawasan utama yang dilalui adalah Memorial Perang Dunia Kedua Labuan dan juga perkuburan orang-orang Kristian, kawasan Kompleks Darul Kifayah dan seterusnya di Tanjung Taras, Membedai sebelum sampai ke lokasi yang dipanggil Tanjung Keramat.

Peta 1.1 - Peta lokasi perkuburan lama Tanjung Keramat, Labuan.

2.0 ASAL –USUL PERKUBURAN TANJUNG KERAMAT

2.1 Sejarah Tapak Perkuburan Tanjung Keramat

Menurut Haji Sawi bin Matnor, 65, (pesara Sabah Shell dan generasi ke-5, waris si mati yang bernama Jamudin bin Jumat), Tanjung Keramat mendapat namanya sempena amalan Tunku Syarif Kedah yang menjadikan sebuah tanjung kecil sebagai lokasi beramal dan bertapa untuk meningkatkan ilmunya. Beliau dikatakan gigih menyebarkan agama Islam kepada penduduk tempatan dan suka membantu orang di dalam keadaan darurat. Oleh kerana beliau dipandang tinggi atas ciri-ciri kealiman, pakar rujuk agama dan mempunyai unsur-unsur kesaktian, kuasa mengubati penyakit dan keajaiban diperoleh daripada ayat suci al-Quran, beliau dikenali sebagai ‘keramat’ yang bererti ‘mulia’ dan memiliki ‘kekudusan istimewa’ di kalangan penduduk tempatan. Tempat beliau beramal tersebut kemudiannya dinamai Tanjung Keramat sehingga kini. Mengikut catatan sejarah, Tunku Syarif Kedah yang dilahirkan di Mekah telah datang ke Labuan pada 1896 untuk meniaga dan turut terkenal sebagai pendakwah meninggal dunia dalam tahun 1943 pada usia 116 tahun dan dimakamkan di tanah perkuburan Islam Rancha-Rancha, Labuan.

2.2 Masyarakat Yang Dikebumikan

Tanah perkuburan tersebut menempatkan perkuburan awal orang-orang Kadayan di Labuan. Orang Kadayan di Labuan berasal dari Brunei dan merupakan golongan yang terawal mendiami Labuan bersama dengan orang-orang Brunei. Penghijrahan orang Kadayan secara kecil-kecilan ke pulau Labuan dipercayai berlaku sebelum era kedatangan penjajah British sekitar pertengahan 1840-an. Mereka adalah pengiring raja di Brunei dan dikatakan memiliki kekuatan dan kesetiaan yang tinggi untuk mengawal rajanya. Masyarakat Kadayan pada asalnya merupakan golongan petani khususnya penanam padi dan mereka sememangnya dikenali sebagai kaum yang memiliki kerajinan tangan serta berpengetahuan tinggi dalam perubatan tradisi. Orang-orang Kadayan lebih gemar tinggal di kawasan darat berbanding orang Brunei yang mendiami kawasan kampung air.

Menurut Haji Sawi, antara kampung-kampung yang menggunakan perkuburan tersebut adalah Kampung Nagalang, Kampung Kerupang, dan Kampung Tanjung Aru selain beberapa buah kampung yang lain. Dari segi jarak, kampung-kampung ini lebih hampir dengan Tanjung Keramat. Namun demikian majoriti orang Kadayan mendiami . Pada masa dahulu, tidak terdapat jalan darat untuk ke lokasi tersebut selain ia dikelilingi oleh hutan tebal di sebelah darat. Satu-satunya akses ke tanah perkuburan ini ialah dengan menggunakan perahu atau sampan di pinggir pantai untuk menghantar jenazah dari kampung untuk dikebumikan di tanah perkuburan ini. Kebetulan terdapat muara anak sungai yang memudahkan laluan masuk dan naik ke atas tebing untuk mengebumikan jenazah mengebumikan jenazah.

Gambar 2.2.1 - Kawasan pinggir pantai dan muara anak sungai yang dijadikan laluan masuk ke tanah perkuburan pada masa dahulu.

Menurut Haji Sawi, Jamudin bin Jumat merupakan moyangnya dan berasal dari Brunei. Beliau dikenali sebagai “Juruk” atau panglima (ketua angkatan) oleh masyarakat Kadayan kerana kebolehannya memimpin orang-orang Kadayan melindungi raja (sultan Brunei) terutama setiap kali berlaku pertelingkahan dan situasi cemas di kalangan pembesar- pembesar yang berebutkan takhta dan kedudukan.

Gambar 2.2.2 – Haji Sawi bin Matnor (kiri), menunjukkan salasilah keturunan Jamudin bin Jumat

Kumpulan ini berhijrah ke Labuan kerana mahu mengelak daripada suasana kekacauan dan pertelingkahan yang sering berlaku di Brunei. Mereka juga dikatakan meninggalkan Brunei kerana tidak bersetuju dengan amalan sesetengah pembesar yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Di Labuan, mereka terlibat dalam mengusir lanun-lanun yang mengganggu aktiviti penduduk tempatan di sekitar perairan berhampiran. Beliau dan pengikutnya dipercayai sudah berada di Labuan sewaktu penyerahan Labuan kepada pihak British yang dilakukan pada tahun 1846. Apabila meninggal dunia, beliau dimakamkan di Tanjung Keramat. Walau bagaimanapun, warisnya tidak mempunyai maklumat yang tepat berkenaan tarikh beliau meninggal dunia. Mereka hanya mendakwa Jamudin adalah antara orang terawal yang disemadikan di tanjung Keramat. Anaknya yang bernama Brahim iaitu pemilik asal tanah tersebut telah mewakafkan tanah tersebut sebagai tanah perkuburan orang Islam. Beliau turut dikebumikan di situ pada 1903 berdasarkan pada batu nisan kubur.

Haji Sawi juga tidak pasti siapakah orang pertama atau kumpulan orang pertama yang dikebumikan di Tanjung Keramat dan bilakah tanah perkuburan tersebut mula-mula digunakan. Selain itu, beliau juga tidak pasti secara tepat penduduk kampung manakah yang mengebumikan jenazah pertama di Tanjung Keramat. Tinjauan dan penelitian yang dilakukan di kubur-kubur tersebut mendapati terdapat kubur yang nisannya diukir dengan tarikh seawal tahun 1330 Hijrah (1887 M). Terdapat banyak kubur yang sukar dikesan tarikhnya kerana ukiran pada nisan telah pudar sama sekali. Ini menunjukkan sebahagian kubur –kubur tersebut lebih lama usianya berbanding yang masih mempunyai ukiran tarikh dan nama si mati.

Seorang lagi suku Kadayan, Pangeran Haji Salleh bin Pangeran Hashim, 87, yang menetap di Kampung Durian Tunjong mempunyai ramai ahli keluarga yang dikebumikan di Tanjung Keramat. Nenek, bapa saudara, ibu dan isteri beliau adalah antara ahli keluarga yang disemadikan di Tanjung Keramat. Beliau menyatakan terdapat sebatang pohon yang dipanggil pokok keramat di lokasi berhampiran kubur lama tersebut. Selain itu beliau juga mengatakan bahawa hanya laluan air yang boleh digunakan sebagai jalan untuk mengebumikan jenazah di Tanjung Keramat pada waktu dahulu khususnya sebelum tahun 1950-an.

Menurut sejarah, pulau utama Labuan tidak mempunyai penghuni tetap sebelum kedatangan pihak British. Labuan hanya dijadikan sebagai tempat berlindung dan oleh pedagang-pedagang kecil dan nelayan daripada keadaan cuaca buruk. Selain itu, Labuan juga dijadikan tempat berlindung daripada lanun yang sering mengganggu aktiviti pelaut di perairan sekitar. Labuan juga pernah dijadikan sebagai persinggahan sementara oleh utusan Sepanyol dari Manila yang ingin mengadap Sultan Brunei pada 1685. Petempatan tetap hanya wujud di Labuan selepas Labuan diambil alih dan ditadbir oleh koloni British yang melihat Labuan sebagai sangat berpotensi dari segi ekonomi perdagangan yang melibatkan kegiatan pelabuhan dan pertahanan kelautan.

Sebagai perbandingan kubur lama lain yang direkodkan di pulau ini adalah kubur James A. Gordon (1847) dan Sarjan Adam C. Sutherland (Mei 1847), kedua-duanya warga British yang terlibat dalam persiapan penyerahan pulau Labuan kepada British pada 1846. Pada mulanya kubur tersebut terletak di Burial Ground berhampiran Ramsay Point di Jalan Tanjung Purun namun telah dialihkan ke Taman Botanikal Labuan akibat ancaman hakisan pantai. Terdapat juga kubur masyarakat Cina di Sungai Keling bertarikh 1853 dan 1854 namun ianya merupakan kubur pekerja lombong arang batu yang dipercayai dikebumikan di Tanjung Kubong sebelum kubur-kubur ini dialihkan ke Sungai Keling. Selain itu terdapat juga kubur lama orang Islam di Kampung Ganggarak dan Kampung Sungai Labu namun tidak mempunyai maklumat lanjut.

Kubur di Tanjung Keramat menggunakan banyak batu bersaiz besar yang dipercayai diambil dari pinggir pantai. Batuan tersebut dibawa ke kawasan kubur dan dibentuk khas seperti lazimnya kubur lama dan dijadikan struktur kubur. Terdapat batu nisan yang didirikan dengan saiz mencecah ketinggian 38 inci, lebar 16 inci dan tebal 10 inci. Terdapat juga ukiran nama dan tarikh kematian pada batu nisan menggunakan tulisan jawi.

Gambar 2.2.3 – Pemandangan kubur lama Tanjung Keramat, Labuan.

Gambar 2.2.4 – Batu-batu yang berada di pinggiran pantai untuk dibuat sebagai nisan.

Kubur paling lama yang menggunakan nisan kayu pula mempunyai tarikh 1331 Hijrah dan meninggal ketika berusia 100 tahun. Kubur-kubur di kawasan ini mempunyai struktur yang hampir sama di antara satu sama lain dari segi penggunaan dan tata letaknya. Beberapa buah kubur telah ditambah baik sebahagian strukturnya menjadikannya seperti kubur moden. Terdapat juga pohon – pohon kayu yang besar di bahagian tengah kawasan perkuburan tersebut. Saiz kawasan perkuburan juga kian mengecil kerana pertambahan kubur-kubur baharu. Apa yang menarik pada kubur tersebut adalah simbol berupa ukiran bintang yang terdapat pada sesetengah batu nisan. Sewaktu tinjauan dilakukan, terdapat simbol bintang berbucu lima dan juga berbucu enam di dalam petak segi tiga yang turut diukir pada nisan kubur tersebut. Sesetengah nisan kubur turut diukir dengan bulan atau bulan dan bintang.

Gambar kiri : Nisan yang diperbuat daripada kayu. Gambar tengah : Nisan batu berukiran bintang berbucu enam. Gambar kanan : Nisan batu dengan ukiran bulan dan bintang berbucu lima.

Kebanyakan ukiran maklumat nama dan tarikh kematian juga telah pudar dan sukar dikesan. Tinjauan juga mendapati batu-batunya yang digunakan sebagai struktur kubur telah rebah dan tidak teratur berkemungkinan disebabkan faktor usia kubur itu sendiri. Batu-batu yang digunakan sebagai penanda kubur ini dipercayai mempunyai rupa, bentuk dan warna asli yang cantik sewaktu mula-mula digunakan.

Tanah perkuburan lama Tanjung Keramat diancam runtuhan tebing atas faktor semulajadi

Pada masa dahulu, kawasan tebing di Tanjung Keramat menganjur lebih jauh ke arah laut tapi berlaku hakisan tebing atas faktor semulajadi sehingga mengakibatkan enam buah kubur lama telah runtuh bersama tebing setakat ini. Keadaan tersebut masih berlaku sehingga kini dan keadaan agak kritikal bagi sebahagian lagi kubur jika berlaku runtuhan besar pada tebing. Rekod menunjukkan pemilik tanah asal bagi perkuburan itu adalah Brahim bin Jamudin dengan tarikh 1902. Pada masa ini hal-ehwal perkuburan Tanjung Keramat diurus oleh pihak PEWARIS yang merupakan persatuan waris-waris keluarga orang yang disemadikan di perkuburan ini. PEWARIS dinaungi oleh YB Datuk Rozman bin Isli iaitu Ahli Parlimen Labuan merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan. Bahagian Masjid dan Tanah Perkuburan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut mentadbir tanah perkuburan ini.

Jika dilihat dari segi struktur kubur, tanah perkuburan ini agak unik berikutan penggunaan batu-batu sungai atau pinggir laut yang bersaiz besar dan dibentuk dengan cantik. Pemandangan di perkuburan ini sangat mendamaikan dengan bunyi desiran ombak yang menghempas pantai berdekatan serta pepohonan kayu yang besar di tengah perkuburan lantas menimbulkan suasana serta gambaran ‘keramat’ yang tenang. Kawasan kubur sentiasa dijaga dengan rapi dan tampak selalu diziarahi oleh orang ramai.

3.0 PENGARUH DAN SIMBOL BATU NISAN

3.1 Pengaruh dan Simbol Batu Nisan Secara Umum

Kekuatan dan pengaruh simbol pada batu nisan mampu mengakui, mempercayai dan mengubah persepsi tingkah laku manusia yang dianggap keramat dan mempunyai magis maka tidak hairanlah tapak perkuburan lama di Tanjung Keramat dijadikan lokasi pertapaan dan pengasingan diri untuk beramal di kalangan orang bijak pandai dan berilmu. Simbol adalah lokasi tanda dalam hubungan ritual kematian khususnya masyarakat Islam di Borneo yang menggambarkan pemikiran dan idea yang terkandung dalam mitos kepercayaan. Beberapa simbol yang sering menghiasi batu nisan berupa bulan dan bintang berbucu 5 atau 6 yang tidak dapat dipastikan maksudnya sebenarnya selain daripada gambaran langsung simbol agama Islam.. Dipercayai pada zaman dahulu terdapat segelintir kumpulan yang mengamalkan dan mempercayai sesuatu aliran cabang agama yang hanya difahami oleh mereka sahaja. Simbol itu jika diperkatakan menjadi isu sensitif di kalangan waris si mati. Ternyata simbol-simbol itu mempunyai makna khusus dan bukan dikukir sebarangan pada batu nisan. Ada orang yang meninggal dan dimakamkan di tempat itu mempunyai kedudukan atau kriteria tertentu sehinggakan batu nisannya harus diberikan simbol yang menggambarkan pengaruhnya dalam masyarakat. Temubual dengan beberapa responden mengesahkan sebahagian simbol yang terdapat pada batu nisan si mati mempunyai hubungan dengan kuasa, pengaruh dan kedudukan si mati dalam masyarakat semasa hayatnya. Walau bagaimanapun kebanyakan waris si mati enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Penyelidikan yang dilaksanakan merungkai misteri perkuburan lama di Tanjung Keramat yang dipercayai berusia melebihi 100 tahun berdasarkan keterangan dan rekod dalam batu nisan di samping menghuraikan kepelbagaian motif, lambang dan ukiran ayat-ayat al-quran. Tulisan yang dipahat mencatatkan tarikh dan nama si mati, serta petikan ayat-ayat al-quran. Masyarakat setempat dahulunya menganggap batu nisan ini melambangkan keimanan si mati dan boleh dianggap keramat. Pada masa dahulu, unsur-unsur keramat dan magis berleluasa dalam sosio budaya masyarakat Melayu di Borneo sungguhpun kepercayaan ini adalah syirik dan bercanggah dengan akidah Islam. Batu nisan yang ada di situ diperbuat daripada batuan sungai atau pinggir laut yang bersifat tahan lasak serta kelihatan gah.

3.2 Pengaruh Simbol Di Perkuburan Lama Tanjung Keramat

Hasil daripada pemerhatian pada batu-batu nisan yang terdapat di perkuburan Tanjung Keramat, terdapat beberapa simbol atau corak yang diukir pada batu-batu nisan tersebut iaitu :- a) Simbol Bintang Berbucu Enam

Gambar 3.2.1 – Bintang Berbucu Enam

Bintang enam merupakan simbol atau lambang yang paling banyak digunakan dalam sejarah agama-agama yang terdapat di dunia seperti Yahudi, Kristian, Buddha, Hindu dan tidak terkecuali di dalam agama Islam sendiri. Simbol bintang berbucu enam ini pada asalnya merupakan hak milik bangsa Arab Kan’an (bangsa asal Palestin). Sejak ribuan tahun dahulu lagi mereka menggunakan simbol ini sebagai lambang bagi kaum mereka. Simbol bintang bucu enam atau juga dikenali sebagai Bintang Daud (Nabi Daud a.s) kerana simbol ini terus digunakan pada zaman pemerintahan Nabi Daud a.s dan seterusnya digunakan dalam pemerintahan anakanda baginda iaitu Nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman menjadikan bintang bucu enam ini sebagai cop mohor kerajaan agung baginda.

Simbol ini terus dikekalkan pada Dinasti Khilafah Ayyubiyyah ketika Salahuddin Al-Ayubi mengalahkan tentera Salib di Jerusalem dan beliau mengambil simbol ini bagi menghormati bangsa asal Palestin iaitu bangsa Arab Kan’an yang telah memeluk agama Islam. Pada mimbar, tingkap dan dinding-dinding marmar Masjidil al-Aqsa juga menggunakan simbol ini. Mimbar itu dikatakan berusia hampir mencecah seribu tahun.

Gambar 3.2.2 – Mimbar yang terdapat di dalam Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Seterusnya, simbol bintang berbucu enam ini pernah menjadi perlambangan yang digunakan pada masa Dinasti – dinasti Islam Abad Pertengahan, terutama pada era kegemilangan Kekhalifahan Turki Uthmaniyah. Di zaman kegemilangan dinasti Khilafah Turki Uthmaniyah, simbol dan lambang bintang bucu enam ini banyak digunakan di masjid-masjid, mimbar masjid, duit syiling, bendera peribadi pasha (gelaran untuk pangkat kedudukan yang tinggi dalam politik empayar dinasti Uthmaniyah Turki) dan makam perkuburan Islam sebagai corak hiasan.

3.2.3 - Gambar batu nisan yang mempunyai simbol bintang enam yang terdapat di perkuburan lama Tanjung Keramat, Labuan.

Simbol ni jugak digunakan sebagai bendera negeri Karamanid (Karamanoğlu) pada kurun ke-13 di mana negeri ni adalah antara negeri terkuat di Anatolia. Zaman ini ia dikenali sebagai wilayah Karaman di negara Turki.

Gambar 3.2.4 - Duit syiling Emiriah Maghrib Bendera Emiriah Karamanid Anatolia Turki

Antara masjid-masjid yang mempunyai simbol segitiga enam yang terdapat di beberapa negara ialah Masjid al-Khalil di Hebron Palestin, Humayun Tomb di India, Masjid Sultan Mamluk berdekatan dengan Universiti Al- Azhar di Cairo Mesir, Masjid Bakhchysaray di wilayah Crimea Russia dan Masjid Zahir di Alor Setar Kedah, Malaysia.

Simbol bintang enam yang terdapat di masjid Zahir di Alor Setar, Kedah, Malaysia.

Gambar 3.2.5 - Humayun Tomb di India

b) Simbol Bulan dan Bintang

Simbol bintang bucu lima dan bulan sabit amat sinonim di kalangan kita pada hari ini terutamanya yang beragama Islam kerana simbol ini boleh dilihat di mana- mana masjid yang dibina di seluruh dunia. Umat Islam sering menggunakan simbol ini jika terdapat peristiwa atau perkaitan dengan umat Islam. Simbol ini biasanya diletakkan di atas kubah-kubah masjid dan di dinding-dinding masjid. Jika diperhatikan pada masa ini, hampir separuh negara-negara di dunia menggunakan lambang atau simbol bulan serta bintang ini di bendera-bendera kebangsaan mereka termasuklah negeri-negeri di dalam Malaysia sendiri.

Simbol bulan dan bintang yang diukir pada batu nisan di perkuburan lama Tanjung Keramat, Labuan menjadi satu kepelikan kerana simbol semacam itu belum pernah ditemui di mana-mana batu nisan kubur di Malaysia.

Penggunaan simbol bulan bintang terjadi setelah Sultan Mehmet II (Muhammad Al – Fatih) berjaya menakluk kota Konstantinopel (Empayar Byzantine) pada 1453. Islam diidentitikan dengan bulan sabit dan bintang berdimensi lima. Rasanya tidak cukup cantik jika di puncak sesebuah kubah atau menara masjid tidak mempunyai lambang bulan dan bintang bahkan tiada sesiapa yang akan membantah bahawa kedua-duanya dikaitkan sebagai simbol Islam.

Gambar 3.2.6 – Batu nisan di Perkuburan Islam Tanjung Keramat, Labuan

Simbol bulan dan bintang ini berkemungkinan diukir di batu nisan tersebut sebagai perlambangan kepada tempat pengebumian jenazah orang Islam. Maka perkaitan antara simbol bintang enam ini dengan simbol yang terdapat di batu – batu nisan di tanah perkuburan Islam Tanjung Keramat wujud persamaan iaitu simbol yang sama. Sebelum itu diingatkan bahawa pada awalnya pulau Labuan ini dibuka dan didiami oleh penduduk dari Brunei yang datang berhijrah dari tanah Brunei bagi mengelak daripada suasana kekacauan dan peperangan kecil yang berlaku di Brunei. Menurut Haji Sawi bin Matnor, 65, perkuburan lama tersebut merupakan perkuburan awal orang-orang Kedayan di Labuan. Orang Kedayan di Labuan sememangnya berasal dari negara Brunei.

Pada tahun 808 H (1404 M) ada sembilan (9) ulama dari Kekhalifahan Islam di Turki atas perintah Sultan Muhammad Jalabi ke tanah Jawa melalui Kesultanan Samudra-Pasai (Aceh Darussalam). Sejak menjadi sebahagian dari Khilafah Islamiyah, Kesultanan Samudra-Pasai telah menjadi pusat pendidikan agama dan banyak menghasilkan ahli - ahli agama yang akan dikirim ke seluruh penjuru Nusantara untuk menyebarkan dakwah. Dakwah Islam secara besar-besaran ke Nusantara dimulai dari Pasai dan menyebar melalui dua jalur iaitu, Jalur Melaka dan Jalur Giri di Gresik, Jawa.

Dakwah besar-besaran dari Samudra-Pasai (Aceh Darussalam) sang Serambi Mekah telah berjaya memunculkan kesultanan-kesultanan Islam berikutnya di seluruh Nusantara mulai abad ke-15 M hingga awal abad ke-19 Masihi. Di antara kesultanan-kesultanan yang berdiri adalah Kesultanan Brunei Darussalam, berdiri pada tahun 1402 Masihi di Kalimantan Utara dengan Awang Alang Betatar, seorang Raja Brunei yang masuk Islam sebagai sultan pertamanya dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.

Jika merujuk sejarah, berdasarkan catatan China dan orang Arab menunjukkan bahawa kerajaan Brunei Darussalam pada awalnya berada di muara Sungai Brunei. Kerajaan itu memiliki wilayah yang cukup luas meliputi Sabah, Brunei dan Sarawak yang berpusat di Brunei. Pada awal abad ke-15, Kerajaan Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan kemudian mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Selepas kejatuhan Kerajaan Islam Melaka kepada Portugis pada tahun 1511 Masihi, ramai ahli-ahli agama yang menetap di Melaka telah berhijrah ke Brunei. Pada masa yang sama kejatuhahan kerajaan Melaka ke tangan Portugis tersebut telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka, sehingga Kesultanan Brunei mencapai zaman kegemilangannya dari abad ke-15 hingga abad ke-19 sewaktu memperluas kekuasaannya ke seluruh pulau Borneo dan ke Filipina di sebelah utaranya. Kesultanan Brunei telah menjadi satu kuasa Islam yang kuat dan disegani di Asia Tenggara ketika itu. Justeru Kesultanan Islam Brunei telah menjalinkan hubungan yang baik dengan Khilafah Turki Uthmaniah yang merupakan satu kuasa besar Islam dunia pada masa itu yang menaungi semua wilayah – wilayah Islam dan menjadi rujukan serta tempat meminta pertolongan jika terdapat masalah terhadap umat Islam di seluruh dunia. Dalam sebuah literatur menyebutkan adanya hubungan antara Kesultanan Brunei Darussalam dengan Kerajaan Aceh Darussalam. Hal tersebut dilatarbelakangi adanya kesamaan budaya dan agama serta menyatakan diri sebagai bahagian dari kekhalifahan Uthmaniah di Turki. Ini membuktikan bahawa pengaruh simbol – simbol ini datang daripada Dinasti Khilafah Uthmaniah di negara Turki.

3.3 Gambar dan ilustrasi simbol dan tulisan pada batu nisan

الاله اال هللا محمد رسوال هللا Tiada Tuhan yang melainkan Allah, Muhammad Pesuruh Allah عالمت اني Tempat dimana قوبر محمد طهير بن Kubur Muhammad Tahir bin محمد صليح Muhammad Sholeh

تاهون ١٣٥٣ Tahun 1353H

متصفر بن كوروس

محمد Muhammad رسوال هللا Rasulullah

عالمت Tempat بهو اني قو Bahawa ini ku- بر بليو تمت bur beliau Temit انق عبدهللا anak Abdullah ١٣١٥ 1315 (H)

محمد رسول هللا اني عالمت Ini tempat قوبوررجو kubur Raju رحامودين Rahamudin انق جومت anak Jumit ١٣

اصد Asad بنتي نايم Binti Naim

١٣٥٦ 1356

عالمت Tempat اين قوبور اسمعيل Dimana kubur Ismail بن الهير Bin Lahir

تاهون ١٣٤٩ Tahun 1349

الاله اال هللا Tiada Tuhan selain Allah محمد رسول هللا Nabi Muhammad Pesuruh Allah اين قبر سيتي الطيفه Siti Lathifah نتي مانن binti Manan

١٣٥٥

الاله اال هللا Tiada tuhan melainkan Allah

محمد رسوال هللا Nabi Muhammad Pesuruh Allah

اين قوبور محمد Ini kubur Muhammad

صحان بن محمد Sohan bin Muhammad

تاهون ١٣٥٣ Tahun 1353

عالمت اين قوبور Tempat dimana makam

بليو الجن بن اوسين Beliau Lajin bin Usin

٣ ساول 3 Syawal اومور ١٠٠ Umor 100

١٣٤١ 1341 (H)

موت بنتي تونجور Mun binti Tunjur صفر٢٩ Safar 29 ١٣٥٧ 1353

4.0 PENUTUP

Kewujudan perkuburan lama Tanjung Keramat membuktikan Labuan telah dihuni oleh masyarakat beragama Islam sejak ratusan tahun yang lalu. Penggunaan batu- batu sungai atau pinggir laut sebagai nisan dan struktur kubur adalah satu kelaziman memandangkan tidak terdapat pembuat nisan komersil pada zaman dahulu. Walaupun aspek kemewahan atau kemegahan kubur tidak diutamakan sepertimana yang berlaku pada hari ini, tanda kubur yang nyata adalah penting bagi menunjukkan tamadun masyarakat Islam Kadayan pada zamannya. Apa yang diutamakan hanyalah nama, keluarga dan tarikh kematian si mati. Struktur kubur hanyalah sebagai tanda bagi menghargai atau memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan simbol yang turut diukir pada nisan lebih kepada melambangkan agama Islam sebagai agama si mati ketika dalam hayatnya. Selain itu, masyarakat zaman dahulu juga menerima pengaruh Islam dari negara-negara seperti Arab dan Turki lantas sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan masyarakat akan simbol yang dipercayai sesuai untuk diletakkan di nisan kubur seperti mana simbol di sesetengah masjid. Orang-orang pada zaman dahulu sengaja menggunakan batu sungai sebagai asas pembinaan ataupun sebagai penanda kubur. Penggunaan batu sungai digalakkan dalam Islam kerana ia bersifat hidup dan semulajadi, tahan lama dan lasak. Batu ini juga sebenarnya kelihatan cantik dan menarik semasa ia mula-mula digunakan. Selain daripada itu, orang-orang kampung juga sebenarnya menunjukkan yang mereka tidak berharta dan hanya menggunakan batu sungai sebagai penanda kubur. Ketiadaan binaan tambahan yang berlebihan di atas kubur dilihat sebagai memuliakan dan mengingati ahli keluarga mereka yang telah pergi buat selama-lamanya.

GALERI GAMBAR KUBUR LAMA TANJUNG KERAMAT, LABUAN

Sebahagian pemandangan tapak perkuburan lama Tanjung Keramat

Pohon – pohon besar dan berusia melatari pemandangan tapak perkuburan

Sebahagian struktur kubur yang telah rebah dan berselerakan

Sebuah kubur lama bertarikh 1330 H (1887 M) yang telah ditambah dengan nisan baharu

Jambatan kecil merentangi anak sungai untuk laluan ke tapak perkuburan lama

Tapak kubur sebuah keluarga ini terletak berdekatan dengan tebing tinggi

Haji Sawi ketika ditemui di kediamannya di Taman Tanvilla, Labuan

Kakitangan penyelidik Muzium Labuan bersama Haji Sawi bin Matnor di kediamannya

RUJUKAN

Haji Sawi bin Matnor (Orang Kadayan Labuan) Bekas pekerja Sabah Shell Cicit kepada Jamudin bin Jumat AJK PEWARIS Kubur Tanjung Keramat Umur : 65 tahun

Pangeran Haji Salleh bin Pangeran Hashim (Orang Kadayan Labuan) Pesara Pos Malaysia Bekas Imam Masjid dan Jurunikah Bekas Pengerusi PEWARIS Kubur Tanjung Keramat Umur : 87 tahun

Bahagian Pengurusan Masjid dan Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan

Daftar Pustaka

 http://www.kompasiana.com/a_baybar_roodee/bintang-daud-di-kalangan- islam_551b2127a333114f21b65d4f  http://www.jurukunci.net/2011/12/asal-usul-penggunaan-lambang-bulan.html  http://www.kompasiana.com/gatotswandito/bintang-daud-jadi-simbol-parpol-islam-kenapa- tidak_55b874713eafbd3c1384d490  https://generasisalaf.wordpress.com/2014/07/16/simbol-bintang-6-israel-sebenarnya-milik- bangsa-palestina/  http://ahmadzaki82.blogspot.my/2014/07/sejarah-simbol-bintang-bucu-6-israel.html  https://youchenkymayeli.blogspot.my/2013/11/sejarah-masuknya-islam-di-brunei.html  http://khilafatulmuslimin.com/ikatan-sejarah-brunei-darussalam-dan-aceh-darussalam/