TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI RINA MOHD HARUN MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH AHLI JAWATANKUASA MPKK NEGERI

1 JUN 2019 (SABTU)

5 PETANG

PUSAT KOMUNITI DESA

DUNGUN

TERENGGANU

1

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sayangi Malaysiaku dan Salam Luar Bandar Sejahtera

YBM Senator Dato’ Raja Kamarul Baharin Shah Ibni

Raja Ahmad Baharuddin

Penyelaras MPKK Negeri Terengganu

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ahmad Jailani Bin Muhamed Yunus Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Yang Berbahagia Dato’ Haji Zulkifli bin Mohamad Pengerusi KETENGAH

Pegawai Daerah Dungun

Ahli-ahli Jawatankuasa MPKK

Rakan-rakan media

Penerima sumbangan Aidilfitri yang diraikan

Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin yang saya hormati sekalian,

2

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, dengan berkat izin dan limpah kurniaNya juga dapat kita bersama-sama di Majlis Penyerahan Ahli Jawatankuasa MPKK Negeri Terengganu pada hari ini, bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia dan penuh barakah ini.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak khususnya kepada YBM Senator Dato’ Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah, penyelaras MPKK Negeri Terengganu, KETENGAH, Pejabat KPLB Negeri Terengganu, KEMAS dan MARA yang telah bertungkus lumus membuat persediaan dan memastikan majlis berjalan lancar.

3. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Pejabat Daerah Dungun atas sokongan padu terhadap penganjuran majlis dan Ahli Jawatankuasa MPKK serta semua hadirin yang hadir pada petang ini.

4. Bantuan, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak adalah amat penting bagi memastikan MPKK mencapai tahap yang lebih tinggi dari aspek pengurusan desa, memberi khidmat dalam masyarakat dan pembangunan luar bandar, Insya-Allah.

5. Buat julung kalinya majlis seumpama ini diadakan dan setinggi- tinggi tahniah dan syabas diucapkan atas pelantikan tuan/puan selaku ahli Jawatankuasa MPKK Negeri Terengganu bagi penggal ini yang bermula 1 April 2019 hingga 31 Disember 2020.

3

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Suka saya ingatkan bahawa MPKK merupakan institusi penting di peringkat akar umbi, yang merupakan jentera kerajaan dalam menggerakkan dan merancakkan pembangunan luar bandar.

7. Bagi memperkasakan lagi aspirasi kerajaan hari ini, MPKK yang dilantik turut membawa agenda Kemakmuran Bersama seperti yang diucapkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau semasa Perutusan Pencapaian Setahun Baharu.

8. YAB Tun ada menyebut akan mewujudkan pusat-pusat ekonomi. Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh di seluruh pelusuk Negara harus diusahakan supaya jurang yang miskin dan kaya di Bandar, antara Bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan negeri- negeri di Borneo harus dirapatkan.

9. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan aspirasi kerajaan, Kementerian telah bersetuju untuk mewujudkan jawatan bagi 5 Ahli Jawatankuasa tambahan dalam MPKK bagi negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan.

10. Dengan adanya tambahan 5 Ahli Jawatankuasa tersebut dalam MPKK, saya yakin akan dapat membantu memudahkan penyampaian maklumat dan melancarkan penyelarasan bantuan/ peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

4

11. Saya maklum di Terengganu ini terdapat 8 Parlimen yang melibatkan 1,046 kampung. Seramai 2,034 ahli jawatankuasa yang dilantik yang mana setiap satunya memegang portfolio biro khusus iaitu Biro Perpaduan, Biro Kesejahteraan dan Keceriaan, Biro Ekonomi dan Keusahawanan dan Biro Belia, Sukan dan NGO serta Biro Pembangunan Prasarana.

12. Peranan 5 biro ini tidak kurang pentingnya sebagai mata dan telinga kerajaan, serta wujudnya check and balance serta mampu melonjakkan MPKK itu sendiri.

13. Selain itu, asas perpaduan amat diutamakan di mana peranan MPKK itu sendiri membantu atau memberi khidmat kepada komuniti setempat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

14. Hanya satu MPKK ditubuhkan bagi setiap kampung, yang mana wujudnya penglibatan bersama daripada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.

15. Saya yakin dengan kerjasama kukuh yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan s, di samping peranan lima Ahli Jawatankuasa tambahan akan mampu meningkatkan imej dan melakar kejayaan MPKK sebagai salah satu badan penggerak utama sesebuah kampung.

16. Pembangunan luar Bandar merupakan agenda pembangunan yang penting dalam kita memastikan Malaysia dapat mencapai status Negara maju dan berpendapatan tinggi secara menyeluruh tanpa meminggirkan penduduk luar Bandar menjelang 2025 nanti.

5

17. Peranan MPKK Biro Pembangunan Prasarana akan bertanggungjawab bagi memastikan pembangunan prasarana dilaksanakan mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan.

18. Selain itu, biro ini juga bertanggungjawab untuk memantau aktiviti pembangunan, pembaikan dan pemuliharaan yang dirancang oleh Kerajaan berjalan lancar dan maklumbalas secara langsung kepada agensi terlibat mengenai projek-projek yang dikenalpasti bermasalah untuk tujuan penambahbaikan.

19. Selain itu, menyedari betapa pentingnya ekonomi dalam membantu meningkatkan taraf hidup dan peluang pendapatan penduduk, Biro Ekonomi dan Keusahawanan diwujudkan bagi menggerakkan program ekonomi melalui insentif dan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan.

20. Saya yakin berdasarkan potensi dan mengenalpasti keperluan serta sumber sedia ada dapat melonjakkan ekonomi di sesebuah kampung. MPKK boleh menjalankan aktiviti-aktiviti seperti kursus bimbingan usahawan, ekspo, pameran, karnival dan sebagainya bagi meningkat ilmu keusahawanan penduduk kampung.

21. Seterusnya Biro Kesejahteraan dan Keceriaan juga tidak kurang pentingnya dalam menggalakkan penduduk kampung menjaga kebersihan persekitaran kampung dalam keadaan ceria dan menarik dan memastikan kemudahan awam diguna dan dijaga sebaiknya untuk kegunaan masyarakat setempat.

6

22. Dengan adanya aktiviti gotong royong dapat memupuk semangat bermuafakat dan tolong-menolong di kalangan masyarakat dengan MPKK yang dilantik.

23. Dalam pada itu, peranan belia dalam MPKK yang merupakan generasi muda dirasakan bertepatan untuk memberi galakan kepada semua lapisan masyarakat untuk bergiat dalam sukan bagi mewujudkan generasi yang sihat.

24. Selain itu, Biro Belia, Sukan dan NGO perlu merancang dan melaksanakan program kemasyarakatan dengan penglibatan tenaga belia.

25. Kita percaya asas perpaduan yang kukuh mampu memperkasakan MPKK supaya lebih berwibawa, dihormati serta dapat bergerak sebagai satu pasukan. Misalnya dapat melaksanakan semak dan imbang dan melibatkan diri dalam mesyuarat MPKK untuk bersama-sama memberi pandangan agar keputusan yang dibuat mengambilkira kepentingan semua golongan masyarakat.

26. Selain itu Biro Perpaduan perlu memastikan objektif,matlamat dan dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan dengan cepat, tepat dan jelas hingga ke peringkat MPKK.

27. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, pembangunan luar bandar merupakan satu agenda penting dalam memastikan Malaysia dapat mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi secara menyeluruh dan bersepadu.

7

28. Sehubungan itu, KPLB sentiasa berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian, menambah baik program-program sedia ada serta meneroka idea dan cadangan program baharu yang boleh dilaksanakan untuk memberi faedah kepada penduduk luar bandar.

29. Dalam hal ini, pada 29 Oktober 2018 yang lalu, saya telah melancarkan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar dengan tema ‘Luar Bandar Sejahtera’.

30. PHPLB yang merupakan perancangan pembangunan luar bandar untuk tempoh 5 tahun bermula 2018 hingga 2023, berdasarkan aspirasi rakyat seperti mana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

31. PHPLB mengandungi 6 Teras, 29 Strategi dan 94 program yang merangkumi pembangunan infrastruktur, ekonomi, keusahawan, modal insan, wanita dan sistem penyampaian.

32. Melalui PHPLB, saya berharap pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara inklusif, mampu menaik taraf dan meningkatkan kualiti hidup serta memenuhi keperluan penduduk.

33. PHPLB mempunyai 6 teras yang meliputi Prasarana, Ekonomi, Keusahawanan, Modal Insan, Wanita dan Sistem Penyampaian.

34. Salah satu strategi di bawah PHPLB adalah untuk meningkatkan bilangan pemimpin wanita di peringkat kampung. Sebab itu, 30% kuota pengisian ahli MPKK yang dilantik adalah terdiri daripada wanita.

8

35. Oleh itu, saya berharap, golongan wanita terutamanya di peringkat belia dapat diberi peluang untuk menerajui dan menyumbang kepada hala tuju MPKK bagi sesebuah kampung.

36. bagi memperkasakan lagi peranan wanita dalam masyarakat, pihak Kementerian serta agensi-agensi di bawahnya juga telah menyediakan dana-dana keusahawanan seperti WISE, WINS, HERS dan juga DanaNita.

37. Golongan wanita pula perlu menggunakan peluang ini untuk menunjukkan bakat kepimpinan dan janganlah bersikap malu dan segan untuk memberikan idea dan pandangan untuk memajukan institusi MPKK di kampung masing-masing.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan,

38. Oleh itu, dengan mengambil keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini, saya menyeru agar MPKK di sini, yang merupakan kepimpinan di peringkat akar umbi dapat memainkan peranan yang diamanahkan dalam memastikan pembangunan luar bandar dapat direalisasikan sepertimana aspirasi kerajaan ke arah melahirkan ‘Luar Bandar Sejahtera’.

39. Dalam hal ini, KPLB akan sentiasa mengkaji dan menambahbaik dasar berkaitan MPKK dari semasa ke semasa. Salah satunya adalah insentif geran MPKK yang bertujuan menggalakkan penglibatan aktif MPKK bersama penduduk setempat dalam

9

menganjurkan program-program yang sesuai dengan keperluan di kampung tersebut.

40. Saya juga yakin dengan adanya kolaborasi antara Ahli Jawatankuasa MPKK yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu merancakkan pembangunan luar bandar melalui program-program yang pastinya memberi manfaat kepada penduduk desa.

41. Sebelum saya berundur, saya mengambil peluang ini mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang tinggal hanya beberapa hari saja lagi dan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YB DATUK SERI RINA MOHD HARUN MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR 31 MEI 2019

10