Journal of Administrative Science Special Edition: ICOPS, JAS, Vol. 15, Issue 3, 2018 Available online at http:jas.uitm.edu.my Pengaruh Identifikasi Parti Dan Politik Pembangunan Dalam Pilihan Raya Kecil (Prk) Parlimen Sungai Besar Dan Kuala Kangsar 2016 1 Junaidi Awang Besar 1Pusat Penyelidikan Kelestarian Sosial, Persekitaran dan Pembangunan (Social, Environmental and Developmental Sustainability - SEEDS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor E-mel:
[email protected] Abstrak: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen (P093) Sungai Besar dan P067 Kuala Kangsar pada 14 Jun 2016 (hari mengundi awal) dan 18 Jun 2016 (hari mengundi biasa) merupakan pilihan raya yang sesuai untuk melihat reaksi pengundi terhadap senario politik semasa tanah air yang sedang bergolak sama ada pada pihak Barisan Nasional (BN) mahupun parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan AMANAH dan juga Blok Ketiga (PAS dan IKATAN). PRK ini diadakan berikutan kematian kedua-dua ahli parlimen BN yang terlibat dalam nahas helikopter ketika PRU DUN Sarawak pada Mei 2016. Justeru adalah menjadi tujuan kajian ini untuk mengkaji pengaruh identifikasi parti dan politik pembangunan dalam PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor; dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak. Metod atau data kajian ini diperoleh melalui pemerhatian di lapangan, analisis data primer keputusan PRK di kedua-dua kawasan parlimen tersebut dan sumber sekunder daripada buku- buku akademik, artikel jurnal dan kertas seminar/prosiding yang berkaitan. Hasil kajian menunjukkan bahawa BN terus mengekalkan ‘status quo’ kerana faktor identifikasi parti dan mentaliti politik pembangunan yang menebal dalam pemikiran pengundi di kedua-dua kawasan tersebut. Pertandingan tiga penjuru yang mengakibatkan perpecahan parti-parti pembangkang antara PH dengan PAS turut memberi kelebihan kepada BN untuk terus kekal dengan pertambahan majoriti yang lebih tinggi.