Teks Ucapan Penutup Majlis Perjumpaan Yb Menteri Dan Yb Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Mempro
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
TEKS UCAPAN PENUTUP MAJLIS PERJUMPAAN YB MENTERI DAN YB TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI BERSAMA JAWATANKUASA MEMPROMOSIKAN PESEFAHAMAN DAN KEHARMONIAN ANTARA AGAMA (JKMPKA) OLEH YB MENTERI PERPADUAN Nama Program Majlis Perjumpaan YB Menteri Dan YB Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Mempromosikan Pesefahaman Dan Keharmonian Antara Agama (JKMPKA) Tarikh 16 Ogos 2018 (Khamis) Tempat Hall 10, Putrajaya International Convention Centre Deraf Teks Yang Berhormat Senator Waytha Moorthy A/L Ponnusamy Ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara & Kesejahteraan Sosial) 1 Salam Perpaduan, Salam Sejahtera Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis Yang Berhormat Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri Yang Berhormat Dr. Md Farid bin Md Rafik, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Dan Kesejahteraan Sosial Yang Berbahagia Datuk Baharin Bin Idris, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Yang Berusaha Datuk Azman Amin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama Tan Sri, Datuk/Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) kerana berjaya mengatur satu perjumpaan untuk saya dan YB Dr. Md Farid Bin Md Rafik, Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial dengan semua ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) lantikan sesi 2018-2019. 2 Saya juga mengalu-alukan kehadiran YB Puan Hajah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri (Agama) Di Jabatan Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan mewakili YB Menteri (Agama), YB Datuk Dr. Mujahid Bin Yusof Rawa yang kini sedang menunaikan Haji di Mekah. Pertemuan yang julung kali ini adalah sangat bermakna bagi Saya untuk mengeratkan hubungan kerjasama strategik di antara PERPADUAN, JAKIM dan IKIM demi memastikan keutuhan hubungan kaum dan agama rakyat Malaysia terus terjalin dan terpelihara. Tan Sri, Datuk/Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati, Peranan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) dalam mewujudkan, menggalakkan serta memantapkan iklim perhubungan yang utuh dalam kalangan penganut pelbagai agama adalah sangat penting bagi membina jambatan persahabatan berteraskan semangat kerjasama, saling hormat menghormati dan saling percaya mempercayai di semua peringkat kepimpinan akar umbi. 3 Platform ini merupakan satu-satunya tempat di mana wakil-wakil penganut agama, bersama-sama cendekiawan, masyarakat sivil dan belia membincangkan perkara dan isu-isu semasa bagi merungkai permasalahan dan mencari titik pertemuan untuk menjalin persefahaman antara penganut agama secara harmoni dan muhibah. Platform JKMPKA juga memainkan peranan melakukan intervensi sekiranya berlaku salah faham dan pertelingkahan di antara penganut agama supaya isu yang dibangkitkan tidak merebak secara meluas sehingga berupaya mengancam ketenteraman negara. Saya juga mengambil maklum dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada mantan ahli-ahli JKMPKA mahupun yang baru kerana telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti pengalakkan keharmonian agama, juga kepada mereka yang sentiasa aktif secara sukarela melibatkan diri dalam forum dan seminar di platform antarabangsa. Syabas diucapkan kepada semua. 4 Saya percaya JKMPKA juga menggunakan platform ini untuk berkongsi pandangan secara berlapang dada, telus dan rasional sebagai salah satu usaha interaksi positif dalam mencapai pendamaian dan menjadikannya medium yang strategik dalam mencapai kefahaman bersama. Saya percaya kaedah perbincangan seumpama ini mampu memberi ruang dan peluang kepada setiap ahli JKMPKA berkongsi buah fikiran yang bernas dalam membina dan menyuburkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama. Tan Sri, Datuk/Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati, Ahli JKMPKA diminta untuk sentiasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada sebagai rujukan dalam menangani sebarang isu-isu sensitif yang boleh menggugat keamanan negara. Apabila menangani sebarang isu, marilah kita kembali kepada sifat nilai-nilai kebersamaan, nilai- nilai agama yang membawa kepada kebaikan bersama, dan nilai-nilai memupuk masyarakat penyayang yang boleh diraikan bersama. Jika timbul ketidaksefahaman antara penganut agama, perkongsian akan membuahkan resolusi dan ianya lebih mudah dilaksanakan. Sekiranya semua pihak yang 5 terlibat memainkan peranan menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, saya pasti banyak isu dapat diatasi. Sebagai Menteri yang menggalas tanggungjawab mengenai Perpaduan Negara, Kesejahteraan Sosial dan Hal Ehwal Minoriti, saya amat mengharapkan agar pelbagai isu di peringkat akar umbi dapat dikumpulkan dan dibentangkan kepada saya dan YB Timbalan Menteri untuk dikenalpasti mengikut keutamaan agar tindakan boleh dilaksanakan sama ada secara dalaman oleh jabatan atau disalurkan kepada agensi pusat dan subsidiari yang bersesuaian. Selain itu, setiap apa jua cadangan atau tindakan penyelesaian hendaklah berlandaskan kepada ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan. Majlis pada hari ini juga turut membuka lembaran baru untuk JKMPKA, PERPADUAN, IKIM dan JAKIM untuk merancang program dan aktiviti bersama secara kos efektif dan berimpak tinggi dalam usaha merangka pelan tindakan jangka pendek dan panjang ke arah memperkukuhkan lagi kesejahteraan dan keharmonian antara penganut agama. 6 Saya juga yakin sekiranya JKMPKA berupaya membentuk pendampingan yang mengeratkan lagi hubungan antara penganut pelbagai agama terutama mereka yang terpinggir dari arus kemodenan atau mereka yang terlalu selesa dalam kelompok tersendiri merupakan satu langkah yang saya kira lebih inklusif. Walau bagaimanapun, untuk mewujudkan keseimbangan dan menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai latar belakang fahaman agama, peranan setiap ahli JKMPKA haruslah mencerminkan kematangan diri dalam menyebarkan mesej-mesej yang positif serta berupaya mendampingi rakyat dengan mesra dan dalam suasana menyenangkan. Malah, kehadiran ahli JKMPKA di dalam setiap aktiviti atau program juga patut disenangi dan seharusnya dinanti-nantikan oleh komuniti. Tan Sri, Datuk/Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati, Di Ambang Malaysia Baharu ini, kita masih melihat dan mengalami pelbagai cabaran terhadap penganut agama yang antara lainnya penghinaan terhadap agama, kedinamikan identiti akibat intra-etnik, kecelaruan minda, pengaruh budaya kebendaan, pengaruh media sosial yang tiada batasan dan juga pelbagai ancaman yang dapat dilihat dari luar negara yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan serta keselamatan negara. 7 Saya amat berharap melalui platform JKMPKA, anasir-anasir yang boleh mengganggu-gugat kestabilan dan kekukuhan hubungan antara penganut agama dapat ditangani melalui penganjuran program dan aktiviti serta cadangan-cadangan yang boleh dilakukan dan adil atau “doable and just” dapat dimeterai pelaksanaannya. Melalui cara ini, Saya amat berharap agar jalinan hubungan yang telah sedia terjalin diperkukuhkan lagi demi kebaikan bersama untuk mengharmonikan rakyat yang terdiri daripada pelbagai agama. Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Hajah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri (Agama) Jabatan Perdana Menteri di atas komitmen beliau menghadiri majlis ini. Sampaikan salam saya kepada yang Berhormat Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, semoga beliau bersama- sama dengan para Jemaah Haji Malaysia berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di sana. 8 Kepada semua ahli JKMPKA, semoga kesetiaan dan keikhlasan yang mekar di jiwa Tan Sri, Dato’/Datuk, Tuan-tuan dan Puan-puan semua terus subur agar dapat memberikan khidmat yang terbaik demi rakyat, Raja dan Negara. Sekian, terima kasih. .