Dewan Rakyat Parlimen Ketiga Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Pertama
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT PERTAMA Bil. 20 Khamis 9 April 2015 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 (Halaman 24) Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 (Halaman 260) USUL-USUL: Menangguhkan Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga Rang Undang-undang (Halaman 1) Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 23) Merentikan Kuat Kuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat (Halaman 215) USUL MENTERI DALAM NEGERI: Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 - Terus Berkuat kuasa Bagi Tempoh 5 Tahun Lagi (Halaman 264) USUL-USUL MENTERI KEWANGAN: Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Halaman 273) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Halaman 275) Akta Kastam 1967 (Halaman 280) Akta Eksais 1976 (Halaman 283) DR 9.4.2015 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT PERTAMA Khamis, 9 April 2015 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat] USUL MENANGGUHKAN BACAAN KALI YANG KEDUA DAN KETIGA RANG UNDANG-UNDANG DI BAWAH P.M. 62 Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Shahidan bin Kassim]: Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, D.R.1/2015 Rang Undang-undang Ahli Kimia (Pindaan) 2015 seperti yang tertera di nombor 3, dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini, ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga dan dibawa pada mesyuarat akan datang. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Baiklah. JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Dato' Wira Mohd Johari bin Baharom [Kubang Pasu] minta Perdana Menteri menyatakan: (a) bilakah kerajaan akan membina tembok bagi menggantikan pagar kawat yang sedia ada di sempadan Malaysia/Thailand terutama sekali di kawasan kritikal yang telah dikenal pasti sebagai tempat penyeludupan; dan (b) bilakah kerajaan akan memasang mesin pengimbas yang canggih supaya setiap kenderaan yang keluar-masuk negara ini dapat diimbas dengan sepenuhnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Shahidan bin Kassim]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kepada Yang Berhormat Kubang Pasu, Semalam banyak kelekatu, Saya jawab soalan nombor satu. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, sila. DR 9.4.2015 2 Dato’ Seri Shahidan bin Kassim: Saya juga mengalu-alukan ketibaan Yang Berhormat Gombak yang telah lama tidak nampak. Bakal Ketua Pembangkang. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pagar sepanjang 129 kilometer telah dibina di sempadan negara yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Perlis, Kedah dan juga Perak. Kerajaan sedang mengkaji pembinaan pagar sempadan yang baru serta menggantikan pagar yang lama dengan mengambil kira spesifikasi dan kos yang terlibat. Pembinaan pagar sempadan khususnya di sempadan Malaysia-Thailand perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Thailand melalui Jawatankuasa Bersama Malaysia-Thailand. Jawatankuasa ini perlu memutuskan mekanisme pelaksanaan pembinaan pagar sama ada secara bersama pihak Thailand atau secara unilateral, dengan izin. Mesyuarat Jawatankuasa ini telah berlangsung pada 9 sehingga 11 Mac 2015 di Bangkok dan pihak Thailand telah menyatakan hasrat bagi konsep co- management, dengan izin, dalam pengurusan sempadan Malaysia-Thailand. Justeru, proses rundingan masih berjalan di antara Malaysia dan Thailand dalam mengenal pasti konsep co-management, dengan izin, berdasarkan kepada kesesuaian semasa. Yang keduanya, mesin pengimbas telah sedia dipasang di kawasan tempat masuk lori kontena dan juga kenderaan berat. Bagi kenderaan persendirian, ia berada dalam perancangan, namun kerajaan menumpukan aspek keselamatan secara keseluruhan. Mesin pengimbas yang ada pada masa kini adalah dimiliki oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang boleh digunakan untuk mengimbas kenderaan seperti lori, treler dan kontena. Jabatan Kastam Diraja telah mula menggunakan mesin pengimbas kargo ini sejak tahun 2001 dan sehingga April 2015, terdapat 16 unit mesin pengimbas yang beroperasi. Jabatan Kastam kini dalam usaha berterusan memperbaiki dan mengganti mesin pengimbas lama yang sering rosak serta menambah bilangan dan lokasi pemasangan mesin di pelabuhan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di seluruh negara. Bagi tahun 2015, Jabatan Kastam sedang memasang dua unit mesin baru di Pasir Gudang dan CIQ Tanjung Kupang dan akan memasang dua unit lagi di Pelabuhan North Butterworth Container Terminal dan juga CIQ Tanjung Kupang. Jabatan Kastam juga dijangka mempunyai lapan unit mesin baru dan akan memutuskan lokasi pemasangan apabila mesin-mesin tersebut diterima. Dalam masa yang sama, dengan adanya pelbagai agensi di kawasan sempadan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan agensi keselamatan yang lain, kerajaan percaya bahawa agensi-agensi ini mampu untuk membanteras jenayah di pintu-pintu masuk sempadan. Dato’ Wira Mohd. Johari bin Baharum [Kubang Pasu]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang telah memberi jawapan yang panjang lebar berhubung dengan soalan yang saya tanya. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Menteri, kita sedar bahawa masalah keselamatan merupakan masalah yang penting bagi sesebuah negara. Kita tengok dalam masa dua hari ini kita berbahas mengenai untuk memperkenalkan akta-akta demi menjaga keselamatan negara. Namun DR 9.4.2015 3 demikian, kita juga mesti mengambil beberapa langkah yang lain seperti memperkemaskan, memperketatkan keluar masuk di pintu-pintu masuk di sempadan terutama di utara Malaysia. Saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Menteri berhubung dengan masalah pagar yang kita dapati bahawa banyak pagar itu telah rosak dan kita mempunyai lorong-lorong tikus di mana dibolosi oleh penyeludup dan juga oleh PATI yang banyak masuk ke negara kita ini. Apakah usaha-usaha yang akan dijalankan oleh Kerajaan? Adakah kita akan tunggu sampai kita mendapat persetujuan daripada pihak Thailand untuk kita mengatasi masalah-masalah lorong-lorong tikus ini? Ini kerana pandangan saya ialah supaya kita membina atau memperkemaskan di tempat- tempat yang kritikal iaitu membina tembok di tempat yang kritikal untuk menghalang kegiatan yang tidak diingini ini. ■1010 Selain daripada itu juga Yang Berhormat, saya difahamkan dan saya biasa melawat ketika saya menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri itu ialah berkenaan CCTV. Kita mempunyai CCTV di Padang Besar yang diawasi oleh MKN. Namun demikian, saya tengok bahawa CCTV itu tidak berkesan. Sepatutnya, CCTV ini diupgrade dan diperkemas dan dibuat sepanjang jalan keselamatan di persempadanan itu. Satu lagi adalah berkenaan dengan elektrik. Kita dapati bahawa tiang-tiang elektrik telah dibina dan sambungan wayar telah dibuat, saya ingat sudah hampir 10 tahun yang lalu. Namun demikian hari ini, kita tidak dapat menyalurkan elektrik untuk kita beri keselesaan kepada pihak penguatkuasaan. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat. Dato’ Wira Mohd. Johari bin Baharum [Kubang Pasu]: Jadi, saya minta supaya kedua-dua perkara ini dititikberatkan supaya kita dapat mengawal keselamatan di sempadan dengan lebih baik lagi. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Sila Yang Berhormat Menteri. Dato’ Seri Shahidan bin Kassim: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ada empat soalan. Pertama, mengenai lorong tikus dan juga kemas kawasan tembok. Jadi, sementara kita menunggu cadangan pengurusan bersama dengan pihak Thailand, kita ada Unit Penyelenggaraan yang potong rumput, dan pada masa yang sama mereka menyirat kembali lorong tikus ini. Memang kita ada cadangan iaitu untuk membina tembok dari Perlis, Padang Besar sehingga ke Bukit Kayu Hitam. Cadangan ini telah pun lama tetapi sudah pasti oleh sebab Yang Berhormat telah bangkitkan di Parlimen, ini akan mempercepatkan cadangan ini terutama selepas pembentangan rancangan Malaysia nanti. Jadi yang itu lorong tikus ini kita akan pastikan ia dijaga walaupun nampaknya ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa lorong tikus ini boleh bertambah kerana pagar semakin mereput. Ini kerana dari Padang Besar ke Bukit Kayu Hitam menggunakan pagar sementara Bukit Kayu Hitam sehingga ke Lubuk Sireh menggunakan tembok. Dalam dunia ini cuma ada dua buah tembok besar iaitu Tembok Besar Negara China dan juga tembok besar di Negeri Perlis. Inilah yang ada sekarang. Sudah pasti kalau rancangan untuk membina DR 9.4.2015 4 tembok ini dapat diteruskan, ia adalah satu yang cukup baik. Walau bagaimanapun, kita tidak akan bertolak ansur dengan keselamatan, lorong tikus ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa. CCTV Yang Berhormat, CCTV ini kita ada 31 semuanya sepanjang di antara Bukit Kencana. Bukit Kencana ini- nama yang kita bagilah. Akan tetapi dulu orang panggil bukit- sebab di situ ada tokong Cina, tokong Cina ini di sebelah Malaysia tetapi Thailand punya. Jadi oleh sebab itu dinamakan semula sebelah Malaysia ini sebagai Bukit Kencana sehingga ke Chuping, ada sepanjang 5.3 kilometer. Yang di sempadan ini, MKN yang uruskan, sementara dalam kompleks, diuruskan oleh KDN. CCTV ini daripada 31, yang boleh beroperasi cuma 20. Yang lain rosak dan sedang diperbaiki. Kemudian, sama ada ia ada mendatangkan kesan ataupun tidak, ia mendatangkan kesan. Kita bukan saja boleh mengesan penyeludupan tetapi kita boleh nampak agensi kita yang bekerja juga. Kalau ada apa-apa pergerakan kita boleh nampak walaupun