Lakonan Ajay Devgan Dan Kareena Kapoor Pada 27 Julai Ini Di TV2
Ruj : RTM(BPR)/SM/JLD.1 (186) Filem “Singham Returns” Lakonan Ajay Devgan dan Kareena Kapoor pada 27 Julai Ini di TV2 KUALA LUMPUR, 21 Julai 2016 – Watak utama Bajirao Singham kembali semula Mumbai sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis. Konflik bermula apabila Singham cuba menjejaki kuasa-kuasa gelap yang terlibat dalam kes rasuah melibatkan nama-nama besar dalam sistem politik di India. Dalam menangani isu ini, Singham terpaksa menempuhi pelbagai halangan dan dugaan demi menegakkan keadilan dan amanah yang dipikul. Ternyata jalan cerita dan lakonan yang diberikan oleh aktor Ajay Devgan sebagai DCP Bajirao Singham, Ketua Polis Kanan di Mumbai dalam filem kepolisian arahan Rohit Shetty bertajuk “Singham Returns” begitu menyerlah. Berbeza dengan imej polis-polis India dalam filem Hindustan sebelum ini, kali ini gambaran imej polis dibersihkan menerusi watak Singham yang berusaha membanteras masalah disiplin, rasuah, gangster dan sebagainya. Singham bangkit membanteras sistem politik dan perundangan di India yang digambarkan penuh dengan gejala rasuah, kuku besi, wang gelap dan hak kaum wanita diketepikan. Bergandingan dengan heroin Kareena Kapoor selain dibantu pelakon Dayanand Shetty, dan Anupam Kher, filem “Singham Returns” bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 27 Julai ini, pukul 10.00 malam di TV2. Bajirao Singham (Ajay Devgan) dipindahkan ke Mumbai dan mendapati bahawa salah seorang ahli pasukannya (Mahesh) ditemui mati dengan beg besar wang. Bajirao memutuskan untuk membongkar kebenaran tersembunyi. Dia bertembung dengan Satyaraj Chandar turut dikenali sebagai Babaji (Amole Gupte) yang mempunyai hubungan berprofil tinggi dengan ahli politik. Dalam tempoh tersebut, Guruji (Anupam Kher), dibunuh oleh Babaji, walaupun Singham hadir di tempat kejadian. Dia berjanji membalas dendam.
[Show full text]