KENYATAAN MEDIA

Untuk Siaran Segera

AMALAN TERBAIK SOP MAMPU MENGHALANG PENULARAN COVID-19 DI TAPAK PEMBINAAN

Amalan terbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) mampu menghalang penularan wabak COVID-19 di tapak pembinaan dan akan membolehkan projek-projek pembinaan dapat diteruskan bagi memangkin pembangunan ekonomi negara.

Ini penting memandangkan sumbangan besar sektor pembinaan yang mencatatkan purata nilai projek sebanyak RM140 billion setahun. Ia juga mempunyai nilai gandaan (multiplier effect) sebanyak 2 kali ganda. Ini bermakna, setiap pelaburan RM1 di dalam sektor pembinaan akan membuahkan nilai RM2 atau lebih di dalam 120 aktiviti ekonomi yang berkaitan.

Justeru, penggiat industri pembinaan mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan semua SOP berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelak penularan jangkitan COVID-19 di tapak pembinaan serta kawasan persekitarannya.

Lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Bercampur TwentyFive Seven di Kota Kemuning pada 3 Jun 2020, menunjukkan pemaju projek, serta kontraktor mempunyai keupayaan untuk mematuhi SOP, dan melaksanakan projek secara norma baru. Antara inisiatif yang diambil adalah membangunkan aplikasi khas bagi merekodkan kehadiran serta status kesihatan pekerja dan mengesan pergerakan pekerja supaya tidak melepasi kawasan projek semasa waktu bekerja. Selain itu, kontraktor tersebut juga mengasingkan tempat rehat bagi pekerja mengikut bidang di aras berlainan di tapak pembinaan untuk memastikan penjarakan sosial pada waktu rehat.

1

Antara SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap projek pembinaan termasuk, memastikan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas dari jangkitan sebelum boleh mula bekerja. Pematuhan SOP ini dilihat berjaya mengesan kes-kes positif antara pekerja binaan, sebelum mereka mula bekerja. Ini telah membolehkan mereka serta kontak rapat dikuarantin dan mengelakkan penularan wabak berkenaan.

Semua pekerja terbabit perlu diperiksa dan direkodkan suhu mereka sebelum masuk ke tapak pembinaan setiap hari, dan apa juga gejala yang dikesan menerusi saringan harian yang dibuat perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan berdekatan untuk tindakan lanjut.

Kementerian Kerja Raya menyeru semua kontraktor agar mematuhi contoh amalan terbaik pematuhan SOP supaya lebih banyak projek pembinaan dapat mula beroperasi sepenuhnya dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Dari 20 April sehingga 2 Jun 2020, Lembaga Industri Pembinaan (CIDB) telah memeriksa sebanyak 6,363 tapak pembinaan seluruh negara. Dari jumlah tersebut, sebanyak 1,398 (22%) telah mula beroperasi, manakala 4,965 (78%) belum beroperasi. Dari sejumlah 1,398 tapak yang telah beroperasi, sebanyak 1,118 (80%) didapati mematuhi SOP, sementara 272 (19%) didapati tidak patuh dan diberi amaran, dan 8 (1%) tapak pembinaan telah diarah tutup.

Senarai projek yang diarahkan tutup oleh CIDB adalah seperti berikut: 1. Jalan Damai, Kampung Dato Keramat, . 2. Mukim Batu, Kuala Lumpur (Sentul). 3. Taman Pknk Jalan Tun Razak Bandar Alor Setar, Kedah. 4. Bandar Alor Setar, Daerah Kota Setar Kedah. 5. Mukim Kuah, Langkawi, Kedah. 6. Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah. 7. Genting Permai Mukim Bentong Daerah Bentong, Pahang. 8. Jengka, Maran, Pahang.

2

Antara ketidak-patuhan SOP di projek pembinaan yang diarah tutup: 1. Tidak menjalankan ujian saringan COVID 19. 2. Tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN. 3. 90% kepatuhan SOP tidak dipraktikkan. 4. Tiada pasukan COVID 19 yang bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP. 5. Kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB.

Kawasan Tapak Pembinaan Yang di Tutup Sehingga 1 Jun 2020 (Oleh Jabatan Kesihatan, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia – KKM): 1. Kampung Datuk Keramat, , Kuala Lumpur (31 Kes Positif). 2. Seksyen 68, Jalan Ampang, Kuala Lumpur 2 (61 Kes Positif). 3. Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam, (13 Kes Positif).

Kesemua tapak tersebut melibatkan kes positif COVID-19 yang dikesan menular di penempatan pekerja, semasa ujian makmal yang dilakukan ke atas pekerja, sebelum mereka mula bekerja di tapak pembinaan.

Hadir sama dalam lawatan pada hari ini adalah, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan; Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid; Timbalan Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia, Datuk Ir. Elias Ismail; Pengarah Urusan, Gamuda Engineering, Dato’ Ubull Din Om; Pengarah Kumpulan Eksekutif, Gamuda Berhad, Dato’ Haji Azmi Bin Mat Nor dan Pengarah Eksekutif, Gamuda Land, Dato’ Haji Abdul Sahak Bin Safi.

DATO’ SRI HAJI FADILLAH HAJI YUSOF MENTERI KANAN INFRASTRUKTUR – MENTERI KERJA RAYA MALAYSIA (4 JUN 2020)

Dikeluarkan oleh: Unit Komunikasi Korporat | Kementerian Kerja Raya Malaysia : 03- 8000 8000 / D.L :03-2771 4616 / 4627 | : 03-2711 1101 Laman Web : www.kkr.gov.my | Kementerian Kerja Raya | @MOWorks | [email protected]

3