SIARAN MEDIA 21 Ogos 2021

KM minta kerajaan Persekutuan naik taraf Hospital Tuaran

TUARAN:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar.

Beliau berkata kedudukan Hospital Tuaran di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur , amat sesuai untuk dinaiktaraf sebagai hospital pakar.

“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi. Justeru, usaha menaiktaraf ke hospital pakar amat penting.

“Ini juga adalah permintaan tinggi daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.

“Terutama ketika pandemik COVID-19 ini, usaha menaiktaraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini pada Sabtu.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.

Dengan menaiktaraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan) kerana belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang ini dan juga menjadi surgical base.

Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit

“Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan,” katanya.

Mengenai jumlah vaksin, Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan menerima

Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Aras 31, Blok A, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Jalan UMS, Teluk Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah.

sebanyak 560,720 dos vaksin termasuk CanSino selain Pfizer dan Sinovac, pada minggu depan.

“Ini akan merancakkan lagi momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan pedalaman.

“Jika semuanya berjalan lancar, Sabah boleh mencapai 60 peratus rakyatnya menerima vaksinasi pada atau sebelum 15 September ini sekali gus membolehkan kita beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Amat menggembirakan apabila beberapa hari lalu juga, kita telah mencapai angka tertinggi vaksinasi harian melebihi 60,000 dos. Jika keadaan seperti ini berterusan, kita boleh mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya pada bulan Oktober atau November,” katanya sambil menambah jika melihat kepada pengurusan vaksinasi yang teratur ini, Sabah akan mencapai sasaran ini 60 peratus awal.

Sebelum ini kerajaan negeri menyasarkan 60 peratus penduduk negeri ini mendapat vaksin menjelang bulan Oktober.

Setakat ini, jumlah keseluruhan penerima dos 1 adalah seramai 1,428,122.

Terdahulu dalam lawatan kerja sehari ke Tuaran, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut melakukan lawatan ke Hospital Tuaran dan menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah ( ACEM) dan Syarikat Forever Living, untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo.

Hajiji juga turut melawat pusat ternakan udang galah di Kampung Shabandar, di sini.

Tamat

“SABAH MAJU JAYA”