Acara Sempena Hari Keputeraan Sultan Bernama January 11, 2012

ALOR SETAR, 11 Jan (Bernama) -- Sebanyak 21 acara akan diadakan di negeri ini sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-84 Ahad ini.

Sambutan bermula Sabtu ini dengan bacaan Yasin, doa dan jamuan kesyukuran di Masjid Zahir pada sebelah malam yang akan dihadiri oleh empat anggota jemaah pemangku Sultan Kedah diketuai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Datuk Seri Sultan Badlishah.

Tiga lagi anggota jemaah iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim akan turut hadir.

Berangkat ke majlis itu adalah Raja Muda Kedah, dan Raja Puan Muda diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri Mohamad Rizal Mohamad Razi memberitahu pada Rabu, pada keesokannya akan berlangsung Istiadat Perbarisan Kehormatan di Dataran Balai Besar Alor Setar.

Katanya, istiadat itu disempurnakan oleh Tunku Annuar yang akan menerima kawalan kehormatan diraja oleh pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta tembakan meriam 21 das akan dilepaskan.

Tunku Annuar yang mewakili Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kemudian akan menganugerahkan darjah serta bintang kebesaran negeri di Balai Penghadapan, Istana dekat sini.

Pada sebelah petang hari Ahad, Tunku Annuar bersama tiga lagi jemaah pemangku sultan akan berangkat ke majlis jamuan teh di perkarangan Istana Anak Bukit yang bermula pada pukul 4 petang.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun berkenan berangkat pada Majlis Jamuan negeri pada Isnin, 16 Jan, bermula pukul 8 malam.

Majlis di Dewan Santapan Istana Anak Bukit dekat sini akan turut dihadiri keempat-empat anggota jemaah pemangku sultan serta Menteri Besar Kedah.

Acara lain termasuklah merasmikan masjid yang akan disempurnakan oleh Tunku Annuar, majlis jamuan rakyat, jamuan Persatuan Jaksa Pendamai, temasya sukan sungai, jamuan Jemaah Datuk-Datuk dan pertandingan golf keputeraan.

---BERNAMA Copyright © 2012 BERNAMA Source: http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=639338