Dewan Rakyat Parlimen Ketiga Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Pertama
Total Page:16
File Type:pdf, Size:1020Kb
Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT PERTAMA Bil. 13 Isnin 30 Mac 2015 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG DI BAWA KE DALAM MESYUARAT (Halaman 24) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2015 (Halaman 35) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 27) Anggaran Pembangunan Tambahan (Bil.1) 2014 (Halaman 38) DR.30.3.2015 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT PERTAMA Isnin, 30 Mac 2015 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah kerajaan sudah mempunyai pelan tindakan yang komprehensif untuk menangani kejatuhan nilai ringgit sekiranya ekonomi negara dan dunia terus merudum. Timbalan Menteri Kewangan [Datuk Chua Tee Yong]: Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat Kalabakan pada hari ini bersama-sama dengan sembilan lagi soalan kerana kesemua soalan tersebut menyentuh perkara dan isu yang sama iaitu mengenai prestasi, punca dan kesan kejatuhan nilai ringgit serta langkah-langkah kerajaan dalam menangani isu tersebut. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Berapa orang Yang Berhormat? Datuk Chua Tee Yong: Sembilan orang Ahli Yang Berhormat. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Serahkan nota kepada Setiausaha nanti. Minta disebutkan nama Ahli-ahli Yang Berhormat. Datuk Chua Tee Yong: Ahli-ahli Yang Berhormat lain yang telah membangkitkan soalan tersebut adalah Yang Berhormat Pulai pada 31 Mac, Yang Berhormat Pasir Mas pada 1 April, Yang Berhormat Langkawi pada 2 April, Yang Berhormat Alor Gajah pada 6 April serta Yang Berhormat Kuala Kedah, Yang Berhormat Rantau Panjang, Yang Berhormat Parit Buntar, Yang Berhormat Pendang dan Yang Berhormat Indera Mahkota pada 9 April 2015. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat. Datuk Chua Tee Yong: Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, penyusutan kadar pertukaran nilai ringgit yang berlaku baru-baru ini bukanlah satu kes yang terpencil dan ia didorong terutamanya oleh faktor luaran. Mata wang serantau yang lain turut mengalami penyusutan nilai antara 1.1% hingga 9.8% berbanding Dolar Amerika Syarikat sejak bulan September 2014 hingga 24 Mac 2015. Pengukuhan Dolar Amerika Syarikat adalah disebabkan oleh prospek ekonomi Amerika Syarikat yang semakin baik dan kemungkinan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat yang menarik minat pelabur terhadap aset dalam nilai Dolar Amerika DR.30.3.2015 2 Syarikat. Selain itu, negara-negara pengeksport komoditi termasuk Malaysia turut mengalami kesan, ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia. Tuan Yang di-Pertua, seperti sistem kadar pertukaran yang lain, apabila nilai ringgit menyusut sebahagian sektor ekonomi akan menerima manfaat manakala terdapat juga sebahagian sektor ekonomi yang akan terjejas. Pengeksport akan menerima manfaat daripada segi hasil eksport yang lebih tinggi daripada nilai ringgit atau peningkatan dalam permintaan bagi barangan buatan Malaysia. Secara khususnya, penyusutan nilai ringgit akan memberi manfaat kepada eksport perkilangan Malaysia yang menyumbang sebanyak 2/3 daripada jumlah eksport kasar. Kejatuhan nilai ringgit juga akan memberi manfaat kepada industri pelancongan di mana ia memberi impak positif kepada akaun semasa dalam imbangan pembayaran negara. Namun begitu, penyusutan nilai ringgit akan menyebabkan kenaikan kos import. Ini akan menyebabkan kesan langsung terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi kerana harga barangan yang diimport secara terus dari luar negara akan menjadi lebih mahal. Walau bagaimanapun, kesan terhadap kadar inflasi adalah kecil memandangkan barangan import tidak termasuk petrol dan diesel, mencakupi 7.2% daripada bakul IHP. Penyusutan nilai ringgit juga akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan harga bahan mentah yang diimport. Walau bagaimanapun, kesan ini akan diserap oleh harga bahan mentah yang lebih rendah susulan kejatuhan harga minyak global dan harga komoditi. Harga minyak mentah global telah turun sebanyak 47% sementara harga makanan dunia telah turun sebanyak 12% sejak September 2014. Oleh yang demikian, kesan terhadap kos bagi pengeluar adalah terkawal. Ini ditunjukkan oleh Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dengan izin, Producer Price Index telah menurun sebanyak 3.5% antara September 2015 dan bulan Januari 2015. Ekonomi negara masih berada pada tahap yang kukuh dengan mencatat pertumbuhan yang mampan sebanyak 6% pada tahun 2014 berbanding dengan 4.7% pada tahun 2013. Pertumbuhan ekonomi yang baik ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang diambil untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta meningkatkan daya tahan dan daya saing negara. Pertumbuhan ekonomi ini dipacu oleh permintaan domestik dan asas-asas ekonomi kekal kukuh seperti kadar pengangguran yang rendah, sistem kewangan yang teguh dan reserve antarabangsa yang tinggi iaitu sebanyak USD109.2 bilion pada 13 Mac 2015. Terima kasih. ■1010 Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Tuan Yang di- Pertua, kita dapat jawapan yang begitu penuh sekali tetapi kita tidak nampak tanda-tanda yang kita boleh menstabilkan wang ringgit kita daripada jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jadi dalam keadaan tidak menentu daripada jawapan itu, dalam keadaan worst scenario dengan izin, adakah kerajaan bersedia untuk mengambil langkah-langkah critical control atau hedging dan menambat nilai ringgit seperti yang pernah dibuat pada zaman-zaman yang lalu. Terima kasih. DR.30.3.2015 3 Datuk Chua Tee Yong: Terima kasih atas soalan tambahan. Sebenarnya kerajaan berterusan untuk mengukuhkan boleh dikatakan ekonomi negara kita. Maka semenjak 2009, kita melihat nombor satu daripada segi komposisi pendapatan negara kita dari minyak dulu adalah sebanyak 40%. Sekarang telah menurun hingga 30%. Kita juga telah melihat defisit negara kita telah menurun semenjak 2009 sebanyak 6.7% telah menurun hingga 3.2% dan memang terdapat pelbagai pertanyaan terutamanya sama ada kerajaan bercadang untuk menambat mata wang ringgit seperti yang pernah dilakukan pada tahun 1997. Sebenarnya pada tahun 1997 untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat, rizab antarabangsa kita adalah hanya RM60 bilion tetapi rizab kita telah meningkat sehingga RM386 bilion. Berhubung dengan ini, kerajaan tidak bercadang untuk kembalikan, melaksanakan dasar yang sama seperti krisis kewangan Asia pada tahun 1997, 1998 memandangkan keadaan Malaysia pada ketika ini adalah amat berbeza jika berbanding dengan sekarang. Keadaan semasa adalah didorong oleh perkembangan global seperti mana yang juga dialami oleh negara- negara serantau. Yang penting aktiviti ekonomi dan kewangan negara masih tidak terjejas. Langkah-langkah yang ekstrem seperti tambatan nilai ringgit hanya untuk situasi yang ekstrem. Yang pasti kita tidak berada dalam situasi sebegitu, seperti mana-mana sistem kadar pertukaran yang fleksibel, turun naik jangka masa pendek adalah sesuatu yang mungkin berlaku terutamanya dalam persekitaran global yang tidak menentu. Objektif dasar kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia adalah untuk memastikan keadaan yang teratur dan tidak volatile dalam pasaran pertukaran asing ringgit dan mengelak turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran. Untuk memastikan ringgit tidak terdedah kepada serangan spekulasi, Bank Negara Malaysia melakukan pemantauan harian terhadap pasaran mata wang bagi memastikan pergerakan pasaran mata wang adalah teratur. Antara lain Bank Negara juga mempunyai peruntukan undang-undang yang berkaitan untuk menghalang aktiviti spekulasi terhadap ringgit di Malaysia dan di luar pesisir. Terima kasih. Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah [Jasin]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebagai sebuah negara ataupun ekonomi yang terbuka, sebenarnya pergerakan perdagangan dan juga pelaburan cukup tinggi di Malaysia. Jadi walaupun Yang Berhormat Timbalan Menteri ada sebut tadi hanya penurunan sebanyak 1% ke 10% tetapi kalau kita dapat lihat penurunan atau penyusutan ringgit kita sebanyak 20% pada ketika ini daripada RM3.10 pada hari ini didagangkan sebanyak RM3.72 sen. Jadi apa soalan saya, adakah Bank Negara mempunyai satu mekanisme Safety Net dan juga senjata yang cukup untuk melakukan market intervention secara berkesan. Sekiranya kita lihat ada apa juga pergerakan-pergerakan yang cukup ketara. Adakah cadangan untuk kita buy back. Seterusnya, adakah Bank Negara juga mempunyai market intervention apparatus dengan izin, yang reliable bagi kita memberikan maklumat secara cepat ataupun awal bagi membantu Bank Negara dalam mengekang apa juga usaha-usaha spekulasi mata wang yang pada ketika ini telah diumumkan. Terima kasih. DR.30.3.2015 4 Datuk Chua Tee Yong: Terima kasih atas soalan tambahan. Sebenarnya kalau kita melihat terutamanya dari segi penyusutan nilai, sebenarnya dari 1 September hingga 27 Mac 2015, ringgit telah menyusut nilai sebanyak 13.9% tetapi kalau kita melihat untuk Australian Dollar, dia adalah sebanyak 16.5%, untuk Euro adalah sebanyak 17.4% dan dari segi Yen adalah sebanyak 13%, dari segi Indonesian Rupiah adalah sebanyak 10.3%. Ini menunjukkan bahawa keadaan atau fenomena ini bukan sahaja dialami oleh negara Malaysia. Kalau dia khusus untuk negara Malaysia maka tentu akan menjadi