Kajian Malaysia, Vol. 32, Supp. 2, 2014, 55–88 ALIRAN MENGUNDI KAUM INDIA DALAM PILIHAN RAYA UMUM 2013: SUATU ANALISIS INDIAN VOTE FLOW IN GENERAL ELECTION 2013: AN ANALYSIS Suresh Kumar N Vellymalay School of Distance Education, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM Pulau Pinang, Malaysia Email:
[email protected] Artikel ini membincangkan aliran mengundi dan perpecahan undi kaum India kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Aliran mengundi kaum India dipengaruhi oleh lokasi sosial kaum India, struktur kelas dan pertambahan pengundi baharu. Di kawasan-kawasan yang mempunyai 10% atau lebih pengundi India bagi kerusi Parlimen, kemenangan lebih berpihak kepada PR berbanding BN. Hal ini bermakna ramai pengundi India telah mengundi untuk calon PR berbanding BN. Terdapat pelbagai faktor lain yang menentukan perpecahan undi kaum India dalam PRU13. Artikel ini menerangkan beberapa faktor yang telah mendorong kaum India untuk mengundi PR; antaranya adalah peminggiran kaum India dalam pembangunan negara, implikasi perjuangan Hindu Rights Action Force (HINDRAF), isu Zulkifli Noordin, kekurangan perwakilan bagi kaum India dalam kerajaan, strategi Malaysian Indian Congress (MIC) dalam kempen pilihan raya, perjuangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), peranan media sosial dan keyakinan rakyat pada PR. Walau bagaimanapun, sokongan kaum India kepada BN dalam pilihan raya ini telah meningkat berbanding PRU12. Bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada kaum India melalui Program Transformasi Nasional meningkatkan keyakinan golongan ini terhadap kerajaan BN. Faktor-faktor seperti usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah dokumentasi kaum India, perpecahan dalam kalangan pemimpin-pemimpin HINDRAF dan saranan Parti Islam Se- Malaysia (PAS) untuk mengamalkan hukum hudud jika PR menang turut meningkatkan sokongan kaum India kepada BN.