SIARAN MEDIA UNTUK SIARAN SEGERA

PEMANGKIN PEMULIHAN SOSIOEKONOMI : TUMPUAN SEMULA KEPADA PEMBANGUNAN TOK BALI

Projek Laman Warisan Kampung Laut Fasa 1 Siap dan Pelajar empower ECER Lakar Keputusan SPM Cemerlang Walaupun Berdepan Pandemik

KOTA BHARU, 12 JULAI 2021: Pembangunan di Tok Bali akan dipergiatkan dengan pelaksanaan dan penambahbaikan infrastruktur bagi meningkatkan keupayaannya menjadi pusat pertumbuhan perdagangan serantau. Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Kelantan akan menumpukan usaha kepada pembangunan di Tok Bali bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini.

Usaha ini termasuk pelaksanaan pelan transformasi yang bakal menyaksikan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur bagi menyokong kegiatan hiliran. Ini akan menggalakkan penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan di dalam pengeluaran produk berasaskan ikan yang bernilai tinggi.

Di dalam perancangan adalah pelan bagi mewujudkan sebuah pelabuhan komersial di Tok Bali yang akan membuka sektor ekonomi baharu dan merancakkan ekonomi sempadan di Kelantan. Di samping itu, PLANMalaysia juga akan mempercepatkan kajian mengenai impak pembangunan ekonomi di Tok Bali kepada pembangunan ekonomi di sempadan negeri ini.

Pembangunan di Tok Bali menjadi tumpuan utama pada mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) ke-2 untuk tahun ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Hj Ahmad Bin Yakob yang turut memuji ECERDC atas penyiapan Projek Pembangunan Semula Kampung Laut Fasa 1 seperti yang dijadualkan walaupun menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik.

PENYIAPAN LAMAN WARISAN SERUNDING KAMPUNG LAUT

Projek Pembangunan Semula Kampung Laut Fasa 1, yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding Kampung Laut akan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) pada bulan September tahun ini. Kompleks ini dijangka beroperasi pada Oktober 2021 dengan 11 usahawan serunding tempatan, di mana produk mereka cukup sinonim dengan sejarah Kampung Laut.

“Pembangunan Kampung Laut bakal menjadikan lokasi ini sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘wajib dikunjungi’ di Kelantan. Kompleks ini, yang menyediakan ruang niaga bagi peniaga serunding tempatan akan meningkatkan aktiviti pelancongan di Kampung Laut dan sekaligus memberikan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan. Dengan siapnya Laman Warisan Kampung Laut, serunding Kampung Laut yang terkenal kini mempunyai alamat yang tersendiri,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat ICC Kelantan, yang dijalankan secara maya.

Sementara itu, Fasa 2 projek pembangunan semula Kampung Laut yang merangkumi Laman Warisan Seni Kampung Laut dijangka siap pada awal tahun depan. Kompleks ini akan meraikan seni dan budaya tempatan Kelantan dan menyediakan ruang bagi para pengusaha tempatan untuk memaparkan karya mereka. Pembangunan sebegini juga akan membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi di kawasan-kawasan sekitar.

Di samping itu, Fasa 2 juga akan menyaksikan penyiapan projek penempatan semula dan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun. ECERDC dan Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil inisiatif untuk mengembalikan masjid tersebut ke tapak asalnya dalam usaha mengekalkan ciri-ciri seni bina, sejarah, budaya dan sosial yang terdapat di tapak asal masjid tersebut di Kampung Laut.

PELABURAN DALAM NEGERI

Walaupun penutupan sempadan akibat pandemik telah memberi kesan terhadap usaha- usaha menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI), Kelantan telah berjaya menarik Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang agak tinggi, dan ini telah memberi kesan positif terhadap pemulihan sosioekonomi negeri.

Pada tahun 2021, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM600 juta yang berpotensi untuk mewujudkan 1,836 pekerjaan baharu dan 660 peluang keusahawanan baharu di Kelantan. Pelaburan terbesar di Kelantan pada tahun ini ialah loji solar terapung terbesar di Asia Tenggara, yang terletak di Danau Tok Uban, Kelantan.

"Kelantan telah menarik DDI sewaktu pandemik dan ini menunjukkan keyakinan syarikat- syarikat tempatan terhadap daya saing negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan. ECERDC akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan,” kata Encik Baidzawi.

KISAH KEJAYAAN DARIPADA PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN

ECERDC terus melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan modal insan bagi membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka melalui program empower ECER selain menyediakan latihan kemahiran kepada kumpulan B40 untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka serta memastikan kesinambungan perniagaan melalui program entrepreneur ECER.

Di dalam peperiksaan SPM baru-baru ini, pelajar-pelajar daripada program empower ECER di Kelantan telah mencatatkan kadar lulus 96%, lebih tinggi daripada purata kebangsaan iaitu 89%. Peratusan pelajar yang memperoleh 5A ke atas juga meningkat kepada 9% berbanding 1% semasa 2019. Seramai 1,997 pelajar SPM telah mengambil bahagian dalam program empower ECER pada tahun 2020.

Muhammad Adham Bin Ibrahim, seorang anak peneroka dari SMK Bandar Chiku 2, Gua Musang yang mendapat keputusan 1A, 4B, 2C, 2D sebelum mengikuti program berkata, beliau tidak pernah terlintas yang beliau akan mendapat 8A dalam SPM 2020. Oleh itu, beliau amat berterima kasih atas bimbingan yang diterima di dalam program empower ECER.

Seorang lagi pelajar, Norhazrina binti Husaini, anak seorang penoreh getah dari SMK Kuala Balah, Jeli, yang mendapat 5B, 3C, 1G sebelum mengikuti program empower ECER, berjaya meraih keputusan 7A. Beliau berkata, kejayaannya adalah kerana program empower ECER dan usaha para fasilitator program yang penuh dedikasi dalam mengadakan kelas secara maya sewaktu tempoh sekatan pergerakan.

ECERDC kini berusaha untuk memastikan penempatan para pelajar ke institusi pengajian tinggi atau institusi kemahiran, bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna demi masa depan yang lebih cerah.

Di samping itu, sejak penularan pandemik, ECERDC, melalui program empower ECER dan entrepreneur ECER juga telah membantu para peserta memperoleh kemahiran baharu dan menolong para usahawan untuk terus bertahan dalam realiti baharu dengan menyediakan latihan untuk membolehkan mereka beralih ke platform e-dagang bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Bagi membantu usahawan mengekalkan dan memperkukuhkan perniagaan mereka, dana berjumlah RM8.2 juta daripada Agrobank dan Maybank telah disalurkan kepada 558 usahawan sehingga Jun tahun ini melalui program entrepreneur ECER.

PELAKSANAAN PROGRAM PERINTIS empower ECER-ACES

Program perintis empower ECER-ACES melibatkan 3,557 pelajar di seluruh ECER telah dimulakan baru-baru ini untuk mewujudkan kesedaran tentang Industri 4.0 (I4.0) dalam kalangan pelajar dan melengkapkan modal insan di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi permintaan masa hadapan.

Kira-kira 1,275 peserta dan 35 pelatih di 10 lokasi di Kelantan iaitu , Jeli, Bachok, Gua Musang, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat, , dan terlibat dalam program ini, yang mengambil masa selama tiga minggu sehingga akhir Julai 2021.

KESIMPULAN

“ECERDC akan terus memfokuskan kepada projek-projek utama dalam memastikan pembangunan di Tok Bali berjaya dilaksanakan kerana Tok Bali adalah pemangkin untuk lonjakan pertumbuhan ekonomi seterusnya di Kelantan. Di samping itu, penyiapan projek pembangunan semula Kampung Laut Fasa 1 dan Fasa 2 yang bakal disiapkan pada awal tahun depan adalah petanda baik kepada pemulihan sosioekonomi di negeri Kelantan,” kata En Baidzawi.

– TAMAT –

Mengenai ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan dan pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudah cara pelaburan ke Wilayah ini. ECER, yang merangkumi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah di Johor, merupakan sebuah wilayah yang sedang menjalani transformasi yang pesat dan semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi yang distingtif, dinamik dan kompetitif untuk pelaburan.

Dari segi geografi, ia meliputi kawasan seluas lebih dari 66,000 km persegi atau 51% dari Semenanjung Malaysia. Ia mempunyai penduduk kira-kira 4.8 juta orang, atau sekitar 15% dari jumlah keseluruhan penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kluster ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan yang berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: Tengku Mazlinda Tengku Mahmood Pengurus, Perhubungan Media Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Tel: 010-408 1085 e-mel: [email protected]