KAWASAN TANAMAN HARAM RAUB AKAN DIAMBIL ALIH KERAJAAN NEGERI MULAI 24 OGOS INI

KUANTAN, 10 OGOS 2020 : Kerajaan Negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang akan mengambil alih semua kawasan tanaman haram di Raub mulai 24 Ogos ini.

Menerusi kenyataan media Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Kerajaan Negeri telah memberi kebenaran kepada syarikat usahasama Kerajaan Negeri sahaja.

“Kerajaan Negeri telah memberikan kebenaran memasuki dan menduduki tanah- tanah kerajaan dan hutan simpan di sekitar Kampung dan Sungai Chalit, Raub kepada syarikat usahasama Kerajaan Negeri sahaja.

“Mulai pada 24 Ogos 2020, semua kawasan tanaman dan lain-lain tanaman secara haram di sekitar kampung-kampung tersebut akan diambil alih oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang,” katanya.

Kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa pos kawalan akan dibina selepas tarikh tersebut bagi menghalang orang yang tidak berkaitan daripada memasuki kawasan berkenaan.

“Penguatkuasa boleh sama ada mendakwa sesiapa yang tiada kebenaran masuk untuk memasuki kawasan tersebut atau memusnahkan kawasan yang difikirkan perlu.

“Kerajaan Negeri memandang serius isu penerokaan dan penanaman durian di atas tanah kerajaan dan hutan simpan yang masih berleluasa dan berlanjutan hingga sekarang,” katanya.

Kerajaan Negeri juga bertegas dalam menangani isu penanaman durian haram di Raub dan akan memastikan ia ditangani segera kerana terdapat bukti pembukaan tanah haram untuk tanaman durian di dua kawasan ini.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini dan pencerobohan akan diambil tindakan mengikut undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pencerobohan di dalam kawasan hutan simpan, penceroboh boleh didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo