Bil. 22 Selasa 1 Oktober 2013

MALAYSIA

PENYATA RASMI PARLIMEN

PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA

Naskhah belum disemak

DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA

Bil. 22 Selasa 1 Oktober 2013

K A N D U N G A N

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1)

RANG UNDANG-UNDANG DIBAWA KE DALAM MESYUARAT (Halaman 25)

RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2013) 2013 Jawatankuasa:- Jadual:- Maksud B.62 (Halaman 26)

Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (Halaman 42)

USUL-USUL: - Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 25)

- Menangguhkan Mesyuarat Di Bawah P.M. 16(3) (Halaman 166)

UCAPAN-UCAPAN PENANGGUHAN:

■ Kenaikan Caj Perkhidmatan IWK – Y.B Tuan Ng Wei Aik (Tanjong) (Halaman 166)

■ Ancaman Kepada Kebebasan Bersuara Rakyat - Y.B. Tuan N. Surendran a/l Nagarajan (Padang Serai) (Halaman 168)

DR.1.10.2013 1

MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT KEDUA Selasa, 1 Oktober 2013 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat ]

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

1. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:-

(a) bagaimana dengan ada pihak-pihak berkuasa seperti polis trafik, JPJ, SPAD, LPKP dan perkhidmatan online , seorang pemandu yang memiliki 16 saman (belum dijelaskan), dari 3 negeri (, dan Melaka), masih boleh memandu bas pelancong yang mengakibatkan tragedi kemalangan Genting Highlands baru-baru ini ( Star, page 3, 25/08/2013 ); dan (b) berapa ramai lagikah pemandu kenderaan pengangkutan awam yang mempunyai kes tertunggak dengan pihak-pihak berkuasa tetapi masih memandu pengangkutan awam.

Timbalan Menteri Pengangkutan [Datuk Ab. Aziz bin Kaprawi]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh . Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan semakan rekod Polis Diraja Malaysia, pemandu bas henti-henti yang terlibat dengan tragedi kemalangan pada 21 Ogos 2013 di Genting Highlands mendiang Lim Kok Hoe masih mempunyai 16 saman yang belum selesai iaitu 15 saman atas kesalahan melebihi had laju dan satu saman atas kesalahan menghalang lalu lintas. Oleh kerana pendakwaan untuk saman-saman pemandu ini masih belum dilaksanakan di mahkamah maka Jabatan Pengangkutan Jalan tidak dapat menyenaraihitamkan lesen pemandu tersebut. Bagi kesalahan yang dikuatkuasakan oleh JPJ di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, jumlah pemandu kenderaan pengangkutan awam yang memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang mempunyai rekod saman tertunggak sehingga 19 September 2013 adalah sebanyak 72,316 orang. Walau bagaimanapun, JPJ tidak mempunyai rekod berhubung pemandu-pemandu tersebut masih memandu pengangkutan awam. Untuk makluman Yang Berhormat Kalabakan, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha-pengusaha pengangkutan awam untuk memastikan pemandu-pemandu mereka mempunyai rekod bersih dan tidak mempunyai saman-saman DR.1.10.2013 2 tertunggak. Penguatkuasaan secara self-regulatory ini adalah lebih berkesan dalam menambah baik kualiti dan perkhidmatan pengangkutan awam. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Tuan Yang di-Pertua, soalan begitu singkat sekali. Dia tidak memuaskan saya. Beberapa Ahli: Jawapan, jawapan. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Jawapan itu tidak memuaskan saya. Ini kerana, seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri, JPJ, polis tidak boleh mengambil tindakan. Terpulang kepada pemandu-pemandu dan perkhidmatan kenderaan awam. Jadi, kalau begini 72,000 setakat ini tidak ada tindakan yang diambil. Mungkin polis, JPJ dan badan-badan lain ti