05 DEC 2002 SOROTAN-AUTOMOTIF/I PERUBAHAN HAK PENGEDARAN KENDERAAN AKAN BERLAKU TAHUN DEPAN

Oleh: Mohd Faizal Zakariah KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Industri automotif tempatan akan menyaksikan satu perubahan tahun depan, iaitu dalam hak pengedaran kenderaan, khususnya kenderaan bukan nasional. Seorang penganalisis yang menumpu kepada industri automotif berkata kehilangan hak pengedaran borong kereta Mercedes-Benz oleh Cycle & Carriage Bintang (CCB) telah mencetuskan keperihatinan tentang kemungkinan kehilangan hak pengedaran syarikat lain. Kini, hanya pengeluar Toyota, Nissan dan BMW yang belum mengambil alih hak pemasaran dan pengedaran produk mereka, tetapi penganalisis itu berkata BMW dan Nissan dikatakan akan berbuat demikian. BMW dari Jerman telah mengadakan rundingan untuk mengambil alih perniagaan borong kereta BMW di daripada Tractors Malaysia, ahli kumpulan konglomerat . Francais kereta Nissan yang kini dipegang oleh kumpulan Tan Chong juga dikatakan akan terancam. Beliau berkata hak pengedaran kenderaan Toyota oleh UMW mungkin tidak akan menghadapi ancaman. Ini kerana syarikat Toyota dari Jepun telahpun memiliki 49 peratus syarikat pemasang dan pengedar kenderaan Toyota di Malaysia, iaitu UMW Toyota. (EON) yang memasarkan, antara lain, kereta nasional Proton, telah mengumumkan ia akan mengedar kenderaan Audi dan Volkswagen bermula Mac tahun depan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Euromobil. Eurombil telah memeterai perjanjian perniagaan dengan Audi AG dan Volkswagen AG dari Jerman. Kereta Audi dan Volkswagen kini diedar di Malaysia oleh Auto Dunia yang dikaitan dengan pemegang saham utama Tan Chong. EON, syarikat bersekutu DRB-Hicom, kini menguasai 36 peratus pasaran kereta Malaysia yang merupakan pasaran terbesar di Asia Tenggara. Penganalisis itu berkata perubahan hak pengedaran kenderaan di Malaysia bermula apabila Oriental Holdings kehilangan hak eksklusif mengedar kereta Honda pada Julai 2001 kepada konsortium tiga syarikat, DRB-Oriental-Honda (DOH). Oriental sejak itu, telah beralih kepada pasaran kenderaan penumpang Hyundai terurai sepenuhnya (CKD) buatan Korea Selatan. CCB pula telah berjaya mendapatkan hak pengedaran Peugeot daripada kumpulan MBf pada Januari 2002 dan baru-baru ini membawa masuk model 307 model. CCB berhasrat untuk menjual 2,500 unit Peugeot tahun depan. Tentang pasaran kereta bukan nasional yang bertambah baik, penganalisis itu berkata beliau menjangkakan kereta buatan Korea akan mengukuhkan lagi kedudukannya pada tempoh terdekat kerana ia terus memajukan jenama yang lebih mampu dimiliki berbanding model-model Jepun. Tetapi, katanya, kereta Korea Selatan belum memberi impak ketara kepada pasaran kerana kapasiti pengeluarannya yang terhad. Di Malaysia, kereta Korea mendapat tempat dalam segmen antara kereta nasional dan kereta Jepun. Sebagai perbandingan, Kia Spectra buatan Korea dengan kapasiti enjin 1,600 cc, dijual pada harga RM79,000 sebuah atau 25 peratus lebih rendah daripada Honda Civic atau Toyota Corolla, tetapi 30 peratus lebih tinggi daripada Proton Waja (RM60,000) yang mempunyai kapasiti enjin yang sama. Perbezaan harga antara kereta Korea dan kereta nasional dalam pasaran kereta kecil agak rendah dengan Hyundai Atos diletak harga pada paras yang sama dengan Kenari. Selain persaingan harga, kereta Korea juga cuba mengukuhkan kedudukan di rantau ini. Contohnya, Kia yang merupakan usaha sama antara Naza (pengedar tempatan kereta siap bina sepenuhnya (CBU)) dan Kia Motors dari Korea Selatan, menyatakan yang ia akan melabur RM350 juta dalam kilang pembuatan dan pemasangan baru di Kedah. Kilang ini akan beroperasi pada 2004 dengan kapasiti permulaan 20,000 unit sebelum ditingkatkan kepada 60,000 unit dengan 60 peratus daripadanya untuk pasaran eksport. Sebelum itu, mengumumkan penubuhan kilang dengan kapasiti pengeluaran 35,000 unit yang akan memasang Hyundai Atos dengan kapasiti enjin 1,000cc. Hyundai juga mengedar model Elantra dan Sonata menerusi Hyumal, iaitu syarikat usaha sama antara Hyundai dengan Oriental. Sementara itu, jualan kenderaan di Malaysia tahun ini mungkin mencatat pertumbuhan 13 peratus berbanding unjuran awal Persatuan Automotif Malaysia Malaysia (MAA) pada 8.5 peratus. Jualan kenderaan boleh melepasi jualan tahunan tertinggi setakat ini pada 404,000 unit yang dicatat pada 1997 dan mencapai sasaran industri 430,000 unit. Antara Januari dan Oktober tahun ini, jualan telah meningkat 43,872 unit kepada 370,115 unit daripada 327,843 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lepas. Bilangan kereta penumpang yang dijual pada Januari-Oktober 2002 adalah 309,003 unit daripada 270,608 unit pada Januari-Oktober 2001. Jualan kereta penumpang nasional meningkat 2.9 peratus kepada 282,939 unit daripada 250,589 unit. Pada Januari-Oktober 2002, jualan kenderaan bukan nasional meningkat 30.19 peratus kepada 26,064 daripada 20,019 unit pada tempoh yang sama 2001. MAA menyatakan ia meramalkan jualan kereta akan terus meningkat pada November dan Disember kerana promosi perayaan dan kadar faedah yang agak rendah. Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa tidak akan ada perbezaan dalam harga kereta selepas pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) pada 2005 mungkin juga telah membantu merangsang jualan, khususnya di kalangan mereka telah bercadang untuk menangguhkan pembelian kereta. -- BERNAMA MFZ MR SHY JR