Bil. 7 Khamis 15 Mac 2018

M A L A Y S I A

PENYATA RASMI PARLIMEN Parliamentary Debates

KAMAR KHAS Special Chamber

PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEENAM MESYUARAT PERTAMA

KANDUNGAN

UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN [P.M.17]:

o Masalah Bekalan Elektrik di Kampung Bakau dan Kampung Sundang Jalan Batu Sapi - YB. Tuan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh () [Halaman 1] o Masalah yang Dihadapi oleh pengundi di Kawasan Sibu - YB. Tuan Oscar Ling Chai Yew (Sibu) [Halaman 5] KKDR. 15.3.2018 1

MALAYSIA KAMAR KHAS PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEENAM MESYUARAT PERTAMA Khamis, 15 Mac 2018 Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]

UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)

Permasalahan Bekalan Elektrik di Kampung Bakau dan Kampung Sundang Jalan Batu Sapi

2.34 ptg. Tuan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh [Sandakan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 17, saya ingin menujukan satu ucapan penangguhan Kamar Khas kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air seperti berikut. Permasalahan Bekalan Elektrik di Kampung Bakau dan Kampung Sundang Jalan Batu Sapi, Sandakan. Tuan Yang di-Pertua, Kampung Bakau dan Kampung Sundang yang terletak di Jalan Batu Sapi, Sandakan merupakan sebuah perkampungan sejak tahun 1980-an dan penduduknya majoriti terdiri daripada warganegara . Selama ini, perkampungan tersebut tidak menikmati kemudahan asas terutama sekali bekalan elektrik oleh kerana ianya merupakan kampung setinggan. Justeru, sebuah syarikat peribadi iaitu Syarikat Pentagon Marketing (M) Sdn. Bhd. (nama lama) dan kini C3 Power (M) Sdn. Bhd. (229832-T) telah dilantik oleh Suruhanjaya Tenaga untuk membekalkan elektrik kepada dua-dua kampung tersebut. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin minta penjelasan daripada Menteri atas apa sebab syarikat tersebut ditawarkan kontrak oleh Suruhanjaya Tenaga untuk mengurus bekalan elektrik kepada dua-dua kampung tersebut sedangkan prestasi syarikat tersebut adalah tidak memuaskan serta kedudukan syarikat tersebut adalah mencurigai. Kita mendapati bahawa bekalan elektrik yang dibekalkan oleh syarikat itu adalah tidak KKDR. 15.3.2018 2

sempurna dari sudut keselamatan, kerap berlakunya litar pintas, gangguan bekalan elektrik sering berlaku dan tarif elektrik yang dibayar oleh penduduk kampung adalah lebih tinggi dari tarif SESB. Selain itu, walaupun penduduk ada bayar caj bekalan kepada syarikat tersebut, tetapi syarikat tidak membayar fi yang dikutip dari penduduk kepada SESB. Ini menyebabkan bekalan elektrik berulang kali dipotong oleh SESB. Baru-baru ini, insiden pemotongan bekalan elektrik telah berlaku selama satu bulan. Ini adalah amat tidak adil dan tidak boleh diterima. Oleh kerana tiada bayar fi kepada SESB, bekalan elektrik dihentikan, dan ia mengakibatkan penduduk kampung menghadapi tekanan kos sara hidup, gangguan rutin harian kepada penduduk-penduduk terutamanya gangguan kepada pelajar-pelajar untuk mengulang kaji pelajaran. Tuan Yang di-Pertua, kita juga mendapati bahawa majoriti Ahli Lembaga Pengarah Syarikat C3 Power (M) Sendirian Berhad adalah terdiri daripada bukan warganegara. Dari rekod SSM, syarikat ini mempunyai lima orang pemegang saham dan tiga daripadanya ialah warga Filipina dan proxy yang dilantik oleh lembaga pengarah adalah berdaftar di Wilayah Persekutuan Labuan. Walaupun sudah jelas bahawa syarikat tersebut langsung tidak mempunyai kemampuan dalam pembekalan elektrik, kenapa Suruhanjaya Tenaga masih memberi lesen kepada syarikat tersebut dan syarikat ini terus mendapatkan kontrak pembekalan elektrik. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tanya Suruhanjaya Tenaga atas apa kriteria pihak berkuasa melantik sesebuah syarikat dalam pembekalan elektrik. Adakah KPI ditentukan terhadap syarikat supaya kualiti pembekalan terus dijamin. Apakah rasional pemberian lesen kepada syarikat yang terdiri daripada majoriti bukan warganegara. Tuan Yang di-Pertua, saya minta Menteri memberi penjelasan dan campur tangan dalam isu ini. Jika masalah ini terus berlaku, adakah pihak Menteri akan mengambil tindakan ke atas syarikat itu seperti gantung lesen syarikat tersebut. Sekian terima kasih. ■1440 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Sri Devamany a/l S. Krishnasamy]: Tuan Yang di-Pertua, untuk Makluman Ahli Yang Berhormat, Pentagon Marketing (M) Sendirian Berhad yang kemudiannya telah ditukar nama kepada C3 Power, telah diberikan lesen awam pada 15 Mac 1995 untuk mengagih dan membekal elektrik di kampung- kampung setinggan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sandakan, . Tempoh lesen yang telah diberikan adalah untuk 15 tahun dan tamat pada 14 Mac 2010. KKDR. 15.3.2018 3

Berdasarkan semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemegang saham bagi syarikat C3 Power ini terdiri daripada individu bukan warganegara dan warganegara dengan jumlah pegangan saham masing-masing iaitu 46 peratus dan 54 peratus. Oleh itu, kenyataan Ahli Yang Berhormat adalah tidak tepat kerana Syarikat C3 Power sebenarnya dimiliki secara majoriti oleh individu warganegara. Pada Mei 2009, Suruhanjaya Tenaga telah mencadangkan supaya Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) mengambil alih urusan perkhidmatan bekalan elektrik daripada C3 Power sebaik sahaja lesen C3 Power tamat tempoh memandangkan SESB merupakan syarikat utiliti yang bertanggung jawab bagi pembekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Namun begitu, SESB telah membuat rayuan supaya lesen C3 Power dilanjutkan dan syarikat tersebut meneruskan perkhidmatan bekalan elektrik di kampung-kampung setinggan berkenaan atas sebab-sebab berikut: (i) pengguna kebanyakannya adalah pendatang tanpa izin yang tidak dapat dipastikan identitinya. Ini menimbulkan masalah untuk mengadakan perjanjian bekalan dan bagi proses pendaftaran Pengguna Berdaftar dengan SESB; (ii) risiko keselamatan di kawasan penempatan menyebabkan SESB sukar untuk mengatasi kecurian bekalan elektrik; (iii) banyak bil-bil elektrik tidak dibayar dan tidak dibayar dan tidak dapat dituntut disebabkan masalah identiti pengguna; dan (iv) pembekalan elektrik di kawasan-kawasan setinggan dilakukan berdasarkan kepada tanggungjawab sosial semata-mata.

Susulan itu, permohonan C3 Power untuk memperbaharui lesen bagi membekalkan elektrik ke kawasan setinggan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sandakan, Sabah telah disokong dan diluluskan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 2 Ogos 2010. Keputusan ini dibuat setelah memperoleh persetujuan SESB bagi memberi bekalan elektrik secara pukal kepada C3 Power dan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mentadbir kawasan penempatan sementara di Sabah yang kebanyakannya adalah pendatang asing. Walaupun Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai badan kawal selia tidak menetapkan sebarang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada C3 Power, namun syarikat ini perlu mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Malah, ST dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di bawah Kementerian Dalam Negeri KKDR. 15.3.2018 4

telah melaksanakan pemantauan berterusan dalam memastikan pembekalan elektrik dapat dilaksanakan sebaiknya oleh pihak syarikat. Secara keseluruhannya, syarikat C3 Power telah menunjukkan prestasi yang memuaskan dan tidak pernah gagal dalam menjelaskan pembayaran bil bulanan bekalan pukal kepada SESB sejak ia mula dilesenkan. Namun demikian, syarikat ini hanya mula mengalami kesulitan untuk menjelaskan pembayaran bil bulanan bagi kawasan Sandakan bermula pada hujung tahun 2016. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Banyak cabaran yang dihadapi untuk membekalkan elektrik ke kawasan penempatan sementara ini yang menyebabkan SESB tidak dapat menawarkan perkhidmatan bekalan elektrik sepertimana yang dinikmati oleh pengguna- pengguna lain di negeri Sabah. Antaranya ialah: (i) sebahagian besar daripada penduduk setinggan ini adalah pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai pengenalan diri yang sah untuk didaftarkan sebagai pengguna berdaftar. Ini menyebabkan SESB menghadapi kesukaran untuk membuat kutipan; (ii) SESB akan menghadapi kesukaran untuk menyediakan bekalan elektrik mengikut piawaian yang ditetapkan kerana rumah-rumah setinggan ini telah dibina oleh PATI sendiri dan tidak selamat; dan (iii) kadar tarif elektrik yang diluluskan oleh kerajaan tidak dapat menampung kos operasi bekalan elektrik di kawasan penempatan sementara ini.

Berhubung penetapan tarif elektrik bagi kawasan penempatan sementara ini, kadar tarif yang ditetapkan adalah mengikut jenis peralatan dan bukannya jumlah penggunaan kepada penduduk kerana penduduk di kawasan ini tidak mempunyai meter elektrik. Ini menyebabkan bil elektrik di kawasan penempatan tersebut adalah lebih tinggi berbanding bil elektrik penduduk setempat yang menggunakan meter. Ahli Yang Berhormat, sejak tahun 2016, C3 Power mempunyai masalah untuk melunaskan bil bulanan bekalan pukal kepada SESB dan telah menyebabkan SESB memotong bekalan elektrik di kawasan penempatan sementara Sandakan pada 1 Mac 2017 dan diikuti pada 10 April 2017. Atas arahan kerajaan, SESB telah membuat penyambungan semula masing-masing pada 10 Mac 2017 dan 17 April 2017. Walau bagaimanapun, C3 Power masih lagi gagal membayar bil elektrik bekalan pukal kepada SESB yang berjumlah RM266,797 di Kampung Forest dan RM363,181.85 di Kampung Batu Sapi, Sandakan dengan jumlah bil keseluruhan tunggakan terkini sebanyak RM629,978.85. Hal ini telah menyebabkan SESB membuat pemotongan bekalan elektrik di kawasan KKDR. 15.3.2018 5

penempatan sementara Sandakan pada 13 Julai 2017, selepas notis pemotongan bekalan elektrik dikeluarkan oleh SESB pada 3 Julai 2017. Sehubungan itu, ST telah menggantungkan lesen aktiviti pengagihan elektrik syarikat C3 Power pada 19 Julai 2017 kerana gagal mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan. Bagi meneruskan aktiviti pengagihan elektrik ke kampung tersebut sehingga syarikat pemegang lesen awam pengagihan baharu dilantik, SESB telah dilantik sebagai pemegang lesen sementara oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Walau bagaimanapun, atas faktor-faktor keselamatan, kutipan bil elektrik di kawasan penempatan sementara tersebut dilakukan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan dipantau oleh Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM). Saya percaya bahawa Ahli Yang Berhormat amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam membekalkan elektrik ke kawasan penempatan setinggan. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang prihatin terhadap kebajikan penduduk- penduduk di sana. Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah, pemberian bekalan elektrik ke kawasan-kawasan ini masih perlu diteruskan selagi kawasan-kawasan penempatan tersebut tidak diroboh. Ini memandangkan bekalan elektrik merupakan keperluan asas kehidupan yang tidak boleh dinafikan. Kita seiras dengan hasrat Yang Berhormat. Terima kasih. ■1450

Masalah yang Dihadapi oleh Pengundi Di Kawasan Sibu

Tuan Oscar Ling Chai Yew [Sibu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin membawa suatu masalah yang berlaku di kawasan Parlimen Sibu iaitu kesemua pengundi yang tinggal di Jalan Ulu Sungai Merah telah ditempatkan di DUN Pelawan walaupun sebenarnya alamat mereka ini adalah di dalam sempadan kawasan DUN Nangka. Saya sudah membuat suatu aduan kepada SPR negeri, kerana saya diberitahu oleh SPR HQ KL bahawa hal ini adalah di bawah bidang kuasa SPR negeri. Akan tetapi apabila saya berbincang dengan salah seorang pegawai yang bertanggungjawab, saya berasa pegawai SPR itu tidak mengambil hal ini dengan serius. Saya diarahkan untuk memberi senarai nama pengundi yang terlibat dalam tuduhan itu. Mengikut siasatan saya, penduduk yang tinggal di Jalan Ulu Sungai Merah, Lorong 35 (nombor ganjil) dan ke atas adalah di dalam sempadan DUN Nangka dan juga Jalan Ulu Sungai Merah Lorong 12 (nombor genap) dan ke atas. Masalah ini timbul kerana di dalam DUN KKDR. 15.3.2018 6

Pelawan ada satu lokaliti yang bernama Sungai Merah tetapi ia tidak meliputi Kawasan Ulu Sungai Merah. Satu lagi masalah ialah di Jalan Permai Timur Lorong 7, setiap kali SPR mengemukakan senarai pengundi baru, jalan ini mempunyai para pengundi sebanyak 30 hingga 50 orang. Apabila saya turun ke lorong jalan saya, saya tidak dapat mengesan satu pun pengundi yang tersenarai. Saya memohon penjelasan dari pihak SPR. Sekian, terima kasih.

2.51 ptg. Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said]: Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan urusan pendaftaran pemilih seperti mana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 8, Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19] dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Peraturan 12, Peraturan- peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR mendaftarkan warganegara yang telah memenuhi syarat kelayakan sebagai pemilih berdasarkan kepada alamat mastautin pemohon seperti di MyKad yang diisi dalam Borang Pendaftaran Pemilih (Borang A). Seterusnya, penentuan kawasan pendaftaran seseorang pemilih adalah berdasarkan kepada alamat tersebut yang disahkan melalui semakan dengan alamat warganegara yang dinyatakan dalam Sistem MyIdentity, Jabatan Pendaftaran Negara. Sebelum nama pemilih diperakukan ke dalam sesuatu kawasan pendaftaran, SPR akan memproses permohonan tersebut berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada termasuklah mempamerkan senarai nama tersebut di kawasan pendaftaran yang berkenaan. Berdasarkan kepada Peraturan 13, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR mempamerkan nama pemohon dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) di tempat yang telah diwartakan sebagai tempat pameran selama 14 hari untuk semakan umum termasuklah pihak parti politik. Semasa tempoh pameran tersebut, nama-nama di dalam RDPT adalah terbuka untuk dibuat bantahan atau tuntutan. Merujuk kepada isu pengundi yang didakwa tinggal di Ulu Sungai Merah dan didaftarkan sebagai pengundi di Bahagian Pilihan Raya Negeri (DUN) N.54 Pelawan dan bukan dalam DUN N.55 Nangka, SPR tidak menerima sebarang bantahan semasa pameran RDPT dijalankan atau aduan rasmi berhubung dakwaan kesilapan penentuan kawasan pendaftaran tersebut daripada pengundi yang terlibat. Oleh yang demikian, tindakan SPR mendaftarkan pengundi yang tinggal KKDR. 15.3.2018 7

di Jalan Ulu Sungai Merah dalam DUN N.54 Pelawan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR sentiasa terbuka untuk menerima aduan berkaitan kesilapan penentuan kawasan pendaftaran daripada pengundi yang terlibat. Dengan penerimaan aduan tersebut, ia membolehkan SPR menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya mengambil tindakan pembetulan kawasan pendaftaran berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Peraturan 25(3), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. Merujuk kepada isu pengundi yang didaftarkan di Jalan Permai Timur Lorong 7 yang tidak dapat dikesan di lapangan, sebagaimana yang telah dijelaskan, SPR telah menjalankan urusan pendaftaran pemilih dengan memastikan setiap proses pendaftaran pemilih tersebut dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada. Ini termasuklah mempamerkan nama pengundi yang terlibat dalam RDPT. Walau bagaimanapun, semasa pameran RDPT yang telah dijalankan sebelum ini, SPR tidak menerima sebarang bantahan di atas kemasukan nama pengundi seramai 30 hingga 50 pengundi yang didakwa tidak dapat dikesan Jalan Permai Timur Lorong 7. Oleh yang demikian, semua 30 hingga 50 pengundi yang didakwa berhak disahkan sebagai pengundi di kawasan pendaftaran seperti mana dipohon. Untuk itu Ahli Yang Berhormat, SPR hanya akan bertindak sekiranya terdapat aduan atau tuntutan rasmi selaras dengan undang-undang. Terima kasih. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Setakat itulah sesi usul di Kamar Khas untuk tengah hari ini. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang, hari Isnin, 19 Mac 2018.

[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.55 petang]