http://WorldConferences.net Page 116

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

Hospital Dalam Tamadun Islami Sebagai Pusat Pendidikan Perubatan Di Timur Tengah Antara Abad ke-3 hingga ke-7 Hijri

HAIRUN NAJUWAH JAMALI1 KU FATAHIYAH KU AZIZAN2 AWATIF ABD RAHMAN3

ABSTRAK

Ilmu perubatan merupakan salah satu cabang ilmu yang dititikberatkan dalam tamadun Islami. Hal ini kerana penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit merupakan aspek kebajikan masyarakat yang sangat diambil berat oleh Islam. Ini dapat dilihat daripada fungsi institusi hospital dalam tamadun Islami. Kajian ini cuba melihat bagaimana institusi hospital berfungsi sebagai pusat pendidikan perubatan dalam tamadun Islami antara abad ke-3 hingga ke-7 hijri kerana pada ketika ini merupakan zaman kegemilangan tamadun Islami dalam bidang perubatan. Metode yang diguna bersifat sejarah, yang berasaskan kajian kepustakaan bermula daripada mempastikan ketulenan sumber-sumber, pengumpulan data dan pentafsirannya. Rumusan kajian ini mendapati institusi-institusi hospital yang didirikan menggalas dwiperanan iaitu sebagai pusat perubatan dan pendidikan perubatan. Namun begitu tidak kesemua institusi tersebut menawarkan pengajian perubatan kepada bakal doktor. Hanya institusi hospital yang dikategorikan sebagai hospital besar sahaja berfungsi sebagai pusat pendidikan perubatan dan diterajui oleh ahli-ahli perubatan terkenal dalam tamadun Islami.

Kata kunci: hospital, pusat pendidikan perubatan & tamadun Islami.

ABSTRACT Medical science is a branch of science that emphasized in the Islamic civilization. This is because health care and treatment of the disease is the welfare of society is taken care of by Islam. It can be seen from the hospital institutions in the Islamic civilization. This study tried to see how the hospital functions as a central institution of medical education in the Islamic civilization between the 3rd Hijri to the 7th Hijri because at this point is the golden age of Islamic civilization in the medical field. The method used is historical, based on literature review from ensuring the authenticity of sources, data collection and interpretation. Conclusions of this study found that institutions undertake the dual hospital established that the medical center and medical education. However, not all institutions offering medical studies to be a doctor. Only hospital institutions categorized as a large hospital only serves as a center of medical education and led by renowned medical experts in Islamic civilization.

Keywords: hospital, medical and educational center of Islamic civilization

Pendahuluan

1 Pensyarah, Jabatan Bahasa, Pusat Pengajian Teras, KUIS, [email protected] 2 Pensyarah, Jabatan Bahasa, Pusat Pengajian Teras, KUIS, [email protected] 3 Pensyarah, Jabatan Bahasa, Pusat Pengajian Teras, KUIS, [email protected]

http://WorldConferences.net Page 116

http://WorldConferences.net Page 117

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

Seiring dengan perkembangan dan kemajuan ilmu perubatan dalam tamadun Islami antara abad ke-3 hingga ke-7 Hijri, banyak hospital didirikan di merata tempat seperti di Halab, dan Mesir. Penubuhannya bertujuan untuk memenuhi keperluan kesihatan masyarakat sama ada yang tinggal di bandar mahupun pedalaman. Terdapat beberapa jenis pusat rawatan yang disediakan dan diklasifikasikan kepada beberapa jenis pusat iaitu Hospital Besar dan Hospital Bergerak atau klinik bergerak (Elgood :1951).

Di samping berfungsi sebagai pusat rawatan yang memenuhi objektif utamanya, institusi perubatan dalam tamadun Islami juga berfungsi sebagai pusat pendidikan perubatan. Walau bagaimanapun fungsi insitusi hospital sebagai pusat pendidikan perubatan bermula secara serius dari abad ke-4 Hijri dengan terdirinya beberapa buah hospital yang mempunyai kelengkapan peralatan perubatan di Baghdad, Mayyafriqin, Kaherah dan Mesir. Manakala pada abad sebelumnya aktiviti pendidikan perubatan dijalankan secara persendirian berdasarkan catatan Yuhanna b. Masawayh yang mempunyai sekolah perubatan di Baghdad. Beliau mempunyai ramai penuntut di pusatnya yang popular pada ketika itu di samping tugasnya sebagai doktor di hospital Baghdad (Usaybiah :1970).

Aktiviti perubatan di Baghdad yang terkenal sebagai pusat kecemerlangan tamadun Islami antara abad ke-3 hingga ke-7 Hijri telah dipengaruhi oleh hospital dan Akademi Perubatan Jundishapur yang terletak di Ahwaz bahagian selatan Parsi. Perhubungan ini bermula pada tahun 148H/766M apabila seorang doktor bernama Jurjis b. Jibrayl (Usaybiah :1970, al-Qifti :1903) dari Hospital Jundishapur berjaya mengubati penyakit seorang khalifah kerajaan ‘Abbasiyyah bernama al-Mansur. Bertitik tolak daripada kejayaan ini, ahli-ahli perubatan Jundishapur mula berhijrah ke Baghdad dan berkhidmat sebagai doktor di hospital- hospital yang didirikan seterusnya menjadi tenaga pengajar pendidikan perubatan di sana.

Institusi Hospital Dalam Tamadun Islami

Institusi perubatan dalam tamadun Islami di awal kemunculannya dikenali sebagai atau Maristan sahaja. Perkataan Bimaristan ini berasal daripada bahasa Parsi yang mempunyai dua patah perkataan bimar dan istan. Bimar bermaksud orang sakit dan istan bermaksud tempat atau rumah untuk orang sakit (Dunlop : 1986). Sejak awal kemunculannya, Bimaristan berfungsi sebagai pusat rawatan am yang merawat pelbagai penyakit seperti kecederaan, demam dan penyakit mental. Walau bagaimanapun Bimaristan atau Maristan pada zaman moden kini lebih dikenali sebagai institusi perubatan mental (mental Asylum) kerana kebanyakan penghuni yang kekal menghuni institusi perubatan ini terdiri daripada para pesakit mental (Isa Beg:1981).

Sejarah kemunculan pusat rawatan dalam tamadun Islami telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW. Kenyataan ini berdasarkan catatan sirah Ibn Hisham ketika Perang Khandaq. Menurut Ibn Ishaq, Rasulullah SAW telah membina sebuah khemah di bahagian belakang Masjid Madinah ketika Perang Khandaq. Salah seorang tentera Islam. Saad b. Muaz telah terkena panah dibahagian dadanya ketika berperang dan Rasulullah SAW mengarahkan supaya beliau dirawat di khemah tersebut oleh seorang jururawat wanita Islam bernama Rufaydah (Ibn Hisham:1995).

Menurut (al-Maqrizi : 1850), khalifah al-Walid b. Abdul Malik daripada Dawlah Umawiyah merupakan orang pertama yang membina hospital dalam tamadun Islami iaitu pada tahun 88H/706M di Damshiq. Pendapat ini turut disokong oleh (al-Tabari : 1989), (Ibn

http://WorldConferences.net Page 117

http://WorldConferences.net Page 118

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015 al-Athir : 1290H) dan (al-Qalqashandi :1987). Hospital yang dibina oleh khalifah al-Walid dikhususkan untuk orang buta, pesakit kusta, golongan kurang upaya dan miskin. Para pesakit diberi rawatan secara percuma dan diasingkan daripada orang bagi mengelakkan jangkitan. Bahkan apabila mereka sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, wang saku turut dibekalkan kepada mereka. Hospital ini menyerupai peranan institusi kebajikan di wilayah Byzantium yang salah satunya dikenali sebagai Nosocomium (Sayili :1980).

Rentetan daripada pembinaan hospital oleh khalifah al-Walid ini, telah membuka jalan kepada pembinaan institusi-institusi hospital yang lain pada mulai abad ke-4 Hijri. Selari dengan perkembangan kecemerlangan tamadun Islami yang bermula di Damshiq seterusnya di Baghdad, kebanyakan institusi hospital dibina di kawasan ini. Pada abad ke-4 Hijri sahaja terdapat 5 buah institusi hospital yang terkemuka iaitu Bimaristan Abu al-Hassan Ali b. Isa, Bimaristan Badr Ghulam al-Mu’tadid, Bimaristan al-Muqtadiri, Bimaristan al- Adudi (Usaybiah :1970) dan Bimaristan al-Sayyidah (al-Qifti :1903).

Manakala pada abad ke-5 Hijri, menyaksikan penubuhan institusi hospital yang baharu antara yang terkenal ialah Bimaristan Nisabur atau Dar al-Marda Nisabur (Isa Beg: 1981), Bimaristan al-Wasit (Ibn Kathir :1994), Bimaristan al-Fariqi (Usaybiah :1970) dan Bimaristan Antakiyyah (al-Qifti :1903). Seterusnya pada abad ke-6 Hijri pula menyaksikan pembinaan institusi-institusi hospital yang bersifat hospital besar di Damshiq iaitu Bimaristan Kabir al-Nuri yang dibina oleh pemerintah bernama Nur al-Din Mahmud pada 549H/1154M (Ali : 1971). Beliau juga turut mendirikan sebuah hospital yang diberi nama Bimaristan al- Atiq (Isa Beg: 1981).

Pada kurun ke-6 Hijri ini juga telah terbina dua buah institusi hospital yang terajui oleh Sultan Salah al-Din Yusuf b. Yusuf b. Ayyub di Kaherah diberi nama Bimaristan al- Nasiri pada 567H/1171M (al-Qalqashandi :1987) dan di al-Quds pada 583H/1187M iaitu Bimaristan al-Quds. Kegemilangan penubuhan institusi hospital berstatus hospital besar diteruskan pada abad ke-7 Hijri dengan terdirinya Bimaristan al-Kabir al-Mansuri di Kaherah pada 682H/1283M oleh Sultan al-Mansur Qalawun (al-Maqrizi :1850). Selain itu Bimaristan al-Salihiyyah turut dibina yang juga dikenali sebagai Bimaristan al-Qaymari di Safh Qasiyun (Ibn Kathir :1994).

Sistem Pentadbiran Hospital

Bimaristan atau hospital dalam tamadun Islami mempunyai organisasi pentadbiran yang tersusun dengan melibatkan beberapa jawatan khusus. Antara jawatan-jawatan yang penting ialah Nazir Bimaristan, Nazir Waqaf Bimaristan, Pengarah Hospital yang dikenali sebagai al-Sa’ur, Shaykh Saidalani (Ketua Farmasi) dan al-Muhtasib yang memantau khusus bidang perubatan. Tugas-tugas al-Sa’ur dibantu oleh ketua-ketua jabatan perubatan di bawahnya yang terdiri daripada Ketua Jabatan Ortopedik, Surgeri, Oftalmologi, Pireksia, Farmasi, atendan dan para pegawai tadbir hospital (al-Qalqashandi : 1987, al-Said : 1987).

Operasi institusi hospital antara abad ke-3 hingga ke-7 Hijri dibiayai oleh harta waqaf. Waqaf yang dikhususkan untuk pembangunan hospital diterima daripad para sultan dan pembesar negara yang memerintah pada ketika itu. Agihan waqaf membiayai perbelanjaan makanan, pakaian, ubat-ubatan dan kelengkapan hospital (Ali :1971).

Sejarah kedoktoran dan perkhidmatan perubatan Islam banyak diwarnai oleh institusi Hisbah. Al-Muhtasib yang dilantik bagi memantau perkhidmatan perubatan

http://WorldConferences.net Page 118

http://WorldConferences.net Page 119

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015 bertanggungjawab memastikan perjalanan pengurusan dan operasi hospital berjalan dengan baik berdasarkan kod etika yang ditetapkan. Bermula dengan pengendalian peperiksaan calon ahli perubatan, al-Muhtasib seterusnya bertanggungjawab meluluskan penganugerahan ijazah serta memastikan ahli perubatan mempunyai alat kelengkapan untuk menjalankan kerja. Penyeliaan al-Muhtasib dilakukan secara berterusan di institusi hospital dengan mengadakan lawatan ke bilik-bilik rawatan, pemeriksaan preskripsi ubat dan memantau jabatan farmasi (Usaybiah :1970).

Pendidikan Perubatan Sebelum Abad ke-4 Hijri

Ilmu perubatan merupakan salah satu cabang ilmu pengetahuan yang penting dan diajar sebelu abad ke-4 Hijri lagi. Proses pengajaran ilmu perubatan sebelum abad ke-4 Hijri telah melalui beberapa peringkat perubhan bersesuian dengan kemajuan ilmu pengetahuan tersebut. Antara metod awal pengajaran ilmu perubatan ialah mempelajari ilmu perubatan daripada ahli keluarga yang terdekat seperti bapa atau ahli keluarga yang lain. Di dalam sesebuah keluarga yang mempraktikkan perubatan,anak-anak lelaki mahupun perempuan akan mempelajari ilmu tersebut daripada bapa mereka. Contoh metod ini dipraktikkan oleh seorang doktor iaitu Nadhar b. al-Harth b. al-Kaladah al-Thaqafi (m.2H) yang belajar ilmu perubatan daripada bapanya al-Harth b. al-Kaladah, Hunayn b. Ishaq mengajar anaknya Daud dan Ishaq dan Thabit b. Qurrah mengajar anaknya Sinan b. Thabit ( Usaybiah :1970). Selain itu, terdapat satu keluarga yang terkenal sebagai ahli perubatan secara turun temurun iaitu keluarga al-Bukhtishu’. Keluarga ini mempunyai 11 orang ahli perubatan yang berkhidmat dengan kerajaan ‘Abbasiyyah (Elgood :1951).

Manakala orang-orang Badwi yang bertamadun, mereka memiliki ilmu perubatan yang pada umumnya didasarkan kepada pengalaman sesorang. Mereka mewarisinya daripada syeikh-syeikh dan wanita-wanita tua dalam suku mereka. Sebahagian daripadanya selalunya boleh dipercayai, sungguhpun ia tidak berdasarkan asas serius atau keserasian rawatan dengan keadaannya. Kedoktoran jenis ini banyak terdapat dalam kalangan orang-orang Arab (Ibnu Khaldun :1981)

Pusat-Pusat Pengajian Perubatan Antara Abad ke-4 hingga ke-7 Hijri

Terdapat tiga jenis pusat pengajian perubatan antara abad ke-4 hingga ke-7 Hijri. Pusat-pusat tersebut ialah sekolah perubatan persendirian yang dimiliki oleh doktor-doktor yang terkenal seperti al-Razi. Beliau mengadakan kuliah perubatan dan dihadiri oleh ramai penuntut sehingga penuh sesak di dalam kuliah tersebut (Ibn Nadim :1994). Terdapat juga pusat perubatan persendirian yang lain di Damshiq yang dibuka oleh Abdul Rahman al-Dakhwar pada 622H (Usaybiah: 1970)

Pusat pengajian jenis yang kedua ialah kuliah perubatan persendirian. Pengajian jenis ini hanya melibatkan proses pembelajaran di antara murid dan ahli perubatan terkenal yang dipanggil Shaykh atau bapanya sendiri atau mana-mana ahli perubatan yang mahir dalam kalangan ahli keluarganya seperti kelauarga ahli perubatan Bukhtishu’ , Qurrah dan Zuhr. Apabila didapati anak muridnya menunjukkan kemahiran dan peningkatan dalam pembelajaran, gurunya akan memberi kebenaran kepada mereka turut serta membuat pemeriksaan pesakit atau membuat pembedahan di hospital. Setelah menjalani latihan di hospital, murid tersebut akan dibenarkan mempraktik ilmu perubatannya secara bebas (Hamarneh :1983).

http://WorldConferences.net Page 119

http://WorldConferences.net Page 120

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

Jenis pusat pengajian yang ketiga ialah institusi hospital itu sendiri. Walaupun pada asalnya institusi hospital merupakan pusat latihan praktikal bagi para pelajar yang mempelajari ilmu perubatan di sekolah dan kuliah perubatan persendirian, lama kelamaan ia berkembang sebagai pusat pendidikan perubatan dengan mengadakan kuliah-kuliah perubatan dalam bangunan hospital.

Hospital Sebagai Pusat Pengajian Perubatan

Menurut (Leiser: 1983) Bimaristan al-Adudi yang didirikan pada 372H mempunyai dua orang tenaga pengajar iaitu Abu Hassan Ali b. Ibrahim. B. Bakkas dan Ali b. Ibrahim b. Bukhtishu’. Selain itu Amin al-Dawlah Abu Hassan Hibat Allah b. al-Tilmidh juga berkhimat di hospital ini dan pernah mencatatkan bahawa beliau sering melakukan pemeriksaan pesakit yang turut dihadiri oleh para pelajar perubatannya. Setelah selesai memeriksa, beliau akan bertanya kepada para pelajarnya bagaimana mereka boleh membuat keputusan dalam sesuatu pemeriksaan terhadap pesakit. Antara ahli perubatan yang mendapat latihan di hospital ini ialah Abu al-Faraj b. al-Tayyib.

Catatan (Usaybiah :1970) pula melaporkan di Bimaristan Mayyafariqin terdapat satu kuliah perubatan yang dijalankan oleh Abu Said Mansur b. Isa atau lebih dikenali sebagai Zahid al-Ulama. Beliau menjadikan teks himpunan soal jawab permasalahan perubatan antara beliau dan pelajarnya sebagai teks utama. Kitab ini dinamai al-Fusul wa al-Masail wa al- jawabat.

Pengajian perubatan juga diwujudkan di Bimaristan al-Nuri yang terletak di Damshiq yang diterajui oleh Abu al-Majid b. Abi al-Hakam b. Ubayd Allah b. Muzaffar al-Bahili. Setiap hari selepas membuat lawatan dan rawatan pesakit-pesakit di hospital ini, beliau akan memberi kuliah perubatan di dalam kuliah hospital ini yang diberi nama iwan. Iwan ini dilengkapi dengan buku-buku ilmiah yang diwaqafkan oleh pemerintah pada ketika itu. Para doktor dan pelajar perubatan akan duduk bersama-sama al-Bahili untuk membaca teks perubatan. Kuliah ini akan berlangsung selama tiga jam dan al-Bahili akan pulang selepas itu.

Antara graduan yang masyhur daripada hospital ini ialah Ibn Abi Usaybiah seorang oftalmologis (doktor mata) yang menghadiri pengajian bersama al-Hakim Muhadhdhib al- Din dan al-Hakim Imran. Mereka akan duduk bersama-sama belajar tentang cara diagnogsis penyakit pesakit, menyenaraikan ubatan yang sesuai dan mengkaji penyakit-penyakit yang dialami oleh pesakit serta cara mengubatinya daripada al-Shaykh Radiy al-Din al-Rahbi.

Menurut (al-Sakhawi : 1354H) Bimaristan al-Mansuri di Kaherah pula merupakan pusat pendidikan yang terbesar di dalam sejarah Mesir. Kuliah perubatan diadakan di dalam dewan yang besar hospital ini. Antara tenaga pengajar perubatan yang pernah berkhidmat di sini ialah Rukn al-Din b. al-Qawba’ al-Tunisi (m.738H), Umar b. Mansur b. Abd Allah Siraj al-Din al-Bahaduri al-Qahiri (m.824H) dan Abd al-Wahab b. Muhammad al-Shawi (m.851H).

Metode Pengajian Perubatan Di Hospital

Pengajian perubatan di hospital dijalankan secara serius setelah para doktor pada masa itu mendapati bahawa pengajaran ilmu perubatan secara praktikal di hospital sangat penting selain ilmu pengetahuan teori perubatan. Pengajaran dan pembelajaran perubatan diketuai

http://WorldConferences.net Page 120

http://WorldConferences.net Page 121

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015 oleh al-Saur (Ketua Hospital) bagi sesebuah hospital. Contohnya al-Razi yang bertugas di Bimaristan al-Rayy, Sinan b. Thabit dan Ibn al-Tilmidh di Bimaristan al-Adudi (Muhammad :1987).

Bentuk pengajian perubatan dilakukan melalui beberapa peringkat. Peringkat- peringkat tersebut ialah:

1. Menghadiri kuliah perubatan yang diadakan di bilik-bilik kuliah (iwan) khas untuk tujuan pembelajaran perubatan. Kuliah ini disampaikan oleh doktor-doktor senior yang berkhidmat di hospital tersebut.

2. Melakukan pemerhatian terhadap pesakit yang mendapat rawatan di hospital. Pemerhatian ini termasuklah mencatat dan mengkaji segala perubahan yang berlaku terhadap pesakit terutamanya penyakit yang dihidapi oleh mereka.

3. Melakukan pemeriksaan perubatan pesakit-pesakit luar bersama seorang guru. Sesi seperti ini dipraktikkan oleh al-Razi. Ketika melawat pesakit, al-Razi akan dikelilingi oleh pelajar beliau, di belakang kumpulan pelajar ini ada kumpulan yang lain dan sekumpulan lagi di belakang kumpulan yang kedua. Latihan praktikal dijalankan dengan cara memeriksa peakit oleh salah seorang pelajar perubatan yang akan menerangkan kepada pelajar yang lain tentang hasil ujiannya. Apabila penerangan yang diberikan oleh pelajar tersebut salah, al-Razi akan bertanya semula manakala ketika penerangan pelajar itu betul, al-Razi akan mendiamkan diri (Usaybiah :1970).

4. Para pelatih perubatan di hospital akan menyertai gurunya melakukan rawatan terhadap pesakit. Melalui sesi ini, para pelatih akan mempelajari kaedah-kaedah rawatan, cara berkomunikasi dengan pesakit, membuat senarai ubat-ubatan dan berbincang di sisi pesakit. Di dalam sesi ini Ketua Doktor mengetuai lawatan rawatan pesakit dan bersama-samanya doktor-doktor dan pelatih perubatan. Menurut (Usaybiah :1970) beliau sering mengikuti latihan praktikal seperti ini bersama Mudhadhib al-Din b. al-Dakhwar dan al-Hakim Imran. Mereka duduk belajar tentang cara diagnosis penyakit pesakit, menyenaraikan ubat-ubatan dan mengkaji penyakit yang dialami oleh pesakit yang disertai oleh gurunya al-Shaykh Radiy al-Din al- Rahbi.

5. Melakukan kajian terhadap penyakit yang dihidapi oleh pesakit dan melakukan beberapa ujian untuk mengubati penyakit tersebut menggunakan kaedah perubatan yang baru. Apabila kaedah yang diuji berjaya, doktor tersebut akan mencatatkan kajiannya dan yang penting ialah hasil kajian tersebut tidak meninggalkan kesan negatif terhadap pesakit. Kaedah ini telah dilakaukan oleh Said b. Bashar b. Abdus al- Tabib seorang ahli flebotomi yang membuat kajian di sebuah hospital. Beliau telah menemui cara baru mengubati penyakit hemiplegia, relaksasi dan kelumpuhan separa muka dengan menggantikan ubat-ubatan yang panas kepada ubat-ubatan yang lebih sejuk.

6. Para pelatih perubatan di hospital menghadiri majlis perbincangan amali yang berlangsung dengan ahli-ahli perubatan. Perbincangan ini akan diwujudkan apabila salah seorang guru perubatan menerangkan kepada rakan sekerjanya yang lain tentang penyakit yang tidak dapat ditemui cara mengubatinya. Menurut (Usaybiah :1970), sekumpulan ahli perubatan dan orang yang berkecimpung dalam bidang perubatan

http://WorldConferences.net Page 121

http://WorldConferences.net Page 122

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

telah mengadakan perbincangan bersama Muhadhdhib al-Din b. al-Dakhwar. Perbincangan ini terarah kepada perbincangan bidang perubatan dan dihadiri oleh para pelatih perubatan.

Teks-teks Pengajian Dan Ujian Kelayakan Sebagai Doktor

Pengajaran dan pembelajaran ilmu perubatan antara abad-abad ini bersandarkan teks perubatan hasil karya ahli-ahli perubatan terkenal seperti Hippocrates, al-Razi, Ibn Sina dan Hunayn b. Ishaq. Hasil karya mereka ini merupakan karya perubatan yang sangat baik kerana berdasarkan ujian-ujian perubatan yang telah diuji, pengamatan dan pengalaman penulis sebagai seorang doktor.

Pada peringkat awal pembelajaran ilmu perubatan, para pelajar dikehendaki menggunakan teks karya Hippocrates yang bertajuk al-Fusul atau Aphorism, Kitab al-Masail oleh Hunayn b. Ishaq dan al-Madkhal al-Ta’limi atau Guide oleh al-Razi. Selepas peringkat ini, para pelajar akan mempelajari ilmu perubatan berdasarkan hasil karya Thabit b. Qurrah bertajuk al-Dhakhirah fi ‘ilm al-Tibb atau The Treasure of Science of Medicine, Kitab al- Mansuri oleh al-Razi Kitab al-Hidayah oleh Abu Bakr al-Ajwani dan Kitab Kifayah oleh Ahmad b. Faraj.

Terdapat kitab-kitab tambahan dalam ilmu perubatan bagi mereka yang mahu mendalaminya terutama tentang falsafah dan teori penyakit iaitu al-Sittata al-‘Ashara al- Kutub oleh , al-Hawi oleh al-Razi, Kitab Kamil al-Sina’ah fi al-tibb oleh Ali b. Abbas, al-Qanun oleh Ibn Sina dan karya-karya penulisan oleh Abu Sahl dan Sayyid Ismail al- Jurjani (Elgood :1951).

Setelah mendalami ilmu perubatan, calon-calon doktor dikehendaki mengambil ujian peperiksaan kelayakan sebagai doktor. Ujian kelayakan ini mula diadakan pada awal abad ke- 4 Hijri iaitu pada zaman pemerintahan khalifah al-Muqtadir (295-319H/908-932M). Ujian kelayakan ini diadakan berikutan kes kematian seorang pesakit pada tahun 319H kerana mengambil ubat yang disarankan oleh seorang doktor yang tidak bertauliah.

Antara individu yang pernah dicatatkan bertanggungjawab menjalankan ujian ini ialah Sinan b. Thabit dan diteruskan oleh anaknya Abu Ishaq Ibrahim b. Sinan (al-Qifti :1903). Menurut (al-Shayzari :1981) Jabatan Hisbah turut berperanan penting dalam hal ehwal pelantikan doktor perubatan. Jabatan ini menetapkan bakal doktor dikehendaki menguasai maklumat tentang amalan perubatan yang terdapat di dalam buku karangan Yuhanna b. Masawayh iaitu Mihnat al-Tabib dan beberapa buku perubatan yang lain mengikut kepakaran bidang masing-masing.

Pengumpulan maklumat tentang catatan ujian kelayakan yang diadakan ini, menguatkan fakta bahawa ahli-ahli perubatan antara abad ke-4 hingga ke-7 Hijri adalah mereka yang benar-benar mahir dalam bidang perubatan. Hal ini kerana mereka perlu melepasi beberapa peringkat ujian serta menguasai maklumat yang terkandung di dalam pelbagai buku ilmu perubatan terdahulu.

http://WorldConferences.net Page 122

http://WorldConferences.net Page 123

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan tentang fungsi institusi hospital antara abad ke-3 hingga ke-7 Hijri, sebenarnya ia bukan sahaja berfungsi sebagai pusat perubatan semata-mata, bahkan bertindak sebagai pusat pendidikan perubatan. Bertitik tolak daripada kewujudan institusi pendidikan perubatan di Jundishapur, para khalifah dalam tamadun Islami mengambil langkah positif menubuhkan pula hospital di beberapa bandar utama yang berfungsi sebagai pusat pendidikan perubatan seperti di Baghdad, Damshiq dan Kaherah.

Sungguhpun pada peringkat awal penubuhannya, ia diterajui oleh ahli-ahli perubatan Jundishapur, pergantungan ini tidak dibiarkan lama. Hal ini kerana pada masa yang sama ahli-ahli perubatan muslim terus dididik dan diasuh supaya menjadi ahli perubatan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang. Oleh yang demikian institusi hospital merupakan tempat yang paling sesuai melatih para doktor yang baru supaya sentiasa bersedia dengan suasana perubatan yang sebenar.

Pemilihan teks-teks perubatan yang digunakan sangat bersesuaian kerana memperlihatkan kesinambungan ilmu perubatan ahli-ahli perubatan terdahulu dengan generasi selepasnya. Malah teks-teks yang digunakan tidak tertumpu kepada teks karya ahli perubatan muslim sahaja bahkan merentasi sosio agama penulis. Apa yang penting karya tersebut adalah yang terbaik dalam ilmu perubatan.

Pembelajaran secara amali dan praktikal di hospital telah menjadikan institusi hospital dalam tamadun Islami menggalas dwiperanan yang unik dalam satu-satu masa. Langkah ini mengelakkan ketandusan ahli-ahli perubatan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan kesihatan masyarakat pada ketika itu. Sistem peperiksaan kelayakan pula merupakan satu disiplin yang tepat bagi memastikan kesahihan dan ketelusan pelantikan ahli perubatan.

Dwiperanan yang digalas oleh institusi hospital dalam tamadun Islami iaitu sebagai pusat perubatan dan pusat pendidikan perubatan, telah membuktikan bahawa tamadun Islami berjaya memimpin institusi ini sebagai salah satu institusi yang cemerlang di bawah pemerintahannya. Ia sejajar dengan kecemerlangan ilmu pada abad-abad tersebut yang memungkin penubuhan institusi pendidikan perubatan di hospital pada abad-abad seterusnya.

http://WorldConferences.net Page 123

http://WorldConferences.net Page 124

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

RUJUKAN

Abdullah Abdul Razzaq Mas’ud al-Said. 1987. Mushtashfayat al-Islamiyyah min ‘Asr al- Nabawi ila ‘Asr al-‘Uthmani. Amman: Dar al-Diya’.

Abdul Rahman b. Nasr al-Din al-Syaizari. 1981. Nihayat al-Rutbah fi Talab al-Hisbah. Sunt. Syed al-Baz alArini. Lubnan:Dar al-Shifa’.

Abu Jaafar Muhammad b. Jarir al-Tabari. 1989. Tarikh al-Rusul wa al-Muluk. Jil.5. Beirut: Muassasat al-Alami.

Ahmad Isa Beg. 1981. Tarikh al-Bimaristanat fi al-Islam. Lubnan: Dar al-Raid.

Ahmad b. Ali al-Qalqashandi. 1987. Subh al-A’sha fi Sina’at al-Insha’. Sunt.Muhammad Husayn Shams al-Din. Beirut:Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Aydin Sayili. 1980. The Emergence of The Prototype of The Modern Hospital in The Medieval Islam. Studies in History of Medicine. 4(2): 112-118.

Cyrill Elgood. 1951. A Medical History of Persia and The Eastern . Cambridge: University Press.

D.M. Dunlop. 1986. Bimaristan. The Encyclopaedia of Islam New Edition. London:E.J Brill.

Gary Leiser. 1983. Medical Education in Islamic Lands from the Seventh and Fourteenth Century. Journal of The History of Medicine and Allied Sciences. 38(1):48-75.

Hamarneh SK. 1983. Health Sciences in Early Islam. Vol.1. USA: A Noor Health & Zahra Publications.

Ibn Abi Usaybiah. 1970. Uyun al-Anba Fi tabaqat al-Atibba’ wa al-hukama’. Sunt. Nizar Rida. Beirut: Dar Maktabat al-Kutub al-Hayah.

Ibn al-Nadim. 1994. Kitab al-Fihrist. Tunisia:Dar al-Maarif.

Ibn Hisham. 1995. al-Sirah al-Nabawiyyah. Sunt.Mustafa al-Saqa. Beirut:Dar al-Hayah al- Turath al-Arabi.

Ibn Athir. 1290H. al-Kamil fi al-Tarikh. Vol.4. Kaherah: t.tpt.

Ibn Khaldun. 1981. Muqaddimah Ibn Khaldun. Sunt. Khalil Shahadah. Beirut: Dar al-Fikr.

Muhammad Mahmud al-Haj Qasim. 1987. Al-Tibb Inda al-Arab wa al-Muslimin:Tarikh wa Musahamat. Jeddah: Dar al-Saudiyyah.

Muhammad b. Abdul Rahman b. Abu Bakar b. Uthman al-Sakhawi. 1354H. Al-Daw al- Lami’li Ahli al-Qarn al-Tasi’. Jil 3-8. Sunt. Husam al-Din al-Qudsi. Kleharah:Maktabat al-Quds.

http://WorldConferences.net Page 124

http://WorldConferences.net Page 125

E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization E-ISSN: 2289-6759 Volume 2 - 2015

Muhammad Kurd Ali. 1971. Khitat al-Sham. Jil.6. Beirut:Dar al-Ilm al-Malayin. al-Qifti. 1903. Kitab Ikhbar al-Ulama bi Akhbar al-Hukama’. Beirut:t.tpt.

Taqi al-Din Abu Abbas Ahmad b. Ali b. Abdul Qadir Al-Maqrizi. 1850. Kitab al-Mawaiz wa al-Iktibar bi Zikr Khutat wa al-Athar al-Maaruf bi Khitat al-Maqriziyyah. t.tp:Maktabat al-Thaqafah al-Diniyyah.

http://WorldConferences.net Page 125