Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KELIMA MESYUARAT PERTAMA Bil. 10 Selasa 21 Mac 2017 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN MENTERI BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 6) RANG UNDANG-UNDANG DIBAWAKE DALAM MESYUARAT (Halaman 33) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 30) Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong - Datuk Liang Teck Meng (Simpang Rengam) (Halaman 34) DR. 21.3.2017 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KELIMA MESYUARAT PERTAMA Selasa, 21 Mac 2017 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN MENTERI BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Tuan Anuar bin Abd. Manap [Sekijang] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan berapakah jumlah permohonan yang telah diterima bagi pembinaan Rumah Bina Negara mengikut agensi yang bertanggungjawab iaitu RISDA dan FELCRA dan berapakah jumlah permohonan yang telah diluluskan serta apakah perkembangan status pembinaan rumah tersebut bagi permohonan yang telah diluluskan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah [Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob]: Terima kasih Yang Berhormat Sekijang. Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini jumlah permohonan yang telah diterima oleh RISDA bagi Rumah Bina Negara (RBN) secara individu adalah sebanyak 1,626 permohonan. Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 158 permohonan telah pun diluluskan. Sehingga kini sebanyak 81 unit rumah sedang dalam pembinaan dan 16 unit telah pun siap. Manakala bagi Rumah Bina Negara yang dilaksanakan oleh FELCRA iaitu secara berkelompok. FELCRA telah menerima sebanyak 1,675 permohonan dan daripada jumlah tersebut sejumlah 1,183 permohonan telah pun diluluskan yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,183 unit rumah di sembilan lokasi di seluruh negara. Butir terperincinya adalah seperti berikut: (i) Satu projek yang melibatkan 140 unit telah pun siap; (ii) Satu projek yang melibatkan jumlah 123 unit sedang di dalam pembinaan; (iii) Dua projek telah memperolehi kelulusan kebenaran merancang berjumlah 318 unit; (iv) Tiga projek dalam permohonan kebenaran merancang berjumlah 303 unit; dan (v) Dua projek pula dalam proses permohonan kelulusan tapak yang berjumlah 302 unit. Terima kasih. Tuan Anuar bin Abd. Manap [Sekijang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Tahniah juga kepada pihak kementerian atas DR. 21.3.2017 2 keprihatinan untuk membantu generasi muda terutamanya generasi kedua di RISDA dan juga FELCRA untuk membina Rumah Bina Negara ini. Cuma isu pada hari ini ialah ramai di kalangan pekebun-pekebun kecil getah dan sawit ini mereka telah menjual hasil ladang secara tunai. Bagaimanakah kumpulan pekebun-pekebun kecil yang tidak ada bukti pendapatan ini seperti slip gaji ini dipermudahkan mendapat bantuan Rumah Bina Negara ini dan adakah FELDA juga termasuk dalam skim ini? Terima kasih. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Terima kasih Yang Berhormat. Seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Pekan sewaktu pembentangan Bajet 2017, rumah generasi kedua luar bandar ini adalah untuk rumah generasi kedua luar bandar bukan generasi kedua FELDA. Ini kerana seperti kita tahu FELDA telah pun mempunyai program perumahan generasi kedua mereka sendiri iaitu rumah generasi kedua FELDA yang diuruskan dan dilaksanakan dan segala-galanya diuruskan oleh FELDA. Jadi untuk rumah generasi kedua luar bandar ini adalah selain daripada generasi kedua FELDA tetapi terbuka kepada seluruh generasi kedua luar bandar tidak kira sama ada anak pekebun kecil, anak peserta FELCRA dan sebagainya. Kita faham bahawa isu yang paling besar dihadapi oleh pemohon-pemohon yang ingin membeli rumah mampu milik terutamanya luar bandar adalah pemohon tidak mempunyai slip gaji. Inilah merupakan punca utama kenapa akhirnya mereka gagal untuk memiliki rumah sendiri iaitu gagal untuk membeli rumah sendiri. Walaupun membeli rumah merupakan keperluan yang besar kepada generasi kedua luar bandar kerana kita dimaklumkan bahawa lebih daripada 30 peratus daripada generasi kedua luar bandar yang telah pun berumah tangga masih tidak memiliki rumah sendiri. Untuk menyelesaikan isu besar ini, pihak RISDA pada 13 Mac 2017 telah pun mengadakan MOU ataupun memorandum of understanding dengan Agrobank iaitu selepas ini pemohon-pemohon yang ingin memohon pinjaman daripada Agrobank untuk membeli rumah generasi kedua luar bandar ini tidak lagi memerlukan slip gaji, yang perlu hanyalah pengesahan pendapatan oleh pemimpin-pemimpin tempatan sahaja. ■1010 Jadi, saya percaya dengan adanya MoU ini kita boleh menyelesaikan isu yang paling besar iaitu masalah untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah generasi kedua. Terima kasih. Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Terima kasih. Hendak tanya, apakah yang dibuat oleh kementerian untuk menolong orang asal untuk menikmati Rumah Bina Negara di kementerian Yang Berhormat? Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Rumah generasi kedua ini terbuka kepada semua, tidak kira sesiapa sahaja termasuk masyarakat daripada kaum Asli dan juga kaum lain di seluruh negara, kaum bumiputera Sabah, Sarawak dan sebagainya. Kita mempunyai program perumahan ini termasuk di Sabah dan juga termasuk di Sarawak. Seperti yang saya sebutkan tadi, beberapa projek di bawah FELCRA misalnya telah pun diluluskan untuk kaum bumiputera di Sabah, begitu juga untuk RISDA dengan syarat mereka mempunyai tanah sendiri ataupun tanah yang dibenarkan penggunaannya untuk mendirikan rumah dan sebagainya dan syarat- DR. 21.3.2017 3 syarat pun sama. Jadi, kita akan membantu sesiapa sahaja kaum generasi kedua luar bandar tanpa mengira di mana tempat mereka, daripada kaum apa dan sebagainya, kita akan beri. Seperti saya sebutkan tadi bahawa kalau masyarakat kaum Asli juga isu utamanya tidak mempunyai slip gaji. Kita juga perlu hanya mendapatkan surat pengesahan pendapatan mereka oleh Tok Batin ataupun oleh Pengerusi JKKK Orang Asli. Itu sudah pun mencukupi untuk kita meluluskan pinjaman mereka untuk mereka memiliki rumah. Terima kasih. 2. Dato’ Johari bin Abdul [Sungai Petani] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan adakah kerajaan berhasrat meningkatkan taraf kebersihan Kuala Lumpur khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Kampung Baru, Chow Kit dan Masjid India agar setanding dengan bandar raya-bandar raya seperti negara Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Menteri Wilayah Persekutuan [Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sungai Petani, sememangnya pihak kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan telah mempunyai program bagi meningkatkan taraf kebersihan Kuala Lumpur terutamanya di kawasan tumpuan pelancong di pusat bandar raya seperti kawasan-kawasan Kampung Baru, Chow Kit, Masjid India dan Bukit Bintang. Sebenarnya program yang dimaksudkan itu telah dimulakan sejak tahun 2013 lagi dan sedang berjalan sehingga sekarang iaitu program Blueprint Kebersihan Kuala Lumpur yang melibatkan tiga kawasan tumpuan iaitu Bukit Bintang, Jalan Petaling dan Chow Kit. Program tersebut menekankan aspek public engagement dengan izin, semua pihak berkepentingan sama ada persatuan peniaga, pemilik premis, peniaga, penduduk dan komuniti setempat. Penglibatan aktif oleh pihak berkepentingan melalui aktiviti gotong-royong kebersihan yang diadakan secara berkala di ketiga-tiga kawasan yang terlibat. Untuk makluman Yang Berhormat, penglibatan aktif oleh pihak-pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kebersihan di kawasan-kawasan tersebut diiktiraf oleh pihak kementerian. Sebagai rakan kongsi strategik dan dengan izin, change agent melalui program Local Agenda 21 (LA21). Tuan Yang di-Pertua, Program Blueprint Kebersihan Kuala Lumpur yang melibatkan tiga kawasan tumpuan tersebut telah diperluaskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi meliputi kawasan-kawasan terpilih di kesemua 11 kawasan Parlimen yang wujud di Kuala Lumpur mulai tahun 2016. Program yang diperluaskan ini dikenali sebagai Program Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan setiap kawasan blueprint akan dinilai dan diberi status penarafan kebersihan selepas tamat tempoh fasa pelaksanaan. Pelaksanaan dibahagikan kepada empat peringkat serta sembilan fasa dan akan diteruskan pelaksanaan sehingga tahun 2019. Apabila tamat tempohnya kelak, adalah disasarkan bahawa seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diberi status taraf kebersihan masing-masing. Sekian, terima kasih. Dato’ Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Tuan Yang di-Pertua, kalau kita melawat ke Chow Kit hari ini Tuan Yang di-Pertua, kita agak malu kerana pasar di Chow Kit amat tidak terurus dan amat kotor walaupun Menteri kata ada program sejak tahun 2013 dan boleh DR. 21.3.2017 4 disahkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pun. Orang datang ke tempat kita hendak tengok benda-benda yang pelik, benda luar biasa. Di antara tempat yang mereka lawat ialah Chow Kit dan sebagainya. Akan tetapi saya rasa, masih kedudukannya amat-amat luar biasa kerana kotornya. Apakah ini akan diberikan perhatian? Berapa peratuskah dari bajet yang ada di Kementerian Wilayah Persekutuan diberikan untuk tujuan kebersihan ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor: Terima kasih Yang Berhormat Sungai Petani. Minat Kuala Lumpur, terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sungai Petani, Pasar Raja Bot
Details
-
File Typepdf
-
Upload Time-
-
Content LanguagesEnglish
-
Upload UserAnonymous/Not logged-in
-
File Pages172 Page
-
File Size-