Islamic Economics and Finance Research Group, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 43600, Selangor, Malaysia Fax: 603-89215789 http://www.ukm.my/ekonis E-mail: [email protected] Working Paper in Islamic Economics and Finance No. 0807 Dari Penerima Kepada Pembayar Zakat : Satu Tinjauan Ke Atas Gerak Asnaf Di Pusat Urus Zakat Pulau Pinang Zakaria Bahari1 Zahri Hamat2 Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia 11800 Minden, Pulau Pinang Malaysia e-mail: [email protected] This Draft March 2008 1 Zakaria Bahari ialah pensyarah kanan di Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) di universiti yang sama 2 Zahri Hamat ialah pensyarah di Bahagian Pengurusan dan Perancangan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) di universiti yang sama. ABSTRAK Saban tahun ratusan juta zakat telah diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin oleh institusi- institusi zakat di Malaysia. Ia telah dilaksanakan sekian lama. Namun melalui kaedah pengagihan zakat yang sedia ada ini tidak mempamerkan tanda-tanda kedua-dua asnaf tersebut mampu keluar daripada kemiskinan. Apatah lagi untuk menukarkan mereka dari penerima zakat kepada pembayar zakat. Persoalannya, apakah kaedah pengagihan yang diamalkan pada masa kini perlu pengubahsuaian? Apakah ada kaedah pengagihan lain yang boleh diteroka agar asnaf fakir dan miskin ini mampu keluar dari kemiskinan dan seterusnya akan menjadi pembayar zakat. Kertas ini bertujuan untuk meninjau kaedah pengagihan zakat untuk golongan fakir dan miskin yang sedang dilaksanakan oleh Pusat Urus Zakat Pulau Pinang yang dikenali sebagai gerak asnaf. Kaedah pengagihan ini walaupun belum menampakkan kejayaan, tetapi ia adalah satu kaedah pengagihan alternatif yang boleh juga diteroka oleh institusi-institusi zakat lain. Di akhir kertas ini dicadangkan untuk pertimbangan oleh institusi-institusi zakat tentang kaedah pengagihan melalui harta produktif seperti pelaburan dalam sektor peladangan, perindustrian dan perkhidmatan. PENDAHULUAN Malaysia merupakan antara negera yang terkehadapan dalam pengurusan zakat. Hal ini antara lain disebabkan oleh adanya pusat-pusat pengurusan zakat di kebanyakan negeri di Malaysia. Ia dapat dipamerkan dengan peningkatan dalam jumlah pungutan zakat setiap tahun. Misalnya jumlah pungutan zakat telah meningkat dari RM373.9 juta pada tahun 2002 kepada RM408.4 juta pada tahun 2003, RM473.3 juta pada tahun 2004 dan RM573.1 juta pada tahun 2005 seterusnya kepada RM670.6 juta pada tahun 2006 (MAIWP, 2007: 72). Purata kenaikan pungutan zakat adalah sekitar 15.8 peratus setahun. Antara negeri yang mempamerkan pungutan tertinggi pada tahun 2006 ialah Selangor sebanyak RM149.9 juta dan Wilayah Persekutuan sebanyak RM143.3 juta. Agak menariknya ialah kejayaan negeri Pulau Pinang memungut zakat sebanyak RM28.1 juta bagi tahun 2006. Jumlah itu setanding dengan pungutan zakat di negeri Perak, iaitu RM28.9 juta. Malah pungutan di negeri Pulau Pinang telah mengatasi pungutan zakat di negeri Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak, Sabah dan Perlis yang masing-masing telah memungut sebanyak RM23.3 juta, 17.3 juta, RM12.1 juta dan 11.1 juta. Bagi memenuhi bertujuan kertas ini, maka perbincangan akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama akan menghuraikan beberapa prinsip penting tentang agihan zakat. Bahagian kedua pula akan membahaskan tentang agihan zakat oleh Pusat Urus Zakat Pulau Pinang yang dikenali sebagai gerak asnaf. Bahagian terakhir merupakan cadangan kaedah pengagihan melalui harta produktif. BEBERAPA PRINSIP AGIHAN ZAKAT Pengagihan zakat perlu mematuhi beberapa prinsip. Ini adalah bertujuan agar agihan zakat yang dibuat adalah mengikut ketetapan yang ditentukan oleh syariat Islam. Antara prinsip-prinsip tersebut ialah agihan hanya untuk asnaf yang telah ditetapkan, keutamaan kepada golongan fakir dan miskin seterusnya agihan tersebut perlulah dapat memenuhi had al-kifayah. Huraian secara ringkas untuk setiap prinsip tersebut adalah seperti berikut: Hanya Untuk Asnaf Zakat Asnaf zakat ialah golongan yang berhak menerima zakat. Ia telah disebut oleh Allah s.w.t. dalam al- Quran dan Rasulullah s.a.w. melalui al-Sunnah atau al-Hadis. Daripada al-Quran antara lain adalah ayat al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu adalah hanya untuk orang- orang fakir dan miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan, (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (Al-Taubah, 9: 60). Surah ini diturunkan selepas turunnya surah al-Fath. Surah al-Fath. Ia diturunkan sempena dengan peristiwa pembukaan Makkah pada tahun kelapan Hijrah. Ini bermakna, golongan asnaf yang berhak menerima zakat berlaku selepas 20 tahun Nabi Muhammad s.a.w menjadi Rasul. Ayat itu jelas menyebut bahawa lapan golongan yang berhak menerima zakat. Menurut jumhur, susunan asnaf bermula dengan fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, penghutang, fi sabilillah dan ibn al-sabil. Sebaliknya al-Nasafi dan Ibn al-Athir pulak bermula dengan fi sabilillah, ibn al-sabil, hamba, penghutang, fakir, miskin, amil dan mualaf. Namun keutamaan ini bukanlah satu isu. Pelaksanaannya bergantung kepada keadaan semasa dan setempat serta melihat kepada maslahat umum (Hasanah Abd Khafidz, 2006: 82 - 91). Daripada al-Hadis pula antara lain berdasarkan sebuah Hadis yang dilaporkan oleh Ziyad al-Harth al-Sada’i dengan katanya bermaksud: “Aku pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu mengangkat sumpah setia. Lalu Baginda menyebut satu Hadis yang panjang (katanya): Maka tiba-tiba datang seorang lelaki sambil berkata: Berilah aku dari harta sedekah. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak rela terhadap hukum yang ditentukan oleh Nabi-Nya mahupun orang yang lain dalam hal sedekah, sehingga Dia sendiri yang menentukan hukumnya. Maka Dia membahagikan sedekah (zakat) itu kepada lapan golongan. Oleh itu jika engkau termasuk dalam salah satu dari golongan itu, maka engkau akan ku beri (zakat)” (Abu Dawud, No. Hadis: 1626). Daripada al-Hadis itu mempamerkan bahawa Rasulullah s.a.w. berpegang dengan arahan Allah s.w.t. tentang lapan golongan yang berhak menerima zakat. Zakat tidak boleh diagih selain dari lapan golongan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. ini. Dengan itu Rasulullah s.a.w. akan mengagihkan zakat kepada golongan-golongan yang memerlukan berdasarkan lapan golongan tersebut. Keutamaan Golongan Fakir dan Miskin Golongan fakir dan miskin merupakan golongan pertama yang disebut oleh Allah s.a.w. Namun ia tidak dinyatakan dengan jelas kadar agihan yang perlu dibuat kepada kedua-dua golongan itu. Rasulullah s.a.w. juga tidak menyebutkannya dengan jelas. Namun terdapat Hadis Rasulullah s.a.w. yang mempamerkan keutamaan golongan fakir dan miskin. Antara lain Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Muadh b. Jabal ketika beliau dihantar sebagai gabenor di Yaman dengan sabda-Nya bermaksud “Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka menunaikan zakat pada harta mereka. Harta itu diambil dari orang kaya dan diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka” (al-Bukhari, No. Hadis: 478). Berdasarkan al-Hadis di atas, Rasulullah s.a.w. mempamerkan methodologi pemungutan dan pengagihan zakat. Ia dapat dirumuskan bahawa zakat itu dipungut daripada orang kaya dan kemudian diagihkan kepada golongan miskin. Rasulullah s.a.w. juga berpesan supaya pengagihan itu dilakukan dalam kalangan mereka. Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan Muadh b. Jabal untuk memungut dan mengagihkan zakat di daerah yang sama zakat itu dipungut. Perintah Rasulullah s.a.w. ini telah dilaksanakan dengan patuh oleh Muadh b. Jabal. Malah terdapat kes di mana beliau menulis surat kepada amil zakat supaya agihan dibuat di kalangan kabilah yang sama walaupun mereka telah berpindah dari daerah itu. (Yusuf al-Qaradawi, 1999: 511). Had al-Kifayah Zakat hendaklah diberi mengikut kadar keperluan yang mencukupi kepada setiap penerimanya. Ia pastinya berbeza-beza mengikut keperluan seseorang pada ketika itu. Namun bagi golongan fakir dan miskin, jumhur fuqaha sependapat bahawa tahap kekayaan atau kadar pemilikan harta pada ketika itu merupakan satu aspek penting untuk menilai golongan fakir dan miskin untuk menentukan kelayakan untuk menerima zakat. Tahap kekayaan ini boleh berubah mengikut keperluan seseorang (Hasanah Abd Khafidz, 2006: 259 - 261). Ini dipamerkan daripada Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Daripada Qabisah b. Mukhariq al-Halili katanya: aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua qabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w. meminta bantuan kepada Baginda untuk membayarnya. Jawab Baginda: Tunggulah sampai orang datang menghantar zakat, nanti aku suruh supaya menyerahkannya
Details
-
File Typepdf
-
Upload Time-
-
Content LanguagesEnglish
-
Upload UserAnonymous/Not logged-in
-
File Pages15 Page
-
File Size-