Naskhah belum disemak DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Bil. 42 Selasa 4 November 2014 K A N D U N G A N JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1) RANG UNDANG-UNDANG: Rang Undang-undang Perbekalan 2015 (Halaman 25) USUL-USUL: Waktu Mesyuarat dan Urusan Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 25) Usul Anggaran Pembangunan 2015 (Halaman 25) DR.4.11.2014 1 MALAYSIA DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA Selasa, 4 November 2014 Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat] JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN 1. Puan Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Perdana Menteri menyatakan perbezaan antara Jabatan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Yayasan Bantuan dan adakah kedua-dua institusi ini boleh digantikan oleh satu institusi yang boleh memainkan peranan kedua-dua institusi ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Puan Hajah Nancy binti Shukri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Masjid Tanah atas soalan ini. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Jabatan Bantuan Guaman ataupun JBG atau dahulunya dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman, merupakan suatu jabatan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang- undang, Jabatan Perdana Menteri. JBG telah ditubuhkan pada September tahun 1970 melalui Ordinan No.39 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970. Objektif penubuhan JBG pada waktu itu adalah untuk memberi nasihat dan bantuan guaman kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam kes kekeluargaan. Ordinan tersebut telah dimansuhkan oleh Akta Bantuan Guaman 1971 iaitu Akta 26 pada 30 April 1971. Tuan Yang di-Pertua, pada amnya, peranan JGB di bawah Akta 26 ialah memberi khidmat nasihat bantuan guaman dalam kes jenayah dan tindakan sivil serta menyediakan khidmat pengantaraan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Selain itu, jabatan ini juga memberi penerangan serta kesedaran undang-undang kepada masyarakat tentang hak mereka di sisi undang-undang. Manakala Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ataupun kita sebut sebagai YBGK, merupakan syarikat berhad menurut jaminan yang telah diperbadankan atau dengan izin, company limited by guarantee di bawah Akta Syarikat 1965 pada 25 Januari 2011 dengan tujuan untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan guaman secara percuma dalam perkara jenayah sahaja. Pada amnya Tuan Yang di-Pertua, dalam perkara jenayah, JBG dan YBGK memberi perkhidmatan yang hampir sama iaitu khidmat nasihat dan bantuan guaman kepada golongan DR.4.11.2014 2 yang kurang berkemampuan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan daripada segi bidang kuasa dan kumpulan sasaran kedua-dua entiti ini. Bagi bidang kuasa Jenayah JBG, ianya meliputi pengendalian prosiding yang melibatkan tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam yang mengaku salah kepada pertuduhan dan ingin membuat rayuan untuk meringankan hukuman berkenaan dengannya atau dengan izin, premitigation, prosiding jenayah di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan di bawah Akta Kesalahan- kesalahan Kecil 1955. JBG menawarkan khidmat bantuan guaman dengan bayaran fi pendaftaran berdasarkan sumber kewangan pemohon. Bagi pemohon yang memiliki sumber kewangan yang tidak melebihi RM25,000 setahun, pemohon itu dikenakan bayaran fee pendaftaran RM2 sahaja. Pemohon yang memiliki sumber kewangan yang melebihi RM25,000 tetapi tidak melebihi RM30,000 setahun dikenakan bayaran fi pendaftaran RM2 dan bayaran sumbangan sebanyak RM300. Sementara itu, YBGK pula menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman secara percuma dalam perkara jenayah termasuk jenayah syariah kepada warganegara Malaysia yang bermula daripada peringkat tangkapan, reman, pertuduhan dan permohonan ikat jamin. Ujian kemampuan hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan orang yang akan menerima bantuan guaman di peringkat perbicaraan dan rayuan di mahkamah iaitu bagi mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM36,000 setahun. YBGK tidak menyediakan bantuan guaman bagi kesalahan yang membawa hukuman mati kerana Mahkamah Tinggi akan menyediakan perkhidmatan guaman yang dilantiknya ataupun dengan izin, assigned counsel kepada tertuduh dalam kes sedemikian. Bagi menjawab bahagian kedua pertanyaan Yang Berhormat Masjid Tanah ini, persoalan mengenai kewujudan sebuah institusi baru untuk menggantikan kedua-dua institusi ini tidak timbul memandangkan penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merupakan pelengkap kepada perkhidmatan bantuan guaman yang diberikan oleh Jabatan Bantuan Guaman. YBGK bukanlah sebuah agensi kerajaan, sebaliknya ia merupakan suatu entiti berbentuk syarikat khairat yang bebas dan berkecuali dalam melaksanakan tugas dan fungsi memberi khidmat nasihat dan bantuan guaman berhubung dengan prosiding jenayah kepada golongan yang tidak berkemampuan. Terima kasih. Puan Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan itu tadi. Soalan tambahan saya, apakah cara untuk peguam-peguam di luar sana untuk memberi perkhidmatan mereka kepada YBGK dan juga Jabatan Bantuan Guaman kerana kita melihat ini adalah merupakan platform yang terbaik untuk kita melatih peguam- peguam muda yang baru, dengan izin, a call to the bar, untuk mereka melatih skil mereka di kedua-dua tempat ini. DR.4.11.2014 3 ■1010 Soalan saya yang kedua, apakah kes-kes biasa yang boleh dikendalikan oleh kedua-dua agensi ini kerana kita melihat contohnya kes tanah pusaka yang mana terdapat rungutan yang kita terima daripada orang kampung apabila melibatkan tanah pusaka mereka telah dimanipulasikan oleh peguam sehingga mengenakan caj yang tinggi kepada mereka dan ini amat sukar buat orang kampung kerana mereka tidak ada tunai. Yang mereka ada hanyalah tanah dan apabila hendak melangsaikan hutang mereka, mereka terpaksa menjual tanah mereka. Ini sikap tanggungjawablah, itu berlandaskan sikap tanggungjawab dan juga amalan sebagai seorang peguam. Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih juga kepada mana-mana pihak yang telah pun banyak mengendalikan contohnya di Fakulti Undang-undang, UKM, adanya klinik guaman. Begitu juga dengan Pembela Negeri Melaka yang ada menyediakan barisan peguam- peguam untuk membantu rakyat dan juga masyarakat di negeri Melaka dan sesungguhnya usaha ini adalah amat baik. Cuma kita berharap dan saya juga mendapat harapan, menerima pesanan daripada sahabat-sahabat peguam saya di luar sana yang menyatakan sama ada YBGK, Jabatan Guaman, klinik guaman dan sebagainya, apa pun hendaklah dilakukan yang terbaik untuk rakyat kerana apa pun mereka datang kepada YBGK, Jabatan Guaman adalah untuk mendapat bantuan. Nama pun bantuan, jadi kita berilah bantuan yang sebaiknya. Terima kasih. Puan Hajah Nancy binti Shukri: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Masjid Tanah di atas semangat yang begitu jitu sekali untuk membantu masyarakat. Dalam hal ini kalau hendak tahu bagaimana seseorang peguam itu boleh menawarkan khidmat mereka kepada YBGK. Pertama, syaratnya perlu ada berkhidmat dengan sebuah firma guaman, ianya swasta iaitu attach with legal firm, dengan izin. Perlu juga menghadiri kursus yang diadakan oleh YBGK bersama dengan Majlis Peguam serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Mereka semuanya perlu dilatih dahulu. Sekiranya perlu maklumat lanjut, bolehlah layari laman web www.ybgk.org.my Untuk memberi khidmat kepada JBG pula, seseorang peguam itu untuk menjadi panelnya perlu sedang berkhidmat juga dengan sebuah firma guaman seperti mana juga dengan YBGK tadi dan perlu memiliki Sijil Amalan Guaman ataupun practicing certificate yang terkini. Bagi peguam syarie pula, perlu mempunyai watikah pelantikan mengikut negeri. Jadi permohonan untuk menjadi peguam panel JBG boleh dibuat secara online melalui laman web www.jbg.gov.my Dari segi bidang kuasa JBG pula, bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman adalah seperti berikut; dari segi kes kekeluargaan sivil ada tuntutan nafkah, perubahan perintah nafkah, menguatkuasakan perintah nafkah, tuntutan cerai, hak penjagaan, hak harta perkahwinan. Dari segi kes sivil pula, permohonan anak angkat, harta pusaka kecil, tadi saya rasa Yang Berhormat menyentuh mengenai tanah. Jadi permohonan kaveat dan surat mentadbir pusaka, penanaman DR.4.11.2014 4 padi, penanaman padi ini khusus kepada kawasan-kawasan tertentu terutama sekali di Kedah kalau saya tidak silap ada kes-kes yang berkenaan dengan penanaman padi. Juga melibatkan tuntutan kemalangan jalan raya, pinjaman wang, sewaan-sewaan sewa beli, tuntutan pengguna. Kita juga ada mengenai tuntutan dari segi kes syariah, kita ada ganti rugi pertunangan, tuntutan nafkah, perubahan perintah nafkah, menguatkuasakan perintah nafkah, tuntutan cerai, hak penjagaan, harga sepencarian, mutaah, hutang perkahwinan, hibah, wasiat dan juga yang kes-kes faraid termasuklah kes-kes tuntutan dari segi tanah. Itu melibatkan keluarga juga. Terima kasih. Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya Menteri, apakah rasional kerajaan mengadakan badan-badan selari ini, parallel bodies dalam hal Bantuan Guaman Kebangsaan. Ini kerana saya dapati bukan sahaja sebagai seorang Ahli Kabinet mungkin boleh memberitahu rakyat bukan sahaja dari badan selari yayasan bantuan ini, saya juga dapati kerajaan dalam banyak isu lain ada badan-badan ataupun kementerian yang selari. Katakan Jabatan Perdana Menteri sekarang kalau kita kira Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kita ada sepuluh orang Menteri. Dalam jawapan semalam oleh Menteri
Details
-
File Typepdf
-
Upload Time-
-
Content LanguagesEnglish
-
Upload UserAnonymous/Not logged-in
-
File Pages176 Page
-
File Size-