Mencari KM baharu Sabah MyMetro 28.9.2020 HAJIJI dan Bung Moktar Ekhwan Haque Fazlul Haque [email protected] Kemelut menamakan ketua menteri bagi menerajui pentadbiran kerajaan Sabah terus membelenggu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun sudah berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, kelmarin. 'Pertempuran terbuka' itu sebenarnya sudah mula dihidu sebaik GRS ditubuhkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) beberapa hari sebelum penamaan calon. Nama calon kerusi Sulaman Datuk Hajiji Noor sudah dicanang PN sebagai calon Ketua Menteri Sabah sekiranya gabungan yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dapat membentuk kerajaan. Hajiji, 65, yang juga Pengerusi PN Sabah bukan nama asing dalam landskap politik Sabah kerana antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) senior pernah menjawat jawatan menteri dalam Kabinet negeri sebelum ini. Dalam PRN Sabah kali ini, Hajiji menang selesa dengan majoriti 3,099 undi, sekali gus mempertahan kerusi yang disandangnya sejak 1990. Tanggungjawab dan komitmen tinggi sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak lima penggal lalu berjaya dikekalkan dengan memperoleh 5,919 undi dalam persaingan tiga penjuru. Namun, 'pengumuman' yang dibuat beberapa pemimpin kanan PN itu ternyata mengundang rasa kurang senang sekutunya dalam BN kerana turut berhasrat meletakkan calon parti itu sebagai ketua menteri. Datuk Bung Moktar Radin antara nama yang disebut sejak awal kempen PRN Sabah memandangkan dia adalah Pengerusi BN Sabah selain berpengalaman sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan. Walaupun mencuba nasib di Lamag yang menjadi kerusi baharu dalam PRN kali ini, Bung masih selesa walaupun menang dengan majoriti 661 undi. Bagaimanapun, menamakan Bung Moktar sebagai Ketua Menteri hanya 'cakap-cakap politik' ketika itu, BN sebaliknya terus konsisten dengan pendirian hanya akan menamakan calon ketua menteri sekiranya berjaya membentuk kerajaan. Sehingga analisis ini ditulis, tiada nama dalam kalangan Adun BN yang dimaklumkan kepada umum untuk menjawat jawatan nombor satu kerajaan negeri itu. Perbezaan kerusi yang dimenangi PN dan BN dalam PRN ini sangat hampir kerana hanya dibezakan tiga kerusi masing-masing 17 dan 14 kerusi saja. Kini, PBS dan tiga calon bebas menjadi king maker untuk menentukan sokongan sama ada terhadap PN atau BN kerana sehingga kini parti itu belum mengeluarkan kenyataan untuk menyokong calon ketua menteri dari kem PN atau BN. Kemelut ini tidak dapat diselesaikan dalam mesyuarat khas yang dihadiri pemimpin kanan PN, BN dan PBS sehingga memaksa campur tangan Istana Negeri. Namun kini, tumpuan terarah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang sudah menerima menghadap Hajiji, Bung Moktar dan Jahid Jahim yang juga Setiausaha Agung PBS serta Presiden Star, Datuk Dr Jeffery Kitingan semalam. Penganalisis Politik Kumpulan GeoPeS Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Mohd Noor Yazid berkata, Juhar mempunyai kuasa mengikut Perkara 6(3) dan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah dalam melantik seorang ketua menteri. Menurutnya, nama yang dikemukakan itu adalah seseorang Adun yang mempunyai sokongan majoriti daripada parti yang memenangi PRN. "Yang di-Pertua Negeri Sabah melantik Ketua Menteri daripada parti yang menang dengan matlamat mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran kerajaan negeri. "Di sini penting kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri untuk melantik seseorang yang dapat sokongan majoriti seterusnya membentuk kestabilan politik negeri," katanya. Kemelut ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana fokus kepada pembangunan dan ekonomi negeri perlu disegerakan di sebalik pandemik Covid-19 yang terus mencengkam negeri ini khususnya di pantai timur Sabah iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau. .
Details
-
File Typepdf
-
Upload Time-
-
Content LanguagesEnglish
-
Upload UserAnonymous/Not logged-in
-
File Pages2 Page
-
File Size-